MAYAT seorang lelaki dalam keadaan tertiarap dijumpai dengan kesan luka di leher serta kepala di pesisir pantai Pulau Bohey Dulang dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Semporna Supt Mohd Farhan Lee Abdullah berkata lelaki dikenali sebagai Tendang Sampulatik, 40, itu ditemukan orang awam yang kemudian menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis (IPD) Semporna pada 4.42 petang.
“Mayat mangsa di bawa ke Hospital Semporna dan dikenal pasti oleh isterinya yang sebelum itu membuat laporan pada 11.15 pagi semalam mengenai mangsa dibawa lari oleh tiga lelaki menuju ke Pulau Boheyan.
Berdasarkan aduan, mangsa dibawa lari pada Khamis lalu (9 Sept) dalam 7 malam ketika sedang memancing di atas perahu bersama anak, isteri serta ibu mentua (di perairan Pulau Bum Bum di sini),” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata ketika kejadian perahu mereka dilanggar sebuah bot dinaiki tiga suspek dan salah seorang suspek memukul mangsa sehingga terjatuh ke laut sebelum melarikan suspek ke Pulau Boheyan.
Mohd Farhan berkata siasatan masih dijalankan berhubung penemuan mayat dan aduan yang diterima dan kes terbabit disyaki berpunca daripada dendam.
Katanya isteri mangsa yang tinggal di Kampung Labuan Haji, Pulau Bum Bum mengenali semua suspek dan berikutan itu polis giat mengesan dua suspek masing-masing berusia 40 tahun seorang suspek berusia 50 tahun yang tinggal di Pulau Boheyan.
Beliau berkata kesemua suspek dipercayai melarikan ke sempadan Filipina dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Orang awam yang mempunyai maklumat tentang kejadian serta suspek agar menghubungi pegawai penyiasat ASP Arif Abd Razak di talian 088-454464.- BERNAMA
SEBANYAK 592 kes kematian akibat COVID-19 yang direkodkan semalam (11 Sept) seperti yang dimuat naik menerusi laman baharu Kementerian Kesihatan (KKM) di https://covidnow.moh.gov.my/ adalah termasuk kes-kes ‘backlog’ atau data tunggakan, kata Ketua Data Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Dr Mahesh Appannan.
Beliau berkata daripada jumlah itu, hanya 100 kematian direkodkan dalam tempoh 24 jam iaitu sehingga 11.59 malam 11 Sept manakala baki 492 kes tidak pernah dilaporkan sebelum ini.
Dr Mahesh berkata KKM memutuskan untuk mengambil pendekatan lebih telus dalam melaporkan jumlah kematian dan kematian sebenar untuk keseluruhan serta kes-kes kematian di luar fasiliti kesihatan (BID).
Kes-kes kematian yang dilaporkan adalah berdasar hari sesuatu kes diumumkan kepada orang ramai manakala kematian sebenar berdasarkan tarikh sebenar kematian.
“Fokus pada (kes) kematian disebabkan COVID-19 akan membantu mendapatkan angka sebenar bagi analisis keberkesanan vaksin dan kadar kes kematian,” katanya semasa sesi penerangan kepada media mengenai data pada laman tersebut hari ini.
Dr Mahesh berkata kes-kes kematian backlog adalah disebabkan sistem sumber manusia, iaitu pada Julai dan Ogos lepas petugas barisan hadapan, khususnya di Lembah Klang, telah dibebani dengan kes-kes COVID-19 yang tinggi.
“Perkara itu telah mengakibatkan kelewatan dalam siasatan. Ia juga bermakna terdapat kematian yang telah berlaku beberapa minggu lepas, namun siasatan, audit dan laporan kes itu hanya dapat diselesaikan sekarang ini,” katanya.
POLIS akan melakukan pemantauan secara menyeluruh di Langkawi bagi memastikan kalangan pengunjung tidak mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) apabila bercuti di pulau legenda itu bermula, 16 September depan.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, bagi memastikan perkara itu diberi perhatian, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi turut dijangka akan menambah keanggotaan terutamanya melibatkan pasukan pemantau.
“Walaupun Langkawi dibuka secara gelembung pelancongan, semua pengunjung tetap perlu mematuhi SOP ditetapkan.
“Pemantauan akan dijalankan secara menyeluruh termasuk di jeti dan lapangan terbang. Selain itu para pelancong yang datang dari jalan darat diingatkan supaya memohon kebenaran polis terlebih dulu untuk urusan rentas negeri dan melalui sekatan jalan raya (SJR),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar ketika melakukan tinjaudan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan di dua zon mukim Kuala Kedah, hari ini.
Sebelum itu, Mazlan dengan diiringi Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat turut berkunjung ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan bagi menyampaikan wakalah zakat PDRM kepada warga kerja IPD Yan serta pesara polis yang terjejas dengan tragedi kepada air di Yan, bulan lalu.
Sementara itu katanya, hampir 100 peratus daripada pegawai dan anggota polis ketika ini sudah pun melengkapkan suntikan vaksin Covid-19.
Menurutnya, individu yang masih belum menerima suntikan itu setakat ini disahkan memiliki surat dari doktor mengatakan mereka mengalami alahan atau masalah kesihatan lain.
“Selain itu ada juga yang masih belum melengkapkan vaksin berikutan tarikh janji temu tidak sesuai.
“Bagaimanapun saya yakin, kita tak ada masalah untuk melengkapkan dua dos vaksin dalam kalangan pegawai dan anggota polis,” katanya.
TAKTIK menukar nombor asal pendaftaran bot di samping menangkap ikan bersama kelompok nelayan tempatan merupakan helah terbaharu nelayan Vietnam yang menceroboh perairan negara.
Bagaimanapun, taktik yang bertujuan untuk mengabui mata pihak berkuasa itu akhirnya berjaya dikesan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) ketika membuat rondaan mengawal perairan negara.
Sewaktu membuat rondaan, Jumaat lalu APMM Kelantan berjaya menahan lapan nelayan warga Vietnam berusia antara 23 hingga 46 tahun sewaktu sedang mencuri hasil negara di Muara Tok Bali, Pasir Puteh, Kelantan.
Menurut Pengarah APMM Kelantan, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman, dalam kejasian itu pihaknya turut merampas bot, peralatan menangkap ikan, 500 kilogram hasil ikan dan 4,000 liter diesel bernilai keseluruhan RM1.5 juta.
Menurut beliau, kegiatan nelayan asing itu mula dikesan pada pukul 2.20 petang, di mana mereka cuba menempatkan bot dalam kalangan kelompok nelayan tempatan.
Ketika itu katanya, terdapat hampir 30 buah bot berada di lokasi tersebut di mana bot nelayan asing itu mudah dikenali kerana bentuk struktur fizikalnya berbeza, menyerupai bot nelayan Vietnam.
“Apabila forensik awal dilakukan pada bot itu turut menemukan kesan nombor pendaftaran negara asal yang dipadamkan dengan cat putih.
“Selain itu, timbul kekeliruan apabila zon kebenaran penangkapan ikan adalah Zon B tetapi bot yang ditahan mempamerkan lesen bagi penangkapan ikan di Zon C,” katanya pada sidang media di Jeti Maritim Kelantan di Tok Bali, Pasir Puteh, hari ini.
Syed Nor Adli memberitahu, setelah pemeriksaan ke atas kru bot mendapati tujuh orang mempunyai pasport sebagai dokumen pengenalan diri, manakala seorang tiada sebarang pengenalan.
Beliau berkata, pihaknya yakin nelayan tersebut tidak mendaratkan ikan di mana-mana jeti perikanan dalam negara kerana semakan ke atas GPS bot itu menunjukkan sejarah perjalanan hanyalah sekitar Vietnam.
Katanya, semua tahanan dan rampasan dibawa ke jeti untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985.
“Kita mengesyaki penahanan dua bot nelayan asing pada 7 September lalu, ada kaitan dengan kes terbaharu ini kerana berdasarkan modus operandi sama iaitu dengan memadamkan nombor pendaftaran asal,” katanya.
SEORANG lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Pasir Mas, Kelantan hari ini atas dua pertuduhan merogol seorang gadis bawah umur pada hujung bulan lalu.
Tertuduh, Che Rohaiza Che Rohim, 39, yang juga seorang buruh didakwa di hadapan Hakim Badrul Munir Mohd Hamdy.
Bagaimanapun, hukuman ke atas tertuduh ditetapkan pada 26 September ini sementara menunggu laporan perubatan mangsa.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol mangsa yang ketika itu berusia 15 tahun enam bulan di sebuah rumah di Tanah Merah pada pukul 2 petang, 28 Ogos lalu.
Manakala dalam pertuduhan kedua pula, lelaki berkenaan didakwa merogol mangsa sama di lokasi dan masa yang sama, pada 29 Ogos lalu.
Bagi kedua-dua pertuduhan tersebut, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hajarul Falenna Abu Bakar, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Sebelum itu, Hajarul Falenna tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh kerana pertuduhan itu adalah serius.
Namun, tertuduh merayu agar hukuman yang dikenakan ke atasnya pada kadar minimum selain meminta ia berjalan secara serentak.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin sementara menunggu tarikh hukuman.
SEPANJANG Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri bermula pada 1 Mac 2020 hingga 16 Ogos 2021, penulis dapat perhatikan bagaimana ada beberapa pemimpin UMNO yang dilihat begitu ‘alergi’ dengan Ahli Parlimen Pagoh itu.
Buatlah apapun pasti ada kecaman dan kritikan daripada mereka, ‘serangan’ dilakukan bertubi-tubi setiap hari ini, tetapi kalau tengok rekod politik, merekapun bukanlah hebat sangat, dalam PRU-14 pun tewas dengan majoriti agak besar. Bagaimanapun kelompok ini senyap seketika apabila Muhyiddin meletakkan jawatan pada 16 Ogos lalu
Puak-puak itu ‘tidur seketika’ mungkin ‘keletihan’ maklumlah sudah setahun lebih ‘memerahkan otak’ bagi ‘menyerang’ Muhyiddin, tetapi baru-baru ini apabila bekas Perdana Menteri itu dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) mereka bagaikan watak Sadiq Segaraga dalam filem ‘Tiga Abdul’.
Ingat tak adegan bagaimana reaksi terkejut Sadiq Segaraga yang sedang berbaring kerana berpura-pura sakit apabila dimaklumkan oleh ‘Tuan Penasihat Kassim Patalon’ bahawa Abdul Wahub datang dan menyuruh orang ramai mengambil barang-barang di dalam rumahnya. ‘’Abdul Wahub buat lagi, Abdul Wahub buat lagi’’ kata ‘Tuan Penasihat’, Sadiq Segaraga terus bangun dan berkata, ‘dah baik dah’.
Begitu juga pemimpin UMNO yang dilihat tidak suka Muhyiddin, mereka terus ‘melompat’ apabila pelantikan Muhyiddin dibuat . Macam-macam hujah dikeluarkan bagaikan mahu ‘membunuh’ kredibiliti bekas Perdana Menteri itu. Tetapi dalam keghairahan itu mereka ‘terlupa fakta’ atau buat-buat lupa.
Sebagai contoh, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam Facebook yang mempertikaikan hujah Muhyiddin menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau menyifatkan kenyataan Muhyiddin mahu menggelapkan fakta atau mengalihkan perhatian masyarakat daripada kegagalan Kerajaan PN di bawahnya.
‘’Hakikatnya kejatuhan PN disebabkan oleh desakan ketidakyakinan rakyat dan ia menjadi antara punca UMNO menarik sokongan (kepada Muhyiddin dan PN),’’ kata Khaled.
Dan hari ini Pegawai Muhyiddin, Datuk Dr.Marzuki Mohamad menjawab kenyataan Khaled dengan menegaskan,;
‘’Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) UKM buat kajian persepsi awam yang mendapati 92% responden tak setuju Tan Sri Muhyiddin letak jawatan. Hasil kajian ini disiarkan pada 9 September. Khaled buat kenyataan 11 September. Elok ada orang bantu dia buat kajian sikit sebelum dia bercakap.’’
Begitu juga apabila Khaled berkata, Muhyiddin tidak membangkang apabila Perdana Menteri mahu mengadakan kerjasama dengan pemimpin PH atau pembangkang. Marzuki membalas kenyataan bekas Menteri Besar Johor itu dengan berkata;
‘’Khaled Nordin tanya kenapa Tan Sri Muhyiddin tak bangkang tawaran kerjasama rentas parti di Parlimen yang diumum oleh PM. Dia tak baca berita ke? Tan Sri Muhyiddin dah umum perkara yang sama pada 13 Ogos 2021. Kalau kail panjang sejengkal, lautan dalam usah diduga.’’
Apa yang berlaku itu menunjukkan masih ada pemimpin UMNO seolah-olah masih tidak berpuashati terhadap Muhyiddin walaupun beliau tidak lagi menjadi Perdana Menteri.
Tetapi bagus juga apabila Khaled berkata, ‘’jelas bahawa Muhyiddin sekadar memberi helah dan mahu mengelirukan kita. Sudah diberi ruang dan peluang bertaraf menteri, fokuslah sajalah kepada peranan dan tanggungjawab yang diberi.’’
Kenapa penulis berkata ‘bagus’, ia kerana nasihat itu juga boleh ditujukan kepada pemimpin-pemimpin UMNO yang tidak habis-habis mahu ‘mengganggu’ Muhyiddin.
Mereka juga harus menghentikan membuat helah dan mengelirukan rakyat kononnya Muhyiddin gagal sehingga UMNO menarik sokongan kepada beliau.
Ia memandangkan fakta-fakta yang dibentangkan dalam isu pandemik Covid-19 membuktikan, ketika negara di bawah kepemimpinan Muhyiddin, beliau sudah berjaya menguruskan isu tersebut dengan baik tetapi malangnya ia ditutupi dengan ‘serangan’ yang dianggap bermotif politik dalam kalangan segelintir pemimpin UMNO.
Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) contohnya, setakat semalam, statistik menunjukkan lebih 17 juta individu telah divaksinasi, merangkumi 52.1 populasi keseluruhan negara.
Statistik lebih 17 juta individu atau lebih tepat 17.026 juta itu turut merangkumi 72.7 peratus populasi dewasa telah lengkap menerima dos kedua bagi vaksin dua dos dan satu dos bagi vaksin tunggal CanSino.
Sehingga semalam juga, sebanyak 38.260 juta dos vaksin telahpun diberikan seluruh negara sejak PICK dilancarkan pada Februari lalu.
Populasi yang telah menerima sekurang-kurangnya satu dos mencecah 21.290 juta individu atau 65.2 peratus keseluruhan penduduk dan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) memaklumkan, kadar populasi dewasa yang telah menerima sekurang-kurangnya satu dos mencapai 90.9 peratus.
Ia bermakna negara berada dalam landasan yang betul untuk mencapai imuniti kelompok selewat-lewatnya pada penghujung Okotber atau lebih awal lagi…seperti mana disasarkan oleh Muhyiddin ketika beliau menjadi Perdana Menteri…insha-Allah.
Itulah dalam konteks vaksin, dari segi lain pula, kalau betul lah Muhyiddin gagal, bagaimana sekarang negeri-negeri mula beralih Fasa pemulihan? Ada negeri yang sudah memasuki Fasa 2, Fasa 3 dan ada yang menuju Fasa 4.
Semalam pula, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan Malaysia terus mencatat aliran masuk bersih modal pelabur asing dengan sejumlah RM7.7 bilion dicatatkan bagi bulan Ogos 2021.
Ini merupakan nilai yang tertinggi semenjak Jun 2020 dan telah mengimbangi aliran keluar bagi dua bulan sebelum itu, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Aliran masuk bersih modal pelabur asing ini didorong oleh kemajuan positif Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang telah menambah baik situasi keseluruhan kesihatan awam, serta membenarkan pembukaan semula ekonomi secara beransur-ansur melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Segelintir pemimpin UMNO yang dilihat tidak suka Muhyiddin perlu ikhlas untuk mengakui semua itu adalah hasil tangan kepemimpinan beliau sebelum ini.
Justeru perkataan ‘gagal’ yang digembar-gemburkan itu datang dari mana? Kalau komen-komen dalam media sosial mahu diambil kira ketika Muhyiddin menjadi Perdana Menteri, ambil lah juga ia sebagai pertimbangan apabila majoriti reaksi netizen dalam media sosial menolak sebarang langkah mahu melantik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Penasihat Ekonomi bertaraf Menteri kerana beliau mempunyai kes mahkamah.
Dan kalau Muhyiddin sebelum ini diminta seorang pemimpin UMNO berjiwa besar menolak jawatan Pengerusi MPN kerana dianggap gagal sebagai Perdana Menteri, kenapa pemimpin itu tidak membuat saranan yang sama supaya Najib juga menolak sebarang pelantikan sebagai penasihat bertaraf menteri?
Jika Khaled mahu Muhyiddin memberi fokus kepada peranan dan tanggungjawab yang diberi, maka pesan juga kepada kawan-kawan di dalam UMNO janganlah mengganggu bekas Perdana Menteri itu yang mahu membantu memulihkan negara secara sukarela tanpa menerima sebarang imbuhan.
Contohilah semangat Ismail Sabri yang berusaha mewujudkan perdamaian politik dengan mengemukakan tujuh tawaran Transformasi Parlimen dan Pentadbiran Kerajaan pada 10 September lalu dan ia disambut baik oleh pakatan pembangkang.
Janganlah sampai tindak tanduk mereka ‘mengganggu’ Muhyiddin akan mencetuskan suasana tidak harmoni dalam kerajaan yang turut disertai oleh UMNO dengan 20 ahli Parlimennya menjadi Menteri dan Timbalan Menteri.
Bersama-samalah menjaga keharmonian dan mewujudkan kestabilan politik yang sedang diusahakan oleh Ismail Sabri, hentikanlah reaksi terkejut Sadiq Segaraga apatah lagi bersikap seperti ‘Tuan Penasihat Kassim Patalon.’’- Tak ada faedahpun…
YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dijadual merasmikan pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 pada Isnin, yang pertama di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Persidangan yang diadakan dua hari selepas sambutan ulang tahun ke-62 Parlimen itu, dijadual menumpukan isu pemulihan negara susulan penularan pandemik COVID-19 serta pakej-pakej bantuan yang disediakan untuk kelangsungan hidup rakyat.
Mesyuarat 17 hari sehingga 12 Okt itu, selepas suhu politik kembali reda dengan penubuhan kerajaan baharu di bawah pimpinan Ismail Sabri, juga bakal menyaksikan pemilihan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baharu bagi menggantikan Datuk Seri Azalina Othman Said yang meletak jawatan.
Setakat ini dua nama disebut-sebut bakal dicalonkan iaitu Ahli Parlimen Pontian Datuk Seri Ahmad Maslan yang merupakan calon blok kerajaan dan Ahli Parlimen Teluk Intan Nga Kor Ming calon Pakatan Harapan (PH).
Jika dua nama itu dicalonkan, persidangan dewan pada Selasa, sehari selepas perasmian, akan menyaksikan pengundikan dalam kalangan 220 Ahli Parlimen bagi memilih Timbalan Yang di-Pertua.
Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon mengesahkan proses pemilihan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat baharu telah dimasukkan dalam Aturan Urusan Mesyuarat pada Selasa.
“Sekiranya ada lebih dari satu nama, undi belah bahagian akan dijalankan bagi memilih Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.
“Setakat ini kita ada terima nama kerana mereka perlu mengemukakan nama calon 14 hari sebelum tarikh pengundian diadakan,” katanya kepada Bernama.
Selain itu, tumpuan juga kepada kemungkinan usul berkaitan keabsahan Perdana Menteri dibawa pada sidang kali ini.
Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebelum ini dilaporkan berkata tiada keperluan untuk mengemukakan undi percaya terhadap Perdana Menteri pada sidang Dewan Rakyat bagi menentukan keabsahan pelantikannya.
Menurut Wan Junaidi, ia memandangkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan menetapkan kuasa melantik Perdana Menteri adalah di bawah Yang di-Pertuan Agong dan justeru itu pelantikan Ismail Sabri adalah mengikut lunas undang-undang.
Menurut takwim mesyuarat Dewan Rakyat yang dimuat naik dalam laman web rasmi Parlimen Malaysia, selain usul Menjunjung Kasih dan Perbahasan Titah Diraja, turut disenaraikan adalah pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi tempoh 2021-2025 oleh kerajaan, yang dijadual pada 27 Sept.
Ahli-ahli Dewan Rakyat akan mengambil bahagian dalam Usul Menjunjung Kasih dan Perbahasan Titah Diraja selama empat hari mulai 14 Sept, sebelum sesi jawapan oleh menteri berkaitan pada 22 dan 23 Sept, menurut takwim itu.
Sesi perbahasan RMK12 pula akan bermula pada 28 Sept hingga 4 Okt, sebelum jawapan oleh menteri-menteri berkaitan.
Dua hari terakhir mesyuarat kali ini iaitu pada 11 dan 12 Okt pula isi dengan rang undang-undang dan urusan-urusan kerajaan yang lain.
Sementara itu, Mesyuarat Dewan Negara yang dirasmikan serentak dengan Dewan Rakyat, akan berlangsung dari 4 hingga 26 Okt.
Bagi meminumkan risiko jangkitan COVID-19 di Parlimen, Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun sebelum ini memaklumkan pelbagai inisiatif dijalankan, antaranya pemasangan penapis udara ultra violet di dewan besar Parlimen serta penggunaan teknologi nano di pejabat bagi membunuh bakteria dan virus.
Melalui usaha itu, Azhar berkata tahap pengudaraan di Parlimen kini adalah setaraf hospital dan amat bersih.-BERNAMA
KETUA Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, ACP Ramlan Abdul Razak, 59, meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) pada jam 1.35 pagi tadi akibat kesan sampingan selepas dijangkiti COVID-19 bulan lalu.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata Allahyarham menerima rawatan di HTJ selepas dijangkiti COVID-19 pada 8 Ogos lalu dan disahkan negatif sebelum meninggal dunia.
“Kesan akibat COVID-19 menyebabkan organ dalaman Allahyarham tidak dapat berfungsi dengan baik,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Beliau berkata pemergian Allahyarham adalah kehilangan besar buat warga polis di negeri ini terutama Jabatan Siasatan Jenayah IPK Negeri Sembilan.
Mohamad menyifatkan Allahyarham seorang yang berhati lembut tetapi tegas serta berpengalaman luas dalam bidang siasatan jenayah.
Beliau berkata pegawainya itu berkhidmat dengan PDRM lebih 30 tahun dan bakal bersara pada 9 Okt ini.
Katanya jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Senawang kira-kira jam 11 pagi tadi dan Allahyarham meninggalkan seorang balu, Noor As Azura Md Aris dan 10 orang anak.-BERNAMA
Pemilik tanah yang diteroka di Bukit Tabur, Taman Melawati, dekat sini, perlu diarah menanam semula pokok di kawasan berkenaan selepas didapati berlaku aktiviti tanah tanpa kelulusan pihak berkuasa.
Memetik Berita Harian, Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA), Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil, berkata tindakan itu perlu dilaksanakan secepat mungkin bagi mengelak kejadian tidak diingini seperti tanah runtuh.
Beliau berkata, tanah runtuh boleh berlaku secara mendadak atau berperingkat dalam skala kecil atau besar hingga membahayakan penduduk sekitar.
“Saya tidak mempunyai maklumat berapa hektar tanah itu diteroka, namun tanah itu dikatakan milik individu.
“Kalau diikutkan memang pelaku yang teroka tanah itu patut didenda tetapi sebab tanah itu milik orang, maka susah sikit nak denda.
“Sekarang ini, pihak berkaitan perlu tanam semula pokok yang dipotong untuk elak tragedi lebih teruk seperti tanah runtuh,” katanya kepada BH, hari ini.
Semalam, kerajaan Selangor menegaskan tiada sebarang kelulusan diberikan bagi aktiviti penerokaan tanah di Bukit Tabur, Taman Melawati.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, dipetik berkata ia hasil semakan dengan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Pejabat Daerah Gombak susulan penyebaran gambar sebuah jentolak di kawasan berkenaan dalam media sosial.
MPAJ pula dilaporkan sudah mengambil tindakan termasuk meletakkan batu penghadang bagi menghalang kenderaan berat masuk semula ke kawasan berkenaan.
Yang Dipertua MPAJ, Mohd Fauzi Mohd Yatim dipetik berkata, aktiviti tanah pertanian tanpa kelulusan disahkan berlaku di Lot 759 Mukim Hulu Klang di Bukit Tabur, kira-kira jam 11 pagi semalam.
Tindakan penguatkuasaan diambil mengikut Seksyen 70(A) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).
Mengulas lanjut, Shariffa Sabrina berkata, pihaknya menganggap isu berkenaan selesai pada peringkat penguatkuasaan selepas aktiviti teroka tanah sudah dihentikan dan jentera berkaitan dirampas.
“Bagaimanapun, masyarakat sekeliling perlu terus menjadi mata dan telinga pihak berkuasa bagi memantau aktiviti teroka tanah secara haram di kawasan berkenaan.
“Mereka tidak perlu menunggu NGO untuk memperjuangkan sesuatu isu, sebaliknya membuat aduan jika terhadap cubaan untuk merosakkan alam sekitar dan hutan,” katanya.
DRAF Rang Undang-Undang Anti-Gangguan Seksual (RUU AGS) telah mula digubal secara kolektif melalui sebuah pasukan projek khas dan dijangka dibentangkan di Parlimen pada tahun ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata pasukan khas tersebut terdiri daripada wakil kementerian dan agensi yang berkaitan, badan bukan kerajaan serta ahli akademik yang berpengalaman dan berpengetahuan dalam perkara tersebut.
“Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) turut mengadakan pelbagai sesi libat urus termasuklah dengan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia, PROLINTAS, Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia, dan Tribunal Perumahan dan Pengurusan Strata, sebagai usaha untuk mendapatkan input untuk penggubalan RUU AGS ini,” katanya melalui satu kenyataan hari ini.
Rina memaklumkan draf ini telah mula disemak secara bersama oleh KPWKM dan Jabatan Peguam Negara mulai Januari 2021, bagi memastikan RUU ini benar-benar mampu menangani kelompangan perundangan sedia ada dan isu-isu pelaksanaan yang akan timbul.
“Saya ingin tegaskan bahawa penggubalan RUU Anti-Gangguan Seksual ini tetap menjadi keutamaan kementerian dengan kerjasama erat Jabatan Peguam Negara.
“Pada masa ini, KPWKM sedang menunggu ‘white bill’ atau kelulusan daripada Jabatan Peguam Negara, sebelum RUU ini dikemukakan untuk kelulusan Jemaah Menteri, dan kemudiannya dibentang untuk bacaan kali pertama di Parlimen yang dijangkakan pada tahun ini juga”, katanya.
Menurut beliau KPWKM menyedari wujudnya kekangan daripada sudut perundangan dan polisi sedia ada seperti beban pembuktian yang tinggi, ketiadaan remedi khusus kepada mangsa selain wujudnya isu ‘under-reporting’ kerana mangsa takut dan malu untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa.
Rina berkata walaupun RUU tersebut masih di dalam peringkat semakan, kes-kes gangguan seksual sedang ditangani melalui pelbagai akta dan peraturan lain.
“Antara akta dan peraturan tersebut adalah Kanun Keseksaan [Akta 574], Akta Kerja 1995 [Akta 265], Peraturan 4A, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U (A) 395/1993] dan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 5 Tahun 2018 iaitu Garis Panduan Pengendalian Kes Gangguan Seksual di Tempat Kerja dalam Perkhidmatan Awam.
“Oleh itu, KPWKM menggesa mangsa untuk terus tampil membuat laporan segera kerana akta dan peraturan sedia ada boleh dikuatkuasakan, untuk melindungi kepentingan dan keselamatan mangsa,” katanya.
Rina berkata kementerian melalui Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) juga sedang melipatgandakan usaha meningkatkan kesedaran dan program-program advokasi, untuk mengelakkan perlakuan tersebut daripada terus berleluasa sama ada secara fizikal, visual dan bentuk-bentuk lain.
Katanya sehingga Julai 2021 sebanyak 65 program kesedaran dan advokasi berkaitan gangguan seksual telah dilaksanakan oleh JPW pada tahun ini, dengan penglibatan seramai 10,952 peserta dari seluruh negara.- BERNAMA