GURU Penolong Kanan (Kokurikulum) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ubai, Pekan, maut selepas motosikal berkuasa tinggi ditunggangnya terlibat kemalangan di susur selekoh hentian rehat dan rawat (R&R) Ajil di Kilometer 411.2 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), Hulu Terengganu, semalam.

Motosikal jenis Suzuki GSR 750 ditunggang Sohaimi Karim, 54, terbabas dan hilang kawalan dalam kejadian pada pukul 3.20 petang itu.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, mangsa cedera parah pada bahagian dada.

Beliau berkata, ketika kejadian, mangsa bertolak dari arah Pantai Batu Rakit, Kuala Terengganu menuju ke Pekan.

“Hasil siasatan mendapati mangsa menunggang seorang diri dari Pantai Batu Rakit, Kuala Terengganu pada pukul 2 petang menuju ke Pekan.

“Sebaik tiba di susur berselekoh ke R&R Ajil, motosikal ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan lalu melanggar sebelah kanan pembahagi jalan menyebabkan mangsa tercampak dan terjatuh ke kawasan berumput,” katanya kepada pemberita.

Mohd. Adli berkata, mangsa kemudian dikejarkan ke wad kecemasan Hospital Hulu Terengganu untuk rawatan lanjut dan disahkan meninggal dunia pada jam 5.44 petang.

“Mayat mangsa di bawa ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk saringan Covid-19 dan bedah siasat.

“Kes ini diklasifikasikan sebagai terbabas sendiri dan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here