Oleh RIZQI ZABIDI

MASIHKAH ada ruang untuk melihat penyatuan di antara UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka?

Itu persoalan yang timbul setelah Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid hari ini mengesahkan bahawa terdapat usaha dijalankan untuk mengelakkan pertembungan di PRN Melaka.

Katanya, ketika ini rundingan berkaitan perkara itu juga masih berjalan.

“Ada dua benda saja saya nak cakap. Pertamanya kalau boleh tak ada pertembungan berlaku dan itu kita sedang usahakan.

“Keduanya perlu ada rundingan. Itu yang sedang dibuat,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Hari Potensi Tabika Kemas Peringkat Kebangsaan 2021 di sebuah hotel di Alor Setar, hari ini.

Kerjasama antara UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada PRN Melaka masih menjadi tanda tanya apabila kenyataan media dikeluarkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan selepas Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) kelmarin, hanya menyebut mengenai keputusan untuk meneruskan persefahaman dengan Pas selaras dengan ketetapan dibuat dalam Perhimpunan Agung UMNO 2020.

Kerjasama bersama-sama Bersatu langsung tidak disebut dalam kenyataan itu namun Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini beberapa kali menegaskan bahawa parti itu tidak akan bekerjasama dengan Bersatu termasuk ketika melancarkan jentera BN pada 27 Oktober lalu.

Ditanya mengulas lanjut mengenai kenyataannya itu, Mahdzir bagaimanapun enggan berbuat demikian.

“Tunggulah dulu, setakat ini tak boleh beritahu banyak sangat. Cukuplah banyak itu,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here