Author: Admin

  • Dua banduan Penjara Marang didakwa bunuh rakan

    Dua banduan Penjara Marang didakwa bunuh rakan

    DUA banduan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini, atas pertuduhan menyebabkan kematian rakan mereka dengan memukulnya sehingga cedera di kepala, pada Ogos lalu.

    Mengikut pertuduhan kes, Adura Mustapha, 39, dan Azizul Danial Muhammad, 35, didakwa melakukan perbuatan tersebut ke atas Hamiddi Kamaruddin, 48, di Bilik R8 Zon 2, Penjara Marang, pada pukul 2 petang pada 21 Ogos lalu, lapor Sinar Harian.

    Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman itu.

    Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 304 (a)Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Intan Nor Hilwani Mat Rifin manakala kedua-dua tertuduh pula tidak diwakil dibaca bersama Seksyen 34 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

    Mahkamah menetapkan 3 November depan bagi sebutan semula kes.

  • Mayat kanak-kanak lapan tahun lemas ditemukan

    Mayat kanak-kanak lapan tahun lemas ditemukan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun, yang terjatuh ke dalam longkang di Jalan Bunga Tanjung 4, Kampung Baru Hicom, Shah Alam, semalam telah ditemukan mayatnya pagi ini. 

    Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, mayat mangsa ditemukan orang awam di dasar longkang dengan jarak 15 meter dari tempat mangsa dipercayai jatuh, pada pukul  8.42 pagi. 

    “Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

    Mangsa sebelum ini dilaporkan dikhuatiri hanyut dibawa arus deras selepas terjatuh ke dalam longkang pada 6.18 petang semalam.

  • 83.7 peratus populasi dewasa lengkap vaksinasi setakat semalam

    83.7 peratus populasi dewasa lengkap vaksinasi setakat semalam

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SERAMAI 19.60 individu (83.7 peratus) daripada populasi dewasa di negara ini telah lengkap menerima suntikan vaksin Covid-19 setakat semalam.

    Data Kementerian Kesihatan (KKM) di portal COVIDNOW hari ini menunjukkan, sebanyak 93.7 peratus (21,944,808 individu) populasi dewasa telah menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin. 

    Selain itu, seramai 28,982 atau 0.9 peratus daripada populasi remaja berusia 12 hingga 17 tahun telah melengkapkan suntikan vaksin setakat semalam. 

    Bagi kedua-dua populasi, sebanyak 269,465 dos suntikan vaksin turut diberikan semalam melibatkan 117,196 dos pertama dan 152,269 dos kedua menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos vaksin sebanyak 41,457,628 menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK). 

    PICK dilancarkan pada 24 Februari lalu bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik Covid-19 di seluruh negara.

    Sementara itu, sebanyak 278 kes kematian akibat Covid-19 dicatatkan setakat pukul 11.59 malam tadi (26 Sept), menjadikan jumlah kumulatif kematian kini adalah 25,437.

    Menurut portal GitHub KKM, jumlah itu merangkumi sembilan kematian sebenar COVID-19 dicatatkan dalam tempoh 24 jam (26 Sept), manakala selebihnya adalah kes kematian tertunggak atau ‘backlog’. 

    Bagaimanapun, angka itu boleh berubah sekiranya terdapat kes kematian yang dikemas kini.

    Berdasarkan graf purata jumlah kes kematian harian sebenar selama tujuh hari pula, sebanyak 90 kematian sebenar akibat Covid-19 dicatatkan. 

  • Tiga maut kereta langgar tembok rumah

    Tiga maut kereta langgar tembok rumah

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    BUNYI dentuman kuat mengejutkan penduduk yang sedang tidur selepas sebuah kereta melanggar sebuah tembok sebuah rumah di Jalan Rumbia 3, Taman Daya, Johor Bahru, hari ini.

    Dalam kejadian kira-kira pada pukul 2 pagi itu, sebuah kereta Proton Waja dipercayai terbabas dan hilang kawalan sebelum merempuh tembok rumah berkenaan yang berada di tepi jalan tersebut.

    R. Vimalan, 21, M. Sharven, 21 dan seroang lagi lelaki dewasa berusia 20-an yang masih belum dikenali identitinya meninggal dunia.

    Tiga maut manakala dua lagi cedera parah selepas kereta dinaiki terbabas dan merempuh tembok sebelum mangs tersepit

    Sementara S. Meshen Kumar, 21, dan P. Agilan, 22, cedera parah serta kemalangan itu menyebabkan beberapa mangsa tersepit.

    Seramai enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke tempat kejadian.

    Komander Operasinya, Pegawai Bomba Kanan II Ramli A. Hamid berkata, kereta tersebut dipercayai dari arah Taman Daya menuju ke Setia Indah.

    “Dua mangsa mengalami kecederaan parah manakala tiga mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang turut berada di lokasi.

    Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kereta Proton Waja yang sudah remuk pada bahagian depan

    “Pihak bomba bertindak mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan Road Traffic Accident (RTA).

    “Mangsa yang cedera telah dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru bagi menerima rawatan selanjutnya manakala mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Katanya, operasi tersebut tamat pada pukul 3.42 pagi.

  • Scammer perangkap sebelum ugut, khianat mangsa

    Scammer perangkap sebelum ugut, khianat mangsa

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MEMBUAT tawaran pinjaman wang secara pantas menerusi media sosial terutama menyasarkan pekerja Malaysia di Singapura sebelum menjerat mereka apabila tidak mampu membayar hutang.

    Apabila setuju untuk meminjam, mangsa disuruh membuat sedikit pembayaran terlebih dahulu sebelum wang yang mahu dipinjam dijanjikan akan dimasukkan ke dalam akaun peminjam.

    Itu modus operandi scammer yang menjalankan kegiatan tersebut dan selepas terperangkap, mangsa akan diugut dengan perbuatan khianat termasuk membaling caat ke rumah mereka.

    Pendedahan itu dilakukan Timbalan Ketua Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA Malaysia, Chua Jian Boon dan menyifatkan mereka yang menawarkan bantuan kewangan sedemikian adalah ‘scammer’.

    Pekarangan rumah dibaling cat merah selepas pemiliknya menjadi mangsa sindiket ‘scammer’ dan enggan mengikut arahan

    “Semalam saya terima aduan daripada seorang pengadu rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura yang mengatakan dia meminjam wang sebanyak SDG30,000 dengan memberikannya butiran kediaman di negeri ini.

    “Selepas membuat permohonan itu dan perlu membayar wang sebanyak SGD7,500 (RM22,500) dia masih gagal mendapatkan wang yang mahu dipinjamnya.

    “Sebaliknya dia diugut ‘scammer’ untuk memasukkan lagi wang ke dalam akaun pihak berkenaan atau tidak mereka akan bertindak membaling cat di kediaman mangsa,” katanya kepada pemberita di Kulai, hari ini.

    Jian Boon memberitahu, ekoran itu kediaman mangsa di sini yang dihuni ibu mangsa berusia 62 telah dibaling cat.

    “Selain itu turut ditinggalkan satu nota memaklumkan sekiranya mangsa tidak terus membuat pembayaran, mereka akan membaling bom petrol pula selepas ini.

    “Sehubungan itu, satu laporan polis telah dibuat mangsa secara serentak kepada polis di Malaysia dan Singapura,” ujarnya.

    Nota ugutan yang ditinggalkan ‘scammer’ yang menipu mangsa setelah terdesak memerlukan pinjaman wang secara atas talian

    Tambah Jian Boon, tindakan ‘scammer’ yang menipu mangsa dan melakukan ugutan secara terbuka seperti itu merupakan satu tindakan yang mencabar kedaulatan undang-undang negara ini.

    “Oleh itu, saya berharap polis Johor akan dapat mengambil tindakan segera berhubung jenayah penipuan ini yang mana saya percaya jika dibiarkan lebih ramai pihak akan menjadi mangsa.

    “Kepada masyarakat, saya nasihatkan jangan membuat pinjaman wang dengan mana-mana pihak yang ditemui di media sosial kerana dibimbangi akan menjadi mangsa sindiket ‘scammer’,” jelasnya.

  • Kerajaan pertimbang turun harga maksimum kit ujian kendiri COVID-19 lebih awal

    Kerajaan pertimbang turun harga maksimum kit ujian kendiri COVID-19 lebih awal

    KERAJAAN sedang mempertimbang untuk melaksanakan harga kawalan baharu kit ujian kendiri COVID-19 yang lebih murah lebih awal, berbanding jangkaan pada Disember ini.

    Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid berkata pada masa ini kementerian giat mengadakan rundingan dengan pelbagai pihak berkepentingan supaya kit ujian kendiri tersebut dapat segera dijual dengan harga yang lebih rendah.

    Beliau berkata bagaimanapun dalam masa sama kerajaan turut perlu mengambil kira kepentingan dan kelangsungan perniagaan pemain industri yang terbabit dengan kit ujian kendiri tersebut.

    “Pembukaan sektor ekonomi, pelancongan dan pendidikan secara berperingkat dalam tempoh ini dan lain-lain kelonggaran di bawah Fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang bakal diumumkan kerajaan dari semasa ke semasa akan menjadikan kit ujian kendiri COVID-19 ini sebagai alatan perubatan penting yang amat diperlukan.

    “Dalam erti kata lain, ujian pengesanan kendiri COVID-19 kini menjadi satu norma baharu yang perlu diadaptasi dalam kehidupan seharian segenap lapisan masyarakat. Oleh itu kerajaan sentiasa prihatin dalam memastikan pengguna mampu mendapatkan kit ini pada harga lebih baik dan pemain industri juga dapat meneruskan kelangsungan perniagaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Dalam perkembangan sama beliau berkata hasil pemeriksaan penguat kuasa kementerian di 3,106 premis seluruh negara sejak harga kawalan kit ujian kendiri COVID-19 dikuatkuasakan pada 5 Sept lalu, terdapat 348 premis yang menjual di bawah paras harga kawalan RM19.90 bagi runcit dan RM16 bagi borong manakala 2,554 premis menjual kit tersebut mengikut harga kawalan.

    “Kementerian menyambut baik inisiatif pemain industri yang peka dengan situasi semasa dan secara tidak langsung membantu mengurangkan bebanan rakyat dengan menawarkan kit ini pada harga lebih rendah daripada harga kawalan ditetapkan kerajaan,” katanya.

    Dalam perkembangan sama Rosol berkata penjualan kit ujian kendiri tersebut akan diperluaskan ke premis selain farmasi dan klinik seperti pasar raya serta kedai serbaneka, seawal Oktober ini.

    “Sebelum itu kementerian perlu terlebih dahulu memastikan premis-premis yang menjual kit ujian kendiri COVID-19 ini mempunyai maklumat mencukupi mengenai syarat-syarat jualan termasuk mematuhi aspek pelabelan produk dan kaedah pengendaliannya bagi memudahkan orang ramai,” katanya. – Bernama

  • Kerajaan disaran tambah pemberian peranti PdPR

    Kerajaan disaran tambah pemberian peranti PdPR

    KERAJAAN disaran mempertimbangkan peruntukan tambahan untuk sektor pendidikan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) termasuk pemberian peranti kepada murid daripada golongan B40 selain memperbaiki infrastruktur di sekolah bagi keselesaan murid.

    Bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, mengambil kira situasi pandemik Covid-19, sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dijangka tetap diteruskan.

    Tambah beliau, sesi kemasukan ke sekolah juga akan dibuat secara bergilir dengan keutamaan diberikan kepada murid yang bakal menduduki peperiksaan.

    “Jadi saya cadangkan kerajaan menambah bajet untuk pembelian alat peranti khususnya kepada murid daripada keluarga B40.

    “Saya difahamkan sekolah akan bermula dengan kelas-kelas peperiksaan dahulu. Justeru kehadiran murid ke sekolah dalam satu-satu masa adalah terhad.

    “Murid akan lebih banyak terdedah kepada penggunaan peranti di rumah bagi mengikuti sesi pembelajaran,” beliau dilaporkan berkata kepada Sinar harian hari ini .

    Mengulas lanjut, Alimuddin berkata, berkait dengan penggunaan peranti tersebut, capaian kepada akses internet khususnya di kawasan pedalaman dan pulau juga mesti diberikan tumpuan bagi membolehkan murid di kawasan berkenaan dapat mengikuti sesi PdPR dengan lebih baik.

    Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan kerajaan menyediakan peruntukan bagi menaik taraf atau memperbaiki infrastruktur sekolah sedia ada.

    “Kita tahu di kawasan bandar besar, pertambahan penduduk di satu-satu tempat sangat pesat. Maka, pertambahan bilik darjah sangat diperlukan,” katanya.

    Alimuddin berkata, kerajaan juga wajar memberikan geran tahunan yang lebih banyak kepada sekolah bagi membolehkan guru mempelbagaikan aktiviti tanpa menumpukan kepada peperiksaan semata-mata.

  • Warga emas maut terjatuh dari tingkat 29

    Warga emas maut terjatuh dari tingkat 29

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG warga emas meninggal dunia selepas dipercayai tergelincir dan terjatuh dari tingkat 29, Blok F, bangunan Atarzia Park Forest City, Iskandar Puteri, awal pagi ini.

    Mangsa, Samsiyah Yakob, 66, terjatuh dari tingkat 29 dan tersangkut dibalkoni tingkat 16 sebelum kejadian pada pukul 2.58 pagi itu dimaklumkan kepada pihak pengurusan bangunan.

    Susulan itu seramai sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Iskandar Puteri dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke tempat kejadian.

    Mangsa merupakan warga Indonesia yang mendapat status Permaustautin Tetap dan tinggal bersama-sama anak angkatnya

    Komander Operasinya, Pegawai Bomba Kanan II Ishak Noh berkata, pihak bomba bertindak mengangkat mangsa dari balkoni sebelum serahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

    “Mangsa tinggal bersama-sama anak angkat mangsa berumur 13 tahun di rumah tersebut.

    “Mangsa merupakan warga Indonesia tersebut yang mendapat status Pemastautin Tetap,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Tambah beliau, operasi tamat pada pukul 4.55 pagi.

  • Dua lelaki sesat lima jam di Gunung Pulai

    Dua lelaki sesat lima jam di Gunung Pulai

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SETELAH lima jam tidak jumpa jalan keluar, dua lelaki yang sesat ketika menjalankan aktiviti riadah dengan mendaki Gunung Pulai, Kulai ditemukan malam tadi.

    Mangsa, Muhammad Syazwan Kamarulzzaman, 25 dan Muhammad Fadzrel Haziq Mohd. Farid, 16, berjaya ditemui pada pukul 10.15 di kawasan tersebut.

    Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai, Pegawai Bomba Kanan II, Wan Mohd. Azrul Wan Mahamad Shaf”ii berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu jam 5.30 petang.

    Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan bagi mengesan kedua-dua mangsa tersebut membabitkan seramai lapan anggota BBP Kulai.

    Pihak bomba melakukan operasi mecari dan menyelamat di sekitar kawasan Gunung Jerai dalam masa kira-kira lima jam

    “Berdasarkan maklumat diterima daripada saudara mangsa, terdapat dua lelaki dewasa telah sesat ketika melakukan aktiviti mendaki gunung.

    “Anggota bertindak menghubungi talian telefon mangsa bagi menjejaki lokasi semasa mereka tetapi rangkaian telefon tidak jelas.

    “Operasi yang dijalankan akhirnya berjaya menemukan mangsa setelah lebih lima jam mencari kira-kira pukul 10.45 malam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Kulai dengan menggunakan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) untuk mendapatkan pemeriksaan susulan.

    Katanya, setelah memastikan keadaan selamat, operasi ditamatkan pukul 1.15 pagi.

  • Muhyiddin perjuangkan sawit, bela nasib peneroka secara diam-diam

    Muhyiddin perjuangkan sawit, bela nasib peneroka secara diam-diam

    Saudara Pengarang,

    KENALI sikap Tan Sri Muhyiddin Yassin, beliau bukan ‘jenis berkokok’ dalam perbuatan. Dengan diam dan senyap beliau bantu apa yang sepatutnya demi kehidupan peneroka.

    Ada dua perkara bagaimana Muhyiddin membantu peneroka. Pertama, pengambilalihan saham FGV dan dipulangkan kepada Felda dan pelupusan hutang peribadi peneroka dengan Felda yang diwarisi berketurunan.

    Setelah menjadi Perdana Menteri, Muhyiddin telah cuba membetulkan keadaan dengan membeli semula kebanyakan saham FGV di pasaran terbuka sekali pun dan menjadikannya milik Felda kembali sepenuhnya dari terus menanggung rugi.

    Bukan perkara senang untuk ambil kembali saham di pasaran terbuka. Bukan semuanya milik kerajaan. Tetapi beliau berjaya.

    Bukan sahaja saham, pengambilalihan ini membawa bersama 68 kilang sawit, bangunan, tanah dan semua aset FGV ke dalam Felda semula.

    Hutang peneroka pula adalah hutang yang ditanggung peneroka sekian lama. Ada yang diwarisi daripada ayah kepada peneroka sekarang. Ada yang berhutang lebih RM100,000.

    Hutang-hutang ini adalah hutang peribadi mereka bersama Felda. Dari pinjaman ubahsuai rumah, pinjaman pelajaran anak, pinjaman pembelian alatan ladang, pinjaman pembelian motorsikal, pinjaman tanam semula, pinjaman perbelanjaan asas dan lain-lain.

    Semua hutang ini dilupuskan Muhyiddin sebanyak 80% bagi memastikan kehidupan peneroka lebih baik dan minimumkan jumlah hutang yang ada bagi memastikan hasil tuaian dapat dinikmati semaksimum mungkin.

    Ini akan menjadikan kuasa belian dan kewangan mereka akan semakin besar dan mengukuh.

    Dan semua ini dilakukan dengan diam, teliti dan sekelip mata tanpa apa-apa hebahan besar. Mengenali sikap Muhyiddin yang pendiam memang inilah sikapnya sejak dahulu. Diam dan terus  bekerja.

    Peneroka menjadi fokus utamanya kerana golongan ini ramai. Dan sepanjang memegang jawatan juga banyak usaha berkaitan sawit diusahakan Muhyiddin demi sawit negara.

    Semasa lawatan rasmi ke Indonesia, Muhyiddin telah tandatangani bersama Presiden Jokowi untuk membawa nasib sawit Malaysia dan Indonesia ke mahkamah antarabangsa kerana dewan Parlimen Kesatuan Eropah  memulakan langkah untuk mengharamkan penggunaan sawit asia di dalam jajahan mereka.

    Begitu juga sepanjang memimpin Malaysia, Muhyiddin berjaya membawa sawit ke dalam rundingan luar untuk mendapatkan pasaran luar negara secara besar dan konsisten. Antara negara terlibat adalah Arab Saudi dan Jepun yang telah bersetuju untuk adakan perjanjian sawit melebihi 1 juta tan untuk kedua-dua negara.

    Dan pada masa yang sama harga sawit sepanjang beliau memimpin juga tinggi akibat aktiviti penawaran yang sentiasa ada waima pandemik. Dalam diam beliau tahu apa perlu dilakukan untuk selamatkan apa yang patut. Dan beliau buktikan.

    Dalam rancangan pemulihan negara, banyak lagi pelan ransangan pemulihan akan dibuat bagi membantu ekonomi sektor lain seperti petani, penoreh dan sebagainya.

    Kelebihannya adalah fokus dalam sesuatu segmen dan habiskan tugasnya dengan teliti. Beliau tidak hiraukan tepuk sorak atau penghargaan. Tetapi apa kesan diperolehi kumpulan sasaran yang dirancangnya.

    Itulah cara kerja Tan Sri Muhyiddin Yassin. Semoga terus bekerja demi rakyat dan negara.

    MOHD EIN