TINDAKAN kejam seorang remaja yang didakwa melakukan samun sebelum merogol seorang wanita di sebuah hotel bajet, minggu lalu membawa padah apabila dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh hari ini.
Memetik laporan Astro Awani, tertuduh, K.P Suren, 18, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus tiga pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Nariman Badruddin.
Mengikut pertuduhan pertama di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan, tertuduh didakwa melakukan persetubuhan bertentangan luar tabii terhadap mangsa yang berusia 34 tahun tanpa kerelaannya.
Bagi kesalahan itu, tertuduh boleh dipenjara antara lima hingga 20 tahun dan dikenakan sebatan.
Tertuduh turut didakwa melakukan rompakan wang tunai bernilai RM100 dan sebuah telefon bimbit milik mangsa sehingga menyebabkan wanita itu mengalami kecederaan.
Bagi tindakan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 394 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat.
Selain itu, tertuduh turut bertindak kejam merogol mangsa sama tanpa kerelaannya sehingga mendatangkan kecederaan terhadap wanita itu dan didakwa di bawah Seksyen 376(2)(a) dan berdepan hukuman penjara antara 10 hingga 30 tahun dan sebatan.
Kesemua kesalahan itu dilakukan di sebuah hotel bajet di Taman Paya Rumput, Melaka Tengah antara pukul 1.11 hingga 1.20 pagi, 3 Ogos lalu.
Terdahulu pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Anis Najwa Nazari memohon jaminan RM40,000 bagi setiap pertuduhan dengan mengambil kira kesalahan dilakukan adalah serius.
Nariman pada penghakimannya kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 September ini sebagai sebutan semula kes.
DUA lelaki yang disyaki menghalang tugas dan menyebabkan kecederaan kepada anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) yang mengeluarkan saman terhadap mereka ditahan polis, semalam.
Mangsa berusia 23 tahun cedera di kulit kepala akibat dipukul suspek menggunakan tangan dan ditolak jatuh ke jalan raya dalam kejadian kira-kira 11.30 pagi di Jalan Sutera, Taman Sentosa di Johor Bahru.
Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, semasa kejadian, anggota penguat kuasa itu mengeluarkan saman ke atas kenderaan suspek yang didapati diparkir dalam keadaan menghalang lalu lintas sebelum suspek yang tidak berpuas hati menyerang mangsa dan berlaku pergelutan.
“Selepas memukul mangsa, kedua-dua suspek kemudian bertindak melarikan diri.
“Bagaimanapun, tindakan pantas anggota kereta peronda polis yang tiba di lokasi kejadian berjaya menangkap kedua-dua suspek yang ketika itu sedang bersembunyi dalam kereta mereka kira-kira 500 meter dari tempat kejadian,” katanya yang dipetik Harian Metro.
Raub berkata, ketika tangkapan dibuat, polis mendapati seorang daripada suspek cedera di bahagian muka dipercayai akibat bergelut dengan mangsa.
Katanya, suspek yang cedera itu menerima dua jahitan.
Menurut Raub, suspek warga tempatan yang berusia 42 dan 47 tahun itu akan direman bagi siasatan lanjut yang dibuat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
TIGA aduan mengenai kelibat seekor harimau berkeliaran di Kampung Baru Malaysia dekat Jeli diterima Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan sejak seminggu lalu.
Ia dipercayai datang sama ada dari kawasan hutan Sungai Sator atau Jedok dan membaham seekor kambing ternakan penduduk.
Pengarah Jabatan Perhilitan Kelantan, Mohamad Hafid Rohani berkata, aduan pertama diterima pada 3 Ogos lalu namun tidak dapat dipastikan spesis sama ada harimau kumbang atau belang.
Menurutnya, aduan kedua pula diterima keesokan harinya iaitu kira-kira dua kilometer (km) dari lokasi aduan pertama.
“Aduan terbaru pula diterima pagi semalam yang dibuat seorang penduduk yang memaklumkan kambingnya dibaham harimau pada malam Isnin lalu.
“Semasa siasatan dibuat pagi semalam, pihak kami menjumpai kulit kambing yang tersisa dalam kebun getah belakang rumah jiran pengadu dan kami mengesyaki ia angkara harimau sama yang berkeliaran di lokasi dua aduan terdahulu,” katanya dipetik Harian Metro.
Mohamad Hafid berkata, susulan itu pihaknya memasang perangkap yang dinamakan ‘Perangkap Wahab’ dengan meletakkan umpan seekor kambing namun setakat ini masih belum berhasil menangkap haiwan itu.
Katanya, pemantauan dari semasa ke semasa sentiasa dibuat sama ada di lokasi pemasangan perangkap atau kawasan sekitar.
“Kita juga menjalankan khidmat nasihat kepada penduduk untuk mengambil langkah keselamatan yang bersesuaian selain meminta mereka segera menghubungi kami sekiranya ternampak kelibat atau jejak harimau,” katanya.
SEORANG kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun patah tulang selangka dan luka di bahagian badan apabila melanggar sisi depan sebuah kereta di Jalan Wakaf Aik, Bachok, Kelantan petang semalam.
Memetik Astro Awani, Ketua Polis Daerah Bachok Supt Muhamad Ismail Jamaluddin berkata, kejadian sekitar pukul 3.30 petang itu turut menyebabkan kemalangan antara kenderaan jenis Perodua Myvi dan Proton Exora.
Menurutnya, kejadian berlaku apabila kanak-kanak lelaki berkenaan melintas jalan dan pada masa sama, sebuah Proton Exora datang dari Jalan Besut menghala Pengkalan Chepa, manakala Perodua Myvi datang dari arah bertentangan.
“Ketika kanak-kanak berkenaan melintas, pemandu Proton Exora mengelak dan memasuki laluan bertentangan sehingga melanggar Perodua Myvi di laluan bertentangan.
“Ia menyebabkan kanak-kanak berkenaan merempuh sisi kanan Proton Exora berkenaan. Bagaimanapun, kedua-dua pemandu, tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Muhamad Ismail berkata, kanak-kanak berkenaan ditemani seorang lelaki dewasa yang memimpinnya, namun mangsa dikatakan merentap tangannya dan terlepas dari genggaman sebelum berlari melintas jalan.
Kedua-dua kenderaan berkenaan mengalami kerosakan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) APJ 1987.
BERANG selepas ditegur seorang warga emas, seorang penagih dadah bertindak menetak lelaki berusia 73 tahun itu dalam kejadian di Kampung Lok Kurai Selanggan, Pulau Gaya, Sabah semalam.
Akibat serangan suspek berusia 45 tahun itu, mangsa cedera di kepala dalam kejadian pada pukul 11 pagi Selasa sebelum dia dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I untuk mendapatkan rawatan
Menurut Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Mohd Zaidi Abdullah, siasatan awal mendapati suspek tidak bekerja dan dikatakan mengganggu penduduk dengan membaling batu serta kayu ke rumah penduduk tanpa sebab.
Katanya, suspek yang dipercayai berang kerana ditegur mangsa atas perbuatannya itu, balik ke rumah mengambil sebilah parang.
“Suspek kemudiannya datang kembali dan terus menetak kepala mangsa sehingga luka,” katanya yang dipetik Harian Metro.
Beliau berkata, suspek segera melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran kampung itu selepas melihat kepala mangsa berdarah.
“Sebaik menerima maklumat, polis terus menjalankan siasatan dan berjaya menahan suspek di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Lok Urai pada 4.30 petang.
“Sebilah parang sepanjang kira-kira 0.6m yang dipercayai digunakan suspek untuk menyerang mangsa turut dirampas.”
Mangsa dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I untuk mendapatkan rawatan.
Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
DALAM tempoh enam bulan, RM10 juta lesap hasil penipuan dalam talian daripada kira-kira 600 pembeli di Kuala Lumpur sahaja.
Lonjakan kes seumpama itu berbanding tempoh sama tahun lalu berlaku kerana orang ramai kini bebas menyambut pelbagai upacara keagamaan dan perayaan, selepas semua sekatan pergerakan berkaitan Covid-19 tidak lagi dilaksanakan.
Free Malaysia Today melaporkan, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, enam bulan pertama tahun lalu menyaksikan hanya 494 kes melibatkan kerugian RM3.65 juta di ibu kota.
Bagaimanapun, angka itu meningkat kepada 613 kes bagi tempoh sama tahun ini membabitkan kerugian RM10.64 juta.
“Kes dilihat melonjak ketika tempoh perayaan seperti Tahun Baharu Cina dan Hari Raya,” katanya kepada FMT.
Beh berkata, kebanyakan kes melibatkan iklan palsu di media sosial yang memancing pembeli.
“Mereka akan meminta anda memuat turun aplikasi tertentu untuk menggantikan fungsi SMS anda, seterusnya mengalihkan anda ke laman sesawang pancing data untuk memasukkan butiran perbankan.
“Begitu saja, duit anda dalam bank lesap,” katanya.
Baru-baru ini, polis turut mengesan semakin banyak kes yang dikaitkan dengan platform TikTok.
“Penipu ini memberikan pautan dalam hantaran mereka yang membawa pengguna media sosial mudah terpedaya kepada mereka,” katanya.
Walaupun polis tidak mendedahkan jumlah kes penipuan melibatkan setiap platform media sosial, mereka berkata, kebanyakan mangsa melaporkan mereka terpedaya ketika cuba membeli gajet, khususnya telefon bimbit.
Daripada 613 kes di Kuala Lumpur tahun ini, 386 kes melibatkan wanita. Bagi tempoh sama tahun lalu, 381 daripada 494 kes dilaporkan adalah lelaki.
Beh berkata, tidak banyak pembelian dibuat dalam talian bagi barangan berkaitan perayaan disebabkan perintah kawalan pergerakan tahun lalu, dengan kebanyakan mangsa dilaporkan cuba membeli aksesori kenderaan serta telefon bimbit.
Beliau menasihatkan orang ramai lebih berhati-hati ketika membuat pembelian dalam talian, terutama jika harga ditawarkan terlalu hebat untuk dipercayai.
“Anda patut membandingkan harga barang sama ditawarkan di internet. Jika harganya terlalu rendah sehingga tidak masuk akal, berhati-hatilah.
“Dapatkan maklum balas rakan-rakan dan saudara-mara,” katanya.
Pembeli dalam talian juga boleh menyemak dengan polis dengan melayari laman sesawang “semak mule” untuk maklumat lanjut.
DANA pencen angkatan tentera (LTAT) mendedahkan jumlah RM6 bilion yang hangat diperkatakan berkait projek kapal tempur pesisir pantai (LCS) dibelanjakan untuk “tempahan pukal” peralatan bagi membina kapal-kapal tersebut.
Memetik Free Malaysia Today, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LTAT, Datuk Ahmad Nazim Abdul Rahman berkata, membuat “tempahan pukal” bagi enam kapal adalah lebih murah berbanding dengan membeli peralatan secara individu.
Beliau juga berkata, sebahagian besar daripada RM9 bilion dalam kontrak itu dibelanjakan untuk “reka bentuk asas dan terperinci” yang dijalankan oleh Naval Group, penggerak utama dalam sektor tentera laut Perancis.
“RM9 bilion untuk enam kapal bawah kontrak asal bermakna harga satu kapal lebih kurang RM1.5 bilion,” katanya di Facebook semalam.
Nazim menyebut bahawa Mesir dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) membelanjakan hampir RM1.9 bilion untuk satu kapal LCS mereka yang dibuat di Perancis, manakala AS membina kapal mereka dengan kos RM2.4 bilion setiap satu kerana ia “lebih canggih”.
Beliau turut mengesahkan bahawa kapal-kapal berkenaan sedang dibina di limbungan Lumut.
Katanya, beliau terlibat secara langsung dalam merangka pelan pemulihan projek LCS bersama Kementerian Pertahanan dan tentera laut.
“Bawah kontrak sekarang, pembinaan keenam-enam kapal ini perlu dibuat dalam masa yang sama,” tambahnya.
Pada Isnin, Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein berkata, LCS yang dibina oleh BNS akan siap dalam masa “sekurang-kurangnya satu atau dua tahun”.
Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Parlimen minggu lepas mendedahkan bahawa tiada satu kapal pun siap walaupun Putrajaya membelanjakan RM6 bilion untuk projek yang diberikan kepada Boustead Naval Shipyard (BNS) melalui rundingan terus itu.
LTAT mempunyai 61% saham dalam BNS.
PAC berkata, BNS tidak mengendahkan pandangan tentera laut mengenai projek LCS.
Nazim juga berkata, projek LCS telah mewujudkan peluang pekerjaan bagi hampir 3,000 jurutera dan 400 vendor tempatan dalam pelbagai bidang.
Katanya, sebahagian daripada wang yang dimaksudkan untuk kapal itu digunakan untuk melunaskan hutang syarikat terdahulu yang perlu ditampung oleh Boustead Holdings dan BNS selepas mengambil alih projek itu.
Nazim berkata, Jemaah Menteri memutuskan untuk meneruskan projek itu pada April selepas mempertimbangkan tiga opsyen.
“(Salah satu opsyen) pelan penstrukturan semula BNS ini diteliti oleh pihak kerajaan di pelbagai peringkat, termasuk jawatankuasa Jemaah Menteri, yang mengambil masa selama lapan bulan,” katanya.
BEBERAPA parti politik menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) atau Suruhanjaya Bebas Diraja bagi menyiasat dakwaan penyelewengan berhubung projek pembinaan kapal LCS TLDM.
Isu ini bukan isu kecil ia melibatkan berbilion ringgit wang rakyat. Semua pihak mahu tahu apa yang berlaku bagaimana mungkin wang dibayar sedangkan tidak ada sebuah pun kapal LCS diterima oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Ketika ini kita mendengar satu demi satu pendedahan berkaitan skandal itu yang dibimbangi akan menjadi ‘setaraf’ skandal 1MDB yang sehingga kini bukan sahaja memalukan negara tetapi juga kita terus diketawakan dunia.
Sampai bila kita harus membiarkan maruah negara dicemari dengan isu penyelewengan, rasuah dan salahguna kuasa? Tidakkah cukup dengan apa yang berlaku dalam skandal 1MDB?
Justeru itulah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob harus menunjukkan ketegasan beliau untuk menyembah perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk mencadangkan supaya RCI ditubuhkan.
Ketika ini sudah tidak nampak jalan lain bagi mendapat kebenaran di sebalik skandal yang terdedah hasil laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
Pihak-pihak yang dikaitkan bertanggungjawab dalam pelaksanaan projek itu ‘bersilat’ siang malam. Malah bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat paling aktif mengulas isu ini apabila ia dibangkitkan oleh pemimpin pembangkang terutamanya Rafizi Ramli. Difahamkan sejak laporan PAC didedahkan, tidak kurang daripada 14 posting dilakukan oleh Najib dalam isu yang sama.
Tetapi tidak mengapalah itu hak beliau, begitulah juga dengan oleh bekas Menteri Pertahanan yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. Mereka juga berhak memberi ulasan dalam isu tersebut.
Namun apa yang pasti ketika ini skandal kapal LCS sudah menjadi bahan ketawa rakyat Malaysia, dalam media-media sosial pelbagai poster sindiran dihasilkan. Itu baru sindiran dalam negara, bagaimana dengan masyarakat dunia?
Apa akan berlaku jika mereka mengetahui bahawa kerajaan telah membayar RM6 bilion untuk membeli enam buah kapal LCS, tetapi sehingga ke hari ini, ia betul-betul menjadi ‘kapal halimunan’.
Bukan sahaja ia melibatkan berbilion ringgit wang rakyat tetapi juga seperti mana kata bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ia merencatkan keupayaan TLDM untuk mengawal perairan negara disebabkan kegagalan syarikat yang dianugerah kontrak pembinaan kapal LCS secara rundingan terus untuk menyiapkan projek tersebut.
Isu dakwaan penyelewengan kapal LCS ini bukan isu kecil, banyak persoalan yang harus dirungkai termasuklah pendedahan bekas Panglima TLDM, Tan Sri Dr Abdul Aziz Jaafar, mengenai bantahan beliau terhadap perolehan projek ini menerusi beberapa pucuk surat yang dihantar kepada Menteri Pertahanan pada ketika itu yang amat mengejutkan banyak pihak.
Sudah pasti kita mahu tahu kenapakah bantahan beliau tidak diendahkan oleh Menteri Pertahanan sedangkan Abdul Aziz ketika itu adalah Panglima TLDM. Beliau pasti tahu jenis kapal yang paling sesuai untuk TLDM.
Oleh itu Ismail Sabri harus memandang serius skandal ini yang tercetus ketika pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) begitu teruja mahu PRU-15 kononnya atas nama mahu mewujudkan kestabilan.
Soal PRU-15 boleh dikemudiankan, lagipun tempoh tamat tempoh masih ada tahun depan tetapi skandal kapal LCS ini adalah isu serius yang seolah-olah menunjukkan negara kita tidak habis-habis dibelenggu dengan masalah rasuah, penyelewengan dan salahguna kuasa.
Untuk bersikap adil, biarlah siasatan menentukan apa sebenarnya berlaku dan cara terbaik ialah melalui penubuhan RCI atau Suruhanjaya Bebas Diraja. Inilah yang perlu diberikan keutamaan oleh Perdana Menteri kerana ia sekali lagi melibatkan maruah negara.
Kita tidak mahu lagi negara menjadi bahan ketawa sehingga kalau nak memperkenalkan Malaysia tidak payah lagi bersusah payah nak tunjuk apa negara kita ada, sebut sahaja skandal yang berlaku semua orang kenal Malaysia. Adakah kita mahu ia sampai ke tahap itu?
Justeru itulah Ismail Sabri sebagai pemimpin nombor satu negara perlu bertindak dan menunjukkan ketegasan bahawa beliau sama sekali tidak akan berkompromi dalam apa juga isu yang melibatkan soal integriti.
Penulis percaya Ismail Sabri mempunyai keupayaan tersebut. Lagipun semua pihak mahu tahu siapa terlibat dan siapa dalang di sebalik skandal ini. Yang tengah dok ‘bersilat’ tu biarkan sahaja. Isu ini tidak boleh diselesaikan dengan berbalas-balas hujah melalui media sosial, sebaliknya boleh diselesaikan secara tuntas melalui RCI atau Suruhanjaya Bebas Diraja.
Jika itu dapat dilakukan sudah pasti ia akan dapat mengelakkan negara kita sekali lagi menjadi bahan ketawa dunia.
LAPORAN Jawatankuasa kira kira Wang Negara (PAC) berkenaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) bagi kegunaan TLDM amat mengejutkan.
Setelah membaca rumusan laporan PAC tersebut saya percaya rakyat sama sekali tidak dapat menerima skandal perolehan yang merosakan perancangan TLDM serta rancangan menjaga kedaulatan Negara juga terancam.
Ketirisan yang berlaku sudah tentu memberi gambaran buruk kepada negara, terutama setelah skandal kewangan terburuk di dunia 1MDB yang merosakan imej negara. Jumlah RM6.083 Billion bukan sikit dan sehingga kini satu pun kapal masih tidak diserahkan kepada pihak TLDM. Ke mana wang berbilion ini hilang?
Walaubagaimanapun perolehan ini perlu diteruskan kerana ia kritikal demi memelihara kedaulatan dan keselamatan negara.
Saya dengan ini menyeru supaya sisatan menyeluruh dapat dilakukan dan usul tergempar dapat dibawa keParlimen kerana skandal ini melibatkan penipuan berbilion wang rakyat.
Bukan sahaja penyelewengan berlaku tetapi ia juga memberi gambaran yang tidak baik kepada Sultan Perak yang melancarkan kapal separa siap pada 2017 lalu.
Kita juga tidak jelas dengan jalan penyelesaian kepada skandal ini. Kenyataan terbaru Menteri Pertahanan bahawa kapal akan diserahkan dalam masa 1-2 tahun adalah bercanggah kerana kapal berlainan yang disebut.
Oleh itu saya berpandangan usul tergempar di Dewan Rakyat harus dibentangkan segera, termasuk membentangkan kertas putih berkaitan penyelewengan yang berlaku. Rakyat berhak mengetahui perkara sebenar terutama melibatkan wang rakyat dan kedaulatan negara kita.
Datuk Jasri Jamaludin adalah Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Maran.
POLIS menahan empat suspek termasuk seorang wanita anggota sindiket ‘Geng Mamat’ kerana mencuri pelbagai peralatan pembinaan bernilai RM30,000 di enam tapak pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Maran, sejak April tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superitendan Norzamri Abd. Rahman berkata, kesemua suspek berjaya ditahan bersama peralatan hasil operasi khas dijalankan oleh polis.
“Menerusi serbuan pertama, pihak polis menahan sepasang penganggur masing-masing berusia 21 dan 25 tahun di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Sungai Ling, Maran.
“Susulan serbuan itu, polis menahan seorang lagi suspek lelaki berusia 32 tahun, yang bekerja sebagai buruh ladang di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Paya Pasir,” katanya memetik laporan Astro Awani.
Katanya, seorang lagi pemuda berusia 19 tahun yang bekerja sebagai pemandu lori pula ditahan di sebuah rumah di Jalan Kampung Pertanian, Pekan Tajau.
Kata Norzamri, hasil siasatan mendapati modus operandi sindiket tersebut melakukan kegiatan mencuri pada waktu malam di tapak pembinaan yang tidak mempunyai pengawal keselamatan.
Selain menahan empat suspek itu, polis juga, katanya, turut merampas sebuah kereta Proton Iswara, selaras senapang angin dan sepasang gari yang disyaki digunakan untuk aktiviti penyamaran atau peras ugut pekerja asing.
Tidak ketinggalan, kata beliau, sepeket plastik mengandungi dadah jenis syabu seberat 2.13 gram turut dirampas dipercayai bagi kegunaan ahli sindiket itu sendiri.
Kesemua suspek, jelas Norzamri, didapati positif dadah jenis metamfetamin hasil ujian saringan air kencing selain dua daripada mereka mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.
Dalam masa sama, beliau berkata, terdapat dua suspek lagi yang masih bebas dan polis sedang giat mengesan mereka.
Beliau berkata, kesemua suspek telah ditahan reman selama empat hari bermula Sabtu lalu sehingga Selasa sebelum disambung reman untuk siasatan lanjut.