Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

SERAMAI 19.60 individu (83.7 peratus) daripada populasi dewasa di negara ini telah lengkap menerima suntikan vaksin Covid-19 setakat semalam.

Data Kementerian Kesihatan (KKM) di portal COVIDNOW hari ini menunjukkan, sebanyak 93.7 peratus (21,944,808 individu) populasi dewasa telah menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin. 

Selain itu, seramai 28,982 atau 0.9 peratus daripada populasi remaja berusia 12 hingga 17 tahun telah melengkapkan suntikan vaksin setakat semalam. 

Bagi kedua-dua populasi, sebanyak 269,465 dos suntikan vaksin turut diberikan semalam melibatkan 117,196 dos pertama dan 152,269 dos kedua menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos vaksin sebanyak 41,457,628 menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK). 

PICK dilancarkan pada 24 Februari lalu bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik Covid-19 di seluruh negara.

Sementara itu, sebanyak 278 kes kematian akibat Covid-19 dicatatkan setakat pukul 11.59 malam tadi (26 Sept), menjadikan jumlah kumulatif kematian kini adalah 25,437.

Menurut portal GitHub KKM, jumlah itu merangkumi sembilan kematian sebenar COVID-19 dicatatkan dalam tempoh 24 jam (26 Sept), manakala selebihnya adalah kes kematian tertunggak atau ‘backlog’. 

Bagaimanapun, angka itu boleh berubah sekiranya terdapat kes kematian yang dikemas kini.

Berdasarkan graf purata jumlah kes kematian harian sebenar selama tujuh hari pula, sebanyak 90 kematian sebenar akibat Covid-19 dicatatkan. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here