Author: Admin

  • Peserta himpunan protes LCS tolak penjelasan, mahu jawapan dana RM6 bilon

    Peserta himpunan protes LCS tolak penjelasan, mahu jawapan dana RM6 bilon

    PENGERUSI Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Sabah, Shahrizal Denci berkata, dana RM6 bilion yang disalurkan kerajaan kepada Boustead Naval Shipyard (BNS) untuk projek kapal tempur pesisir (LCS) boleh digunakan untuk membina ratusan jambatan di pedalaman Sabah.

    Berucap di hadapan kira-kira 200 orang yang berhimpun dalam protes Mana Kapal LCS di Pusat Beli Belah Sogo di Kuala Lumpur, hari ini, Shahrizal berkata, dana itu dapat membantu murid di Sabah yang dilaporkan menempuhi laluan sukar untuk ke sekolah kerana tiada jambatan.

    “Skandal LCS bukan isu Lembah Klang saja. Berapa banyak jambatan, berapa banyak jalan boleh dibina di Sabah dengan RM6 bilion?

    “Hari ini saya terbang dari Sabah untuk sertai himpunan ini, untuk mendesak jawapan daripada kerajaan dalam hal keselamatan negara,” katanya memetik laporan Malaysiakini.

    Shahrizal berkata demikian ketika menolak penjelasan BNS berhubung perkembangan projek LCS yang gagal disiapkan mengikut masa ditetapkan.

    Mereka berhimpun bagi membantah projek itu, yang mula-mula mengundang perhatian selepas laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) menunjukkan ia berdepan banyak masalah.

    Sebahagian daripada peserta berhimpun pada Protes ‘Mana Kapal LCS’ di hadapan Kompleks beli-belah Sogo, Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Kebanyakan peserta membawa sepanduk berkenaan kehilangan dana awam yang didakwa berkaitan dengan menteri semasa dan sebelum ini yang terlibat dalam meluluskan projek LCS, yang diberkan kepada BNS menerusi rundingan terus pada 2011.

    Seorang lagi yang berucap, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Nik Nazmi Nik Ahmad membangkitkan bagaimana RM6 bilion itu boleh digunakan untuk membantu ratusan sekolah miskin.

    Dia berkata isu tersebut begitu dekat dengan ramai veteran tentera yang berdaftar sebagai pengundi di kawasannya iaitu Parlimen Setiawangsa kerana memberi kesan langsung kepada angkatan keselamatan negara.

    Sebahagian daripada peserta berhimpun pada Protes ‘Mana Kapal LCS’ di hadapan Kompleks beli-belah Sogo, Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Selain pemimpin Muda dan Pakatan Harapan (PH), Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Ashraf Mustaqim Badrul Munir turut menyertai himpunan dan menggesa kerajaan dipertanggungjawabkan atas dana awam yang telah dibelanjakan untuk projek itu.

    Kira-kira 100 anggota keselamatan yang tidak beruniform dilihat berkawal tempat himpunan, menghalang sebarang percubaan peserta untuk bergerak ke jalan.

    Penganjur mengisytiharkan himpunan tamat pada pukul 3.15 petang tadi dengan para peserta mula beredar meninggalkan kawasan tersebut.

  • Bubar Parlimen jika kajian sikap tunjukkan BN boleh menang PRU15-PM

    Bubar Parlimen jika kajian sikap tunjukkan BN boleh menang PRU15-PM

    DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob akan membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) jika hasil kajian sikap pengundi yang dilakukan secara menyeluruh menunjukkan Barisan Nasional (BN) boleh menang.

    Menurut Perdana Menteri, jaminan tersebut perlu menghadapi PRU15 supaya BN boleh melakar kemenangan.

    “Kita masuk pilihan raya untuk menang dan memerintah tak kiralah di peringkat persekutuan atau negeri.

    “Untuk mengetahui sejauh mana kemampuan kita untuk menang, ia adalah berdasarkan kajian sikap yg dilakukan Wanita BN,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan pada slot Bicara Hati Perdana Menteri sempena Konvensyen Wanita BN di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, hari ini.

    Ketika menyampaikan ucapan, Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera turut mengarahkan wanita komponen BN menjalankan kajian sama bagi memastikan kajian sikap pengundi dilaksanakan secara menyeluruh.

    Menurutnya, sebelum ini hanya Wanita UMNO yang melakukannya kajian itu setiap kali pilihan raya.

    “Kali ini saya minta wanita komponen juga bersama-sama dengan Wanita UMNO untuk membuat kajian sikap pengundi.

    “Sebabnya kita tahu setiap kawasan terutama di Pantai Barat dan Pahang pengundinya bercampur-campur,” ujarnya.

    Dalam pada itu, Ismail Sabri menambah, kajian sikap itu juga perlu dilakukan kepada seluruh pengundi merangkumi pelbagai kaum dan membabitkan pengundi atas pagar atau pengundi hitam serta tidak hanya tertumpu kepada ahli UMNO sahaja.

    “Kalau setakat mendapat kajian sikap dari segi ahli UMNO semata-mata mungkin ia tidak mencukupi dan kita perlu dapat hasil kajian sikap yang tepat juga daripada pengundi-pengundi kaum lain. Peranan tersebut boleh dimainkan oleh Wanita MCA dan Wanita MIC.

    “Ini kerana saya menjangkakan, penyokong UMNO atau BN (hanya) ada lebih kurang 30 peratus daripada jumlah pengundi, bermakna kita juga perlu dapat sokongan daripada pengundi yang bukan penyokong. Jadi baharu kita boleh tahu sama ada kita boleh menang secara menyeluruh atau tidak.

    “Selepas memperoleh hasil kajian tersebut, baharulah saya yakin untuk membubarkan Parlimen,” katanya sebagaimana dilaporkan Sinar Harian.

  • Batu simen jatuh menimpa khemah pasar

    Batu simen jatuh menimpa khemah pasar

    BEBERAPA kepingan batu simen dari projek pembinaan landasan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) jatuh menimpa khemah peniaga pasar borong di Kompleks Pasar Meru, Klang pagi tadi.

    Kejadian dilapor berlaku kira-kira pukul 9.30 pagi membabitkan empat khemah peniaga di premis terbabit, namun tiada sebarang kecederaan dilaporkan.

    Pengarah Komunikasi Korporat Majlis Perbandaran Klang (MPK), Norfiza Mahfiz, mengesahkan kejadian itu.

    Beliau berkata, pihaknya sudah memaklumkan kepada pihak LRT mengenai kejadian itu yang kemudian mengarahkan kerja pembinaan dihentikan serta-merta.

    “MPK juga mengarahkan peniaga terkesan menutup gerai masing-masing serta-merta dan berpindah ke petak kosong berhampiran yang lebih selamat.

    “Tiada sebarang kecederaan berlaku kepada orang awam dan peniaga sewaktu kejadian,” katanya, lapor BH Online.

    Mengulas lanjut, Norfiza berkata, pihaknya difahamkan kejadian itu berlaku sewaktu kerja ‘hacking’ atau pemecahan dilakukan oleh Emrail Sdn Bhd (EMSB) dan didapati sebahagian kepingan simen itu jatuh di atas khemah berkenaan.

  • Lelaki Singapura ditemukan selepas sesat di Gunung Panti Barat

    Lelaki Singapura ditemukan selepas sesat di Gunung Panti Barat

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG lelaki warga Singapura yang dilaporkan hilang selepas dipercayai sesat ketika mendaki di Gunung Panti Barat, Batu Ampat di Kota Tinggi, semalam, ditemukan hari ini.

    Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Hussin Zamora berkata, mangsa, Neo Thiam Ming, 40, ditemukan kira-kira pukul 4.30 petang tadi.

    “Mangsa dapat keluar sendiri dari hutan dan datang semula ke lokasi di mana Polis membuka pusat kawalan tempat kejadian iaitu lokasi masuk untuk naik ke hutan simpan panti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Terdahulu pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), pukul 7.10 malam tadi.

    Seramai 12 anggota bomba dan enam kakitangan Jabatan Perhutanan terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa

    Katanya, laporan dibuat sendiri oleh mangsa melalui Malaysia Emergency Response Services (MERS 999) dan kemudiannya disalurkan kepada JBPM dengan memaklumkan bahawa dia tersesat.

    “Bertindak atas maklumat tersebut, pasukan operasi mencari dan menyelamat digerakkan ke lokasi terbabit yang diketuai oleh Polis Diraja Malaysia dan dibantu agensi berkaitan termasuk JBPM, Jabatan Perhutanan dan Angkatan Pertahanan Awam,” katanya.

    Dalam pada itu Hussin menasihatkan orang ramai yang berhasrat melakukan aktiviti pendakian supaya melaporkan terlebih dahulu ke balai polis atau pejabat perhutanan berhampiran.

  • Isu projek kapal tempur TLDM: Kah Woh sanggah CEO BNS

    Isu projek kapal tempur TLDM: Kah Woh sanggah CEO BNS

    PENGERUSI Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Wong Kah Woh mendedahkan keterangan pihak berkaitan projek kapal tempur (LCS) berhubung status kelengkapan dan peralatan dianggar bernilai RM1.7 bilion yang dibeli bagi pembinaan aset itu.

    Pendedahan itu sebagai membalas kenyataan media Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS), Ir. Azhar Jumaat ketika lawatan rombongan petugas media ke limbungan pembinaan kapal itu di Lumut, semalam.

    Berita Harian melaporkan, Kah Woh mendakwa kenyataan Azhar bercanggah dengan keterangan yang mereka berikan kepada PAC sebelum ini.

    Kah Woh memuat naik salinan dokumen keterangan berkenaan dalam Facebook rasminya hari ini selepas Azhar menegaskan semua kelengkapan dan peralatan bagi projek LCS terbabit yang disimpan dalam stor masih boleh beroperasi, tidak usang dan masih mempunyai jangka hayat selama 27 tahun.

    Selain keterangan Azhar, Kah Woh mendedahkan keterangan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Ketua Pengarah Pasukan Projek LCS Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Muda Datuk Ir. Mohd. Shaiful Adli Chung Abdullah.

    Turut didedahkan, keterangan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan (MINDEF), Datuk Seri Muez Abdul Aziz dan Pengarah Bebas Boustead Heavy Industries Corporation Bhd. (BHIC), Saadatul Nafisah Bashir Ahmad.

    “Saya telah membaca laporan bahawa CEO BNS, Ir Azhar telah menyangkal Laporan PAC yang menyatakan dianggarkan 15 peratus daripada barangan bernilai RM1.7 bilion telah pun usang. Pendirian ‘BNS-Ogos 2022’ boleh disangkal dengan keterangan ‘BNS-Disember 2021.

    “Saya memetik keterangan Ir Azhar dalam prosiding PAC pada 11 Disember 2021, muka surat 40,” katanya.

    Katanya, Azhar ketika ditanya mengenai stok kelengkapan kapal yang sudah usang, menyatakan berdasarkan proses pemantauan sangat terperinci selain laporan bulanan kepada Pasukan Projek LCS TLDM, menganggarkan sekitar 15 peratus daripadanya sudah menjangkau atau menghampiri proses usang.

    “BNS sekarang kata barangan hanya dalam proses untuk menjadi usang dan boleh digunakan selama paling kurang 25 tahun dari sekarang. Persoalannya, jika barangan yang dimaksudkan boleh guna selama paling kurang 25 tahun, ia tidak akan dianggap dalam proses menjadi usang, betul?

    “Selepas sembilan bulan, BNS sekarang pula kata barangan yang telah menjangkau usang hanyalah Smart TV sahaja dan bukan untuk barangan lain?,” soal Kah Woh dan menegaskan, PAC tidak membuat laporan mengikut emosi, tetapi mengikut prosedur dengan memanggil saksi memberi keterangan.

    Bagi isu LCS, katanya, PAC tidak bergantung kepada seorang atau dua saksi, sebaliknya berpandukan keterangan diambil sepanjang 10 prosiding yang menampilkan 21 saksi.

    “Inilah bagaimana PAC mencapai rumusan yang dibentangkan. Isu barangan yang dibeli sekian lama menjadi usang dan ‘warranty’ (jaminan) tamat merupakan isu serius yang diambil perhatian oleh PAC. Saksi-saksi yang hadir di hadapan PAC juga telah menyatakan kebimbangan mereka,” katanya.

    Beliau memetik keterangan Mohd. Shaiful Adli yang lebih awal dipanggil PAC, iaitu pada prosiding bertarikh 16 November 2020, antara lain menjelaskan bagaimana peralatan dibeli tidak dapat dipasang di dalam kapal akibat pembinaan aset itu belum sampai ke tahapnya sehinggalah jaminan tamat.

    Pada prosiding 25 Oktober 2021 pula, Kah Woh berkata, PAC memangil Muez yang menjelaskan ada isu usang di mana peralatan yang dibeli akan ketinggalan dari segi teknologi dan dijangka kos bertambah untuk lanjutan jaminan bagi peralatan berkenaan.

    Pengerusi PAC itu menjelaskan, Muez ketika ditanya penentuan hala tuju projek LCS, memaklumkan bahawa MINDEF telah mengambil kira isu lanjutan jaminan bagi peralatan yang telah dibeli.

    Katanya, Ahmad Zahid pada prosiding tarikh sama, antara lain khuatir kerana teknologi untuk kapal berkenaan adalah teknologi bagi 2009 dan sekiranya penyerahan kapal dibuat pada 2025, teknologi telah usang dan jika digunakan untuk tempoh 25 tahun, alat gantinya dikhuatiri tidak dapat diperoleh.

    “Beliau (Ahmad Zahid) bimbang pada masa itu hendak dapat spare part (alat ganti) pun tidak boleh lagi,” kata Kah Woh.

    Melalui keterangan Saadatul Nafisah pada prosiding 8 Mac lalu, beliau berkata, Pengarah Bebas BHIC itu antara lain memaklumkan, BNS menubuhkan jawatankuasa khas bagi mengendalikan kelengkapan dan peralatan yang mungkin sudah usang selepas dibeli.

    “Selaku pembayar cukai, saya juga berharap yang ‘obsolete’ itu hanyalah Smart TV. Namun, keterangan saksi-saksi yang hadir prosiding PAC membuktikan masalah barangan usang adalah amat serius bertentang dengan pendirian tidak apa yang diambil BNS pada hari ini,” katanya.

    Semalam, Azhar menjelaskan, semua kelengkapan dan peralatan dianggarkan bernilai RM1.7 bilion yang dibeli bagi pembinaan LCS masih boleh digunakan 100 peratus, tidak usang dan masih mempunyai jangka hayat selama 27 tahun.

    Menjawab tuduhan LCS sebagai ‘halimunan’ susulan laporan mengaitkannya sebagai projek gagal dan skandal, Azhar menegaskan, LCS bukan kapal halimunan atau diperbuat daripada kayu, sebaliknya dibina menggunakan logam sebenar, juga bukan kapal replika.

  • Pelajar Malaysia lemas ketika mandi sungai di Mesir

    Pelajar Malaysia lemas ketika mandi sungai di Mesir

    “SUKAR hendak menerima hakikat, namun ini semua adalah ketentuan Allah SWT yang lebih menyayanginya, jadi kami sekeluarga reda dengan takdir ini,” kata Siti Azlina Mohamad Asri, 46.

    Siti Azlina adalah ibu kepada Muhammad Firdaus Ab Raiz, 25, penuntut Universiti Al-Azhar di Mesir, yang meninggal dunia akibat lemas ketika mandi di sebuah sungai dalam daerah Al-Qanathir Al-Khairiyah.

    Beliau berkata, anak sulungnya itu yang juga penuntut Sarjana Muda Syariah, keluar berkelah bersama 10 rakan pada Jumaat lalu, sebelum ditemukan lemas jam 10 pagi waktu Malaysia semalam.

    “Sebelum itu, saya menerima panggilan daripada keluarga mentua pada jam 11 pagi kelmarin selepas isteri arwah memberitahu ibunya, yang Muhammad Firdaus lemas ketika berkelah bersama rakan yang turut mengorbankan seorang lagi pelajar dari Pattani, Thailand.

    “Kali terakhir saya berjumpa dengan arwah pada tahun lalu ketika majlis perkahwinannya. Selepas itu arwah bersama isteri, Siti Hajar Hassan, 22, kembali semula ke Mesir untuk menyambung pengajian mereka di Al-Azhar dan dijangka menamatkan pengajian pada Oktober depan.

    “Hati ini masih lagi berasa sayu dengan insiden yang menimpa arwah, namun saya tetap kena reda dengan takdir dan Allah SWT sudah pun menetapkan anak kami meninggal dunia dan perlu menerima kenyataan ini walaupun sukar.

    “Bagi memberi penghormatan terakhir kepada arwah, saya dan suami akan berlepas ke Mesir petang ini, namun jenazah akan dikebumikan hari ini.

    “Mungkin kami tidak sempat menatap wajah arwah buat kali terakhir tetapi akan menziarahi pusaranya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kubang Kerian, di Kota Bharu, hari ini.

    Mengulas lanjut, Siti Azlina berkata, arwah yang juga anak sulung daripada tujuh beradik itu seorang anak yang baik serta peramah dan sentiasa memaklumkan kepada orang tua jika hendak pergi ke mana-mana.

    “Walau bagaimanapun, kali ini arwah tidak memberitahu saya ketika dia mahu pergi berkelah bersama rakan-rakannya sehingga mendapat perkhabaran duka apabila arwah disahkan lemas,” katanya lapor BH Online.

  • Program Jelajah Pendidikan Keluarga Malaysia bantu 25,000 pelajar B40

    Program Jelajah Pendidikan Keluarga Malaysia bantu 25,000 pelajar B40

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PENGANJURAN Program Jelajah Pendidikan Keluarga Malaysia (JPKM) 2022, berjaya membantu 25,O00 pelajar kategori B40 di luar bandar menyambung pelajaran ke institut pengajian tinggi (IPT) setakat ini.

    Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, jumlah tersebut adalah separuh daripada keseluruhan 50,000 pelajar yang disasarkan untuk dibantu tahun ini.

    “Tahun ini Yayasan Prihatin Nasional (Prihatin) yang menganjurkan JPKM akan menyelesaikan siri jelajah ke 50 kawasan Parlimen di seluruh negara.

    “Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta seramai 50,000 pelajar dibantu tahun ini sama ada untuk mereka buat Sijil, Diploma ataupun Ijazah Sarjana Muda,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan JPKM Parlimen Jelebu di Pekarangan Kompleks UMNO Bahagian Jelebu di Simpang Pertang di Jelebu hari ini.

    Turut hadir, Timbalan Menteri Wilayah yang juga Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias dan Ketua Pegawai Eksekutif Prihatin, Datuk Mohd. Aizuddin Ghazali.

    Mahdzir yang juga Menteri Mentor bagi program JPKM menambah, matlamat utama JPKM adalah untuk mencari pelajar-pelajar di luar bandar yang mungkin terlepas memasuki mana-mana IPT kerana faktor tertentu seperti masalah kewangan keluarga.

    “Sebelum ini pelajar-pelajar kita memasuki ke universiti dan IPT selepas ditawarkan berdasarkan keputusan peperiksaan mereka, ada juga yang masuk selepas mereka melalui sistem Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

    “Tetapi masih ada yang terlepas pandang, oleh itu saya berharap apabila JPKM dianjurkan di kawasan-kawasan Parlimen, sekiranya ada pelajar-pelajar yang layak dan ada kesesuaian ambil lah pelajar-pelajar ini,” katanya.

    JPKM yang digerakkan oleh Yayasan Prihatin Nasional, merupakan inisiatif dan projek khas Perdana Menteri bagi membuka akses pendidikan tinggi kepada seluruh Keluarga Malaysia khususnya di luar bandar.

    Ia melibatkan penyertaan kira-kira 38 buah IPT awam dan swasta serta institut kemahiran bagi menyediakan peluang kedua kepada pelajar untuk mendapatkan tempat ke IPT.

  • PRU15: PN Pahang sepakat kekal tanding kerusi dimenangi

    PRU15: PN Pahang sepakat kekal tanding kerusi dimenangi

    PERIKATAN Nasional (PN) Pahang sudah membuat ketetapan untuk untuk kekal bertanding di kerusi yang telah dimenangi sebelum ini pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, kesepakatan itu telah dicapai bersama parti gabungan antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan Gerakan dalam sesi perbincangan sebelum ini.

    “Baki kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) lain akan dibincangkan pada sesi selanjutnya bersama rakan gabungan dalam PN.

    “Formula yang sudah disepakati ialah Bersatu tidak akan ambil atau bertanding kerusi yang pernah dimenangi oleh parti sedia ada. Contohnya Parlimen Indera Mahkota, calonnya adalah dalam kalangan ahli Bersatu, siapa calon itu akan diputuskan kemudian.

    “Begitu juga dengan lapan kerusi DUN yang dimenangi Pas, mereka akan meletakkan calon dalam kalangan parti itu untuk bertanding pada PRU-15.

    “Gerakan tidak akan minta kerusi yang telah dimenangi Pas, selepas itu baharu kita tengok kerusi tumpuan dan siapa paling sesuai untuk bertanding,” katanya ketika menjawab pertanyaan mengenai pengagihan kerusi PN bagi menghadapi PRU-15.

    Sebelum itu, beliau merasmikan Forum Pengundi Muda Penentu Masa Hadapan Negara Sempena Hari Belia Parlimen Indera Mahkota 2022 di sebuah hotel di Kuantan.

    Beliau menjelaskan PN masih lagi melihat formula yang sesuai dan keputusan itu akan dimuktamadkan di peringkat Majlis Tertinggi PN.

    “Ini adalah formula lazim dilakukan oleh mana-mana parti sama ada Pakatan Harapan (PH) atau Barisan Nasional (BN) yang perlu mendapatkan keputusan daripada pucuk pimpinan tertinggi parti,” katanya sebagaimana dilaporkan Sinar Harian.

    Dalam pada itu, Saifuddin menambah, persefahaman rakan gabungan parti PN di Pahang sangat baik apabila semua perbincangan diadakan secara aman.

  • Selangor cadang larangan guna beg plastik pada hujung minggu

    Selangor cadang larangan guna beg plastik pada hujung minggu

    KERAJAAN negeri Selangor bercadang menguatkuasakan larangan penggunaan beg plastik di semua premis perniagaan berdaftar di negeri tersebut pada Sabtu dan Ahad.

    Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna negeri Hee Loy Sian berkata, cadangan itu susulan tahap penggunaan beg plastik masih tinggi walaupun caj 20 sen dikenakan terhadap pengguna.

    Menurut laporan Harian Metro, beliau berkata, pihaknya kini dalam peringkat perbincangan dan kajian menyeluruh mengenai penguatkuasaan baharu itu.

    “Statistik menunjukkan jumlah kutipan caj pada 2020 sebanyak RM5.8 juta dan ia semakin meningkat sehingga RM6.8 juta tahun lalu.

    “Oleh itu, kita bercadang mahu melarang sepenuhnya penggunaan beg plastik di semua premis berdaftar pada Sabtu dan Ahad nanti,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian Pusat Pengumpulan E-Waste Taman Alam Perdana, Puncak Alam, Selangor, hari ini.

    Pada masa sama, Loy Sian berkata, larangan terbabit bagaimanapun tidak tertakluk kepada peniaga kecil terutama yang menjaja di tepi jalan.

    “Kita belum bercadang untuk menaikkan caj beg plastik sedia ada sehingga 2025. Untuk itu, pelbagai kempen kesedaran giat dijalankan di semua peringkat termasuk sekolah.

    “Namun, kita mungkin akan mengkaji untuk menaikkan caj itu sekiranya statistik kutipan mencatatkan peningkatan,” katanya.

  • Pas sentiasa terbuka, tapi jangan tikam belakang – Mursyidul Am

    Pas sentiasa terbuka, tapi jangan tikam belakang – Mursyidul Am

    MURSYIDUL Am Pas Datuk Hashim Jasin berkata, partio itu tidak pernah menutup ruang untuk proses kerjasama walaupun Barisan Nasional (BN) terutamanya UMNO menyatakan pendirian untuk bergerak solo dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Namun katanya, kebaikan Pas itu perlu dibalas dengan tindakan yang memberi manfaat kepada kesepakatan umat, bukannya amalan ‘tikam belakang’ seperti dilakukan pihak tertentu ketika ini.

    Menurutnya, beliau antara orang yang paling gembira apabila Piagam Muafakat Nasional antara Pas dan UMNO ditandatangani, yang menyatukan dua parti yang selama ini tidak sehaluan.

    Sehubungan itu, beliau berharap situasi ketika ini, susulan kenyataan, kritikan serta tindakan yang diambil, tidak menjadi punca kerjasama yang dijalinkan sebelum ini terlerai begitu sahaja.

    “Kita berharap supaya berdamai. Hendak berkawan, marilah. Kalau nak lawan, tunggu. Kita berhenti dulu yang nak lawan, mari kita berkawan.

    “Saya tak pernah berhenti bercakap (mengenai perpaduan). Cuma kita harap satu sahaja, walaupun pihak kita sedia untuk buka tangan menerima, janganlah dok tikam belakang, jangan rosakkan perpaduan yang kita sepakati bersama.

    “Saya cukup sayang (kerjasama Pas-UMNO). Kalau dulu sebelum tandatangan (piagam), UMNO dan Pas tidak boleh dekat, ada saja tak kena. Tetapi setelah perjanjian itu, kita boleh duduk dalam satu bilik,” katanya.

    Hashim berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Himpunan Pelancaran Jentera PRU15 Pas Kedah di SRITI Naka, di , malam tadi.

    Dalam perkembangan sama, beliau mendedahkan, pernah wujud perjanjian untuk kembali kepada ajaran Al-Quran dan As-Sunnah sekiranya berlaku sebarang perselisihan dalam kerjasama antara Pas dan UMNO.

    Tambahnya, Pas juga berharap amalan ‘tutup buku’ tidak dilakukan terlalu awal sekiranya berlaku sebarang masalah yang boleh dibincangkan di meja perundingan.

    “Sepatutnya janganlah lipat (buku) awal-awal, masuk bawah meja. Kita ada ruang untuk bincang, untuk bicara. Ini yang Allah suruh.

    “Maka, kalau dia nak lipat, lipatlah, tetapi kita sentiasa terbuka. Kita bukan sahaja boleh (kerjasama dengan) UMNO, dengan orang lain pun boleh,” kata Hashim.

    Terdahulu, Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hassan menyatakan keputusan BN untuk bergerak solo pada PRU-15 adalah muktamad dan dibuat sebulat suara oleh parti.

    Katanya, BN yakin mempunyai potensi untuk menang, namun kerja keras perlu dilakukan untuk meraih lebih banyak kerusi.