PENGERUSI Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Wong Kah Woh mendedahkan keterangan pihak berkaitan projek kapal tempur (LCS) berhubung status kelengkapan dan peralatan dianggar bernilai RM1.7 bilion yang dibeli bagi pembinaan aset itu.

Pendedahan itu sebagai membalas kenyataan media Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS), Ir. Azhar Jumaat ketika lawatan rombongan petugas media ke limbungan pembinaan kapal itu di Lumut, semalam.

Berita Harian melaporkan, Kah Woh mendakwa kenyataan Azhar bercanggah dengan keterangan yang mereka berikan kepada PAC sebelum ini.

Kah Woh memuat naik salinan dokumen keterangan berkenaan dalam Facebook rasminya hari ini selepas Azhar menegaskan semua kelengkapan dan peralatan bagi projek LCS terbabit yang disimpan dalam stor masih boleh beroperasi, tidak usang dan masih mempunyai jangka hayat selama 27 tahun.

Selain keterangan Azhar, Kah Woh mendedahkan keterangan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Ketua Pengarah Pasukan Projek LCS Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Muda Datuk Ir. Mohd. Shaiful Adli Chung Abdullah.

Turut didedahkan, keterangan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan (MINDEF), Datuk Seri Muez Abdul Aziz dan Pengarah Bebas Boustead Heavy Industries Corporation Bhd. (BHIC), Saadatul Nafisah Bashir Ahmad.

“Saya telah membaca laporan bahawa CEO BNS, Ir Azhar telah menyangkal Laporan PAC yang menyatakan dianggarkan 15 peratus daripada barangan bernilai RM1.7 bilion telah pun usang. Pendirian ‘BNS-Ogos 2022’ boleh disangkal dengan keterangan ‘BNS-Disember 2021.

“Saya memetik keterangan Ir Azhar dalam prosiding PAC pada 11 Disember 2021, muka surat 40,” katanya.

Katanya, Azhar ketika ditanya mengenai stok kelengkapan kapal yang sudah usang, menyatakan berdasarkan proses pemantauan sangat terperinci selain laporan bulanan kepada Pasukan Projek LCS TLDM, menganggarkan sekitar 15 peratus daripadanya sudah menjangkau atau menghampiri proses usang.

“BNS sekarang kata barangan hanya dalam proses untuk menjadi usang dan boleh digunakan selama paling kurang 25 tahun dari sekarang. Persoalannya, jika barangan yang dimaksudkan boleh guna selama paling kurang 25 tahun, ia tidak akan dianggap dalam proses menjadi usang, betul?

“Selepas sembilan bulan, BNS sekarang pula kata barangan yang telah menjangkau usang hanyalah Smart TV sahaja dan bukan untuk barangan lain?,” soal Kah Woh dan menegaskan, PAC tidak membuat laporan mengikut emosi, tetapi mengikut prosedur dengan memanggil saksi memberi keterangan.

Bagi isu LCS, katanya, PAC tidak bergantung kepada seorang atau dua saksi, sebaliknya berpandukan keterangan diambil sepanjang 10 prosiding yang menampilkan 21 saksi.

“Inilah bagaimana PAC mencapai rumusan yang dibentangkan. Isu barangan yang dibeli sekian lama menjadi usang dan ‘warranty’ (jaminan) tamat merupakan isu serius yang diambil perhatian oleh PAC. Saksi-saksi yang hadir di hadapan PAC juga telah menyatakan kebimbangan mereka,” katanya.

Beliau memetik keterangan Mohd. Shaiful Adli yang lebih awal dipanggil PAC, iaitu pada prosiding bertarikh 16 November 2020, antara lain menjelaskan bagaimana peralatan dibeli tidak dapat dipasang di dalam kapal akibat pembinaan aset itu belum sampai ke tahapnya sehinggalah jaminan tamat.

Pada prosiding 25 Oktober 2021 pula, Kah Woh berkata, PAC memangil Muez yang menjelaskan ada isu usang di mana peralatan yang dibeli akan ketinggalan dari segi teknologi dan dijangka kos bertambah untuk lanjutan jaminan bagi peralatan berkenaan.

Pengerusi PAC itu menjelaskan, Muez ketika ditanya penentuan hala tuju projek LCS, memaklumkan bahawa MINDEF telah mengambil kira isu lanjutan jaminan bagi peralatan yang telah dibeli.

Katanya, Ahmad Zahid pada prosiding tarikh sama, antara lain khuatir kerana teknologi untuk kapal berkenaan adalah teknologi bagi 2009 dan sekiranya penyerahan kapal dibuat pada 2025, teknologi telah usang dan jika digunakan untuk tempoh 25 tahun, alat gantinya dikhuatiri tidak dapat diperoleh.

“Beliau (Ahmad Zahid) bimbang pada masa itu hendak dapat spare part (alat ganti) pun tidak boleh lagi,” kata Kah Woh.

Melalui keterangan Saadatul Nafisah pada prosiding 8 Mac lalu, beliau berkata, Pengarah Bebas BHIC itu antara lain memaklumkan, BNS menubuhkan jawatankuasa khas bagi mengendalikan kelengkapan dan peralatan yang mungkin sudah usang selepas dibeli.

“Selaku pembayar cukai, saya juga berharap yang ‘obsolete’ itu hanyalah Smart TV. Namun, keterangan saksi-saksi yang hadir prosiding PAC membuktikan masalah barangan usang adalah amat serius bertentang dengan pendirian tidak apa yang diambil BNS pada hari ini,” katanya.

Semalam, Azhar menjelaskan, semua kelengkapan dan peralatan dianggarkan bernilai RM1.7 bilion yang dibeli bagi pembinaan LCS masih boleh digunakan 100 peratus, tidak usang dan masih mempunyai jangka hayat selama 27 tahun.

Menjawab tuduhan LCS sebagai ‘halimunan’ susulan laporan mengaitkannya sebagai projek gagal dan skandal, Azhar menegaskan, LCS bukan kapal halimunan atau diperbuat daripada kayu, sebaliknya dibina menggunakan logam sebenar, juga bukan kapal replika.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here