KETUA Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kedah, Superitenden Chuah Seong Lim, 59, meninggal dunia pada pukul 8.55 pagi tadi di Hospital Pantai Pulau Pinang.
Menerusi kenyataan dikeluarkan dalam laman Facebook Polis Kedah, pemergian pegawai kanan polis itu disifatkan sebagai satu kehilangan besar buat pasukan.
Menurut kenyataan tersebut, mayat mendiang akan dibawa ke Taiping Perak untuk disemadikan.
Sementara itu Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat ketika dihubungi Warta Rakyat memaklumkan, mendiang baru selesai menjalani pembedahan jantung semalam.
“Memang saya terkejut dan terkesan dengan kehilangannya kerana beliau merupakan seorang pegawai yang baik.
“Baru-baru ini beliau ada berhubung dengan saya dan Chuah ada menyatakan supaya semua pihak mendoakannya agar selamat menjalani pembedahan itu,” katanya.
Bercakap mengenai peribadi mendiang, Kamarul berkata, Chuah merupakan seorang individu yang gemar memberi nasihat baik kepada para pegawai mahu pun anggotanya.
“Dia seorang yang disenangi semua pihak di semua peringkat. Pemergiannya sememangnya menjadi satu kehilangan buat kami dan saya mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga beliau,” katanya.
SEORANG lelaki yang mahu memancing terkejut apabila menemukan satu mayat dipercayai lelaki terapung di bawah jambatan berhampiran Pos Besar Johor Bahru, malam tadi.
Pemancing berkenaan pada mulanya melihat satu objek seakan bantal terapung dibawa arus di bawah jambatan tersebut pada pukul 11.37 malam.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Penguasa Bomba Kanan II Haizrul Rahmad berkata, lelaki itu pada mulanya tidak mengendahkannya namun terkejut setelah mengenal pasti objek tersebut adalah mayat.
“Mayat tersebut ditemukan lengkap berpakaian termasuk memakai pelitup muka dan cermin mata, dipercayai lelaki Cina berusia dalam lingkungan 50 hingga 60an.
Pada mulanya seorang pemancing melihat satu objek seakan bantal terapung dibawa arus di bawah jambatan tersebut
“Keadaan mayat masih belum reput. Pihak bomba mengangkat mangsa menggunakan sistem tali sebelum menyerahkan kepada pihak polis.
“Mangsa dipercayai sudah 24 jam meninggal dunia berdasarkan keadaan mayat,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, pemeriksaan pihak polis dan bomba ke atas mayat tersebut tidak menemukan sebarang identiti pengenalan diri.
Siasatan katanya, masih dilakukan sama ada mangsa terjatuh ke dalam laut atau cuba membunuh diri.
Menurutnya, tujuh anggota dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) terlibat dalam operasi itu yang tamat pada jam 1.03 pagi.
SEORANG penghuni pusat pemulihan dadah dan akhlak swasta di Changlun, Kedah, maut hanya beberapa jam selepas dikasari seorang individu dipercayai warden di situ, semalam.
Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, mangsa yang berusia 31 tahun pada awalnya dilaporkan bertindak melarikan diri dari pusat pemulihan tersebut kira-kira pukul 3 pagi.
Begitu pun katanya, ahli jawatankuasa pusat pemulihan tersebut berjaya menemukannya dalam tempoh setengah jam kemudian, tidak jauh dari situ.
“Mangsa kemudiannya dibawa pulang ke pusat pemulihan tersebut. Bagaimanapun kira-kira pukul 11 pagi, datang seorang warden lelaki berusia 46 tahun yang bertindak memukul dan menendangnya.
“Tindakan itu dipercayai dilakukan kerana warden tersebut marah kepada mangsa kerana melarikan diri. Warden tersebut bagaimanapun berjaya ditenangkan oleh pelatih lain daripada terus memukul mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kira-kira pukul 6.15 petang katanya, mangsa bagaimanapun didapati pengsan di tempat mandi.
“Dengan bantuan beberapa individu lain, warden berkenaan membawa mangsa ke hospital Jitra. Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan,” katanya.
Tambahnya, suspek telah ditahan semalam dan dibawa ke Mahkamah Majistret Alor Setar pagi ini untuk direman.
“Perintah reman telah dikeluarkan selama tujuh hari kepada suspek untuk membantu siasatan. Kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.
POLIS terpaksa melepaskan satu das tembakan ke arah sebuah kereta yang cuba melanggar anggotanya selepas diarah berhenti kerana dipandu secara berbahaya dalam kejadian berhampiran Pasar Wakaf Bharu, Tumpat, semalam.
Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, kereta Proton Wira dipandu lelaki berusia 24 tahun dari arah Tumpat menghala Wakaf Bharu itu, dikesan pada 5.50 petang.
“Setibanya di tepi jalan berhampiran Pasar Wakaf Bharu, pihak polis cuba memberhentikan kenderaan tersebut tetapi suspek enggan memberikan kerjasama sebaliknya bertindak mengundurkan kenderaan dan cuba melanggar anggota polis.
“Ekoran itu polis terpaksa melepaskan satu das tembakan ke arah tayar belakang sebelah kanan kereta dan menahan lelaki tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhamad Zaki berkata, pemeriksaan ke atas suspek menemukan 943 biji pil Yaba bernilai RM9,430 dan hasil ujian saringan air kencing mendapati dia positif dadah jenis methampethamine.
Beliau berkata, lelaki berasal dari Tumpat dan mempunyai 11 rekod jenayah lampau berkaitan dadah serta jenayah kekerasan itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar dadah dan Seksyen 307 serta 279 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan memandu secara melulu.
PASUKAN Polis Marin (PPM) Kudat menahan 30 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang menangkap ikan di perairan Kudat, Sabah, kelmarin.
Mereka yang berusia 18 hingga 56 tahun itu ditahan dalam operasi bersepadu pada pukul 11.50 pagi.
Operasi membabitkan PPM Kudat dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) itu, semua PATI terbabit ditahan bersama-sama dua bot nelayan.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Kudat, Asisten Superintendan Cyril Douglas berkata, pemeriksaan mendapati semua individu terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah untuk masuk ke negara ini.
“Semua Pati ditahan dan dibawa ke Markas Operasi PPM Kudat untuk tindakan selanjutnya.
“Mereka diserahkan kepada JIM untuk disiasat mengikut Akta Imigresen 1959,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Cyril berkata, operasi pemantauan bot nelayan asing akan diperhebatkan dari semasa ke semasa.
Sehubungan itu, Cyril berkata, PPM Wilayah Empat Sabah sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang.
Katanya, maklumat boleh disalurkan secara terus ke talian 24 jam atau menggunakan aplikasi WhatsApp ke Pusat Komunikasi PPM Sabah di talian 0139391197.
GURU Penolong Kanan (Kokurikulum) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ubai, Pekan, maut selepas motosikal berkuasa tinggi ditunggangnya terlibat kemalangan di susur selekoh hentian rehat dan rawat (R&R) Ajil di Kilometer 411.2 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), Hulu Terengganu, semalam.
Motosikal jenis Suzuki GSR 750 ditunggang Sohaimi Karim, 54, terbabas dan hilang kawalan dalam kejadian pada pukul 3.20 petang itu.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, mangsa cedera parah pada bahagian dada.
Beliau berkata, ketika kejadian, mangsa bertolak dari arah Pantai Batu Rakit, Kuala Terengganu menuju ke Pekan.
“Hasil siasatan mendapati mangsa menunggang seorang diri dari Pantai Batu Rakit, Kuala Terengganu pada pukul 2 petang menuju ke Pekan.
“Sebaik tiba di susur berselekoh ke R&R Ajil, motosikal ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan lalu melanggar sebelah kanan pembahagi jalan menyebabkan mangsa tercampak dan terjatuh ke kawasan berumput,” katanya kepada pemberita.
Mohd. Adli berkata, mangsa kemudian dikejarkan ke wad kecemasan Hospital Hulu Terengganu untuk rawatan lanjut dan disahkan meninggal dunia pada jam 5.44 petang.
“Mayat mangsa di bawa ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk saringan Covid-19 dan bedah siasat.
“Kes ini diklasifikasikan sebagai terbabas sendiri dan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
MENGIYSTIHARKAN muatan lori kosong sebelum berjaya meloloskan diri membawa muatan tayat tidak bercukai kastam semasa pemeriksaan di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Ismail (BSI), Johor Bahru.
Itu modus operandi dilakukan satu sindiket membawa masuk tayar seludup dari Singapura sebelum dibawa untuk dijual di pasaran tempatan terutama di negeri-negeri di bahagian utara.
Tayar seludup pelbagai saiz tersebut dipercayai dijual pada separuh harga harga atau mengikut harga pasaran semasa.
Sindiket itu tumpas apabila Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua menahan sebuah lori yang sarat membawa muatan tersebut di Plaza Tol Kempas di sini pada 28 Oktober lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, tangkapan itu dilakukan pada jam 1 petang selepas sepasukan anggota daripada unit risik PPM melakukan pemantauan dan intipan di CIQ BSI.
Sebanyak 727 pelbagai jenis saiz tayar bernilai RM697,759 dan sebuah lori bernilai RM150,000 dirampas, jumlah keseluruhan rampasan RM847,759.
PPM katanya, melakukan pemantauan dan intipan terhadap lori berkenaan di CIQ BSI sebelum mengekorinya dan pada pukul 5.35 petang sebelum membuat serbuan di Plaza Tol Kempas dan menahan lori tersebut serta pemandunya, 56.
“Susulan serbuan pertama, sekitar pukul 6.05 petang pada 29 Oktober, sepasukan anggota dari Cawangan Siasatan Khas D9 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara telah membuat tangkapan seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun di sebuah premis di Taman Sri Skudai,” katanya dalam sidang akhbar di Markas PPM Wilayah Dua, Tampoi, Johor Bahru, hari ini.
Katanya, hasil siasatan mendapati suspek berkenaan merupakan majikan kepada suspek pertama yang mengendalikan segala urusan membawa tayar tidak bercukai kastam masuk ke Malaysia dari Singapura.
Beliau memberitahu, dalam serbuan itu pihaknya merampas 727 pelbagai jenis saiz tayar bernilai RM697,759 dan sebuah lori bernilai RM150,000, jumlah keseluruhan rampasan RM847,759.
Menurutnya, semakan ke atas kedua-dua suspek mendapati tidak mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah.
Jelasnya, suspek pertama direman selama tujuh hari dari 29 Oktober sehingga Khamis manakala suspek kedua direman dua hari pada 30 dan 31 Oktober lalu.
“Dalam kes ini kita tidak menolak terdapat penglibatan ‘orang dalam’ di CIQ BSI yang membolehkan mereka memboloskan diri. Lori yang berjaya meloloskan diri ini menggunakan laluan khas yang telah diisytiharkan tanpa muatan.
“Kita percaya pemandunya diberikan kad akses untuk dibenarkan melalui laluan tersebut. Bagaimanapun ini masih dalam siasatan,” katanya.
Katanya lagi, sindiket itu dipercayai sudah beroperasi kira-kira enam hingga tujuh bulan lalu dan tidak menafikan terdapat barang lain yang diseludup masuk dengan modus operandi sama.
Kes tersebut katanya, disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 dan memaklumkan, PPM Wilayah Dua akam sentiasa meningkatkan pengoperasian dan memperketatkan pengawalan negara daripada dibolisi sindiket penyeludupan.
SERAMAI enam individu ditahan selepas didapati memandu di bawah pengaruh alkohol dalam operasi bersepadu polis Pulau Pinang di lima daerah di negeri itu malam tadi.
Mereka merupakan sebahagian daripada 1,072 individu yang diperiksa polis menerusi Op Mabuk yang bermula pukul 11 malam sehingga 4 pagi sempena cuti umum perayaan Deepavali.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, dalam operasi sama, polis turut memeriksa sebanyak 945 kenderaan dengan 240 daripadanya dikompaun atas pelbagai kesalahan.
“Sebanyak enam tangkapan itu dilakukan mengikut Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol,” katanya menerusi kenyataan dalam Facebook PDRM Pulau Pinang hari ini.
Enam individu ditahan selepas didapati memandu di bawah pengaruh alkohol dalam operasi bersepadu polis Pulau Pinang
Op Mabuk itu melibatkan sekatan jalan raya (SJR) di tujuh lokasi di lima daerah di negeri ini iaitu Timur Laut; Barat Daya; Seberang Perai Selatan, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Utara.
Operasi itu turut disertai Timbalan Ketua negeri, Datuk Fisol Salleh; Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong dan pegawai kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.
Dalam pada itu Mohd. Shuhaily berkata, statistik tangkapan menerusi Op Mabuk didapati meningkat selepas kerajaan membenarkan aktiviti rentas negeri bermula 11 Oktober lalu.
Menurut beliau, dalam tempoh antara 11 Oktober hingga 2 November lalu, seramai 47 orang ditahan atas kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol berbanding hanya 18 orang antara 20 September hingga 10 Oktober iaitu sebelum rentas negeri dibenarkan.
Jumlah mangsa banjir di Kedah yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Kedah meningkat kepada 823 orang setakat pukul 8 pagi ini berbanding 754 pada 8 pagi semalam.
Ketua Bahagian Sekretariat Bahagian Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Mohd. Muaz Mohd. Yusof berkata, jumlah PPS di negeri itu bagaimanapun menurun daripada 13 semalam kepada cuma 12 pada hari ini.
Setakat katanya, terdapat empat daerah yang masih terjejas iaitu Pendang, Pokok Sena, Kota Setar dan Kubang Pasu.
“Kota Setar merupakan daerah yang paling teruk terjejas dengan enam PPS dibuka iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Titi Gajah, SK Convent, SK Haji Wahab, SK Darul Hikmah, SK Suka Menanti dan SK Langgar melibatkan keseluruhan 382 mangsa dari 117 keluarga.
“Daerah kedua yang paling terjejas adalah Pendang dengan dua PPS dibuka iaitu di Dewan Rakan Sukan dekat Tanah Merah dan Dewan Cenderawasih melibatkan keseluruhan 293 mangsa dari 76 keluarga,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Mengulas mengenai keadaan di Kubang Pasu, Mohd. Muaz berkata terdapat sebanyak 100 mangsa daripada 25 keluarga ditempatkan di dua PPS iaitu di SK Dewan Kampung Tradisi Lembah Keriang dan SK Malau.
“Di Pokok Sena pula terdapat dua PPS dibuka iaitu di Surau Kampung Permatang Limau dan SK Tualang yang menempatkan 47 mangsa dari 14 keluarga,” katanya.
BUAT julung-julung kalinya, Universiti Utara Malaysia (UUM) berjaya berada dalam kedudukan kelompok 100 universiti terbaik di bawah penarafan Quacquarelli Symonds (QS) Asia University Rankings 2022 yang diumumkan petang semalam.
Menurut Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UUM, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah, pencapaian universiti itu melonjak ke kedudukan ke-98 berbanding 107 pada tahun lalu.
Katanya, ini merupakan penpcapaian terbaik universiti tersebut dan ia sekali gus membuktikan bahawa UUM berada di kedudukan tepat sejak bermulanya Pelan Strategik UUM 2011.
“Lonjakan demi lonjakan secara konsisten yang ditunjukkan saban tahun merupakan usaha bersama warga universiti yang patut dibanggakan.
“Bukan mudah untuk berada dalam kedudukan 100 terbaik Asia ini kerana ia melibatkan reputasi sesebuah universiti,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Haim Hilman yang menjalankan fungsi Naib Canselor UUM berkata, penarafan itu juga secara tidak langsung menunjukkan bahawa kualiti kurikulum dirangka UUM turut mendapat kepercayaan ahli akademik luar .
“Itu sekali gus menunjukkan kualiti kurikulum UUM merupakan antara yang terbaik dan terjamin sekali gus memberi keyakinan kepada majikan terhadap kualiti siswazah dihasilkan,” katanya.