Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

PERGOLAKAN politik di Melaka boleh terjadi di mana-mana negeri termasuk Johor yang mempunyai majoriti tipis.

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, setakat ini pihaknya tidak mendengar sebarang cakap-cakap berhubung kemungkinan perkara itu berlaku.

“Ini boleh berlaku kepada mana-mana negeri yang mempunyai majoriti tipis termasuk Johor.

“Saya tidak menolak atau tidak mendakwa bahawa keadaan itu tidak boleh berlaku di Johor kerana juga boleh berlaku pada Johor atau pada mana-mana negeri,” katanya selepas melancarkan Modul Jauhar serta Majlis Perasmian Jauhar Child Care (JCC) di Kota Iskandar, Iskandar Puteri, hari ini.

Terdahulu, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh memaklumkan DUN Melaka dibubarkan berkuat kuasa semalam.

Ab. Rauf memaklumkan keputusan tersebut dibuat Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam dalam sesi sidang akhbar di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka.

“Sehubungan dengan itu, Yang Dipertua Negeri telah membuat pertimbangan dan bersetuju untuk membubarkan DUN Melaka ke-14,” katanya seperti yang dilaporkan.

Dalam pada itu, Hasni memberitahu, jika Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka telah membuat keputusan untuk membubarkan DUN, keputusan sama ada Pilihan Raya Negeri akan dilakukan atau tidak bergantung kepada kerajaan Pusat.

“Sekiranya Dewan Negeri buat keputusan pembubaran, ianya terpulang kepada kerajaan pusat sama ada bersetuju atau tidak Pilihan Raya diadakan,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here