Author: Admin

  • Seorang remaja lemas mandi di air terjun

    Seorang remaja lemas mandi di air terjun

    KESERONOKAN lima remaja lelaki mandi di Air Terjun Ulu Yam, Hulu Selangor, hari ini bertukar tragedi apabila seorang daripadanya lemas.

    Kejadian tersebut dilaporkan pada pukul 3.45 petang sebelum tujuh anggota dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang dihantar ke lokasi untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR).

    Operasi berkenaan turut disertai enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Selangor.

    Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd. Noor berkata, mangsa dikenali sebagai Muhammad Hafiz Khalil, 17, dan mayatnya ditemui pasukan penyelamat pada pukul 4.42 petang.

    “Berdasarkan maklumat, lima remaja lelaki berusia 13 hingga 17 tahun mandi di tempat kejadian sebelum seorang daripadanya dikatakan tenggelam sebelum dipercayai lemas.

    “Mangsa ditemui tidak lama selepas itu dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

    Hafisham berkata, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

  • JKN siasat dakwaan pelajar maut selepas disuntik vaksin kedua

    JKN siasat dakwaan pelajar maut selepas disuntik vaksin kedua

    PENGARAH Kesihatan Negeri, Datuk Dr. Ding Lay Ming memberitahu, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak menjalankan siasatan lanjut berhubung kematian seorang remaja lelaki yang meninggal dunia selepas sehari menerima suntikan dos kedua vaksin Covid-19, minggu lalu.

    Jelasnya, pelajar berkenaan yang berusia 15 tahun ditemui dalam keadaan sesak nafas dan tidak sedarkan diri di rumah pada 24 Oktober lalu iaitu sehari selepas suntikan vaksin tersebut.

    “Mangsa dibawa ke sebuah hospital swasta di Ipoh untuk rawatan kecemasan, namun disahkan meninggal dunia pada hari yang sama pukul 10.40 pagi.

    “Bedah siasat telah dijalankan dan mendapati terdapat penyempitan saluran paru-paru.

    “Kesemua sampel tisu dalam badan telah dihantar bagi pemeriksaan lanjut oleh Pakar Perubatan Forensik Patologi Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh,” katanya dalam satu kenyataan akhbar, hari ini.

    Beliau berkata, laporan bedah siasat itu dikategorikan masih belum lengkap kerana terdapat keputusan uji kaji yang belum diterima.

    “Pihak kami masih menunggu laporan bedah siasat yang lengkap bagi mengetahui punca sebenar kematian,” katanya.

    Katanya, remaja berkenaan telah menerima vaksin Covid-19 dos yang kedua di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gunung Rapat pada 23 Oktober.

    Bagaimanapun katanya, remaja itu dimaklumkan tidak mempunyai sebarang alahan terhadap vaksin atau ubat sebelumnya dan tidak diketahui mempunyai sebarang penyakit kronik.

    “Remaja itu juga tidak memaklumkan sebarang masalah atau komplikasi selepas menerima suntikan dos pertama,” katanya.

  • Empat pintu antarabangsa baharu bakal beroperasi-Hamzah

    Empat pintu antarabangsa baharu bakal beroperasi-Hamzah

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PEMBINAAN fasiliti di empat pintu masuk antarabangsa negara yang masih dalam proses dijadual siap sepenuhnya pada akhir tahun ini atau awal tahun depan.

    Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, projek tersebut melibatkan di Telok Melano dan Baleh di Sarawak manakala masing-masing satu di Lembah Silika, Terengganu dan Terminal Feri Antarabangsa Desaru Coast, Kota Tinggi.

    “Kesemua fasiliti pintu masuk ini kita jangka siap hujung ini atau awal tahun depan yang mana pembinaannya sudah mula sejak Julai lalu.

    “Usaha ini juga adalah bagi membuktikan bahawa kerajaan bersedia dan mahu memberi ruang untuk orang masuk di samping sektor ekonomi di kawasan itu boleh berjalan dengan lancar,” katanya kepada pemberita selepas melawat Terminal Feri Desaru Coast, Kota Tinggi, hari ini.

    Sebelum ini, media melaporkan kerajaan kini dalam usaha mewartakan pintu masuk imigresen baharu melibatkan laluan laut di Desaru Coast, Johor dan Terengganu selain laluan darat di kedua-dua lokasi di Sarawak.

    Pembukaan pintu masuk itu juga akan dilakukan bersama-sama pembinaan lapan pos kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) di Sabah dan Sarawak sebagai usaha usaha bagi membasmi masalah di sempadan.

    Terminal Feri Desaru Coast di Kota Tinggi yang dalam pembinaan merupakan satu daripada empat pintu masuk antarabangsa dijangka siap hujung tahun ini atau awal tahun depan. Foto Bernama

    Mengulas lanjut, Hamzah berkata, pada masa ini perkembangan terkini bagi kesemua lokasi pintu masuk itu juga tidak menunjukkan sebarang masalah besar tetapi beberapa isu berkaitan faktor kawasan di Sarawak.

    Jelasanya, di Sarawak ini ada masalah kerana terletak di pedalaman terutama jarak antara pintu masuk itu dengan jalan besar agak jauh.

    “Bagaimanapun, perkara ini sudah kita bincangkan bersama Kerajaan Negeri Sarawak dan jika tiada masalah ia akan berjalan seperti biasa dan akan umumkan secepat mungkin,” katanya.

    Berkenaan Terminal Feri Desaru Coast yang dijangka beroperasi tidak lama lagi, Hamzah memaklumkan persediaan berkaitan perkara itu sedang dilakukan.

    “Semalam semasa Kementerian Kewangan umumkan dalam Bajet 2022, Terminal Feri Desaru Coast ini ada disebutkan dan itu adalah perkara baik dan menunjukkan yang kita sudah bersedia untuk dibuka.

    “Apabila perkara ini juga dimasukkan dalam petunjuk prestasi utama (KPI) 100 hari saya, terbukti bahawa kita sudah bersedia dan bila pengumuman untuk kita buka sempadan dibuat nanti Terminal Feri Desaru Coast ini menjadi salah satu tumpuan,” katanya.

  • JPN, PPD perlu kerap pantau pematuhan garis panduan pengoperasian sekolah

    JPN, PPD perlu kerap pantau pematuhan garis panduan pengoperasian sekolah

    JABATAN Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah perlu lebih kerap turun ke sekolah bagi memantau pematuhan ketetapan dalam garis panduan pengoperasian sekolah.

    Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, selain itu beliau berharap agar guru memberi perhatian kapada aspek pengudaraan yang optimum di dalam bilik darjah.

    “Saya juga tertarik dengan perkongsian guru-guru prasekolah, antaranya mengenai pendekatan yang mereka rasakan sesuai untuk meningkatkan kualiti pendidikan prasekolah.

    “Terima kasih kepada semua kerana memahami aspirasi, dan perancangan KPM bagi menyediakan akses pendidikan berkualiti dan saksama kepada anak-anak pewaris negara, khususnya ketika kita bergerak ke fasa endemik COVID-19,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

    Terdahulu Dr. Radzi hadir dalam sesi libat urus bersama guru prasekolah, guru sekolah rendah dan menengah serta PIBG di seluruh daerah Muar.

    Beliau berkata, selain penjelasan tentang pengoperasian sekolah, turut kongsikan 14 elemen penting dalam memupuk dan membudayakan amalan serta nilai murni sejak mula persekolahan melalui penerapan konsep #SekolahKuSEJAHTERA.

    “Semua saranan yang dikemukakan warga pendidik sepanjang program maraton libat urus akan diperhalusi sebaiknya kementerian,” katanya.

  • Bila Najib bercuti hujung minggu di Melaka…

    Bila Najib bercuti hujung minggu di Melaka…

    CORAT CORET

    prn melaka

    ‘SERONOK’ bila baca berita Datuk Seri Najib Tun Razak pilih bercuti hujung minggu di Melaka.

    Kata beliau, negeri itu banyak lokasi menarik untuk dilawati, mungkin beliau baru sedar, maklumlah dulu masa jadi Perdana Menteri selama 10 tahun, Najib sibuk mungkin tak sempat nak bercuti hujung minggu di Melaka.

    Cara Najib bercuti juga ‘boleh dicontohi’… lain daripada yang lain, sebab melancong dan berjumpa kawan lama, beliau juga seperti dilaporkan oleh Harian Metro membeli barangan basah seperti ikan dan sayur di Pasar Terbuka Pantai Puteri sebelum sarapan pagi bersama peniaga serta penduduk kawasan berkenaan.

    ‘Bagus’ Najib ini kerana cara beliau bercuti memang unik, sebab banyak program ramah mesra dengan masyarakat dan ‘paling best’ dijemput oleh ketua-ketua UMNO bahagian untuk menjamu selera.

    Mungkin mereka pun tak sangka bekas Perdana Menteri akan memilih Melaka sebagai destinasi ‘bercuti di hujung minggu’, lagipun ‘eloklah juga kan’ sebab Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pun tak lama lagi, kalau tidak ada pilihan raya…tak dapat la orang Melaka tengok pemimpin negara bercuti hujung minggu di negeri mereka.

    Tapi jangan sesiapa buat-buat tafsiran bukan-bukan kat Najib sebab beliaupun dah kata,’’Saya bercuti dan bertemu masyarakat di sini bukanlah boleh ditakrifkan sebagai kempen pilihan raya. Saya hendak tengok sendiri jeti nelayan. Saya berpuas hati sejak Kerajaan BN memerintah,nelayan di sini dapat manfaat termasuk jeti, kemudian, letak bot dan lampu.’’

    Bila Najib sebut, ‘’…sejak kerajaan BN memerintah…’’ ..kena faham itu ‘’bukanlah ditakrifkan sebagai kempen pilihan raya’’…Najib cuma ‘teringat’ semasa bercuti dengan diiringi pemimpin UMNO Tangga Batu…..kenapa tak percaya ke?

    Mungkin selepas ini, kalau BN menang di Melaka, kerajaan negeri boleh fikir-fikirkan untuk lantik Najib sebagai ‘Duta Pelancongan hujung minggu’ terutamanya bila hendak pilihan raya.

    Ini kerana masa itulah ramai ahli politik sedar rupanya Melaka ada tempat menarik untuk bercuti di hujung minggu, ada kawan lama, ada makanan sedap dan tempat beli belah…betul tak?…Cuma nak tanya Tok Mat Hasan tak bercuti ke kat Melaka?

    TOK ABA – Bila nak pilihan raya… budak sekolah pun tau taktik orang politik

  • Akta 342 terpakai seluruh negara, bukan untuk PRN Melaka sahaja

    Akta 342 terpakai seluruh negara, bukan untuk PRN Melaka sahaja

    MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin memberitahu, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) terpakai di seluruh negara dan bukan semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

    “Sebarang perhimpunan termasuk politik yang didapati berlaku perlanggaran prosedur operasi standard (SOP) akan diambil tindakan mengikut Akta 342.

    “Akta 342 masih terpakai sama ada pilihan raya atau tidak, semua tempat terpakai. Bukan hanya di Melaka.

    “Yang ada dalam Akta 342 itu masih terpakai yang diumumkan dari semasa ke semasa oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN). Kalau SOP yang dibuat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), itu lain,” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas melawat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di Bukit Beruang, Melaka, hari ini.

    Hadir sama Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim.

    Menurut Hamzah, selain parti politik, mana-mana kumpulan yang didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) akan diambil tindakan.

    Mengenai persiapan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepanjang PRN Melaka, Hamzah berkata, beberapa perancangan dibuat dalam menjamin keselamatan dan keselesaan mereka yang berada di Melaka.

    “Turut dibincangkan bagaimana keanggotaan sama ada cukup atau tidak dan penggunaan dron selain terdapat agensi kerajaan lain yang akan bantu.

    “Melihat persediaan untuk PRN dibuat oleh Kontinjen Melaka, ia dalam keadaan baik dan siap sedia” katanya.

  • Hospital Medan ATM di Johor Bahru kekal beroperasi

    Hospital Medan ATM di Johor Bahru kekal beroperasi

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KEMENTERIAN Pertahanan mengekalkan Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru kerana mengambil kira kedudukannya yang berhampiran sempadan antarabangsa Malaysia-Singapura.

    Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, itu sebagai langkah persediaan berhubungan pergerakan dua hala di kawasan sempadan.

    “Saya minta mereka bertahan lagi kerana banyak perkara yang kita nak fikirkan termasuklah perjalanan rakyat Johor dan Singapura.

    “Jadi kalau kita tutup Hosptial Medan ATM di Johor Bahru, kalau sesuatu berlaku dalam landskap hubungan dua hala dengan Singapura, saya bimbang akan jadi satu hal jika hendak mulakan balik, nak bina semula jadi saya minta mereka kekalkan dahulu di Johor,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melakukan Lawatan Kerja ke Projek Jiwa Murni di Kampung Sri Tambak, Kluang, hari ini.

    Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd. Aziz dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Zamrose Mohd. Zain.

    Sehingga hari ini, hanya tiga daripada sembilan Hospital Medan ATM masih beroperasi iaitu Hospital Medan ATM HSA di Johor Bahru, Hospital Medan ATM di Kepala Batas dan Hospital Medan ATM di Hospital Pulau Pinang.

    Mengenai pengoperasian dua Hospital Medan ATM di Pulau Pinang pula, Hishammuddin berkata, itu bergantung keputusan kerajaan negeri.

    “Dua Hospital Medan ATM di Pulau Pinang, saya lihat keadaan sudah agak reda jadi keputusan sama ada henti operasi atau tidak bergantung kepada mereka dengan melihat keadaan semasa,” ujarnya.

    Sementara itu, mengulas berhubung peralihan Malaysia untuk memasuki fasa endemik wabak Covid-19, Hishammuddin berkata perkara itu akan ditentukan selepas menilai kesan pembukaan semula pelbagai sektor ekonomi ketika ini.

    “Keputusan untuk peralihan fasa akan dibuat selepas membuat penilaian terhadap pelbagai kelonggaran diberi antaranya rentas negeri, rentas sempadan dan juga pembukaan sekolah dan institusi pengajian tinggi.

    “Jadi ketika ini, fasa Pelan Pemulihan Negara berjalan seperti biasa dimana ketika ini kita sedang memberi fokus kepada suntikan penggalak,” ujarnya.

    Dalam pada itu, Hishammuddin turut memaklumkan kadar vaksinasi suntikan Covid-19 dalam kalangan warga ATM telah mencapai tahap 100 peratus dan pihaknya ketika ini sedang melihat pelaksanaan suntikan penggalak mengikut kepada keperluan dan bekalan.

  • Kementerian Pertahanan tumpu kebajikan warga ATM-Hishammuddin

    Kementerian Pertahanan tumpu kebajikan warga ATM-Hishammuddin

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KEMENTERIAN Pertahanan akan mengutamakan aspek kebajikan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selaras dengan peruntukan yang diumumkan pada Bajet 2022 yang dibentangkan di Parlimen semalam.

    Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, daripada peruntukan yang diterima, RM388 juta dikhususkan untuk membina baharu dan menyelenggara Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) sedia ada di seluruh negara.

    Jelasnya, ini akan dimanfaatkan sepenuhnya dengan menyediakan kediaman lebih selesa kepada anggota, veteran ATM dan warga awam Kementerian Pertahanan selain menambah baik infrastruktur sekolah dalam kem ATM.

    “Anggota kita merupakan petugas barisan hadapan dan kita perlu pastikan moral mereka di tahap tinggi.

    “Saya telah nyatakan kalau ada kekangan atau keperluan, mereka boleh hubungi Pejabat Menteri Pertahanan secara langsung,” katanya dalam sidang akhbar selepas melakukan Lawatan Kerja ke Projek Jiwa Murni di Kampung Sri Tambak, Kluang, hari ini.

    Yang turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd. Aziz dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Zamrose Mohd. Zain.

    Semalam, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan Kementerian Pertahanan akan diperuntukan dana berjumlah RM16 bilion dalam pembentangan Bajet 2022.

    Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, sebanyak RM11.10 bilion akan digunakan untuk perbelanjaan pengurusan manakala RM5.04 bilion akan digunakan untuk perbelanjaan pembangunan.

    “Bagi agenda kesiagaan, RM4.5 bilion akan dikhususkan untuk perbelanjaan berkaitan aset bagi ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM. Selain perolehan aset baharu, ia akan turut melibatkan penyelenggaraan aset-aset sedia ada.

    “Sejumlah RM40.7 juta juga akan diperuntuk untuk pembangunan penyelidikan sains dan teknologi pertahanan yang akan dilaksanakan Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (Stride),” ujarnya.

    Hishammuddin menambah, peruntukan diterima kementerian menerusi Bajet 2022 adalah yang tertinggi sejak Rancangan Malaysia Ke-9 membuktikan kerajaan komited memantapkan sektor pertahanan dan keselamatan negara.

  • Remaja dikhuatiri lemas semasa memancing udang

    Remaja dikhuatiri lemas semasa memancing udang

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    HASRAT seorang remaja lelaki memancing udang bersama-sama bapanya tidak kesampaian apabila terjatuh dalam sungai berhampiran Pasar Awam Pekan Benut, Pontian hari ini.

    Mangsa, Mohd. Akmal Jamaludin, 17, dikatakan tiba-tiba mempunyai masalah kesihatan semasa memancing di atas bot sebelum cuba dibawa ke Hospital Pontian untuk mendapatkan rawatan kecemasan.

    Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian, Penolong Penguasa Bomba Azhar Abdul Jail berkata, semasa dalam perjalanan untuk ke hospital mangsa terlanggar tunggul dan tercampak ke sungai tersebut.

    Tujuh anggota dari BBP Benut dan tiga anggota dari Fire Post Benut dikejarkan ke tempat kejadian, masih dijalankan sehingga kini

    “Apabila bapa mangsa ingin menyelamatkan mangsa, mangsa telah tenggelam dan hilang daripada pandangan.

    “Seramai tujuh anggota dari BBP Benut dan dan tiga anggota dari Fire Post Benut dikejarkan ke tempat kejadian.

    “Operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih dijalankan sehingga kini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

  • PRN Melaka:Rundingan kerjasama UMNO, Pas, Bersatu sedang berjalan

    PRN Melaka:Rundingan kerjasama UMNO, Pas, Bersatu sedang berjalan

    Oleh RIZQI ZABIDI

    MASIHKAH ada ruang untuk melihat penyatuan di antara UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka?

    Itu persoalan yang timbul setelah Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid hari ini mengesahkan bahawa terdapat usaha dijalankan untuk mengelakkan pertembungan di PRN Melaka.

    Katanya, ketika ini rundingan berkaitan perkara itu juga masih berjalan.

    “Ada dua benda saja saya nak cakap. Pertamanya kalau boleh tak ada pertembungan berlaku dan itu kita sedang usahakan.

    “Keduanya perlu ada rundingan. Itu yang sedang dibuat,” katanya.

    Beliau bercakap kepada pemberita selepas Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Hari Potensi Tabika Kemas Peringkat Kebangsaan 2021 di sebuah hotel di Alor Setar, hari ini.

    Kerjasama antara UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada PRN Melaka masih menjadi tanda tanya apabila kenyataan media dikeluarkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan selepas Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) kelmarin, hanya menyebut mengenai keputusan untuk meneruskan persefahaman dengan Pas selaras dengan ketetapan dibuat dalam Perhimpunan Agung UMNO 2020.

    Kerjasama bersama-sama Bersatu langsung tidak disebut dalam kenyataan itu namun Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini beberapa kali menegaskan bahawa parti itu tidak akan bekerjasama dengan Bersatu termasuk ketika melancarkan jentera BN pada 27 Oktober lalu.

    Ditanya mengulas lanjut mengenai kenyataannya itu, Mahdzir bagaimanapun enggan berbuat demikian.

    “Tunggulah dulu, setakat ini tak boleh beritahu banyak sangat. Cukuplah banyak itu,” katanya.