Author: Admin

  • JIM tahan 213 buruh binaan asing

    JIM tahan 213 buruh binaan asing

    SERAMAI 213 buruh binaan warga asing ditahan pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menerusi serbuan di dua tapak pembinaan berhampiran Stesen Transit Aliran Ringan(LRT) Sri Rampai, Wangsa Maju, Kuala Lumpur, semalam.

    JIM dalam satu kenyataan memaklumkan, buruh binaan warga asing itu terdiri daripada 210 lelaki dan tiga wanita.

    “Kesemua yang ditahan terdiri daripada 172 warga Bangladesh diikuti Indonesia (20 orang), Pakistan (10 orang), Vietnam (enam orang), India (tiga orang) dan Myanmar (dua orang).

    “Mereka ditahan selepas didapati terlibat dalam pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen dalam operasi bersepadu tersebut.

    “Antara kesalahan dilakukan ialah mengikut Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15(1) (c) Akta Imigresen 1959/1963 dan Perkara 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen,” menurut kenyataan dalam Facebook rasmi Imigresen Malaysia.

    Buruh binaan warga asing yang ditahan itu terdiri daripada 210 lelaki dan tiga wanita.

    JIM memberitahu, seramai 254 buruh asing diperiksa dalam operasi yang dijalankan dengan kerjasama pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

    Semua pekerja warga asing yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen, Putrajaya untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut.

    Difahamkan kebanyakan buruh asing terbabit didaftarkan di bawah majikan yang berbeza malah ada yang memiliki permit kerja di sektor pertanian sebaliknya mereka bekerja di tapak pembinaan tersebut.

    Malah terdapat kontraktor utama sendiri tidak mengetahui status permit kerja kebanyakan buruh yang dibawa masuk oleh sub-kontraktor yang bekerja di tapak pembinaan berkenaan.

  • Lelaki maut, motosikal terbabas langgar bonggol jalan

    Lelaki maut, motosikal terbabas langgar bonggol jalan

    SEORANG penunggang motosikal maut selepas dipercayai terbabas ketika melalui kawasan bonggol di simpang Antara Gapi, Hulu Selangor, malam tadi.

    Kejadian pukul 8.10 malam itu berlaku ketika mangsa dikatakan dalam perjalanan menuju ke tempat kerjanya.

    Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Arsad Kamaruddin berkata, mangsa lelaki berusia 20 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

    “Polis menerima laporan kejadian itu pada jam 8.10 malam. Siasatan mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa dari rumahnya di Antara Gapi menghala ke tempat kerja di sebuah kilang pembuatan produk automatif, juga di Antara Gapi.

    “Setiba di lokasi, motosikal Honda Dash ditunggang mangsa hilang kawalan ketika melalui bonggol jalan menyebabkan mangsa terjatuh. Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

  • Anggota bomba bantu mangsa banjir meninggal dunia

    Anggota bomba bantu mangsa banjir meninggal dunia

    SEORANG anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka Tengah yang kemalangan ketika melakukan kerja-kerja penyelamatan di Sungai Putat, Batu Berendam, Melaka, semalam, meninggal dunia awal pagi ini.

    Pegawai Bomba PBK II Mohd. Diya Che Jusoh, 46, meninggal dunia pada pukul 3.11 pagi ketika mendapat rawatan di Hospital Melaka.

    Pengarah JBPM Negeri, Penolong Pesuruhjaya Abu Bakar Katain berkata, jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid An-Nur Krubong, pada jam 10 pagi.

    Katanya, ketika kejadian mangsa bersama-sama pasukannya sedang melakukan kerja-kerja penyelamatan 14 mangsa banjr yang terperangkap di anjung sebuah rumah berikutan arus deras dan paras air meningkat dengan cepat.

    Menurut beliau, pasukan itu menggunakan alat pelindungan diri seperti jaket keselamatan ketika membuat penyelamatan secara ‘water crossing’ di lokasi kejadian bagaimanapun mangsa tergelincir akibat ditolak arus deras dan terperangkap di longgokan rumput hanyut.

    Ujarnya, mangsa kemudian diselamatkan anggota bomba yang lain serta diberikan bantuan pernafasan di lokasi kejadian sebelum dihantar ke Hospital Melaka menggunakan Jentera Emergency Medical Rescue Service (EMRS) BBP Melaka Tengah.

    “Mangsa yang menerima rawatan di hospital masih tidak sedarkan diri dan bergantung sepenuhnya kepada alat bantuan pernafasan sebelum menghembuskan nafas terakhir.

    “Warga Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Negeri Melaka merakamkan ucapan takziah dan amat berdukacita di atas insiden tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Media semalam melaporkan seorang anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka Tengah dipercayai pengsan semasa melakukan kerja-kerja penyelamatan di Sungai Putat.

    Kejadian pukul 5.30 petang itu dipercayai berlaku ketika mangsa sedang memasang tali di kawasan banjir untuk membantu penduduk kampung keluar dari kediaman masing-masing.

  • Padah 8 kanak-kanak tunggang basikal lajak secara berbahaya

    Padah 8 kanak-kanak tunggang basikal lajak secara berbahaya

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TINDAKAN sekumpulan kanak-kanak menunggang basikal lajak secara berbahaya mengundang padah apabila mereka ditahan dalam satu operasi khas di Johor Bahru utara pada 15 dan 16 Oktober lalu.

    Menerusi operasi khas basikal lajak yang dilakukan di dua lokasi berbeza di daerah itu, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Johor Bahru Utara menahan lapan penunggang basikal lajak berusia 10 hingga 15 tahun.

    Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd Wahid, mereka ditahan selepas disyaki menunggang dengan aksi berbahaya secara berkumpulan di dua lokasi berbeza tersebut.

    Pihaknya turut melakukan sitaaan dua motosikal yang terlibat dalam kegiatan tersebut.

    “Pemeriksaan mendapati banyak basikal telah diubah suai dan tidak mengikut spesifikasi basikal yang selamat untuk ditunggang.

    “Semua penunggang dan basikal masing-masing dibawa ke Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Katanya, soal siasat mendapati seorang daripada mereka yang merupakan remaja berusia 15 tahun berperasanan sebagai mekanik basikal lajak.

    “Ramai rakan basikal lajak yang datang ke rumahnya untuk membaiki dan menukar alat ganti daripadanya. Hasil pemeriksaan di rumahnya juga menemui komponen-komponen basikal lajak,” katanya.

    Beliau berkata, semua penjaga dan ibu bapa kepada semua yang ditahan sudah dipanggil serta diberi penerangan mengenai bahaya basikal lajak dan kesan kepada penunggang sekiranya berlaku kemalangan.

    “Ibu bapa juga perlu memastikan anak-anak mereka tidak menunggang basikal lajak di jalan raya,” katanya.

    Menerusi operasi itu katanya, lapan basikal lajak dirampas untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 112 (3) Akta Pengangkutan Jalan Raya

    (APJ) 1987 dan penunggang basikal pula disaman mengikut 42(1) (A) LN 166/59 Kaedah-kaedah Lalu Lintas 1959 kerana ubah suai basikal.

    Selain itu katanya, dua saman dikeluarkan terhadap penunggang motosikal mengikut Sekysen 26 (1) APJ 1987 kerana tiada lesen memandu dan dua buah motosikal turut disita di bawah Seksyen 64 APJ 1957.

    Ini termasuk juga satu saman di bawah Kaedah 4 Kaedah-kaedah Motosikal (Topi Keledar) 1973 kerana tidak memakai topi keledar, katanya.

  • Tiada unsur jenayah dalam kes 2 beradik angkat mati dalam rumah

    Tiada unsur jenayah dalam kes 2 beradik angkat mati dalam rumah

    IBU Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju mengesahkan kematian dua mayat dipercayai adik-beradik angkat dalam sebuah rumah di Blok B projek perumahan rakyat (PPR) Sri Semarak, Kuala Lumpur pagi tadi, tiada unsur jenayah.

    Menurut Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah, kes penemuan mayat lelaki 51 tahun dan mayat wanita 50 tahun itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

    “Kedua-duanya mempunyai masalah kesihatan iaitu kencing manis dan darah tinggi serta sering mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur.

    “Balai Polis Wangsa Maju menerima maklumat dari orang awam berkaitan kes kematian di Blok B PPR Sri Semarak, Setapak Jaya, Kuala Lumpur itu kira-kira pukul 11 pagi hari ini.

    “Berdasarkan maklumat, polis pergi ke lokasi dan dengan bantuan bomba yang diperlukan untuk memecahkan pintu utama memandangkan rumah mangsa terkunci dari dalam.

    “Selepas berjaya masuk, polis menemui dua mayat di dalam rumah itu.

    “Mayat pertama seorang lelaki berusia 50 tahun ditemui dalam keadaan terbaring di ruang tamu manakala mayat kedua seorang perempuan berusia 51 tahun ditemui mati dalam bilik utama terbaring di atas katil,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

    Beliau berkata, siasatan di tempat kejadian dibuat dan hasil pemeriksaan tubuh badan kedua-dua mayat serta tempat kejadian, tiada ditemui sebarang unsur jenayah.

    Katanya, kedua-duanya tidak mempunyai ikatan perkahwinan dan bekerja di Syarikat Alam Flora sebagai pekerja kontraktor pembersihan.

    “Kedua-dua si mati tidak hadir bekerja pada hari ini menyebabkan rakan mereka cuba menghubungi tetapi gagal dan pergi ke kediaman si mati sebelum mendapati pintu rumah terkunci dari dalam.

    “Rakan si mati kemudian menghubungi polis. Hasil temubual dengan jiran si mati juga mendapati kali terakhir melihat kedua-dua si mati pada hari Isnin,” katanya.

    Menurutnya, kedua-dua mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.

    Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan dan orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes boleh menghubungi IPD Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

  • Ketua Pemuda UMNO Mersing meninggal dunia

    Ketua Pemuda UMNO Mersing meninggal dunia

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KETUA Pemuda UMNO Bahagian Mersing, Azmir Zainal Abidin, 40, meninggal dunia akibat darah tinggi di Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru petang ini.

    Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Johor, Mohd. Hairi Mad. Shah berkata, Azmir menghembuskan nafas terakhir pada pukul 4.25 petang.

    Mohd Hairi menerusi hantaran dalam Facebook miliknya berkata, Azmir merupakan seorang yang komited dalam menjalankan tugas.

    “Allahyarham sangat komited dalam setiap arahan kerja yang diberikan dan sentiasa bertanya sekiranya kurang memahami perkara yang diarahkan.

    “Perjuangan beliau tidak boleh dinafikan, ketika ramai yang lari daripada ‘medan perang’ beliau setia dan yakin pada parti keramat ini,” katanya dalam kemas kini terbaharu dalam Facebooknya.

    Jenazah Azmir dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Aliff, Johor Bahru pada pagi esok.

    Allahyarham merupakan anak sulung bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau dan bekas Pengerusi Jawatankuasa Agama Negeri Johor, Datuk Zainal Abidin Osman.

    Azmir turut memegang beberapa jawatan lain termasuk Penolong Setiausaha Pemuda UMNO Johor, Pengerusi Tetap Gerakan Belia 4B Malaysia dan Yang Dipertua Majlis Gabungan Belia Mersing.

    Allahyarham meninggalkan isteri dan dua anak perempuan.

  • Tiga jurujual didakwa sembunyi wang RM2.8 juta

    Tiga jurujual didakwa sembunyi wang RM2.8 juta

    TIGA jurujual mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Majistret Kuantan hari ini atas 27 pertuduhan menyembunyikan wang berjumlah RM2.8 juta milik syarikat pelaburan tidak wujud pada Jun lalu.

    Ng Kai Sheng, 26; On Hui Lin, 34, dan Low Kheh Sheng, 24, didakwa menyembunyikan wang milik beberapa individu yang dikreditkan ke dua akaun bank yang didaftarkan atas nama sebuah syarikat antara Mei hingga Jun lalu, di sebuah rumah di Pelindung Height, Kuantan.

    Mereka dituduh mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Peguam Nurul Syafiqa Syeba Atan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili semua tertuduh memohon mahkamah membenarkan jaminan rendah kepada anak guamnya atas alasan mereka menanggung keluarga termasuk ibu bapa selain telah memberi kerjasama kepada pihak berkuasa sepanjang siasatan.

    Pada prosiding di hadapan Majistret Ainis Abu Hassan Shaari, On yang berhadapan dengan sembilan pertuduhan dibenarkan jaminan RM18,000, manakala jaminan RM12,000 dikenakan terhadap Ng yang didakwa atas enam pertuduhan, masing-masing dengan seorang penjamin.

    Majistret Nurul Farahah Mohd Suah membenarkan jaminan terhadap On yang didakwa atas tujuh pertuduhan sebanyak RM14,000, Ng yang berhadapan empat tuduhan dijamin RM10,000 manakala Low yang dituduh dengan satu pertuduhan RM3,000, juga dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

    Sebutan semula kes pada 17 November untuk On dan Ng, manakala 25 November untuk Low.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Azreen Wan Zaid. – Bernama

  • Lima ‘polis’ ditahan lakukan pemerasan

    Lima ‘polis’ ditahan lakukan pemerasan

    POLIS menahan lima lelaki yang menyamar sebagai polis selepas mereka mengaut keuntungan RM6,700 hasil daripada melakukan pemerasan terhadap peniaga di sekitar Sabak Bernam, Sungai Besar.

    Kesemua suspek yang ditahan berusia 21 hingga 43 tahun ditahan selepas berada dalam keadaan mencurigakan di hadapan sebuah bank di pekan Sekinchan pada 8.30 malam, 15 Oktober lalu.

    Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, pihaknya menerima lima laporan dibuat peniaga berhubung jenayah itu hingga ada antara mangsa mengalami kerugian ribuan ringgit.

    “Modus operandi suspek adalah memasuki premis dan menggunakan alasan untuk melakukan pemeriksaan sekiranya terdapat pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

    “Suspek kemudian melakukan pemerasan dengan mengugut mangsa supaya membayar sejumlah wang,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam, hari ini.

    Kataya, kejadian pertama berlaku pada 14 Oktober lalu terhadap peniaga kedai runcit berusia 53 tahun di Pekan Batu 39, Sabak Bernam.

    Beliau berkata, kumpulan itu kemudian melakukan jenayah itu pada keesokannya dengan memeras ugut seorang peniaga di Parit Baru, Sungai Air Tawar.

    Menurutnya, kali terakhir kegiatan itu dilakukan di sebuah kedai di Jalan Sungai Limau, Sungai Besar pada pukul 4 petang.

    Katanya, siasatan awal mendapati salah seorang suspek bekas anggota polis dan pernah berkhidmat di sebuah balai polis di Perak sebelum ditamatkan perkhidmatan tahun lalu.

    “Suspek mempunyai lima rekod jenayah lampau. Kumpulan ini dikesan melakukan kegiatan terbabit dengan menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Unser.

    “Mereka yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 384 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 89(a) Akta Polis 1967,” katanya.

  • Tiada data pengguna MySejahtera diceroboh

    Tiada data pengguna MySejahtera diceroboh

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) memberi jaminan tiada data pengguna dalam aplikasi MySejahtera yang diceroboh atau digodam pihak bertanggungjawab.

    Ini selepas aduan beberapa pengguna aplikasi berkenaan yang menerima kata laluan sekali (OTP) untuk mengesahkan nombor telefon melalui pendaftaran masuk QR ke sesebuah premis.

    Pasukan MySejahtera dalam satu kenyataan ringkas memaklumkan, telah menjalankan siasatan berhubung perkara tersebut dan mendapati fungsi pendaftaran QR bagi premis perniagaan telah disalahguna.

    Katanya, penyalahgunaan itu melalui akses skrip kepada nombor telefon secara rawak.

    Namun begitu, Pasukan MySejahtera memaklumkan tindakan pantas telah dilakukan dengan menyekat aplikasi pengaturcaraaan antaramuka (API).

    “Kami telah menerima banyak aduan melalui talian bantuan MySejahtera dan media sosial mengenai permintaan OTP bagi mengesahkan nombor telefon mereka untuk pendaftaran QR daftar masuk ke sesebuah premis.

    “Pasukan MySejahtera telah menjalankan siasatan dan mendapati fungsi pendaftaran kod QR untuk kegunaan di premis perniagaan disalahgunakan oleh akses skrip yang menghantar OTP kepada nombor telefon secara rawak.

    “Kami mohon maaf atas kejadian ini dan ingin meyakinkan semua pengguna bahawa tiada data pengguna yang diakses oleh skrim ini tetapi hanya berlaku penyebaran nombor telefon secara rawak,” katanya dalam kenyataan itu hari ini.

    Beberapa pengguna aplikasi MySejahtera membuat aduan mengatakan menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) antara pukul 12 tengah malam Ahad hingga awal pagi Isnin meminta pengguna mengesahkan akaun mereka melalui OTP.

  • Perhilitan kenal pasti 3 kawasan lintasan gajah di Johor

    Perhilitan kenal pasti 3 kawasan lintasan gajah di Johor

    JABATAN Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mengenal pasti tiga kawasan lintasan gajah di jalan raya di negeri ini.

    Pengarah Perhilitan Johor, Aminudin Jamin berkata, laluan tersebut ialah Jalan Kahang-Jamaluang, Jalan Kota Tinggi-Mersing dan Jalan Kluang-Kota Tinggi.

    “Jika ternampak papan tanda lintasan hidupan, pengguna jalan raya perlu mengurangkan kelajuan kenderaan.

    “Tindakan itu mampu mengurangkan risiko kemalangan, termasuk kemalangan maut, antara manusia dan gajah.

    “Sehingga kini, dua kes manusia melanggar gajah direkodkan iaitu pada 1 September 2020 di Jalan Kota Tinggi-Mersing yang menyebabkan kecederaan dan 16 Oktober lalu di Jalan Kluang-Kota Tinggi yang menyebabkan kematian,” katanya ketika dihubungi.

    Pada 16 Oktober lalu, seorang penolong jurutera sebuah universiti awam terbunuh selepas Honda City dipandunya terlanggar seekor gajah liar yang keluar dari kawasan hutan pada kejadian di Kilometer 70, Jalan Kota Tinggi-Kluang.

    Aminuddin berkata, ada panduan yang boleh diikuti oleh orang ramai sekiranya mereka terserempak gajah bagi mengelakkan haiwan berkenan menjadi agresif.

    “Jangan bunyikan hon, rendahkan lampu dan jangan tinggikan lampu kenderaan,” katanya.

    Beliau berkata, bagi mengurangkan risiko haiwan berkenaan terdedah kepada konflik dengan manusia, kerajaan sudah melaksanakan langkah perlu seperti mengadakan koridor laluan gajah dan pemasangan sistem pagar elektrik.

    “Selain itu, kami melakukan pemasangan kolar satelit pada gajah untuk mengetahui pergerakan haiwan berkenaan selain memudahkan kakitangan jabatan mengambil tindakan awal.

    “Pemasangan papan tanda dan had kelajuan di kawasan lintasan hidupan liar dan pemasangan lampu ‘amber light’ di tepi jalan raya kawasan lintasan hidupan liar turut dilakukan,” katanya.