Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

SATU pusat transit khusus bagi menempatkan gelandangan yang mempunyai masalah mental dicadang untuk diwujudkan di Kuala Lumpur.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan (KWP), Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, pusat khas gelandangan khas itu diletakkan di bawah seliaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Justeru katanya, satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan bagi mengkaji kawasan yang sesuai untuk pusat khas gelandangan tersebut.

“Ketika ini kita tiada pusat khusus untuk menampung mereka yang menghidap masalah mental dalam kalangan gelandangan di Kuala Lumpur.

“Ini adalah perancangan jangka masa panjang untuk kenal pasti kawasan atau bangunan untuk dijadikan pusat rawatan masalah mental dan kajian sedang dibuat sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program penyerahan bantuan komputer riba kepada mahasiswa di Parlimen Jelebu, Negeri Sembilan, hari ini.

Menurut beliau, rumah tumpangan gelandangan sedia ada ketika ini tidak sesuai menempatkan golongan yang mempunyai masalah mental kerana boleh mendatangkan masalah kepada penginap di rumah transit sedia ada.

Jalaluddin berkata, kementerian berkenaan akan mengambil contoh pengurusan pusat transit gelandangan mental di Melaka dan akan diguna pakai di Kuala Lumpur.

“Di Melaka ada satu (pusat) dan kita akan ambil contoh pengurusan pusat berkenaan dan wujudkan pusat yang sama bagi menampung golongan ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here