Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

SATU lagi mayat yang merupakan mangsa kejadian bot karam selepas dipukul ribut ditemui di Pantai Rambah, Pontian, hari ini.

Mayat pendatang asing tanpa izin (PATI) tanpa identiti itu yang disyaki warga Indonesia dijumpai pada jam 7.20 pagi kira-kira 500 meter dari persisiran pantai berkenaan.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib berkata, penemuan mayat terbaharu itu menjadikan jumlah terkini mangsa lemas adalah seramai empat orang.

Menurutnya, mangsa dipercayai cuba menyelusup masuk ke negara ini dengan menggunakan sebuah bot melalui jalan tidak diwartakan.

“Polis tidak menolak kemungkinan masih ada lagi mangsa yang lemas dalam kejadian bot karam yang dipercayai dinaiki sekumpulan PATI.

“Kita masih menjalankan operasi di kawasan pantai di daerah ini sepanjang kira-kira 12 kilometer dengan bantuan anggota Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua, Kukup,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tiga mayat lelaki warganegara Indonesia ditemukan di pantai berkenaan pada jam 5.40 petang semalam selepas bot yang dinaiki mereka karam.

Mohammad Shofee berkata, polis turut menemui sebuah bot laju dan enjin sangkut 200 kuasa kuda di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, pemeriksaan ke atas empat mayat terbabit mendapati, tiada sebarang unsur jenayah dan mayat telah dihantar ke unit forensik Hospital Pontian untuk bedah siasat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here