POLIS menahan lima lelaki yang menyamar sebagai polis selepas mereka mengaut keuntungan RM6,700 hasil daripada melakukan pemerasan terhadap peniaga di sekitar Sabak Bernam, Sungai Besar.

Kesemua suspek yang ditahan berusia 21 hingga 43 tahun ditahan selepas berada dalam keadaan mencurigakan di hadapan sebuah bank di pekan Sekinchan pada 8.30 malam, 15 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, pihaknya menerima lima laporan dibuat peniaga berhubung jenayah itu hingga ada antara mangsa mengalami kerugian ribuan ringgit.

“Modus operandi suspek adalah memasuki premis dan menggunakan alasan untuk melakukan pemeriksaan sekiranya terdapat pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Suspek kemudian melakukan pemerasan dengan mengugut mangsa supaya membayar sejumlah wang,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam, hari ini.

Kataya, kejadian pertama berlaku pada 14 Oktober lalu terhadap peniaga kedai runcit berusia 53 tahun di Pekan Batu 39, Sabak Bernam.

Beliau berkata, kumpulan itu kemudian melakukan jenayah itu pada keesokannya dengan memeras ugut seorang peniaga di Parit Baru, Sungai Air Tawar.

Menurutnya, kali terakhir kegiatan itu dilakukan di sebuah kedai di Jalan Sungai Limau, Sungai Besar pada pukul 4 petang.

Katanya, siasatan awal mendapati salah seorang suspek bekas anggota polis dan pernah berkhidmat di sebuah balai polis di Perak sebelum ditamatkan perkhidmatan tahun lalu.

“Suspek mempunyai lima rekod jenayah lampau. Kumpulan ini dikesan melakukan kegiatan terbabit dengan menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Unser.

“Mereka yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 384 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 89(a) Akta Polis 1967,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here