Oleh RIZQI ZABIDI

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan empat pegawai kanan bekas subsidiari sebuah syarikat milik kerajaan (GLC) bagi membantu siasatan berkaitan kes salah guna kuasa dan kedudukan melibatkan dana berjumlah RM2.2 juta.

Menurut sumber, kesemua mereka yang berusia antara 49 hingga 58 tahun ditahan selepas hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Kedah, di Alor Setar antara pukul 3.45 petang hingga 4.15 petang hari ini.

“Hasil siasatan awal mengesyaki keempat-empat mereka termasuk seorang individu berjawatan ketua pegawai eksekutif (CEO), telah menyalah gunakan kuasa dan kedudukan masing-masing untuk menyalurkan dana syarikat tersebut bernilai RM2.2 juta ke dalam dua syarikat lain.

“Kesemua mereka dipercayai memiliki kepentingan dalam dua syarikat berkenaan,” katanya.

Sementara itu Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd. Manap ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dilakukan.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut dan hanya memaklumkan keempat-empat individu berkenaan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Alor Setar pagi esok bagi permohonan reman.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 23, Akta SPRM 2009,” katanya ringkas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here