Author: Admin

  • Rancangan menyeluruh kawal keselamatan Sabah

    Rancangan menyeluruh kawal keselamatan Sabah

    KERAJAAN mempunyai perancangan menyeluruh dalam mengekal serta menambah kawalan keselamatan khususnya di Sabah, kata Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

    Beliau berkata, langkah itu antaranya melibatkan pembinaan Kem 5 Briged baharu selain pemantauan bersama ketiga-tiga cabang perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di kawasan dikenal pasti berisiko menerima ancaman keselamatan.

    “Kem tentera baharu di Felda Sahabat, Kem 5 Briged di Kota Belud yang bakal dibina akan bertindak sebagai ‘in-depth element’ yang sentiasa bersiap sedia membantu ‘forward element’ di persempadanan sekiranya diperlukan dalam mempertahankan Sabah daripada ancaman.

    “Pengawasan keselamatan di Sabah khususnya di kawasan pantai timurnya diperkukuh dengan pemantauan ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM di Kem Kukusan Tawau,” katanya pada sesi penggulungan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat, hari ini.

    Hishammuddin memberitahu, pihak Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ditempatkan di Markas Pemerintahan Armada Timur di Kota Kinabalu bagi memerintah pangkalan laut di Sabah dan Sarawak.

    “Markas Wilayah Laut 2 (MAWILLA 2) ditempatkan di Sandakan bagi memantau pantai timur Sabah sementara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menempatkan Markas Udara di Labuan serta pusat bantuan operasi udara di Tawau bagi tujuan memantau keselamatan ruang udara negeri itu,” katanya.

    Beliau memberitahu, bagi memperkukuhkan lagi keselamatan, Kementerian Pertahanan sedang membangunkan Pangkalan TLDM Markas Wilayah Laut 4 (MAWILLA 4) di Sarawak khususnya di Bintulu.

    “Ini semua dalam perancangan kami dan ia dibuat secara berperingkat, apa yang saya bentangkan difahamkan mencukupi untuk menjamin keselamatan Sabah buat masa ini.

    “Tapi pada masa akan datang sekiranya cukup peruntukan anggota dan aset untuk diberi tumpuan akan turut tertumpu di kawasan lain ni negeri itu,” katanya.

    Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, kemajuan projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) TLDM yang dimulakan pada tahun 2010 dan diluluskan pada 23 Mac 2011 menerusi RMK10 dan RMK11 kini mencapai 57.05 peratus berbanding jadual perancangan kerja asal iaitu 95.94 peratus.

    “Sehingga 15 September lalu, itu yang dicapai dan secara keseluruhan perolehan ini mengalami kelewatan 38.89 peratus justeru di atas kelewatan ini kerajaan kenakan denda lewat kira-kira RM80.6 juta,” katanya.

    Beliau berkata demikian menjawab celahan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) yang mempersoalkan perolehan tender telus berhubung projek perolehan LCS. – Bernama

  • Kerajaan tidak pinggirkan institusi pendidikan islam – KP Jakim

    Kerajaan tidak pinggirkan institusi pendidikan islam – KP Jakim

    KERAJAAN tidak pernah lepas tangan atau meminggirkan institusi pendidikan Islam ketika negara dilanda wabak COVID-19, kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Abdul Aziz Jusoh.

    Namun, beliau juga tidak menafikan terdapat beberapa institusi pendidikan Islam yang menghadapi kesulitan untuk meneruskan operasi antaranya disebabkan mengalami kekangan kos pengurusan.

    Menurutnya, sejak awal tahun hingga Ogos ini, kerajaan melalui Jakim telah menyalurkan bantuan berjumlah RM60 juta kepada 1,066 institusi di seluruh negara manakala RM244,400 disumbangan melalui Tabung Musaadah COVID-19 Jakim-Yayasan Waqaf Malaysia.

    “Jakim pada ketika ini sedang berusaha dengan pelbagai cara bagi membantu institusi pendidikan Islam agar dapat melangsungkan operasinya demi anak bangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Kenyataan tersebut dikeluarkan susulan dakwaan kononnya kerajaan meminggirkan institusi pendidikan Islam seperti pondok, tahfiz dan sekolah agama di bawah penyelarasan Lembaga Penasihat Penyelarasan Pendidikan dan Pelajaran Agama Islam (LEPAI) sepanjang tempoh pandemik COVID-19.
     
    Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata, sejak berlakunya penularan COVID-19, kerajaan melalui Jakim sentiasa bekerjasama dengan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan bagi memastikan keselamatan warga institusi pendidikan Islam terjamin.


    Katanya kerajaan telah mengambil langkah segera dengan melaksanakan saringan bagi mengesan dan menyekat penularan COVID-19 dalam kalangan warga institusi pendidikan Islam.

    Kerajaan juga mengambil tanggungjawab menyediakan prosedur operasi standard (SOP) bagi memudahkan rujukan dan panduan oleh institusi yang dijangkiti COVID-19, katanya.

    Melalui bantuan Kementerian Pelajaran (KPM), katanya Jakim telah menerbitkan Garis Panduan Pengurusan Pengoperasian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain dan Sekolah Agama Dalam Norma Baharu sebagai rujukan kepada institusi pendidikan Islam untuk beroperasi. – Bernama

  • Tarikh siap ECRL masih kekal pada 31 Dis 2026 – Wee Ka Siong

    Tarikh siap ECRL masih kekal pada 31 Dis 2026 – Wee Ka Siong

    SASARAN penyiapan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) masih kekal setakat ini iaitu pada 31 Dis 2026 bagi seksyen A dari Kota Bharu ke Dungun dan B dari Dungun ke Temerloh, Dewan Rakyat dimaklumkan hari ini.

    Bagaimanapun, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong berkata penyiapan Seksyen C iaitu dari Temerloh ke Pelabuhan Klang dijangka mengalami kelewatan selama 12 bulan iaitu pada 31 Dis 2027.

    Dari segi kemajuan projek, beliau berkata hingga 31 Ogos lepas, pembinaan keseluruhan projek ini telah mencapai kemajuan sebenar sebanyak 23.96 peratus berbanding jadual sebanyak 25 peratus, lewat sedikit daripada jadual iaitu 1.04 peratus akibat pelaksanaan PKP.

    Hingga tempoh sama, katanya bagi seksyen A, kemajuan kerja fizikal telah mencapai 11.59 peratus berbanding jadual sebanyak 12.01 peratus, manakala bagi seksyen B, 28.04 peratus berbanding jadual sebanyak 26.9 peratus merangkumi kerja-kerja tanah dan pembinaan terowong di Dungun, Paka dan Kuantan.

    “Kerja-kerja awalan bagi pembinaan terowong di Gambang, Sri Jaya, Gedung Siam dan Paya Pasir juga giat dijalankan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

    Beliau menjawab soalan Wan Hassan Mohd Ramli (PAS-Dungun) yang mahu tahu perkembangan terkini projek ECRL setakat ini dan jangkaan perubahan tarikh siap projek itu.

    Bagi Seksyen C, Wee berkata kerajaan kini masih mengkaji jajaran terbaik bagi memastikan projek berkenaan memberi impak ekonomi yang maksimum.

    “Jajaran yang terbaik dan memberi impak maksimum kepada rakyat seperti yang diumumkan pada 5 April 2021. Dalam hal ini, adalah penting ECRL dipastikan tersambung secara strategik dengan jaringan logistik rel kebangsaan.

    “Dalam hal ini, cadangan penjajaran balik kepada jajaran utara asal, iaitu Temerloh-Gombak-Serendah dan dilanjutkan ke Pelabuhan Klang telah dipertimbangkan oleh Jemaah Menteri pada 21 Ogos 2020 dan Mesyuarat Majlis Perancangan Fizikal Negara pada 13 Ogos 2020 serta diluluskan secara prinsip oleh Jemaah Menteri pada 21 Ogos 2020 dan 2 Sept 2020,” katanya. – Bernama

  • Hutang kerajaan kekal terkawal, RM965.3 bil setakat Ogos

    Hutang kerajaan kekal terkawal, RM965.3 bil setakat Ogos

    TIMBALAN Menteri Kewangan I, Mohd. Shahar Abdullah memberitahu, kedudukan hutang kerajaan ketika ini adalah kekal terkawal meskipun pinjaman dibuat bagi membiayai pakej-pakej bantuan dan projek pembangunan bagi menyokong objektif Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

    Beliau menjelaskan, pada akhir Ogos 2021, hutang negara mencatat RM965.3 bilion atau 63.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

    Sementara hutang statutori katanya, yang merangkumi instrumen Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS), Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) dan MITB (Bil Perbendaharaan Islam Malaysia) mencatatkan 59.2 peratus daripada KDNK sehingga Ogos 2021.

    “Ini masih berada di bawah 60 peratus daripada KDNK yang telah ditetapkan,” katanya pada sesi penggulungan RMK-12 di Dewan Rakyat hari ini.

    Mengulas lanjut, Mohd Shahar berkata perbelanjaan yang dilakukan kerajaan sudah pasti memberi impak berganda kepada ekonomi rakyat.

    Bagaimanapun, katanya beberapa langkah akan diambil untuk meringankan beban hutang kerajaan termasuk melaksanakan reformasi fiskal.

    Ia termasuk melalui Akta Tanggungjawab Fiskal dan Rangka Kerja Fiskal Jangka Sederhana untuk memacu langkah konsolidasi fiskal pasca krisis.

    “(Langkah itu merangkumi) Mengkaji dan menambah baik sistem percukaian sedia ada, memperluaskan asas hasil, memanfaatkan potensi sektor tidak formal, mengurangkan amalan kurang lapor dan isytihar, mengurangkan ketirisan cukai serta menambah baik pentadbiran cukai,” katanya.

  • Pergolakan politik di Melaka tidak mustahil berlaku di Johor – MB

    Pergolakan politik di Melaka tidak mustahil berlaku di Johor – MB

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PERGOLAKAN politik di Melaka boleh terjadi di mana-mana negeri termasuk Johor yang mempunyai majoriti tipis.

    Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, setakat ini pihaknya tidak mendengar sebarang cakap-cakap berhubung kemungkinan perkara itu berlaku.

    “Ini boleh berlaku kepada mana-mana negeri yang mempunyai majoriti tipis termasuk Johor.

    “Saya tidak menolak atau tidak mendakwa bahawa keadaan itu tidak boleh berlaku di Johor kerana juga boleh berlaku pada Johor atau pada mana-mana negeri,” katanya selepas melancarkan Modul Jauhar serta Majlis Perasmian Jauhar Child Care (JCC) di Kota Iskandar, Iskandar Puteri, hari ini.

    Terdahulu, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh memaklumkan DUN Melaka dibubarkan berkuat kuasa semalam.

    Ab. Rauf memaklumkan keputusan tersebut dibuat Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam dalam sesi sidang akhbar di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka.

    “Sehubungan dengan itu, Yang Dipertua Negeri telah membuat pertimbangan dan bersetuju untuk membubarkan DUN Melaka ke-14,” katanya seperti yang dilaporkan.

    Dalam pada itu, Hasni memberitahu, jika Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka telah membuat keputusan untuk membubarkan DUN, keputusan sama ada Pilihan Raya Negeri akan dilakukan atau tidak bergantung kepada kerajaan Pusat.

    “Sekiranya Dewan Negeri buat keputusan pembubaran, ianya terpulang kepada kerajaan pusat sama ada bersetuju atau tidak Pilihan Raya diadakan,” ujarnya.

  • Kerjasama ASEAN dalam bidang ketenteraan boleh jamin keselamatan rantau – Hishammuddin

    Kerjasama ASEAN dalam bidang ketenteraan boleh jamin keselamatan rantau – Hishammuddin

    KERJASAMA ASEAN yang kukuh dalam bidang ketenteraan boleh menjamin keselamatan dan kestabilan rantau itu daripada sebarang ancaman luar.

    Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, tidak boleh dinafikan gabungan tentera 10 negara dalam ASEAN ini dilihat lebih berkemampuan untuk berdepan kuasa besar berbanding kekuatan hanya sebuah negara.

    Perkara sama katanya, dibangkitkan Menteri Pertahanan Indonesia dalam perbualan telefon dengannya semalam mengenai kepentingan kesemua negara ASEAN untuk berinteraksi lebih dekat terutama susulan pakatan strategik baharu Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat (AUKUS).

    Bagaimanapun, pada sesi penggulungan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat hari ini, Hishammuddin berkata ini tidak bermakna negara ASEAN tidak perlu terus mendampingi kuasa-kuasa yang terlibat dengan AUKUS.

    “Kebetulan utusan khas dari Australia, Naib Laksamana Australia akan datang jumpa saya hari ini. Apa kita lakukan melalui diplomasi ini bukan untuk mengatakan bahawa kita ini hebat sangat tetapi sekurang-kurangnya kita ada pendirian kita sebagai sebuah negara berdaulat.

    “Dalam masa sama, 10 negara dalam ASEAN pun ada pendirian dan kekuatan, yang ada dalam kumpulan 10 negara ini boleh diutarakan kepada mana-mana pihak yang cuba menidakkan kedudukan kita di rantau ini,” katanya.

    Beliau berkata demikian menjawab celahan Mohamad Sabu (Amanah-Kota Raja) yang mencadangkan ASEAN sebagai sebuah blok pakatan negara Asia Tenggara memainkan peranan penting dalam sesi-sesi dialog dengan negara besar terutama sekiranya melibatkan keselamatan rantau ini.

    Mengulas lanjut, Hishammuddin berpendapat ia satu cadangan yang tepat dan merupakan teras keenam di bawah pelan strategik Kementerian Pertahanan iaitu pengukuhan kerjasama antarabangsa dalam menjamin pertahanan negara. – Bernama

  • Bekalan elektrik, air ke KRC dijangka lengkap tahun depan

    Bekalan elektrik, air ke KRC dijangka lengkap tahun depan

    Oleh RIZQI ZABIDI

    KERAJAAN negeri Kedah akan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas melibatkan semua agensi bagi memastikan bekalan air serta elektrik ke Bandar Raya Getah Kedah (KRC) di Padang Terap, mencapai tahap yang mencukupi untuk kegunaan pelabur di situ dalam tempoh setahun akan datang.

    Menteri Besarnya, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, langkah itu penting bagi memastikan para pelabur di KRC yang kini berada di tahap pembinaan bagi fasa satu, dapat beroperasi secepat mungkin sekali gus mewujudkan limpahan nikmat terutamanya dari sudut ekonomi bagi negeri itu.

    Menurutnya, sebelum ini beliau dimaklumkan tempoh untuk menyiapkan bekalan elektrik mencukupi ke kawasan itu secara kebiasaannya dijangka akan mengambil masa lima tahun.

    “Sebelum ini pun kita ada minta agar tempohnya dipercepatkan dan pihak berwajib memaklumkan mereka mungkin boleh singkatkan masanya kepada dua tahun setengah.

    “Namun dengan daya usaha yang ada, kita beri tempoh hingga setahun untuk mereka laksanakan semua itu. Insya Allah perkara ini dapat dilaksanakan dengan sebuah jawatankuasa akan diwujudkan bagi tujuan berkenaan,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menerima kunjungan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid di pejabatnya, hari ini.

    Sabtu lalu Mahdzir ketika berkunjung ke tapak pembinaan KRC menggesa kerajaan negeri supaya menyegerakan pembinaan loji rawatan dan bekalan air di tapak projek tersebut bagi memenuhi keperluan operasi para pelabur.

    Selain isu air, Mahdzir turut menggesa kerajaan negeri memberi perhatian terhadap isu bekalan elektrik yang tidak mencukupi selain perkara berkaitan pengambil alihan tanah.

    Mengulas lanjut Muhammad Sanusi berkata, pihaknya sudah mengarahkan Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) untuk mengadakan perbincangan dengan beberapa pihak bagi mengatasi masalah air di situ.

    “Saya harap dalam tempoh setahun ini, kita sudah ada loji rawatan air yang khusus buat KRC. Selepas ini dijangka akan ada satu lagi loji akan dibina di Kuala Nerang yang akan menggunakan air dari Sungai Padang Terap, berdekatan situ.

    “Insya Allah jika ada lebihan, air itu juga boleh disalurkan untuk kegunaan domestik,” katanya.

  • Tourism Malaysia promosi produk pelancongan Terengganu

    Tourism Malaysia promosi produk pelancongan Terengganu

    Oleh MOHD. LAZIM ENDUT

    BAGI membantu memulih dan mempertingkatkan semula industri pelancongan Terengganu yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19, Tourism Malaysia akan terus berperanan mempromosikan setiap produk baharu dalam sektor tersebut.

    Menurut Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Timur, Hafiz Hazin, kaedah itu amat penting bagi membantu pemain industri pelancongan dapat ‘bernafas’ dengan pendekatan aktiviti menarik lebih ramai pengunjung domestik.

    Sebagai contoh katanya, aktiviti produk baharu di Pulau Lang Tengah yang dinamakan ‘Via Ferrata’ menawarkan pelbagai pilihan kepada pelancong domestik setelah pintu sempadan negeri dibuka tidak lama lagi.

    Beliau memberitahu, program baharu itu merupakan hasil usaha dijayakan Summer Bay Lang Island Resort, Pulau Redang dan dijangka bakal menjadi tarikan para pengunjung.

    “Saya percaya melalui pendekatan aktiviti meniti di tepi batu berlatar belakangkan Laut China Selatan, ia mampu menjadi satu tarikan baharu yang agak unik.

    Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Timur, Hafiz Hazin

    “Ia merupakan salah satu produk yang akan kita tawarkan untuk menarik lebih ramai pelancong tempatan datang ke Terengganu khususnya ke Pulau Lang Tengah sebaik sahaja pintu sempadan negeri dibuka kelak,” katanya kepada media di Kuala Terengganu, hari ini.

    Menurut Hafiz, sejak pandemik melanda negara, pihaknya menawarkan beberapa pilihan kepada pelancong domestik dengan memperkenalkan pelbagai produk baharu di Terengganu selain produk tradisional sedia ada.

    Ujar beliau, kebiasaannya apabila di pulau pengunjung hanya lebih tertumpu kepada aktiviti air, namun melalui produk baharu ini, ia bakal menarik minat para ‘hikers’ yang ingin merasai sendiri cabaran mendaki di Pulau Lang Tengah.

    “Kami mengalu-alukan peminat aktiviti ini ke Pulau Lang Tengah dan ia merupakan pulau pertama di Pantai Timur memperkenalkan aktiviti ini,” jelas beliau.

  • ‘Jangan buka negeri belum cecah 80 peratus vaksinasi’

    ‘Jangan buka negeri belum cecah 80 peratus vaksinasi’

    RENTAS negeri tidak seharusnya dibenar di negeri yang belum mencapai kadar vaksinasi 80 peratus apabila kelonggaran itu diumumkan kerajaan selepas negara mencapai 90 peratus dewasa divaksin dalam tempoh terdekat.

    Pakar Perubatan Kesihatan Masyarakat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh, berkata kerajaan perlu melihat semula kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) itu kerana risiko jangkitan Covid-19 di negeri yang belum mencapai tahap vaksinasi adalah tinggi.

    Katanya, sama juga dengan negeri yang perlu melihat lebih mendalam risiko dihadapi termasuk kebimbangan jangkitan kepada kanak-kanak.

    “Merentas negeri akan menyaksikan orang ramai bergaul dan keadaan itu boleh merebakkan virus memandangkan ramai pelajar bawah 12 tahun belum divaksin.

    “Rentas negeri tidak sepatutnya dibenarkan di kawasan berisiko tinggi seperti negeri yang kadar vaksinasinya kurang 80 peratus.

    “Ini bagi mengelak jangkitan kepada rakyat yang belum divaksin,” katanya kepada BH, hari ini.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sebelum ini dilaporkan berkata, pihaknya yakin tempoh untuk membenarkan rentas negeri sudah semakin hampir dan akan terus diumumkan sebaik negara mencapai 90 peratus vaksinasi.

    Setakat semalam, data COVIDNOW menunjukkan beberapa negeri masih di bawah 80 peratus lengkap divaksin dengan Sabah (44.1 peratus), Kelantan (46.8 peratus), Kedah (54.5 peratus), Pahang (54.6 peratus), Terengganu (56.3 peratus) dan Perak (56.3 peratus).

    Bagi golongan remaja, hanya Sarawak dan Labuan mempunyai vaksinasi melebihi 70 peratus.

    Secara keseluruhan, golongan dewasa yang lengkap vaksinasi sudah mencapai 88 peratus tetapi penggunaan katil di unit rawatan rapi dilihat mencapai 65.1 peratus, alat bantuan pernafasan (42.6 peratus) dan katil hospital (68.9 peratus).

    COVIDNOW juga mempamerkan kadar kematian dalam tempoh dua minggu ini adalah 53.6 peratus membabitkan mereka yang tiada vaksinasi, belum lengkap vaksin (17 peratus) dan lengkap divaksin (29.4 peratus).

    Mereka yang berusia 60 tahun ke atas paling ramai meninggal dunia iaitu 64.8 peratus.

    Dr. Sharifa Ezat berkata, sekiranya rentas negeri dibenarkan, rakyat bukan sahaja perlu diingatkan untuk mematuhi SOP tetapi juga mesti membuat kawalan kendiri termasuk saringan Covid-19 sebelum aktiviti itu dilakukan.

    “Sebelum rentas, mereka perlu membuat saringan dan jika disahkan positif, keperluan kuarantin diri wajib dilakukan,” katanya.

    Katanya, kerajaan perlu menegaskan mereka yang belum divaksin tidak boleh merentas negeri.

    Beliau berkata, pematuhan SOP perlu berlaku pada tahap maksimum seperti tidak menanggalkan pelitup muka dan mengelak kesesakan sama ada di kawasan awam atau premis.

    “Ramai yang terlupa dan masing-masing cuma sedar pandemik masih ada bila kes positif Covid-19 muncul.

    “Kita perlu selalu mengingati bahawa varian baharu ini masih ada dan penting untuk mengelak jangkitan,” katanya.

  • Kerajaan teliti cadangan luluskan industri ganja untuk perubatan

    Kerajaan teliti cadangan luluskan industri ganja untuk perubatan

    KERAJAAN akan meneliti semula status mengenai cadangan meluluskan industri ganja jenis hem dan marijuana untuk tujuan perubatan.

    Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, perkara itu juga pernah dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pentadbiran kerajaan terdahulu.

    “Melalui perbincangan tersebut, pandangan telah dikemukakan selain kementerian telah berhubung dengan beberapa pihak termasuk ahli akademik dan swasta untuk melihat potensi industri berkenaan.

    “Memang benar kita bersama dalam pentadbiran yang lalu, perkara ini telah dibincangkan dan dibentang dalam Mesyuarat Jemaah Menteri.

    “Namun, saya harus merujuk semula apakah status perkara ini kerana ia juga melibatkan beberapa pindaan akta oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang telah dibentangkan dalam mesyuarat yang lalu,” katanya.

    Beliau berkata demikian bagi menjawab celahan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Bebas-Muar) ketika menggulung perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi kementeriannya di Dewan Rakyat pada Selasa.

    Syed Saddiq mencelah bertanyakan adakah MITI akan memperhalusi cadangan untuk meluluskan kegunaan ganja jenis hem dan marijuana perubatan untuk dieksport ke luar negara.

    Mohamed Azmin berkata, penelitian secara kolektif perlu dilaksanakan sebelum membuat keputusan berhubung perkara tersebut.

    “Kita harus melihat dari perspektif yang lebih besar tentang keperluan industri ini diperkembangkan dan ia mesti mengikut lunas-lunas peruntukan undang-undang yang sedia ada,” katanya.