Author: Admin

  • Polis tolak 5,799 permohonan rentas negeri sejak 10 Sept

    Polis tolak 5,799 permohonan rentas negeri sejak 10 Sept

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    POLIS menolak 5,799 permohonan rentas negeri sejak 10 September lalu hingga semalam atas pelbagai alasan.

    Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Mastor Mohd Ariff berkata, antara alasan yang diberikan termasuk untuk meninjau rumah dan menziarah ibu bapa di kampung.

    “Bagaimanapun, nak melancong ke Langkawi, Kedah (gelembung pelancongan) tiada masalah. Kalau cukup syarat seperti lengkap vaksin, polis akan benarkan. Setakat ini, polis tiada statistik untuk kebenaran melancong.

    “Kita juga keluarkan sebanyak 5,794 permit kebenaran rentas negeri atas alasan ziarah kematian, kecemasan (20,180), pasangan jarak jauh (17,561), anak jarak jauh (3,768) dan bekerja sendiri (40,041) dalam tempoh sama,” lapor BH, hari ini.

    Pada Ahad lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, dilaporkan berkata, individu menggunakan pesawat untuk melancong ke Pulau Langkawi bermula semalam tidak perlu mendapatkan surat kebenaran polis.

    Hanya mereka yang menggunakan pengangkutan darat dari luar negeri terbabit perlu berbuat demikian.

    Sebelum ini, kerajaan mengumumkan kebenaran kepada pengunjung domestik dari seluruh negara untuk mengunjungi Langkawi, kecuali mereka yang berada di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

    Kunjungan ke pulau peranginan di utara tanah air yang dipilih sebagai destinasi pertama projek rintis program gelembung pelancongan itu bagaimanapun terhad kepada individu lengkap dos vaksin Covid-19.

  • Buka pusat khas gelandangan alami masalah mental

    Buka pusat khas gelandangan alami masalah mental

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SATU pusat transit khusus bagi menempatkan gelandangan yang mempunyai masalah mental dicadang untuk diwujudkan di Kuala Lumpur.

    Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan (KWP), Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, pusat khas gelandangan khas itu diletakkan di bawah seliaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

    Justeru katanya, satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan bagi mengkaji kawasan yang sesuai untuk pusat khas gelandangan tersebut.

    “Ketika ini kita tiada pusat khusus untuk menampung mereka yang menghidap masalah mental dalam kalangan gelandangan di Kuala Lumpur.

    “Ini adalah perancangan jangka masa panjang untuk kenal pasti kawasan atau bangunan untuk dijadikan pusat rawatan masalah mental dan kajian sedang dibuat sekarang,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program penyerahan bantuan komputer riba kepada mahasiswa di Parlimen Jelebu, Negeri Sembilan, hari ini.

    Menurut beliau, rumah tumpangan gelandangan sedia ada ketika ini tidak sesuai menempatkan golongan yang mempunyai masalah mental kerana boleh mendatangkan masalah kepada penginap di rumah transit sedia ada.

    Jalaluddin berkata, kementerian berkenaan akan mengambil contoh pengurusan pusat transit gelandangan mental di Melaka dan akan diguna pakai di Kuala Lumpur.

    “Di Melaka ada satu (pusat) dan kita akan ambil contoh pengurusan pusat berkenaan dan wujudkan pusat yang sama bagi menampung golongan ini,” katanya.

  • 2 lelaki kantoi seludup 7 rusa hidup di sempadan

    2 lelaki kantoi seludup 7 rusa hidup di sempadan

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    HASRAT dua lelaki untuk menyeludup masuk tujuh ekor rusa hidup bernilai RM35,000 terkantoi, apabila kegiatan mereka berjaya dikesan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 Kuantan melalui Op Benteng Covid di sempadan Malaysia-Thailand di Pasir Mas, semalam.

    Menurut Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7, Superintendan Azhari Nusi, pihaknya telah mengesan dua kenderaan dalam keadaan mencurigakan ketika melakukan rondaan di kawasan Jeram Perdah 2 pada pukul 10 malam tadi.

    Justeru katanya, anggota terbabit terus mengekori kenderaan tersebut sebelum mengarahkan mereka berhenti di tepi Jalan Kampung Siram, Alor Pasir, Pasir Mas.

    “Hasil pemeriksaan dibuat ke atas dua kenderaan tersebut, anggota kita menemui tiga kotak kayu besar yang di dalamnya terdapat tujuh ekor rusa hidup.

    “Susulan itu, dua lelaki yang memandu kenderaan terbabit telah ditahan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Menurut Azhari, berdasarkan siasatan dibuat, dokumen kebenaran memindah haiwan tersebut dipercayai dipalsukan, selain ia juga tamat tempoh.

    Malah katanya, haiwan berkenaan juga dipercayai diseludup dari negara jiran memandangkan dagingnya mempunyai permintaan tinggi di seluruh negara.

    “Jumlah rampasan keseluruhan bernilai RM85,000 dan kes disiasat di bawah Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953,” jelas beliau.

  • Guru didakwa 32 pertuduhan seks luar tabii, amang seksual

    Guru didakwa 32 pertuduhan seks luar tabii, amang seksual

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG guru dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Teluk Intan hari ini atas 32 pertuduhan melakukan seks luar tabii dan amang seksual fizikal terhadap tujuh pelajar lelaki pada tahun lalu.

    Tertuduh, Mohd Faizal Amir, 32, yang bertugas di sebuah sekolah menengah di Tapah mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Intan Nurul Farena Zainal Abidin.

    Dia didakwa atas 10 pertuduhan dengan sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii kepada tujuh pelajar lelaki berusia 14 hingga 16 tahun.

    Perbuatan itu dilakukan di rumah warden sekolah berkenaan antara 28 Julai hingga 29 September 2020.

    Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun serta sebat.

    Bapa kepada seorang anak itu juga didakwa dengan 22 pertuduhan amang seksual fizikal mengikut Seksyen 14(a) dan Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang dibaca bersama Seksyen 16 akta sama.

    Kesalahan yang dilakukan di lokasi, tarikh dan masa yang sama itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Cheah Shuh Yuan tidak menawarkan sebarang jaminan namun tertuduh yang diwakili peguam Muhammad Farid Wajdi Hanif memohon agar jaminan RM3,000 dikenakan ke atas anak guamnya bagi setiap kes.

    Hakim Intan Nurul Farena kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap 11 kes dengan jumlah keseluruhan jaminan sebanyak RM55,000 sebelum menetapkan 15 November ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

    Mahkamah juga menetapkan tertuduh untuk melapor diri setiap bulan di balai polis berhampiran dan dilarang mendekati mangsa.

  • Dua wanita ditahan sorok dadah dalam pakaian dalam

    Dua wanita ditahan sorok dadah dalam pakaian dalam

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    BAHAGIAN Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau menahan dua wanita warganegara asing yang menyembunyikan dadah dalam bengkung pakaian ditahan di kilometer 37 Jalan Tawau-Semporna, Tawau Rabu lalu.

    Wanita berkenaan masing-masing berusia 38 dan 40 tahun ditahan bersama-sama seorang lelaki tempatan, 48, pada pukul 5.50 pagi.

    Ketika ditahan dua wanita itu menyembunyikan dadah jenis syabu seberat 2,016.99 gram yang dibungkus dalam bungkusan berwarna coklat.

    Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, kesemua suspek ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Tawau ketika terserempak dengan kereta dinaiki suspek yang dalam keadaan mencurigakan.

    “Hasil pemeriksaan ke atas dua wanita mendapati terdapat bungkusan berwarna coklat yang disembunyikan di sebalik bengkung yang dipakai mereka.

    “Ada dua bungkusan mengandungi 20 plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih yang disyaki dadah jenis syabu,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.

    Tambah Peter, siasatan awal pihaknya mendapati, kesemua dadah itu dibawa masuk ke Tawau untuk diseludup ke negara jiran Indonesia.

    Katanya, kesemua dadah yang ditahan dianggarkan bernilai RM72,720.

    Kes di siasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

  • Peniaga lelaki kerugian RM580,000 ditipu kekasih sejenis

    Peniaga lelaki kerugian RM580,000 ditipu kekasih sejenis

    Oleh MOHD. LAZIM ENDUT

    AKIBAT terlalu ingin menjaga hati dan perasaan kekasih sejenisnya, seorang peniaga lelaki kerugian sebanyak RM580,000 setelah diperdaya ‘teman lelakinya’ itu yang mendakwa kerabat istana sejurus mangsa berkenalan menerusi aplikasi sembang sosial golongan sejenis pada Mei lalu.

    Malah, suspek yang menggunakan gelaran Tengku itu mengugut untuk menyebarkan video bogel mangsa berusia 20-an itu sekiranya enggan memindahkan wang seperti diminta.

    Menurut Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat, mangsa mula berkenalan dengan suspek melalui aplikasi sembang sosial golongan sejenis pada 30 Mei lalu dan pada keesokan harinya suspek bertanyakan tentang emas.

    Menurutnya, mangsa memberitahu bahawa ibunya memiliki barang kemas bernilai RM370,000, menyebabkan suspek meminta peniaga itu menyerahkan barangan berkenaan untuk dilihatnya sebagai bukti kesetiaan dan kasih sayang mangsa terhadapnya.

    Katanya, mangsa yang terpedaya dengan janji-janji suspek untuk memulangkan semula barangan kemas itu membuat penghantaran secara dua peringkat pada 31 Mei menggunakan perkhidmatan teksi, diikuti pada 2 Jun lalu dengan Grabcar.

    “Kedua-dua penghantaran tersebut ditujukan kepada pembantu peribadi ‘Tengku’ yang kononnya berada di Kota Bharu,” ujarnya menerusi satu kenyataan media, hari ini.

    Menurut Shafien, sepanjang tempoh berkenalan, mangsa juga turut membuat beberapa pindahan wang berjumlah RM201,000 ke dalam dua akaun bank milik pihak ketiga bagi membuktikan kesetiaan dan kasih sayang, malah mangsa turut dijanjikan hadiah sebuah trak pikap.

    Shafien memberitahu, mangsa membuat laporan polis pada Selasa lalu setelah dia berasa ditipu suspek kerana mereka tidak pernah berjumpa seperti dijanjikan di samping suspek juga tidak memulangkan semula barangan emas milik ibunya.

    “Selain itu,suspek terus memaksa mangsa supaya menyerahkan wang kepadanya termasuk mengugut akan menyebarkan video bogel mangsa.

    “Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK) yang sabit kesalahan, boleh dipenjara maksimum hingga 10 tahun serta sebat dan boleh juga dikenakan denda,” ujar beliau.

    Sehubungan itu Shafien mengingatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati semasa berurusan dalam talian dan tidak mudah terpedaya dengan janji manis individu baru dikenali bagi mengelak terperangkap dengan
    sindiket Love Scam.

    Shafien menyarankan orang ramai memuat turun secara percuma aplikasi telefon pintar ‘Check Scammers CCID’ untuk membuat semakan nombor akaun bank dan nombor telefon digunakan sama ada pernah terbabit dalam kes jenayah komersial.

    “Selain itu semakan secara terus kepada pihak kami apabila menerima panggilan meragukan juga boleh dibuat atau menghubungi ‘CCID Scam Response Centre’ di talian 03-26101559 dan 03-26101599 yang ditubuhkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman untuk membuat pertanyaan berkaitan jenayah love scam/parcel scam atau lain-lain jenayah penipuan siber,” jelas beliau.

  • 17,577 kes Covid-19 hari ini, Sarawak kekal tertinggi

    17,577 kes Covid-19 hari ini, Sarawak kekal tertinggi

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEBANYAK 17,577 kes jangkitan baharu Covid-19 direkodkan setakat jam 12 tengah hari tadi.

    Perkembangan itu menjadikan kumulatif kes positif virus berkenaan dalam negara setakat ini ialah 2,067,327 kes.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah menerusi perkongsian infografik dalam Twitter miliknya memberitahu, Sarawak terus menjadi penyumbang kes jangkitan harian tertinggi dengan 3,480 kes, diikuti Selangor dengan 2,646 kes dan Johor, 2,334 kes.

    Sementara empat negeri merekodkan lebih 1,000 kes melibatkan Perak (1,596), Sabah (1,533), Pulau Pinang (1,462), dan Kedah (1,173).

    Dalam perkembangan sama, Dr. Noor Hisham memaklumkan kapasiti dan penggunaan katil Covid-19 sehingga 5 petang, 16 September adalah 70 peratus melibatkan bukan Unit Rawatan Rapi (ICU), manalaka 76 peratus melibatkan katil ICU.

  • Sindiket dadah antarabangsa tumpas, rampasan RM1.2 juta

    Sindiket dadah antarabangsa tumpas, rampasan RM1.2 juta

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    JABATAN Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor merampas dadah bernilai RM1.03 juta hasil selepas melakukan tujuh serbuan di Johor Bahru dan Iskandar Puteri kelmarin.

    Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, serbuan itu dilakukan pada pukul 1.45 petang hingga 11 malam menerusi satu operasi khas sebelum menahan 10 warga tempatan berusia lingkungan 20 hingga 34 tahun.

    Katanya, serbuan pertama melibatkan sebuah rumah dalam kawasan berpagar dan berkawal yang dijadikan makmal memproses dadah.

    “Menerusi serbuan ini, kita menahan seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun selain menemui sejumlah dadah dan peralatan memproses dadah.

    “Selepas itu kita membuat enam serbuan susulan yang membawa kepada tangkapan sembilan lagi suspek termasuk dua wanita berusia 20 hingga 34 tahun,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Johor Bahru, hari ini.

    Beliau berkata, hasil ujian air kencing yang dilakukan mendapati kesemua suspek negatif dadah serta enam daripadanya mempunyai rekod jenayah lampau bersabit kes jenayah dan dadah.

    Pihaknya percaya sindiket tersebut yang sudah beroperasi sejak sebulan lalu bersedia untuk membuat pengedaran dadah di negara jiran berdasarkan daripada keadaan dadah telah siap dibungkus untuk diseludup.

    Ayob Khan menunjukkan 10 suspek yang ditahan terlibat dalam sindiker pengedaran dadah antarabangsa

    Katanya, modus operandi digunakan sindiket itu yang dipercayai aktif sejak sebulan lalu adalah dengan bersembunyi dalam premis perumahan berpagar dan berkawalan bagi mengaburi pihak berkuasa.

    “Mereka menyewa rumah untuk dijadikan stor dan memproses dadah untuk pasaran tempatan dan negara jiran,” ujarnya.

    Ayob memberitahu, dalam serbuan itu pihaknya merampas sebanyak 25.2 kilogram heroin dalam bentuk kiub bernilai RM336,000 dan 14 kilogram serbuk ecstasy bernilai RM700,000.

    “Daripada jumlah bekalan ini, boleh dikatakan untuk aktiviti pengedaran bagi digunakan seramai 176,666 penagih,” katanya.

    Tambah beliau, jumlah sitaan harta benda termasuk empat kereta bernilai RM194,000, keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM1.2 juta.

    Suspek lelaki berusia 30 tahun katanya, direman selama tujuh hari di bawah Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala sembilan suspek lain akan diambil tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.

  • Lelaki didenda RM2,500 kerana hina polis dalam Facebook

    Lelaki didenda RM2,500 kerana hina polis dalam Facebook

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG lelaki didenda RM2,500 atau penjara sebulan oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur, hari ini, kerana membuat dan memulakan komunikasi jelik yang menghina Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Facebook miliknya.

    Hakim M. M. Edwin Paramjothy menjatuhi hukuman itu ke atas Ahmad Mu’min Othman, 34, selepas dia mengaku bersalah melakukan kesalahan itu melalui Facebook menggunakan nama profil ‘Ahmad Mumun’ pada 11.53 pagi, 9 Mac lepas.

    Hantaran itu kemudian dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Wangsa Maju, di sini, pada 1.59 petang, 24 Mac 2021.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) akta sama, membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

    Ketika rayuan, peguam Farida Mohammad dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili Ahmad Mu’min memohon denda minimum atas alasan anak guamnya menyesal dan insaf dengan perbuatannya serta berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama.

    Timbalan Pendakwa Raya, Najihah Farhana Che Awang  memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat. 

  • PM Singapura terima suntikan dos penggalak vaksin Covid-19

    PM Singapura terima suntikan dos penggalak vaksin Covid-19

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong menerima suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 di Hospital Umum Singapura pada pagi ini.

    “Kes meningkat dengan cepat. Suntikan penggalak akan menguatkan lagi perlindungan anda terhadap Covid-19,” tulis Hsien loong dalam Facebook rasminya.

    Lee yang menerima dos pertama vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech pada 8 Jan lalu, turut memuat naik video beliau menerima suntikan itu.

    Beliau berkata, Jawatankuasa Pakar mengenai Vaksinasi Covid-19 telah mengesyorkan dos tambahan untuk mereka berusia 60 tahun ke atas, penghuni rumah orang-orang tua dan individu yang mengalami masalah terimunokompromi (sistem imun defektif yang mengakibatkan timbulnya gejala penyakit).

    “Warga emas yang lengkap dua dos vaksinasi sekurang-kurangnya enam bulan lalu akan menerima SMS (khidmat pesanan ringkas) dengan pautan diberikan secara personal untuk membuat janji temu.

    “Jika anda ditawarkan dos penggalak, silalah ambil. Ini akan mengurangkan peluang anda alami sakit yang serius, atau memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU),” tulisnya.

    Setakat 16 September, Singapura melaporkan sejumlah 910 kes baharu Covid-19 dengan 803 jangkitan dalam komuniti, 103 di asrama pekerja migran dan empat kes import.

    Menurut data Kementerian Kesihatan Singapura, 837 kes kini ditempatkan di hospital, 77 kes memerlukan bantuan oksigen dan 12 lagi dirawat di ICU.

    Seramai 82 peratus penduduk Singapura telah lengkap dua dos vaksin Covid-19 manakala 84 peratus sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos, setakat 15 September.