Author: Admin

  • 18 mangsa banjir di Johor dipindahkan ke PPS

    18 mangsa banjir di Johor dipindahkan ke PPS

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SERAMAI 18 mangsa banjir melibatkan tiga keluarga dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Aman, Batu Pahat, pada jam 11 malam tadi.

    Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R. Vidyananthan berkata, mangsa banjir berkenaan dari Loring 1,2 dan 3 Kampung Bahru Seri Gading selepas kediaman mereka dilanda banjir kilat.

    “Agensi berkaitan masih memantau perkembangan di kampung tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

    Sementera di Kulai katanya, sebuah PPS di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Batu yang dibuka pada 6 petang semalam susulan banjir kilat di kampung itu ditutup pada pagi ini.

    Beliau berkata, 74 mangsa banjir daripada 22 buah keluarga sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing kerana banjir sudah surut.

    “PPS SMK Bukit Batu ditutup sepenuhnya pada 12 tengah hari dan sebelum itu pasukan Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) sudah membuat kerja-kerja sanitasi.

    “Pasukan kesihatan dari Pusat Kesihatan Daerah juga membuat pemeriksaan kesihatan mangsa di PPS ini. Keadaan cuaca cerah namun pemantauan berterusan dari semasa ke semasa oleh agensi-agensi berkaitan teruskan di kawasan berisiko,” katanya.

  • Ibu kepada pelajar rebah akui anak terlampau gementar

    Ibu kepada pelajar rebah akui anak terlampau gementar

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    IBU kepada pelajar yang rebah selepas pengambilan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Encore, Klebang di Melaka mengakui anak bongsunya itu terlalu gementar ketika hadir menerima suntikan dos pertama, semalam.

    Ulfa Amat Daris, 41, berkata, anaknya, Muhammad Azim Hassan, 13, sebenarnya hanya terlalu gemuruh ketika hadir menerima vaksin pada pukul 11 pagi itu sehingga menyebabkan dia longlai selepas disuntik dan bukannya berpunca daripada vaksin jenis Pfizer yang diterimanya.

    “Jangan takut, vaksin tiada masalah malah tiga anak saya yang lain berumur 17, 19, dan 21 tahun juga sudah dapat vaksin masing-masing dan mereka semua baik sahaja cuma anak bongsu ini perasaan dia terlalu takut.

    “Tolonglah jangan sebarkan cerita yang bukan-bukan, malah saya juga tidak sahu siapa yang merakamkan video berkenaan sehingga menimbulkan pelbagai dakwaan mengenai vaksin,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Duyong, hari ini.

    Terdahulu, Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali dan Timbalan Pengarah Kesihatan negeri (Kesihatan Awam), Dr. Rusdi Abd. Rahmad mengunjungi keluarga berkenaan.

    Video memaparkan remaja itu longlai selepas menerima suntikan vaksin Covid-19 tular sejak semalam sehingga menimbulkan pelbagai reaksi dan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat.

    Justeru, Ulfa berharap orang ramai segera menghentikan perkongsian video berkenaan yang hanya akan menjejaskan usaha kerajaan untuk memastikan keselamatan dan kesihatan kanak-kanak dan remaja di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja.

    “Saya kecewa bila sampai ke tahap mengatakan anak saya sudah meninggal, itu semua tidak betul sampai anak mengadu rasa malu. Tolonglah hentikan sebar perkara-perkara begini.

    “Vaksin ni sebenarnya ikhtiar kita untuk pastikan anak dilindungi daripada virus, malah saya akan pastikan dia terima dos kedua yang dijadual pada 21 Oktober ini,” katanya.

  • Kapasiti jemaah umrah dinaikkan kepada 100,000 orang sehari

    Kapasiti jemaah umrah dinaikkan kepada 100,000 orang sehari

    KEMENTERIAN Haji dan Umrah Arab Saudi mengumumkan kapasiti harian bagi jemaah umrah dinaikkan kepada 100,000 bermula hari ini.

    Bilangan jemaah solat fardhu turut dinaikkan kepada 60,000 orang.

    Menurut akaun Twitter kementerian itu, pihaknya berkoordinasi dengan agensi-agensi berkaitan dalam melaksanakan pelan strategik yang menumpu kepada kesihatan dan keselamatan sebagai persediaan menerima 3.5 juta jemaah dan pengunjung sebulan.

    Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi paada awal September lepas mengumumkan seramai 10 juta jemaah telah mengerjakan ibadah umrah sejak pelancaran ‘model Umrah yang selamat’ pada 4 Oktober 2020.

    Selain itu, kementerian turut mendedahkan lebih daripada 12,000 visa telah dikeluarkan oleh kerajaan Arab Saudi bagi menyambut kedatangan jemaah dari pelbagai negara sejak 10 Ogos lalu.

    Sementara itu, Jabatan Tertinggi bagi Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi berkata pihaknya bersedia menerima kedatangan lebih ramai jemaah daripada dalam dan luar Arab Saudi serta menyediakan perkhidmatan terbaik untuk memudahkan segala urusan jemaah.

    “Segala operasi dan persiapan menyambut kedatangan jemaah mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan semua langkah pencegahan yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi untuk memudahkan jemaah mengerjakan umrah”, katanya. – Bernama
     

  • Pelajar rebah di PPV Encore Melaka libat dua kes berlainan

    Pelajar rebah di PPV Encore Melaka libat dua kes berlainan

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    JABATAN Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) mengesahkan terdapat dua kes berbeza melibatkan dua orang pelajar yang rebah di parkir Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Encore, Klebang di Melaka selepas pengambilan vaksin masing-masing.

    Timbalan Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) negeri, Dr. Rusdi Abd. Rahman berkata, kes pertama melibatkan video yang tular, iaitu seorang remaja 13 tahun dari sebuah sekolah menengah di daerah itu.

    Kes kedua pula katanya, adalah seorang kanak-kanak 12 tahun dari sebuah sekolah rendah yang hadir secara walk-in bersama keluarga ke PPV yang sama dan pada hari yang sama.

    “Semasa proses vaksinasi, remaja 13 tahun itu sangat gementar tetapi tiada sebarang kesan sampingan yang dilihat selepas vaksinasi atau sepanjang tempoh pemerhatian.

    “Siasatan lanjut mendapati, remaja tersebut tidur awal sebelum hari kejadian dan telah mengambil sarapan pagi serta tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan atau alahan sebelum ini.

    “Kejadian tersebut berlaku disebabkan remaja tersebut terlalu gementar dan menyebabkan beliau mengalami pengsan (vasovagal attack),” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Tambah Rusdi, bagi kes kanak-kanak 12 tahun pula, murid itu juga dilihat gementar tetapi turut tiada sebarang kesan sampingan sepanjang proses vaksinasi dan tempoh pemerhatian.

    Namun, dia mengadu sakit kepala dan kemudian lemah sebelum dibawa masuk semula ke PPV.

    “Hasil siasatan lanjut mendapati, kes kedua ini telah tidur lewat iaitu pada pukul 2 pagi, selain tidak berselera makan dan hanya makan sesudu nasi lemak pada pagi itu sebelum ke PPV.

  • Vaksin Sinovac lulus untuk remaja berusia 12 tahun ke atas

    Vaksin Sinovac lulus untuk remaja berusia 12 tahun ke atas

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) meluluskan secara bersyarat bagi penggunaan vaksin CoronaVac kepada golongan berusia 12 tahun dan ke atas.

    Kelulusan itu diberikan dalam Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kali ke-364 telah bersidang pada hari ini.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, vaksin keluaran Sinovac Life Sciences Co. Ltd.,China dan Pharmaniaga Lifesciences Sdn Bhd, Malaysia itu diluluskan pendaftaran bersyarat bagi penggunaan dalam kalangan individu berumur 18 tahun dan ke atas.

    “Ini merupakan vaksin COVID-19 kedua yang diluluskan untuk penggunaan bagi golongan remaja selepas kelulusan sama diberikan kepada vaksin Cominarty, keluaran Pfizer-BioNTech pada bulan Jun 2021,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Dr. Noor Hisham berkata, walau bagaimanapun, PBKD menyarankan agar penggunaan vaksin CoronaVac dalam kalangan remaja berusia 12 hingga 17 tahun buat masa ini diutamakan kepada remaja tanpa komorbiditi dan yang mempunyai masalah alahan atau tidak sesuai untuk menerima vaksin Comirnaty.

    “Penilaian bagi penggunaan CoronaVac dalam kalangan remaja dengan komorbiditi akan diteruskan sebaik sahaja data yang dikemukakan mencukupi.

    “KKM ingin memaklumkan bahawa kelulusan pendaftaran bersyarat ini memerlukan maklumat kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk vaksin tersebut dipantau dan dinilai berdasarkan data-data terkini dari semasa ke semasa.

    “Ia bagi memastikan perbandingan manfaat-risiko (benefit over risk) bagi vaksin tersebut kekal positif,” ujarnya.

  • Pemandu maut tercampak selepas MPV langgar lori muatan buah-buahan, ayam

    Pemandu maut tercampak selepas MPV langgar lori muatan buah-buahan, ayam

    SEORANG lelaki maut selepas kenderaan yang dipandunya terbabit kemalangan dengan dua buah lori di Kilometer 316.3 Lebuhraya Utara- Selatan arah utara, Tapah, hari ini.

    Nahas pada pukul 4.30 pagi itu mengakibatkan, mangsa, Tan Ying Ming, 54, yang memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Innova disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

    Menurut Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail, kemalangan itu melibatkan sebuah MPV dan dua lori yang membawa muatan buah-buahan dan ayam.

    Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan itu dipercayai berlaku apabila MPV terbabit melanggar bahagian belakang lori yang membawa buah-buahan.

    “MPV berkenaan dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Ipoh, apabila sampai di lokasi kejadian telah melanggar bahagian belakang lori yang menuju ke arah sama di lorong kiri.

    “Akibat pelanggaran itu, MPV terbabit terbabas ke lorong kanan dan dilanggar sebuah lori yang membawa muatan ayam sebelum kedua-duanya kenderaan tersebut terbakar,” katanya.

    Wan Azharuddin berkata, nahas itu menyebabkan mangsa tercampak keluar dan mengalami kecederaan parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia.

    “Mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Tapah dan bedah siasat akan dijalankan pada Sabtu selepas mendapat keputusan ujian calitan Covid-19.

    “Kedua-dua pemandu lori berusia 49 dan 58 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan. Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

    Sementara itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak memaklumkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tapah bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada pukul 4.49 pagi.

    “Terdapat sebuah lori muatan ayam musnah 60 peratus manakala MPV terbabit musnah 90 peratus dalam nahas itu.

    “Anggota melakukan pemadaman menggunakan dua aliran air sehingga api padam sepenuhnya dan operasi tamat pada pukul 5.48 pagi,” katanya.

  • Covid-19: 192 kematian, 47 kes BID

    Covid-19: 192 kematian, 47 kes BID

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) melaporkan sebanyak 192 kematian berkaitan Covid-19 termasuk kes tertunggak sehingga malam tadi.

    Menerusi perkongsian portal COVIDNOW, sebanyak 47 daripada kes yang dilaporkan merupakan kematian di luar fasiliti kesihatan (BID).

    Sarawak melaporkan kes tertinggi dengan 40 kematian diikuti Johor (34), Perak (23), Pulau Pinang (21), Sabah (20), Selangor (18), Kedah (sembilan), Terengganu (lapan), Kuala Lumpur (tujuh), Perlis (empat), Melaka (empat) dan Negeri Sembilan (dua).

    Kelantan dan Pahang masing-masing melaporkan satu kes manakala tiada kes kematian dilaporkan di Labuan serta Putrajaya menjadikan jumlah kumulatif kes kematian adalah 26,335 kes.

    Sebanyak 164,536 kes aktif dilaporkan di seluruh negara yang mana 136,436 pesakit menjalani kuarantin di rumah, Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) (18,263) dan hospital (8,913).

    Seramai 414 pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi dan tidak memerlukan bantuan pernafasan manakala 510 yang lain memerlukan mesin ventilator.

    Sementara itu, peratusan individu yang telah lengkap dos suntikan vaksin Covid-19 terus meningkat kepada 86.3 peratus daripada populasi dewasa dengan sekurang-kurangnya 94.2 peratus populasi dewasa sudah mendapat suntikan pertama.

    Bagi suntikan terhadap remaja pula, 1.7 peratus telah lengkap menerima dos vaksin Covid-19 dengan 47.6 peratus mendapat suntikan pertama.

    Sebanyak 329,163 dos diberikan semalam membabitkan pemberian dos pertama 167,443 dan 161,720 dos kedua.

    Jumlah keseluruhan dos yang telah diberikan sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bermula Februari lalu adalah 43,696,743.

  • JKN Kedah nafi remaja maut akibat kesan suntikan vaksin

    JKN Kedah nafi remaja maut akibat kesan suntikan vaksin

    Oleh RIZQI ZABIDI

    JABATAN Kesihatan Negeri (JKN) Kedah menafikan dakwaan terdapat seorang remaja perempuan yang maut di Baling, Kedah baru-baru ini disebabkan oleh kesan suntikan vaksin Covid-19.

    Pengarahnya, Dr. Othman Warijo berkata, siasatan segera dijalankan pihaknya mendapati kematian remaja tersebut tiada kena mengena dengan kesan sampingan vaksin sebaliknya disebabkan ‘ruptured thoracic aneurysm’ (saluran darah pecah).

    Katanya, dakwaan yang tular kononnya remaja itu merupakan pelajar sekolah juga tidak benar kerana dia sebenarnya merupakan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

    “Remaja tersebut telah menerima satu dos suntikan vaksin Covid-19 pada 5 September 2021 di Pusat Pemberian vaksin Covid-19 pada 5 September 2021. Dia kemudiannya ada mengadu sakit perut pada 19 September 2021 dan diberi rawatan di Hospital Baling.

    Dr. Othman Warijo

    “Namun begitu selepas 20 hari divaksin iaitu pada 25 September 2021, remaja berkenaan dibawa ke Hospital Baling kerana tidak sedarkan diri. Tahap kesihatannya cepat merudum dan kemudiannya disahkan meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Tambahnya, jenazah remaja itu telah dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk dibedah siasat.

    “Hasil bedah siasat mendapati arwah meninggal dunia akibat ruptured thoracic aneurysm dan tiada kaitan dengan suntikan vaksin Covid-19. Laporan penuh bedah siasat sedang disediakan,” katanya.

    Tambahnya, JKN Kedah mengucapkan takziah kepada keluarga arwah di atas kehilangan tersebut.

    “Jabatan ini ingin menasihati masyarakat umum supaya tidak mempercayai serta menyebarkan berita tidak disahkan dan mendapatkan maklumat sahih berkaitan Covid-19 serta vaksinasi,” katanya.

  • 4.78 juta korban, 233.5 kes juta Covid-19 seluruh dunia

    4.78 juta korban, 233.5 kes juta Covid-19 seluruh dunia

    JOHNS Hopkins University (JHU) menerusi kajian terbahrunya memaklumkan, kumulatif kes positif Covid-19 di seluruh dunia ketika ini melepasi 233.57 juta.

    Menurut data JH perkembangan itu berikutan lebih ratusan ribu kes baharu dikesan dalam tempoh 24 jam lalu.

    Data terbaharu JHU juga menunjukkan Amerika Syarikat (AS) kekal negara paling teruk terjejas dengan 43 juta kes.

    Ini diikuti India dengan lebih 33.7 juta kes dan Brazil dengan lebih 21.3 juta kes.

    United Kingdom, Rusia, Perancis dan Turki antara negara yang mencatatkan lebih 7 juta kes.

    Argentina catata angka lebih 5 juta diikuti Colombia serta Sepanyol yang semakin hampir kepada jumlah tersebut.

    Bagi Asia Tenggara pula, Indonesia mendominasi angka tertinggi kes Covid-19 dengan hampir 4.2 juta kes.

    Ini diikuti Filipina dengan lebih 2.5 juta, Malaysia lebih 2.2 juta kes, Thailand dengan 1.5 juta kes, manakala singapura merekodkan lebih 94,000 kes.

    Sementara itu, angka kematian akibat Covid-19 di seluruh dunia kini melebihi 4.778 juta.

    AS kekal merekodkan jumlah kematian tertinggi melebihi 696,000 kes.

    Ini diikuti Brazil dengan lebih 596,000 kes, India lebih 448,000 kes, Mexico lebih 276,000 kes, sementara Rusia kini mencatat lebih 203,000 kematian.

    United Kingdom, Itali dan Perancis pula merekodkan lebih 100,000 kes kematian.

    Negara yang merekodkan angka korban melebihi 93,000 kes ialah Jerman sementara Sepanyol melebihi 86,000 kes.

    Bagi Asia Tenggara, Indonesia mendominasi angka kematian dengan lebih 141,000 kes korban.

    Filipina di tangga kedua korban tertinggi dengan lebih 38,000 diikuti Malaysia dengan 26,000 kes, manakala Thailand dengan lebih 16,000 angka korban.

  • Imigresen tahan 297 PATI tinggal berhimpit dalam kontena

    Imigresen tahan 297 PATI tinggal berhimpit dalam kontena

    JABATAN Imigresen Malaysia (Imigresen) menahan 297 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam satu operasi penguatkuasaan di sebuah kawasan rumah kongsi di Jalan Eco Majestic 1/2c, Kajang awal pagi ini.

    Menurut Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Khairul Dzaimee Daud, seramai 326 warga asing yang tinggal dalam tujuh buah kontena diperiksa menerusi operasi itu yang bermula pukul 12 tengah malam.

    “Operasi ini hasil daripada aduan penduduk sekitar di mana kalau kita perhatikan kawasan ini dikelilingi apartmen, rumah teres dan banglo mewah.

    “Penduduk sekitar membuat aduan berkenaan penempatan tersebut yang berada dalam keadaan sesak dan tidak mematuhi aspek kebersihan serta berpotensi menjadi kawasan pembiakan denggi,” katanya kepada media ketika ditemui hari ini.

    Katanyaairul, kebanyakan warga asing tersebut dipercayai bekerja sebagai buruh binaan dan sektor perkilangan malah ada yang menjalankan perniagaan sendiri.

    Khairul Dzaimee berkata, kawasan penempatan tersebut jelas melanggar Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja atau Akta 446.

    Bagi kesalahan tidak mematuhi Akta 446 itu, majikan boleh didenda sebanyak RM50,000 malah ada yang pernah dikenakan denda mencecah RM350,000 sebelum ini, katanya.

    Jelasnya, kesemua yang ditahan terdiri daripada 94 lelaki dan 28 wanita Indonesia, 95 lelaki Bangladesh, 66 lelaki Myanmar, seorang lelaki Ghana serta enam lelaki dan tujuh wanita Vietnam.

    “Kehadiran wanita warga asing yang ramai ini khususnya daripada Vietnam menimbulkan keraguan kerana disyaki menjalankan aktiviti yang tidak bermoral,” ujarnya.

    Katanya, kesemua PATI direman selama 14 hari di depoh Imigresen Semenyih untuk siasatan lanjut.

    “Mereka yang ditahan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1) kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah atau Seksyen 15(1)c iaitu tinggal lebih masa,” katanya.