Author: Admin

  • 103 lagi kematian akibat Covid-19 direkodkan

    103 lagi kematian akibat Covid-19 direkodkan

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) melaporkan sebanyak 103 kes kematian baharu Covid-19 setakat tengah malam tadi.

    Perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian akibat Covid-19 berjumlah 27,525 setakat ini.

    Menerusi data KKM dalam portal COVIDNOW, sebanyak 26 daripada 103 kes yang dilaporkan ialah kematian di luar hospital (BID).

    Kes kematian dilaporkan itu turut melibatkan sejumlah kes tertunggak dengan ada antara kes meninggal dunia beberapa minggu lalu berikutan proses yang mengambil masa bagi mengesahkan sama ada pesakit Covid-19 meninggal dunia akibat pandemik tersebut.

    Sementara itu, terdapat 108,997 kes aktif Covid-19 di seluruh negara yang mana 85,383 individu atau 78.3 peratus daripadanya sedang menjalani kuarantin di rumah.

    Seramai 15,387 orang pula ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).

    Sebanyak 7,505 kes dirawat di hospital dan 722 pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).

    Kes ICU membabitkan 336 pesakit memerlukan bantuan pernafasan dan 386 lagi memerlukan mesin ventilator.

  • Hampir 91 peratus populasi dewasa sudah divaksin

    Hampir 91 peratus populasi dewasa sudah divaksin

    MALAYSIA sudah mencatatkan 21,220,121 individu atau 90.6 peratus populasi dewasa lengkap divaksinasi setakat ini.

    Data terbaharu COVIDNOW memberitahu, seramai 995,383 menerima satu dos suntikan manakala 1,194,096 orang tiada vaksinasi.

    Berdasarkan kemajuan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Lembah Klang mencatat jumlah tertinggi pemberian dos kepada golongan dewasa iaitu 112.3 peratus, Labuan (99.2 peratus), Negeri Sembilan (99.2 peratus), Perlis (94.3 peratus) dan Pulau Pinang (91.2 peratus).

    Sementara paling rendah adalah di Sabah dan Kelantan apabila kedua-duanya merekodkan vaksinasi di bawah 80 peratus.

    Pemberian dos kepada golongan dewasa di Kelantan adalah sebanyak 74.4 peratus manakala Sabah sebanyak 66 peratus.

    Di Sabah, 1,820,807 individu atau 66 peratus populasi telah lengkap dos suntikan dan 211,453 orang atau 7.7 peratus menunggu untuk menerima suntikan kedua.

    Seramai 1,103,437 individu atau 40 peratus populasi dewasa tiada vaksinasi.

    Di Kelantan pula, hanya 919,258 individu atau 74.4 peratus populasi dewasa telah lengkap dos suntikan dan 58,692 (4.7 peratus) lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan.

    Individu yang tiada vaksinasi di negeri itu adalah 324,249 orang atau 26.2 peratus.

    Pada perkembangan sama, PICK-Remaja menunjukkan 18,477 orang dari usia 12 hingga 17 tahun telah lengkap vaksinasi dan 139,669 lagi menunggu suntikan dos kedua.

    Seramai 61,336 individu tiada vaksinasi.

    PICK-Remaja diunjurkan 80 peratus lengkap divaksinasi dalam tempoh 28 hari iaitu pada 10 November depan.

  • 53 individu dikompaun RM113,500 gagal patuhi SOP

    53 individu dikompaun RM113,500 gagal patuhi SOP

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KEGAGALAN 53 pelanggan termasuk pengusaha premis mematuhi prosedur operasi standard (SOP) mudah dengan menjaga penjarakan fizikal dan mengimbas QR code mengundang padah apabila dikompaun keseluruhan berjumlah RM113,500.

    Kesemua individu tersebut dikesan melanggar perintah Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) ketika operasi pematuhan dilakukan sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di sekitar Bandaraya Johor Bahru, malam tadi.

    Ketua Polis Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, dalam operasi yang dijalankan bermula pukul 8 malam telah membuat pemeriksaan di tujuh buah premis.

    Polis mengenakan kompaun terhadap pengunjung dan pemilik premis gagal patuh SOP di empat premis Sekitar Johor Bahru

    Katanya, daripada 103 individu yang diperiksa, seramai 49 berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun didapati melakukan kesalahan melanggar SOP ditetapkan.

    “Kesemua mereka ini dikesan tidak menjaga penjarakan fizikal ketika berada di dalam premis dan tidak mengimbas QR code sebelum memasuki premis berkenaan.

    “Oleh itu, setiap seorang individu yang dikesan dikenakan kompaun sebanyak RM1,500 seorang dengan jumlah RM73,500,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Anggota polis melakukan pemeriksaan terhadap pengunjung di sebuah premis dalam operasi malam tadi

    Raub memberitahu, daripada premis yang diperiksa itu didapati empat daripadanya dikesan gagal menyediakan laluan keluar masuk dan gagal melaksanakan penjarakan fizikal pelanggan.

    “Setiap pemilik premis dikenakan tindakan kompaun sebanyak RM10,000 tiap seorang dengan jumlah RM40,000.

    “Keseluruhan kompaun yang dikenakan terhadap 32 lelaki dan 21 wanita termasuk empat pemilik premis adalah sebanyak RM 113,500,” ujarnya.

  • Satu lagi mayat mangsa bot karam ditemukan

    Satu lagi mayat mangsa bot karam ditemukan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SATU lagi mayat yang merupakan mangsa kejadian bot karam selepas dipukul ribut ditemui di Pantai Rambah, Pontian, hari ini.

    Mayat pendatang asing tanpa izin (PATI) tanpa identiti itu yang disyaki warga Indonesia dijumpai pada jam 7.20 pagi kira-kira 500 meter dari persisiran pantai berkenaan.

    Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib berkata, penemuan mayat terbaharu itu menjadikan jumlah terkini mangsa lemas adalah seramai empat orang.

    Menurutnya, mangsa dipercayai cuba menyelusup masuk ke negara ini dengan menggunakan sebuah bot melalui jalan tidak diwartakan.

    “Polis tidak menolak kemungkinan masih ada lagi mangsa yang lemas dalam kejadian bot karam yang dipercayai dinaiki sekumpulan PATI.

    “Kita masih menjalankan operasi di kawasan pantai di daerah ini sepanjang kira-kira 12 kilometer dengan bantuan anggota Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua, Kukup,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Tiga mayat lelaki warganegara Indonesia ditemukan di pantai berkenaan pada jam 5.40 petang semalam selepas bot yang dinaiki mereka karam.

    Mohammad Shofee berkata, polis turut menemui sebuah bot laju dan enjin sangkut 200 kuasa kuda di kawasan berkenaan.

    Beliau berkata, pemeriksaan ke atas empat mayat terbabit mendapati, tiada sebarang unsur jenayah dan mayat telah dihantar ke unit forensik Hospital Pontian untuk bedah siasat.

  • KKM nafi tetapkan caj urus jenazah pesakit Covid-19

    KKM nafi tetapkan caj urus jenazah pesakit Covid-19

    TIMBALAN Menteri Kesihatan I, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali memberitahu Dewan Rakyat, hari ini, bahawa Kementerian Kesihatan (KKM) tidak terlibat dengan penetapan caj dan kos perkhidmatan pengurusan jenazah pesakit Covid-19.

    Menjawab berkenaan caj dan kos perkhidmatan pengurusan jenazah pesakit COVID-19 ditentukan pengurus jenazah Islam dan bukan Islam, beliau menjelaskan, kos tanah perkuburan tertakluk pada persetujuan antara pihak waris dan pihak yang mengurus tanah perkuburan.

    Bagi pengurusan jenazah berisiko Covid-19 orang Islam katanya, urusan di bawah bidang kuasa Jabatan Agama Islam Negeri atau Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan caj dikenakan adalah berbeza bagi setiap negeri.

    “Peranan pihak pengurusan hospital KKM adalah sebagai fasilitator kepada waris dalam pengurusan jenazah Covid-19.

    “Pihak pengurusan hospital membantu dalam memberi cadangan senarai pengurus jenazah terlatih bagi sesuatu kawasan dengan pihak waris, dan keputusan akhir tertakluk kepada waris untuk memilih pengurus jenazah terlatih bersesuaian dengan kehendak mereka,” katanya.

    Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Senator Datuk Zaiedi Suhaili yang ingin tahu mengenai caj dan kos perkhidmatan pengurusan jenazah pesakit Covid-19 dan sejauh mana kerajaan memastikan aktiviti pengurusan jenazah itu tidak dieksploitasi oleh pihak-pihak berkepentingan yang memberi implikasi besar kepada kerajaan.

    Dr. Noor Azmi berkata, KKM telah mengeluarkan garis panduan pengurusan kematian disyaki Covid-19 di luar hospital semasa pandemik dan garis panduan pengurusan membawa mayat disahkan Covid-19 merentas negeri di Malaysia sebagai dokumen rujukan serta panduan dalam mengendalikan pengurusan mayat semasa pandemik.

    “Garis panduan ini diguna pakai semua pihak meliputi KKM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Agama Islam, Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dan daerah serta Angkatan Pertahanan Awam (APM),” katanya.

    Mengenai eksploitasi pengurusan jenazah, beliau berkata, pihaknya tidak menerima sebarang laporan rasmi yang berkaitan, bagaimanapun beliau mengakui terdapat rungutan berhubung perkara itu di laman sosial.

  • Polis siasat dakwaan ugutan jenayah libatkan pegawai kanannya

    Polis siasat dakwaan ugutan jenayah libatkan pegawai kanannya

    POLIS Kontinjen Selangor mengesahkan menerima satu laporan mengenai kes ugutan jenayah melibatkan pegawai kanan polis berpangkat Deputi Superintenden (DSP) yang sedang tular menerusi media sosial. 

    Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, mangsa dalam kejadian itu merupakan seorang wanita berumur 36 tahun yang mendakwa diugut dan dicederakan kerana ingin meminta semula wang yang telah dipinjamkan kepada pegawai kanan polis berkenaan.

    “Hasil siasatan yang dijalankan, polis telah menahan dua individu yang dipercayai terlibat dalam kejadian tersebut (ugutan jenayah) dan kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sehubungan itu, Arjunaidi menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi berkaitan kejadian tersebut dan berhenti menyebarkannya menerusi media sosial kerana kes itu sedang dalam siasatan polis.  

    “Polis Kontinjen Selangor memberi jaminan akan melakukan siasatan secara telus dan terperinci serta tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak termasuk pegawai dan anggota polis yang melakukan kesalahan dan melanggar undang-undang,” katanya.

  • Akses persekitaran bersih, sihat, lestari adalah hak asasi manusia

    Akses persekitaran bersih, sihat, lestari adalah hak asasi manusia

    MALAYSIA mengiktiraf akses ke persekitaran yang selamat, bersih, sihat dan lestari merupakan hak asasi manusia yang perlu dilindungi dan dipromosikan.

    Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, Malaysia mengiktiraf pendirian itu melalui penajaan resolusi di Majlis Hak Asasi Manusia (MHAM) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 8 Oktober 2021 di Geneva.

    “Resolusi ini adalah julung kalinya bagi MHAM dalam mewujudkan kaitan secara jelas dan langsung antara persekitaran yang bersih, sihat dan lestari dengan hak asasi manusia.

    “Malaysia turut menaja satu lagi resolusi MHAM yang mewujudkan jawatan Pelapor Khusus (Special Rapporteur) dalam mempromosi dan melindungi hak asasi manusia secara global dalam konteks perubahan iklim.

    “Malaysia menyambut baik Resolusi ini yang mengetengahkan implikasi ke atas hak asasi manusia disebabkan kemerosotan alam sekitar dan perubahan iklim yang dihadapi individu dan masyarakat di seluruh dunia, terutamanya bagi golongan rentan seperti orang asal, warga emas, orang kurang upaya dan wanita,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, dengan menyokong Resolusi itu, Malaysia menyedari bahawa kemerosotan alam sekitar, perubahan iklim dan pembangunan tidak mampan merupakan antara ancaman paling mendesak dan serius terhadap kemampuan generasi sekarang dan masa depan untuk menikmati hak asasi manusia, termasuk hak untuk hidup, serta hak ke atas kesihatan, pembangunan, perumahan, air dan makanan.

    “Seperti yang digesa di dalam Resolusi itu, Malaysia berhasrat untuk memainkan peranannya dalam melaksanakan hak asasi yang baharu diperakui tersebut. Ini termasuklah melalui pembangunan kapasiti dalam usaha melindungi alam sekitar dan memperkenalkan dasar yang bersesuaian bagi mempertahankan biodiversiti dan ekosistem, selaras dengan Agenda Pembangunan Mampan 2030,” katanya.

    Menurutnya, bagi mencapai tujuan itu, Malaysia bertekad bekerjasama dengan negara lain, organisasi antarabangsa dan serantau, masyarakat sivil, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), para akademik dan sektor korporat ke arah mencapai masa depan lebih terjamin bagi generasi akan datang.

    Saifuddin berkata, keutamaan yang diberikan Malaysia dalam menangani isu perubahan iklim merupakan sebahagian janji negara bagi pencalonannya ke Majlis Hak Asasi Manusia PBB untuk penggal 2022-2024, pada pemilihan yang akan diadakan di New York pada 14 Oktober 2021.

    Itu juga sejajar dengan Rancangan Malaysia ke-12 (2021- 2025), seperti dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini, ke arah pertumbuhan yang makmur, inklusif dan mampan bagi semua.

  • Kilang lerai ‘e-waste’ haram diarah tutup serta-merta

    Kilang lerai ‘e-waste’ haram diarah tutup serta-merta

    JABATAN Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang mengarahkan sebuah premis yang menjalankan aktiviti meleraikan bahan buangan elektrik dan elektronik (e-waste) di Juru ditutup serta-merta selepas didapati beroperasi secara haram. 

    Dalam operasi bersepadu yang dijalankan sekumpulan pegawai JAS Pulau Pinang bersama Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) kira-kira pukul 10 pagi semalam, premis itu turut dikompaun sebanyak RM30,000 atas kegagalan mematuhi peruntukan undang-undang di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005. 

    Menurut Pengarah JAS Pulau Pinang, Sharifah Zakiah Syed Sahab, hasil pemeriksaan mendapati premis itu beroperasi tanpa kebenaran atau lesen daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) serta lesen daripada Jabatan Alam Sekitar di bawah Seksyen 18, Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974.

    Anggota JAS melakukan pemeriksaan sebuah kilang yang beroperasi secara haram di Juru

    “Sehubungan itu, arahan menghentikan operasi serta-merta telah dikeluarkan kepada pihak premis sehingga siasatan kes selesai,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

    Menurut Sharifah Zakiah, premis itu akan disiasat di bawah Seksyen 18, AKAS 1974 kerana beroperasi tanpa lesen daripada JAS yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.  

    Selain itu katanya, premis terbabit turut disiasat di bawah Seksyen 34B akta sama yang mana sekiranya disabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih lima tahun dan denda tidak lebih RM500,000. 

    asil pemeriksaan mendapati premis itu beroperasi tanpa kebenaran atau lesen daripada PBT serta lesen daripada JAS

    Ujar beliau, JAS Pulau Pinang memandang serius keperluan pematuhan segala peruntukan undang-undang berkaitan pengurusan buangan terjadual oleh semua pihak. 

    “Tindakan tegas akan dikenakan ke atas mana-mana pihak yang gagal mematuhi sepenuhnya peraturan dan perundangan yang sedia ada sebagai amaran kepada pihak lain supaya lebih berhati-hati dalam mematuhi semua peruntukan perundangan berkaitan buangan terjadual serta tidak melupuskan dengan sewenang-wenangnya ke tempat yang tidak sepatutnya.  

    “Sebarang kegagalan akan dikenakan tindakan perundangan yang serius tanpa sebarang kompromi,” katanya.

  • Empat hari tiada air, orang ramai mula simpan bekalan

    Empat hari tiada air, orang ramai mula simpan bekalan

    Oleh ADAM RAZAK

    PENGGUNA di sekitar Lembah Klang bakal menghadapi masalah gangguan bekalan air berjadual selama empat hari mulai esok.

    Gangguan bekalan bermula pukul 9 pagi itu akan menjejaskan 998 kawasan di wilayah Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor.

    Tinjauan Warta Rakyat di sekitar Kuala Lumpur mendapati pengguna sudah mula membuat persiapan bagi menghadapi masalah berkenaan.

    Orang ramai membeli tong air bagi persediaan berikutan gangguan bekalan air di sekitar lembah klang bermula esok sehingga 16 oktober ini ketika tinjauan UtusanTV di Kampung Baru, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Orang ramai mula menyimpan bekalan dalam tong-tong besar serta baldi untuk kegunaan semasa ketiadaan air.

    Ada juga yang mengambil kesempatan membeli tong lebih besar bagi memastikan bekalan untuk kegunaan harian mencukupi.

    Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. sebelum ini memaklumkan gangguan yang hanya akan berakhir Sabtu ini itu berikutan kerja-kerja penambahbaikan dan penyelenggaraan aset-aset kritikal di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1.

  • Industri E&E: Peningkatan penyertaan tempatan lonjak prestasi perdagangan

    Industri E&E: Peningkatan penyertaan tempatan lonjak prestasi perdagangan

    DATUK Seri Mustapa Mohamed berkata, peningkatan penyertaan daripada kalangan syarikat tempatan dalam rantaian nilai industri elektrik dan elektronik (E&E) boleh melonjakkan lagi prestasi perdagangan Malaysia.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) itu berkata, ini termasuk mengurangkan aliran keluar mata wang dalam bergerak ke hadapan.

    Sehingga kini katanya, semakin banyak syarikat tempatan telah memulakan perniagaan mereka selepas memperoleh kemahiran teknikal dan pengetahuan semasa berkhidmat dengan syarikat multinasional (MNC).

    “Sejak 50 tahun yang lepas, kita telah berjaya mewujudkan ekosistem E&E yang komprehensif, terutama untuk aktiviti pembuatan semikonduktor front-end hingga back-end. Sebahagian besar MNC telah memulakan operasi mereka di sini, termasuk syarikat gergasi industri seperti Intel dan ST Micro.

    “Syarikat-syarikat Malaysia juga telah menjadi sebahagian daripada industri, menyediakan produk dan perkhidmatan yang diperlukan oleh MNC dan menjadi sebahagian daripada rantaian nilai global,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada penutupan Forum E&E Kebangsaan Malaysia 2021 yang diadakan secara maya hari ini.

    Katanya, pendedahan itu membolehkan pemain atau peserta Malaysia mengenal pasti peluang yang muncul dalam rantaian nilai E&E untuk menghasilkan keistimewaan mereka sendiri.

    Syarikat domestik katanya, telah memberikan perkhidmatan kepada pelanggan dalam segmen automotif, pengguna, pengurusan tenaga, perindustrian dan perubatan.

    “Mereka menyediakan perkhidmatan reka bentuk dan kejuruteraan; penyelesaian yang boleh disesuaikan mulai daripada reka bentuk litar bersepadu (IC), kejuruteraan dan ujian; pembungkusan IC; serta pembuatan modul, peranti sistem dan produk siap,” katanya.

    Bagaimanapun ujar Mustapa, seperti yang diketengahkan dalam Aiming High Report Bank Dunia baru-baru ini, Malaysia perlu menangani beberapa isu ketika negara dalam peralihan ke arah negara berpendapatan tinggi.

    “Isu-isu ini termasuk kadar pertumbuhan ekonomi yang agak lebih perlahan berbanding kebanyakan negara lain yang telah pun mencapai status berpendapatan tinggi dalam beberapa dekad sebelum ini,” katanya.

    Beliau berkata, sekiranya dibandingkan dengan negara-negara Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), nisbah cukai Malaysia kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) rendah, perlindungan sosialnya yang tidak mencukupi dan prestasi yang agak lemah dari segi langkah-langkah yang berkaitan dengan pengurusan alam sekitar dan rasuah.

    “Keutamaan kita adalah untuk membina semula dengan lebih baik – membangunkan semula ekonomi Malaysia, menempatkan ekonomi Malaysia pada landasan yang lebih kukuh dan membina ekonomi yang lebih kompetitif. Ekonomi global kini mengalami perubahan material dalam perdagangan, perkhidmatan, perjalanan, maklumat dan teknologi.

    “Khususnya, rantaian bekalan global disusun semula dengan penyerantauan (regionalisation) yang lebih luas berserta pelbagai sokongan (multi-shoring) bagi mendukung peningkatan fokus terhadap daya tahan. Penyusunan semula seumpama itu akan menghadirkan cabaran dan peluang untuk Malaysia – terutama dalam sektor yang fokus pada eksport seperti industri E&E yang maju,” katanya.