MoF, KKM kaji turunkan harga kit ujian kendiri RT

kertas konsultasi awam

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

KEMENTERIAN Kewangan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang mengkaji menurunkan lagi harga kit ujian kendiri Covid-19 RTK- Antigen menjelang hujung tahun ini.

Menteri Kanan Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, langkah itu bagi membolehkan pengesanan kontak lebih cepat dapat dibuat.

“Untuk mengembangkan usaha ini, Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengiktiraf beberapa kit ujian kendiri Covid-19 yang boleh dibeli di farmasi seluruh negara.

“Selain itu, bagi memastikan kit ujian ini boleh didapati oleh rakyat, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna telah meletakkan harga siling di bawah RM20 untuk satu kit ujian.

“Kedua-dua kementerian ini sedang mengkaji untuk menurunkan harga kit ujian kendiri menjelang hujung tahun ini,” katanya ketika menyampaikan ucap tama pembukaan Sidang Kemuncak Pemulihan Negara anjuran Institut Strategik KSI bagi Asia Pasifik dan Kelab Ekonomi Kuala Lumpur secara maya, hari ini.

Tengku Zafrul berkata, kerajaan juga sedang meningkatkan keupayaan pengesanan kontak menggunakan teknologi dan data mobiliti.

“Individu yang berpotensi menjadi kontak rapat akan dikenal pasti dan kemudiannya diberi arahan untuk kuarantin kendiri.

“Bagi yang tiada gejala atau gejala ringan pula diminta untuk kuarantin dan pengawasan di rumah,” katanya lagi.

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *