Author: Admin

  • SOP ketat akan disediakan bagi menyambut 32,000 pekerja asing ke Malaysia

    SOP ketat akan disediakan bagi menyambut 32,000 pekerja asing ke Malaysia

    KERAJAAN akan menyediakan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat sebelum negara ini menerima seramai 32,000 pekerja asing dalam sektor perladangan sawit, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin.

    Beliau berkata, pekerja asing dari Indonesia akan dibawa masuk terlebih dahulu untuk bekerja dalam sektor berkenaan sebelum diikuti oleh pekerja asing dari negara-negara sumber yang lain.

    Menerusi satu kenyataan hari ini, Zuraida turut memaklumkan, SOP kemasukan pekerja asing yang bakal dikuatkuasakan itu akan difokuskan kepada pengambilan pekerja asing dalam sektor perladangan sawit terlebih dahulu.

    “Perincian berhubung mekanisme untuk membawa masuk pekerja asing dari negara sumber akan dikeluarkan oleh kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia (KSM) dalam masa terdekat dan sebarang perubahan SOP tertakluk kepada perbincangan pihak KSM, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

    “Segala kos bagi membawa masuk pekerja asing ke negara ini adalah di bawah tanggungjawab majikan bagi setiap kelulusan yang diperoleh,” katanya dalam kenyataan itu.

    Tambah beliau, pihak majikan akan memastikan kesemua pekerja mereka telah lengkap divaksinasi dengan kos yang ditanggung sepenuhnya oleh mereka sendiri.

    Menurut Zuraida, kerajaan Indonesia juga menyambut baik prosedur yang telah ditetapkan oleh Malaysia untuk rakyat mereka bekerja di negara ini.

    Pada 22 Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik COVID-19 telah meluluskan SOP kemasukan pekerja asing.

    Ismail Sabri yang juga pengerusi jawatankuasa khas itu berkata SOP berkenaan akan dikuatkuasakan kepada semua sektor yang ditetapkan dan diluluskan berdasarkan kes oleh Jawatankuasa Pekerja Asing dipengerusikan bersama oleh Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia.

    Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, majikan yang berminat untuk menggajikan pekerja asing perlu menanggung semua kos berkaitan untuk membawa mereka masuk ke Malaysia

    Antaranya kata beliau, meliputi kadar bayaran levi dan kos kuarantin wajib setelah mereka tiba di pintu masuk negara.

    Menurutnya, ketibaan semua pekerja asing hanya dibenarkan melalui pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), KLIA2, serta pintu masuk Sabah dan Sarawak yang akan ditetapkan kemudian nanti.

    Bercakap dalam sidang selepas Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Antara Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia Mengenai Pengurusan Pekerja Asing hari ini, beliau berkata, pekerja asing juga perlu menjalani tempoh kuarantin wajib selama tujuh hari di pusat kuarantin yang diperakui oleh kerajaan.

  • Operator kilang sarung tangan dituduh bunuh suami

    Operator kilang sarung tangan dituduh bunuh suami

    MAHKAMAH Majistret Selayang hari ini mendakwa seorang operator kilang sarung tangan atas tuduhan membunuh suaminya, minggu lalu.

    Tertuduh, R. Umadevi, 26, mengangguk faham selepas pertuduhan dibaca dalam bahasa Melayu di hadapan Majistret Nur Hafizah Rajuni.

    Bagaimanapun, tiada pengakuan direkod daripada tertuduh kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi, Lapor Sinar Harian.

    Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja telah membunuh kelindan lori, A. Murgan, 45, di sebuah rumah di Kampung Laksamana, Batu Caves, Selayang pada pukul 11.30 malam, 19 Oktober lalu.

    Atas pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

    Kes ini dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Anis Farhah Ahmad Hilmi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Tiada jaminan diberikan dan mahkamah menetapkan 25 November depan untuk serahan dokumen.

    Rabu lalu media melaporkan, pertikaman lidah dipercayai akibat cemburu membabitkan sepasang suami isteri berakhir dengan pertumpahan darah apabila lelaki itu ditemui tertikam dengan besi kaki payung di kediaman mereka di Kampung Laksamana, Batu Caves di sini.

    Menurut Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada jiran kepada pasangan tersebut yang mengesyaki mangsa membunuh diri pada pukul 12.35 pagi Rabu.

  • Pemandu jentera berat rogol anak saudara bawah umur dipenjara, sebat

    Pemandu jentera berat rogol anak saudara bawah umur dipenjara, sebat

    MAHKAMAH Sesyen Kuala Terengganu hari ini menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan 10 sebatan ke atas seorang pemandu jentera berat selepas mengaku salah merogol anak saudaranya hujung September lalu.

    Lelaki yang berusia 49 tahun itu mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan kerana merogol selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Nooriah Osman.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh merogol mangsa yang ketika itu berusia 14 tahun di sebuah rumah di Kuala Nerus, kira-kira pukul 4 pagi, pada hujung September 2021.

    Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak lebih 30 tahun dan tidak kurang 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

    Tertuduh turut berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 377 B Kanun Keseksaan iaitu meliwat mangsa yang sama di lokasi, waktu dan tarikh yang sama.

    Bagaimanapun, bagi pertuduhan itu tertuduh mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

    Mahkamah menetapkan 29 November depan sebagai tarikh sebutan semula untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Intan Nor Hilwani Mat Rifin manakala tertuduh tidak diwakili peguambela.

  • Selesai isu tanah untuk percepat naik taraf, bina semula sekolah daif

    Selesai isu tanah untuk percepat naik taraf, bina semula sekolah daif

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) mahu isu pemutihan tanah di seluruh negara diselesaikan dengan kadar segera bagi membolehkan projek menaik taraf dan pembinaan semula sekolah daif dapat disegerakan, terutamanya di Sarawak.

    Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, sekiranya tanah tapak pembinaan bangunan sekolah daif tidak menjadi tanah hak milik persekutuan, maka kerja-kerja pembinaan tidak akan dapat dijalankan.

    “Itu adalah antara perkara yang telah dibincangkan oleh saya semasa mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia (pusat pentadbiran kerajaan Sarawak di Kuching), semalam.

    “Jika kita lihat kepada perkara paling asas untuk diselesaikan, insya-Allah pada masa akan datang apabila isu tanah itu selesai, maka prosesnya akan lebih cepat serta teratur,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Sekolah Menengah Samariang, Sarawak, hari ini. 

  • Tindakan guru tolak vaksin selepas 1 November – Radzi

    Tindakan guru tolak vaksin selepas 1 November – Radzi

    GURU yang masih enggan menerima suntikan vaksin Covid-19 diberi tempoh sehingga 1 November ini untuk berbuat demikian atau berdepan tindakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

    Menterinya, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, langkah itu selaras dengan pengumuman Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang mewajibkan kakitangan kerajaan melengkapkan suntikan vaksin Covid-19 sebelum 1 November ini dan tindakan tatatertib akan diambil selepas itu.

    Beliau berkata, sejak pengumuman JPA itu, guru yang sebelum ini enggan divaksin, kini sudah berubah fikiran dan bersetuju untuk menerima dos pertama.

    “Paling penting sekarang ialah ia (guru enggan divaksin) boleh menjejaskan operasi sekolah dan tindakan segera perlu diambil termasuk menukar guru terbabit,” kata beliau seperti yang dilaporka portal UtusanTV hari ini.

    Dalam pada itu, Radzi menjelaskan, tindakan menukar guru perlu bagi memastikan pembelajaran murid tidak terjejas dan guru lain yang lengkap vaksin tidak terbeban dengan tindakan mereka.

    Memberi contoh murid berkeperluan khas ujarnya, kanak-kanak itu sepanjang masa memerlukan guru berada di samping mereka.

    “Jika ada kalangan guru itu (guru berkeperluan khas) enggan divaksin, tentu ia akan menjejaskan operasi sekolah, kerana kita berpegang kepada prinsip asas, iaitu jika tidak divaksin, tidak boleh mengajar secara bersemuka,” katanya.

    Mengulas mengenai program imunisasi pelajar berusia 12 hingga 17 tahun, Radzi memberitahu, sebanyak 80 peratus pelajar sudah menerima dos pertama malah ada negeri yang sudah berjaya mencapai 90 peratus.

    Menurutnya, pelajar tingkatan 6 dan tingkatan 5 sebahagian besarnya sudah lengkap vaksinasi dan pihak kementerian berpuas hati dengan kelancaran proses imunisasi.

    “Bagi vaksinasi untuk pelajar sekolah rendah, kita akur dengan apa sahaja keputusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Ketika ini KKM menjelaskan tiada vaksin sesuai untuk kanak-kanak bawah 12 tahun dan jika sudah ada, KKM bersedia untuk memberi vaksin kepada golongan itu, kami akan bekerjasama penuh,” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Samariang, di Kuching, Sarawak.

  • KDN akan beri kerjasama jika ada laporan rasuah – Hamzah

    KDN akan beri kerjasama jika ada laporan rasuah – Hamzah

    MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin menggesa pihak berkenaan membuat laporan polis berhubung pendedahan mengenai dakwaan salah guna kuasa dan rasuah dibongkar pengguna Twitter serta Telegram menggunakan nama ‘Edisi Siasat’ sejak beberapa minggu lalu.

    Menurut Hamzah, Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak yang membuat laporan polis berhubung dakwaan berkenaan.

    Namun begitu, beliau menyatakan baru sahaja mendengar dan tidak mengetahui mengenai dakwaan melibatkan pegawai kanan kerajaan, menteri dan bekas menteri itu.

    “Saya baru dengar,… saya tak tahu pun perkara ini. Bagaimanapun, segala kesalahan, sesiapa saja kalau ada laporan polis, ada siasatan, kita akan berikan kerjasama.

    ““Buat masa ini, saya tidak tahu,” kata beliau dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Mengenai Pengurusan Pekerja Asing Kali Ke-6, di Kuala Lumpur, hari ini.

    Semalam, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan menggesa pihak polis supaya menyiasat kenyataan dimuat naik pengguna akaun Twitter tersebut yang mendakwa segelintir pegawai kanan polis dipercayai terlibat dengan kes penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah.

    Menurut Musa, sebelum mengambil tindakan lanjut, Polis Diraja Malaysia (PDRM) terlebih dahulu perlu mengesahkan sama ada dakwaan yang tular dalam media sosial itu benar atau sebaliknya.

    Kata beliau, pegawai dikatikan dengan dakwaan berkenaan boleh mengambil tindakan saman sivil sekiranya maklumat itu terbukti palsu.

  • Bersatu, Pas, Gerakan guna lambang PN pada PRN Melaka – Muhyiddin

    Bersatu, Pas, Gerakan guna lambang PN pada PRN Melaka – Muhyiddin

    MAJLIS Tertinggi Perikatan Nasional (PN) menerusi mesyuarat khas yang diadakan semalam memutuskan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan Gerakan akan menggunakan lambang PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.

    Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ketiga-tiga parti tersebut menyatakan persetujuan dan kesepakatan dalam mesyuarat itu yang diadakan bagi membincangkan perkara berkaitan PRN Melaka.

    “Saya telah mempengerusikan mesyuarat khas yang dihadiri oleh semua parti komponen – Bersatu, Pas, Star Sabah, SAPP dan Gerakan.

    “Mesyuarat khas itu secara khusus diadakan bagi membincangkan hal-hal berkaitan pilihan raya negeri Melaka.

    “Bersatu, Pas dan Gerakan sepakat menawarkan calon dalam pilihan raya Dewan Undangan Negeri Melaka dan menggunakan satu lambang iaitu lambang PN,” katanya dalam satu kenyataan.

    Muhyiddin berkata, rundingan kerusi-kerusi yang akan ditandingi oleh parti PN akan dimuktamadkan oleh jawatankuasa rundingan kerusi PN.

    Majlis Tertinggi PN juga, katanya memutuskan semua parti komponen untuk menggerakkan jentera pilihan raya masing-masing.

    Mereka juga diminta menggembleng seluruh tenaga dan upaya bagi memenangi kepercayaan rakyat Melaka agar mencapai kejayaan dalam pilihan raya itu.

    Pilihan raya Melaka diadakan berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri pada 4 Oktober lalu, langkah yang diambil selepas empat wakil kerajaan menarik balik sokongan mereka kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali.

    Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu tetap dengan keputusannya untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu pada sebarang pilihan raya.

    Ini mendorong Muhyiddin yang kemudiannya mengumumkan bahawa PN akan bertanding di semua 28 kerusi DUN di Melaka.

  • Tumbangnya Kerajaan Sudan perampas aset Petronas

    Tumbangnya Kerajaan Sudan perampas aset Petronas

    Oleh : ABDUL MUEIN ABADI

    TERKINI nasib 42 rakyat Malaysia di Sudan dan aset Petronas yang dirampas rejim Abdalla Hamdok pro-Israel hari ini menjadi tumpuan dunia apabila tentera di bawah Jeneral Abdel Fattah al-Burhan bertindak merampas kuasa.

    Sebelum ini, kerajaan Sudan pro-Israel pimpinan Abdalla Hamdok bertindak melampau apabila bukan sahaja merampas aset Petronas pada 5 Oktober, bahkan turut mengeluarkan waran tangkap terhadap Pengurus Petronas di Sudan pada 12 Oktober.

    Malah, Abdalla Hamdok yang sebelum ini merupakan ahli ekonomi mesra Barat di PBB turut bertindak merampas aset milik Turki, Pakistan, Qatar, dan China, negara-negara yang kurang mesra agenda geopolitik Barat.

    Abdalla Hamdok juga bertanggungjawab mewujudkan hubungan diplomatik Sudan-Israel pada tahun 2020 selepas tumbangnya Jeneral Omar al-Bashir yang bertanggungjawab bekerjasama dengan Petronas dalam membangunkan industri petroleum Sudan.

    Rampasan kuasa Jeneral Abdel Fattah al-Burhan hari ini menyaksikan Abdalla Hamdok yang pro-Israel serta beberapa menteri lagi telah ditahan, manakala lapangan terbang Sudan dilaporkan telah ditutup dan penerbangan antarabangsa dilaporkan telah digantung.

    Seperti diduga, kuasa Barat seperti Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah dengan serta-merta mendesak supaya Abdalla Hamdok dibebaskan segera dan mengugut akan menghentikan segala bantuan dan kerjasama antarabangsa dengan Sudan.

    Duta Amerika ke Afrika Jeffrey Feltman menegaskan bahawa rampasan kuasa ke atas rejim Sudan pro-Israel ini ‘tidak boleh diterima sama sekali’.

    Sebelum ini, Duta Jeffrey Feltman itu sendiri menegaskan pentingnya Sudan untuk menuruti pelan peralihan kuasa secara demokrasi yang disokong Amerika di mana kegagalan berbuat demikian akan memberi kesan negatif kepada hubungan bilateral Sudan-Amerika, termasuklah bantuan ketenteraan dan kewangan: “failure to meet key benchmarks will place at risk Sudan’s bilateral relationship with the United States, including significant U.S. assistance, as well as the prospect of security cooperation to modernize the Sudanese armed forces and U.S. support in the International Financial Institutions and for debt relief”.

    Meski pun Jeneral Abdel Fattah al-Burhan dianggap sebagai ‘Jeneral yang paling bersih daripada rasuah’ berbanding jeneral-jeneral Sudan yang lain, tindakan beliau menjatuhkan kerajaan Sudan pro-Israel hari ini pasti akan mengundang tindak balas dahsyat daripada kuasa-kuasa Barat yang sudah pun melaungkan amaran; bahkan gema bantahan kepada rampasan kuasa tentera ini juga sudah meletus di Khartoum yang menuntut supaya janji pilihan raya diadakan dipenuhi.

    Tumbangnya rejim Abdalla Hamdok ini membuka ruang kepada kemungkinan semakan semula kepada tindakan kerajaan Sudan sebelum ini yang merampas Kompleks Petronas di Khartoum kononnya atas tudahan rasuah. Untuk rekod, langkah Petronas merujuk kes rampasan Sudan sebelum ini ke International Centre for Settlement of Dispute (ICSID) hanya diambil selepas jalan diplomatik melalui Kementerian Luar Negeri tidak membuahkan sebarang hasil.

    Apa yang pasti, nasib 42 rakyat Malaysia di Sudan termasuk 27 pelajar yang berdaftar di sana serta aset Petronas yang dirampas masih memerlukan doa sokongan kita semua rakyat Malaysia. Sama-sama kita doakan semoga Allah peliharakan rakyat Malaysia di sana serta menstabilkan politik Sudan bebas daripada campur tangan kuasa asing yang jelas berkepentingan.

    • Penulis adalah Penyelidik PhD Faculty of Governance and Global Affairs, Leiden University, Belanda. Artikel ini dipetik daripada HARAKAHDAILY
  • SOP PRN Melaka:Semua pihak perlu patuhi SOP ditetapkan – Hishammuddin

    SOP PRN Melaka:Semua pihak perlu patuhi SOP ditetapkan – Hishammuddin

    MENTERI Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menegaskan, semua pihak perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bagi memastikan penularan COVID-19 tidak berulang.

    Ahli Parlimen Sembrong itu percaya larangan Kementerian Kesihatan (KKM) terhadap semua perhimpunan berkaitan pilihan raya berkuat kuasa hari ini adalah selepas mengambil pelanggaran SOP Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) melibatkan parti-parti politik.

    “Sehingga Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan SOP lebih ketat bermula hari penamaan (8 November), semua pihak perlu mengelakkan perkara yang boleh menimbulkan kemarahan rakyat terhadap parti politik.

    “Ketika ini, kerana SPR hanya dipertanggungjawabkan dalam perjalanan pilihan raya selepas 8 November, maka sebelumnya (25 Oktober– 7 November) tanggungjawab bawah Akta 342 terletak atas bahu KKM, dipantau MKN, dan dikuat kuasa oleh KDN.

    “Jadi dari hari ini sampai 8 November, kita kena pastikan tidak ada perkara yang boleh menimbulkan, atau mengundang kemarahan rakyat, terhadap ahli politik atau parti-parti politik,” katanya dalam sidang media di bangunan Parlimen, hari ini.

    Bermula 25 Oktober, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengumumkan larangan terhadap sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya termasuk majlis pelancaran jentera pilihan raya, sehingga 27 November 2021.

    Beliau berkata, larangan itu dibuat selepas pemantauan KKM mendapati terdapat parti-parti politik termasuk UMNO gagal mematuhi SOP seperti di beberapa majlis kebelakangan ini.

    Sewaktu persidangan Dewan Rakyat awal hari ini, Ahli Parlimen Kulim – Bandar Baharu, Datuk Seri Saifuddin Nasution menzahirkan kegusaran parti politik blok kerajaan akan menyalahguna kebenaran majlis rasmi di bawah Fasa 4 PPN untuk tujuan berkempen.

    Beliau berkata, adalah tidak adil sekiranya parti kerajaan dibenarkan membuat program rasmi, sedangkan parti lain perlu mengikut SOP ketat oleh SPR.

    Mengulas mengenai kegusaran itu, Hishammuddin berkata, jika perkara itu tidak dibenarkan termasuk dalam SOP sebelum ini, maka kerajaan juga terikat, dan penguatkuasaan tidak boleh berat sebelah.

    “Kalau ianya merupakan satu yang kita tak benarkan seperti diumumkan, ini juga mengikat kerajaan. Tindakan sama rata mesti diamalkan supaya orang tak lihat ada ‘double standard’ dalam kita nak laksanakan, dan pantau SOP yang sedia ada sehingga SPR mengambil alih pada 8 November ini dalam masa kempen PRN Melaka,” katanya.

  • JKNS rampas ubat, komestik tidak berdaftar bernilai RM217,461

    JKNS rampas ubat, komestik tidak berdaftar bernilai RM217,461

    JABATAN Kesihatan Negeri Sembilan (JKNS) merampas 90 jenis ubat dan kosmetik tidak berdaftar dan tidak bernotifikasi yang dianggarkan bernilai RM217, 461 dalam serbuan di Seremban, minggu lalu.

    Serbuan itu dilakukan dengan kerjasama Bahagian Penguatkuasaan Farmasi (BPF), Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan di dua buah rumah dan pemeriksaan pada sebuah kenderaan.

    Timbalan Pengarah JKNS (Kesihatan Awam), Dr. Mohammad Faid Ab. Rashid berkata, hasil maklumat diperolehi Cawangan Penguatkuasaan Farmasi Negeri Sembilan mendapati tiga lokasi serbuan itu dipercayai mempunyai rangkaian pasaran melibatkan Negeri Sembilan, Pahang dan Johor.

    “Produk yang telah dirampas merangkumi pelbagai jenis termasuk produk tradisional yang tidak berdaftar dan ‘over-the-counter’,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Menurutnya, individu atau syarikat yang didapati terlibat menjual ubat-ubatan dan kosmetik berkenaan akan disiasat mengikut Akta Jualan Dadah 1952.

    Antara ubat dan kosmetik tidak berdaftar dan tidak bernotifikasi yang dirampas JKNS Negeri Sembilan di Seremban, minggu lalu. – Foto Ihsan Facebook JKNS Negeri Sembilan

    Beliau berkata, sabit kesalahan, individu terlibat boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

    “Bagi kesalahan berikutnya boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

    “Syarikat yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,” ujarnya.

    Sementara itu, Dr. Mohammad Faid berkata, sejak September 2019, Kementerian Kesihatan (KKM) telah memperkenalkan label keselamatan hologram FarmatagTM untuk semua produk berdaftar.

    Beliau berkata, label keselamatan hologram itu dilengkapi ciri keselamatan tambahan yang dapat membantu semua pihak dalam memastikan ketulenan produk di pasaran.

    “Pengguna boleh menyemak ketulenan label hologram FarmaTagTM pada produk dengan menggunakan aplikasi Farmachecker yang boleh dimuat turun secara percuma dari Google Playstore, AppStore dan juga Huawei App Gallery.

    “Justeru orang ramai dinasihatkan sentiasa berhati-hati sewaktu membeli apa-apa produk kesihatan dan kosmetik,” katanya.