Author: Admin

  • Ringgit dibuka kukuh selepas pemeteraian MoU dwipartisan bersejarah

    Ringgit dibuka kukuh selepas pemeteraian MoU dwipartisan bersejarah

    RINGGIT meningkat semula daripada penurunan pada Isnin untuk dibuka kukuh hari ini selepas pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Transformasi dan Kestabilan Politik oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan ketua-ketua parti komponen Pakatan Harapan semalam.

    Prestasi ringgit yang positif itu turut didorong oleh harga minyak mentah yang tinggi selepas Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) mengunjurkan permintaan terhadap komoditi itu akan kukuh berikutan peningkatan penggunaan bahan api tersebut dan gangguan pengeluaran di Amerika Syarikat (AS).

    Pada 9 pagi, unit tempatan kukuh pada 4.1450/1500 berbanding dolar AS daripada 4.1490/1515 semasa ditutup pada Isnin.

    Bagaimanapun, prestasi unit tempatan dihadkan oleh jangkaan Indeks Harga Pengguna (IHP) pada Ogos di AS yang tinggi, yang dijadualkan akan dikeluarkan hari ini.

    Ramai penganalisis telah menyatakan kebimbangan bahawa kenaikan data IHP akan menyebabkan pengurangan pembelian aset yang lebih cepat oleh Rizab Persekutuan AS (Fed AS).

    Merujuk kenyataan Goldman Sachs yang dikeluarkan pada Isnin, peniaga ActivTrades Dyogenes Rodrigues Diniz berkata bank pelaburan itu menyaksikan peluang sebanyak 70 peratus bahawa Fed AS akan mengumumkan proses pengurangan pada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka
    Persekutuan (FOMC) pada November.

    “Pelabur telah menjangka kemungkinan proses pengurangan dan ini menyebabkan dolar meningkat berbanding ringgit.

    “Dari aspek teknikal, dolar AS-ringgit boleh meningkat setinggi 4.2200 dalam tempoh beberapa hari,” katanya kepada Bernama.

    Pada pembukaan, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang utama.

    Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0875/0915 daripada 3.0903/0926 semasa ditutup pada Isnin dan meningkat berbanding yen kepada 3.7668/7714 daripada 3.7681/7703 semalam.

    Berbanding pound, mata wang tempatan susut kepada 5.7363/7432 daripada 5.7356/7390 sebelum ini manakala berbanding euro, ia merosot kepada 4.8944/9003 daripada 4.8921/8950 semalam. – Bernama

  • Ahli Parlimen, petugas wajib jalani ujian RTK setiap Isnin, Rabu

    Ahli Parlimen, petugas wajib jalani ujian RTK setiap Isnin, Rabu

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SPEAKER Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun mewajibkan semua ahli Parlimen dan pegawai bertugas menjalani ujian RTK berkala pada setiap Isnin dan Rabu sepanjang tempoh persidangan Dewan Rakyat bagi mengawal penularan Covid-19.

    Menurut Azhar, saringan berkala itu akan dijalankan di Dewan Bankuet dan Dewan Serbaguna yang dijangka mengambil masa kira-kira 20 minit.

    “Ahli-ahli Parlimen juga disyorkan melakukan sistem penggiliran ketika berada dalam dewan.

    “Pasukan pemantauan Kementerian Kesihatan (KKM) akan berada di Parlimen untuk pastikan peraturan berjalan. Ahli Parlimen digalakkan memakai pelitup muka berganda dan pelindung muka ‘face shield’ ketika dalam Parlimen.

    “Pengurusan Parlimen juga sudah menambah baik sistem pengudaraan dan penyaman udara,” katanya ketika persidangan Dewan Rakyat hari ini.

    Sidang Parlimen hari kedua bermula pada hari ini dengan kebenaran masuk ke Parlimen bagi petugas media dan pegawai diperketatkan.

    Selain perlu menjalani ujian RT-PCR, petugas media juga dihadkan pergerakan di dalam Parlimen dan hanya perlu berada di bilik media.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, seramai 28 individu termasuk dua ahli Parlimen dan seorang Senator disahkan positif COVID-19 dalam ujian saringan yang dibuat sempena sidang Parlimen.

    Beliau berkata, dua Ahli Parlimen terbabit disahkan positif menerusi saringan di luar Kompleks Parlimen manakala Senator dan 25 kakitangan Parlimen disahkan positif selepas saringan dijalankan.

  • Covid-19:225.1 juta kes positif global, 4.637 juta korban,

    Covid-19:225.1 juta kes positif global, 4.637 juta korban,

    Susunan ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    Johns Hopkins University (JHU) menerusi kajian dan data terbaharunya mendedahkan, kumulatif kes positif Covid-19 di seluruh dunia ketika ini melebihi 225.14 juta.

    Jelas JHU, perkembangan itu disumbangkan hampir 600,000 kes baharu dikesan dalam tempoh 24 jam lepas.

    Amerika Syarikat (AS) kekal negara paling terjejas dengan 41.1 juta kes, diikuti India dengan lebih 33 juta kes dan Brazil dengan lebih 20.9 juta kes.

    United Kingdom dan Rusia antara negara yang mencatatkan lebih 7 juta kes, manakala Perancis dan Turki melebihi 6 juta kes.

    Argentina pula melebihi 5 juta manakala Colombia dan Sepanyol pula mencatat kes melebihi 4 juta.

    Bagi Asia Tenggara, Indonesia mendominasi angka tertinggi kes Covid-19 dengan melebihi 4.1 juta kes.

    Ini diikuti dengan Filipina dengan lebih 2.2 juta, Malaysia 1.97 juta kes, Thailand dengan 1.38 juta kes, manakala Singapura merekodkan lebih 71,000 kes.

    Sementara itu, angka kematian akibat Covid-19 di seluruh dunia kini melebihi 4.637 juta.

    Berdasarkan data itu, AS kekal merekodkan jumlah kematian tertinggi melebihi 661,000 kes.

    Ini diikuti Brazil dengan lebih 586,000 kes, India lebih 442,000 kes, Mexico lebih 267,000 kes, sementara United Kingdom mencatat lebih 134,000 kematian.

    Rusia, Itali dan Perancis pula merekodkan lebih 100,000 kes kematian.

    Negara yang merekodkan angka korban melebihi 92,000 kes ialah Jerman sementara Sepanyol melebihi 85,000 kes.

    Bagi Asia Tenggara, Indonesia mendominasi angka kematian dengan lebih 139,000 kes korban.

    Filipina di tangga kedua korban tertinggi dengan lebih 35,000 diikuti Malaysia 21,000 kes, manakala Thailand dengan lebih 14,000 angka korban.

  • Malaysia sokong penyelesaian politik dipimpin, dikawal rakyat Afghanistan

    Malaysia sokong penyelesaian politik dipimpin, dikawal rakyat Afghanistan

    MENTERI Luar Datuk Saifuddin Abdullah menekankan sokongan Malaysia ke atas proses inklusif yang dipimpin, dimiliki serta dikawal oleh rakyat Afghanistan sendiri, ke arah penyelesaian politik berkekalan demi keamanan dan keselamatan negara itu.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar (Wisma Putra) awal pagi ini, Saifuddin juga menggesa agar hak asasi manusia dan kebebasan asasi di Afghanistan dihormati, termasuk dengan penyertaan penuh dan bermakna oleh golongan wanita, belia dan minoriti.

    Saifuddin berkata demikian dalam Mesyuarat Menteri Peringkat Tinggi mengenai Situasi Kemanusiaan di Afghanistan anjuran Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) secara maya pada Isnin.

    Menteri Luar Negeri itu turut mengumumkan sumbangan kewangan daripada Malaysia sebanyak USD100,000 bagi membantu dan menyokong rakyat Aghanistan.

    Semasa mesyuarat itu, beliau menekankan bahawa keselamatan, hak asasi manusia dan kebajikan seluruh warga Afghanistan dan warganegara asing di negara itu harus diberi keutamaan dan dilindungi, di samping memastikan akses bantuan kemanusiaan yang segera dan selamat.

    Mesyuarat tergempar anjuran António Guterres, Setiausaha Agung PBB ini bertujuan mengukuhkan solidariti masyarakat antarabangsa ke atas rakyat Afghanistan serta mengetengahkan keperluan mendesak untuk mendapatkan sumbangan dan sokongan masyarakat antarabangsa bagi mengatasi krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di negara itu.

    Setiausaha Agung PBB menekankan keperluan sumbangan kewangan sebanyak USD604 juta bagi membantu 11 juta rakyat Afghanistan dalam tempoh masa empat bulan yang akan datang.

    Penyertaan Malaysia dalam mesyuarat ini mencerminkan solidariti Malaysia ke atas rakyat Afghanistan serta sokongan teguh Malaysia kepada pihak PBB dalam usaha menangani krisis kemanusiaan di Afghanistan, tambah kenyataan itu.- BERNAMA

  • Permuafakatan kerajaan, PH legasi kebijaksanaan Muhyiddin, PN

    Permuafakatan kerajaan, PH legasi kebijaksanaan Muhyiddin, PN

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PERMUAFAKATAN yang dimeterai antara pembangkang dan kerajaan melalui memorandum persefahaman (MoU) semalam adalah hasil legasi kebijaksanaan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Perikatan Nasional (PN).

    Ketua Pemuda Pas, Senator Khairil Nizam Khirudin menyifatkan komitmen diberikan kedua-dua pihak itu sebagai ‘inovasi politik’ ke atas landskap politik negara.

    “Begitulah perancangan Allah yang mengatasi perancangan manusia. Hikmah di sebalik Covid-19, siapa sangka ahli politik di tanah air kita sekali lagi boleh bermuafakat di meja rundingan melalui MoU transformasi dan kestabilan politik.

    “Saya mewakili Pemuda Pas dan Pemuda PN mengucapkan jutaan terima kasih serta tahniah di atas jiwa besar Perdana Menteri dalam meneruskan legasi ini,” katanya dalam satu hantaran menerusi Facebooknya.

    Semalam, kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) melakar satu sejarah negara dengan memeterai MoU transformasi dan kestabilan politik di Dewan Bankuet, Parlimen.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, MoU tersebut merangkumi enam iaitu pemerkasaan pelan Covid-19, transformasi pentadbiran, pembaharuan Parlimen, kebebasan institusi kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan pembentukan jawatankuasa pemandu.

  • Pekerja binaan maut dihempap besi perancah

    Pekerja binaan maut dihempap besi perancah

    SEORANG pekerja binaan warga Bangladesh maut selepas dihempap besi perancah di tapak projek pelupusan sampah di Tanah Merah, Port Dickson, semalam.

    Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata dalam kejadian jam 2 petang itu mangsa Shonamoni Ghosh, 38, yang tidak sedarkan diri dibawa ke Klinik Kesihatan Lukut untuk pemeriksaan lanjut, namun disahkan meninggal dunia semasa di klinik berkenaan.

    “Siasatan awal di aras lapan di tapak projek tersebut mendapati lelaki itu berada dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas dihempap besi ‘scaffolding’ yang mempunyai muatan ‘metal deck’. Hasil ‘swab test’ pertama dijalankan ke atas lelaki berkenaan adalah negatif,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

    Jelasnya, pemeriksaan mendapati tiada sebarang kecederaan luaran dan tiada unsur jenayah selain kejadian terbabit dilaporkan sebagai kemalangan di tempat kerja.

    Aidi Sham berkata berkata mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Port Dickson untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.- BERNAMA

  • Sinovac berkesan menentang varian Delta – Kajian

    Sinovac berkesan menentang varian Delta – Kajian

    SATU kajian berhubung keberkesanan dua dos vaksin COVID-19 untuk Sindrom Pernafasan Akut Teruk Koronavirus 2 (SARS-CoV-2) di Guangzhou, China baru-baru ini menunjukkan ia memberikan perlindungan mencukupi bagi menentang varian Delta yang mampu mengancam nyawa manusia di seluruh dunia, kata Pakar Vaksin Pharmaniaga Berhad Dr Ajit Pal Singh.

    Beliau berkata kajian itu, yang diketuai Pakar Epidemiologi di Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Guangzhou iaitu Zhong Nanshan, mendapati penggunaan vaksin CoronoVac keluaran Sinovac Biotech Ltd dan vaksin SARS-CoV-2 keluaran China National Biotech Group menunjukkan bahawa kedua-duanya lebih berkesan terhadap pesakit COVID-19 bergejala sederhana berbanding yang bergejala ringan.

    “Kajian mendapati dua dos vaksin itu mencapai 59 peratus efikasi dalam menentang COVID-19 yang disebabkan oleh varian Delta dengan 70.2 peratus efikasi bagi kategori penyakit respiratori sederhana dan 100 peratus efikasi bagi kes teruk.

    “Berdasarkan maklumat ini, hasil kajian didapati melebihi nilai ambang efikasi 50 peratus yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia bagi mana-mana vaksin SARS-CoV-2,” menurutnya dalam artikel yang dikeluarkan kepada Bernama hari ini.

    Dr Ajit berkata kajian itu dilakukan ke atas 628 peserta termasuk 153 pesakit COVID-19 yang disebabkan oleh varian Delta dan 475 kes kontak rapat di bandar tersebut yang berumur lingkungan 18 hingga 59 tahun.

    Katanya 10 orang daripada mereka adalah pesakit tahap kritikal, enam bergejala teruk, 105 bergejala sederhana dan 32 bergejala ringan.

    Beliau berkata kajian itu turut mendedahkan bahawa pesakit dengan suntikan sekurang-kurangnya satu dos mempunyai tahap perlindungan terhadap jangkitan COVID-19 dengan tahap keberkesanan vaksin 13.8 peratus manakala kesemua 16 kes yang kritikal dan teruk masih belum menerima vaksin SARS-CoV-2.

    “Menerusi kajian sama, saintis mendapati keberkesanan vaksin adalah lebih tinggi terhadap golongan wanita dan individu berumur lingkungan 40 hingga 59 tahun dengan kadar efikasi 72.5 peratus berbanding golongan lelaki serta individu dijangkiti COVID-19 yang bergejala sederhana,” katanya.

    Dr Ajit berkata data itu menunjukkan bahawa terdapat keperluan untuk mempertingkat vaksinasi terhadap golongan wanita dan warga emas dalam program vaksinasi secara berterusan.

    Katanya negara yang berdepan kekurangan bekalan vaksin COVID-19 pula boleh membuat polisi dengan disokong penemuan berdasarkan kajian saintifik yang mungkin mengkehendaki seorang individu mendapatkan perlindungan dua dos vaksin terlebih dahulu sebelum berlakunya gelombang wabak baharu.- BERNAMA

  • ‘Bukan diculik tapi pesakit kritikal, tahap oksigen menurun’

    ‘Bukan diculik tapi pesakit kritikal, tahap oksigen menurun’

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG Pesakit Covid-19 yang mendakwa dirinya ‘diculik’ dan ‘dipaksa’ berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang (HPP) disahkan masih menjalani rawatan di ICU memandangkan keadaannya yang kritikal dan berisiko menyebarkan virus itu sekiranya dibenarkan pulang.

    Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), Dr. Ma’arof Sudin berkata, pesakit itu telah dimasukkan ke wad ICU selepas disahkan mengalami Covid-19 tahap empat.

    “Pemeriksaan awal menunjukkan pesakit mengalami penurunan tahap oksigen yang sangat membimbangkan dan rawatan terapi oksigen telah dimulakan.

    “Keadaan pesakit semakin kritikal sehingga kadar oksigen dalam darah hanya boleh distabilkan dengan menggunakan mesin bantuan pernafasan iaitu ventilator,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Terdahulu, tular dalam media sosial sejak semalam mengenai seorang pesakit Covid-19 di ICU HPP yang mendakwa dirinya diculik dan dipaksa menjalani rawatan di wad ICU hospital berkenaan walaupun keadaan kesihatannya stabil.

    Tambah beliau, pegawai perubatan pakar perubatan rapi dan ICU telah memaklumkan kepada pesakit serta ahli keluarganya mengenai keadaan pesakit yang berada pada tahap kritikal.

    “Pihak hospital juga telah berulang kali menjelaskan kepada pesakit serta ahli keluarga mengenai risiko yang boleh membahayakan dirinya sekiranya dia tidak membenarkan rawatan dijalankan.

    “Namun pesakit masih tidak bersetuju dengan rawatan yang disyorkan dan memohon untuk dibenarkan pulang atas risiko sendiri,” katanya.

    Tambahnya, pihak hospital masih memantau dan menempatkan pesakit di ICU walaupun dia enggan menerima rawatan terapi oksigen dan alat bantuan pernafasan memandangkan keadaannya yang kritikal.

    Dalam pada itu, katanya, pihak HPP juga menafikan bahawa pesakit tidak diberi makanan ketika berada di ICU kerana pihaknya memberikan makanan berbentuk cecair seperti susu bagi memudahkan penghadaman dan mengelakkan berlakunya komplikasi.

  • Wanita maut dilanggar motosikal anggota polis

    Wanita maut dilanggar motosikal anggota polis

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG pejalan kaki wanita maut selepas dirempuh sebuah motosikal ketika melintas jalan di Kilometer 6 Jalan Kluang-Batu Pahat, Batu Pahat, hari ini.

    Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, kejadian tersebut berlaku ketika mangsa, Ang Hui Yin, 46, melintas dari kanan ke kiri jalan pada pukul 7.45 pagi.

    “Sebuah motorsikal yang ditunggang seorang lelaki berumur 53 tahun yang merupakan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat yang dalam perjalanan ke tempat kerja dari arah Parit Raja ke Batu Pahat.

    “Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan maut di tempat kejadian manakala penunggang motorsikal mengalami kecederaan parah dan dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail di sini untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Semasa kemalangan katanya, cuaca hujan renyai-renyai dan siasatan dijalankan di bawah Sek 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

    Pihak polis menasihatkan kepada pengguna jalan raya agar lebih berhati-hati semasa memandu, patuhi undang-undang dan peraturan jalanraya di samping peka kepada lalu lintas.

    Pejalan kaki katanya, dinasihatkan agar berhati-hati semasa melintas jalan.

  • Semak ketulenan kit ujian kendiri

    Semak ketulenan kit ujian kendiri

    ORANG ramai mesti menyemak ketulenan kit ujian pantas antigen COVID-19 yang dijual secara dalam talian, sebelum membelinya.

    Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berkata, semakan dapat mengelak pengguna daripada tertipu dengan produk palsu yang boleh membahayakan keselamatan dan kesihatan mereka.

    Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDNHEP Sibu, Kelyn Bolhassan, berkata sehingga 1 September terdapat 14 syarikat berlesen di Malaysia yang mengedarkan produk kit ujian pantas yang diluluskan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) Kementerian Kesihatan.

    “Kami masih belum mendapat maklumat mengenai penjualan kit ujian ini secara dalam talian.

    “Kit ini hanya dijual oleh penjual yang diluluskan MDA. Orang ramai perlu menyemak terlebih dahulu sebelum membeli,” katanya selepas memeriksa farmasi di bandar Sibu, Sarawak, hari ini.

    Kelyn berkata, orang ramai patut mendapatkan kit itu daripada farmasi dan klinik kesihatan berlesen berhampiran.

    Beliau berkata, harga borong kit ujian itu RM16, manakala harga runcit RM19.90 seperti yang ditetapkan kerajaan berkuat kuasa 5 September lalu.

    Katanya, penguatkuasaan memeriksa semua 40 farmasi berlesen di Sibu dan mendapati mereka mematuhi harga jualan yang ditetapkan.

    Kelyn berkata, tiada aduan yang diterima mengenai penjualan kit ujian pantas oleh farmasi yang melebihi harga yang ditetapkan

    “Sekiranya ada, tindakan boleh diambil mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

    “Denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya boleh dikenakan terhadap individu yang didapati bersalah.

    “Denda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000 kepada syarikat yang melanggar peraturan itu,” katanya. – Bernama