Author: Admin

  • Hujan lebat berterusan, beberapa kawasan di Georgetown dilanda banjir kilat

    Hujan lebat berterusan, beberapa kawasan di Georgetown dilanda banjir kilat

    HUJAN lebat dan berterusan sejak awal pagi ini menyebabkan beberapa kawasan di pusat bandar, Georgetown, Pulau Pinang dilanda banjir kilat.

    Antara kawasan yang terjejas ialah Jalan P. Ramlee; Jalan Kuantan; Jalan Pintal Tali;  Jalan Macalister; Lorong Ngah Aboo; Jalan Anson dan Lebuh Mcnair.

    Turut dinaiki air separas buku lali adalah di sekitar kawasan Lebuh Nanking; Lebuh Katz; Pasar Lebuh Cecil; Jalan Timah; Simpang Kg. Jawa Lama;  Lebuh Carnarvon; Lebuh Victoria dan Pengkalan Weld.

    Banjir kilat itu turut mengakibatkan berlakunya kesesakan lalu-lintas di pusat bandar awal pagi ini bagaimanapun tidak ada mangsa dilaporkan dipindahkan setakat ini.

    Banjir kilat itu turut mengakibatkan berlakunya kesesakan lalu-lintas di pusat bandar awal pagi ini

    Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar Pulau Pinang, Phee Boon Poh berkata, situasi banjir didapati mulai surut pukul 9.30 pagi ini dan pekerja Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dengan segera membersihkan longkang bagi mengelakkan laluan air tersumbat.

    “Pihak berkuasa berada di lapangan untuk memantau keadaan memandangkan keadaan masih hujan di beberapa bahagian pulau,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng berkata, banjir kilat di kawasan Jalan Kuantan berlaku awal pagi tadi berpunca daripada paras air Sungai Pinang yang tinggi.

    “Keadaan itu menyebabkan air sungai melimpah dan berlaku banjir kilat di sekitar Jalan Kuantan.

    “Pihak kami telah melaporkan kejadian ini kepada pihak berkuasa supaya jalan penyelesaian dapat segera diambil,” katanya.

  • Gagal seludup masuk 50 kotak ubat gigi dari China

    Gagal seludup masuk 50 kotak ubat gigi dari China

    CUBAAN membawa masuk 50 kotak mengandungi ubat gigi tidak sah bernilai RM35,000 dalam sebuah kontena dari China di Pelabuhan Klang, Klang, berjaya dipatahkan dalam satu pemeriksaan, semalam.

    Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, pihaknya menerima aduan wujudnya perlakuan pelanggaran cap dagang bagi sebuah cap dagangan/jenama popular item ubat gigi.

    “Susulan aduan tersebut, satu tindakan serbuan secara kerjasama strategik telah dilaksanakan antara KPDNHEP Shah Alam, Selangor dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia memeriksa sebuah kontena dipercayai dari Pelabuhan Ningbo, China.

    “Kontena tersebut didapati dimuatkan sejumlah barangan yang disyaki melakukan pelanggaran cap dagangan terlibat.

    “Hasil pemeriksaan mendapati sebanyak 50 kotak yang mengandungi 72 unit ubat gigi dengan jenama terlibat dan berada dalam kontena yang diperiksa dalam serbuan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

    Katanya, jenama itu disyaki menyerupai atau hampir serupa dengan satu cap dagangan berdaftar/sah yang dimiliki oleh sebuah syarikat terkenal serta disyaki kemungkinan berlaku kesilapan ejaan melibatkan cap dagangan asal (berdaftar/sah) tersebut.

    Menurut beliau, kesemua barangan jenis ubat gigi jenama tersebut telah disita untuk siasatan lanjut oleh pihak KPDNHEP Shah Alam di bawah peruntukan Seksyen 99 (1) Akta Cap Dagangan 2019.

    “Mana-mana individu atau pihak diingatkan agar lebih bertanggungjawab dalam menjalankan aktiviti perniagaan sama ada secara dalam talian mahupun fizikal terutamanya melibatkan kualiti dan keselamatan pengguna,” jelasnya.

  • PH, DAP tiada prinsip, dalang kejatuhan kerajaan Melaka – Presiden Gerakan

    PH, DAP tiada prinsip, dalang kejatuhan kerajaan Melaka – Presiden Gerakan

    TIADA prinsip dan menjadi dalang sebenar terhadap kejatuhan Kerajaan Melaka sehingga menyebabkan Pilihan Raya Negeri (PRN) terpaksa dilaksanakan adalah dua sebab utama mengapa para pengundi di negeri itu perlu menolak Pakatan Harapan dan DAP.

    Menurut Timbalan Pengerusi Pakatan Nasional, Datuk Dr. Dominic Lau, keempat-empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang diketuai oleh Datuk Seri Idris Harun tidak akan berani bertindak menarik sokongan terhadap bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali tanpa sokongan Pakatan Harapan (PH) dan DAP di belakang mereka.

    Beliau yang juga Presiden Gerakan menjelaskan, perkara ini terbukti apabila PH menjadikan dua daripada mereka iaitu Idris dan Datuk Azman Hasan sebagai calon di bawah bendera PKR dalam PRN Melaka walaupun sebelum ini parti itu dan DAP dengan lantang mengumumkan tidak akan menyokong mereka.

    “Ketika ada ura-ura bahawa empat ADUN berkenaan akan menarik sokongan terhadap Ketua Menteri, DAP yang paling awal membuat pengumuman tidak akan menyokong mereka.

    “Tetapi hari ini lihat siapa yang bersama dengan Idris Haron? Jelaslah PH dan DAP adalah parti yang tidak ada prinsip,” kata beliau ketika berucap dalam program pentas PRN Melaka yang disiarkan secara langsung di laman-laman Facebook utama parti-parti komponen Pakatan Nasional (PN), malam tadi.

    Program yang diterajui oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu turut disertai oleh Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Presiden Parti Progresif Sabah, Datuk Seri Yong Teck Lee; Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan dan Naib Presiden Pas, Senator Idris Ahmad.

    Dr. DOMINIC berpendapat Idris Haron mempunyai agenda sendiri apabila bertindak menjatuhkan kerajaan negeri Melaka bersama tiga ADUN yang lain pada 4 okt lepas.

    Dalam pada itu, Dr. Dominic turut berkata, slogan ‘demi rakyat’ yang diberikan oleh keempat-empat ADUN berkenaan ketika menarik sokongan terhadap bekas Ketua Menteri Melaka merupakan satu alasan yang tidak benar.

    Dakwa beliau, mereka bertindak demikian atas kepentingan diri masing-masing dan bukannya untuk rakyat.

    Tambah Dr. Dominic, untuk Idris pula, bekas ADUN Sungai Udang itu didakwa beliau mengidamkan jawatan Ketua Menteri Melaka sepertimana yang dapat didengar dalam rakam rakaman audio perbualan suara mirip beliau dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang tular baru-baru ini.

    “Cuba fikirkan, apa lagi alasan mereka sangup bertindak menjatuhkan kerajaan Melaka pada ketika negara sedang dilanda wabak Covid-19 dan jumlah kes jangkitan masih tinggi?

    “Ini norma baharu dalam arena politik negara yang mana ahli parti sanggup menumbangkan kerajaan yang diketuai oleh pemimpin dari parti mereka sendiri,” kata beliau.

    Justeru, Dr. Dominic menyeru agar para pengundi di Melaka berfikir sebaik-baiknya sebelum membuang undi pada 20 November ini.

    Dr. DOMINIC menasihatkan pengundi Melaka menolak pH dan dap sebagai tanda protes terhadap sikap mereka yang tidak berprinsip dan menjadi dalang di belakang tindakan empat ADUN menjatuhkan Kerajaan Negeri Melaka pada 4 Oktober lepas.

    Beliau menasihatkan mereka untuk menolak PH dan DAP sebagai tanda protes terhadap sikap mereka yang tidak berprinsip dan menjadi punca sebenar di belakang tindakan keempat-empat adun berkenaan menjatuhkan kerajaan Melaka.

    PRN Melaka terpaksa diadakan ekoran pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Oktober lalu susulan empat ADUN menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali.

    Empat ADUN berkenaan ialah Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

  • Dua maut termasuk pejalan kaki terpelanting dilanggar kereta

    Dua maut termasuk pejalan kaki terpelanting dilanggar kereta

    SEORANG pejalan kaki terpelanting dan meninggal dunia selepas dilanggar sebuah kereta dalam kemalangan di Jalan Bukit Putera, Setiu, pukul 7.10 malam tadi.

    Selain pejalan kaki itu, Azuka Muhamad, 46, seorang remaja yang membonceng basikal elektrik, Muhammad Adif Danial Azman, 10, turut maut.

    Sementara sepupu kepada Muhammad Adif Danial yang menunggang basikal elektrik tersebut, Ahmad Syahiran Saiful Razali, 13, cedera parah.

    Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, kemalangan melibatkan tiga buah kereta dan sebuah basikal elektrik.

    “Ketika kejadian, Muhammad Adif Danial dan Ahmad Syahiran dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Bukit Putera selepas menyaksikan pertandingan bola sepak berhampiran rumah mereka.

    “Kejadian dipercayai apabila Perodua Myvi dipandu lelaki berusia 36 tahun dalam perjalanan dari arah Telaga Papan menghala Bukit Putera,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Beliau berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, kereta terbabit dipercayai hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum melanggar basikal elektrik dinaiki dua sepupu terbabit.

    “Kereta turut melanggar sebuah Proton Wira yang diparkir di bahu jalan sehingga menyebabkan kenderaan sama bergerak dan melanggar seorang lagi mangsa yang juga pejalan kaki.

    “Kejadian itu menyebabkan pejalan kaki terpelanting ke atas Proton Persona yang diparkir di bahu jalan,” katanya.

    Afandi berkata, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Setiu untuk bedah siasat, manakala mangsa parah dirawat di hospital sama.

    Beliau berkata, pemandu Perodua Myvi tidak mengalami sebarang kecederaan dan siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Lelaki maut, seorang lagi cedera jatuh dari buaian ‘fun fair’

    Lelaki maut, seorang lagi cedera jatuh dari buaian ‘fun fair’

    SEORANG lelaki maut manakala rakannya cedera selepas terjatuh dari buaian berpusing di tapak pesta ria (fun fair) berhampiran pusat beli-belah di Cheras Selatan, Kajang, tengah malam tadi.

    Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang Superintendan Mohd. Nasir Drahman, pekerja tapak pesta ria berkenaan memaklumkan kejadian tersebut kepada pihak polis pada jam 12.05 tengah malam.

    “Saksi memaklumkan dua lelaki terjatuh dari buaian permainan fun fair.

    “Salah seorang mangsa berusia 39 tahun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang tiba di lokasi. Seorang lagi mangsa berusia 30-an mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mohd. Nasir berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Cheras untuk bedah siasat, manakala mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Kajang untuk rawatan.

    Katanya, siasatan di lokasi mendapati tiada unsur jenayah dan setakat ini kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.

    “Bagaimanapun, polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengetahui punca sebenar kejadian sama ada terdapat unsur kecuaian pada pihak pemilik fun fair mahupun mangsa sendiri,” katanya.

    Beliau meminta individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian supaya menghubungi pegawai penyiasat Sarjan Mohd Emran Mohd Noor di talian 013-7638512 atau balai polis berdekatan.

  • Penganggur didakwa bunuh teman wanita

    Penganggur didakwa bunuh teman wanita

    SEORANG penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Taiping, hari ini atas pertuduhan membunuh teman wanita sendiri yang mayatnya ditemukan dalam keadaan reput di tepi Sungai Jebong, Kuala Sepetang, Taiping, bulan lalu.

    Mohd Khairul Nizam Ibrahim, 34, mengangguk faham sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nurfarah Syahidah Mohd Noh.

    Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

    Mohd Khairul Nizam didakwa melakukan perbuatan itu ke atas Norfahizatul Syahira Sopa, 32, di sebuah bilik di tepi Sekolah Kebangsaan Simpang, Jalan Taman Mawar, Simpang pada kira-kira 2 petang 4 Oktober lalu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

    Mahkamah menetapkan 20 Januari depan untuk sebutan semula kes.

    Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Aqilah Syaza Ariffin manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – Bernama

  • PN umum calon Ketua Menteri jika menang PRN Melaka

    PN umum calon Ketua Menteri jika menang PRN Melaka

    PERIKATAN Nasional (PN) hanya akan mengumumkan siapa bakal menduduki kerusi ketua menteri jika gabungan parti politik itu menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, kata Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan.

    “Macam yang saya sebut tadi mengenai calon ketua menteri, ini kita tunggu selepas PRN, dan selepas kita tahu siapa yang menang, siapa yang duduk dalam gabungan kita di Dewan Undangan Negeri (DUN), dan kita pasti akan pilih calon ketua menteri terbaik untuk negeri Melaka. Jadi saya tak nak komen ke situ nanti ia jadi isu lain,” katanya pada sidang akhbar, hari ini.

    Hadir sama Pesuruhjaya PAS Melaka Datuk Kamarudin Sidek, Pengerusi Gerakan Melaka Datuk Seri Michael Gan Peng Lam dan Timbalan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka Dr Mohd Yadzil Yaakub.

    Wan Saiful menjawab soalan mengenai khabar angin mendakwa Ketua Bersatu Bahagian Masjid Tanah yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang kini bertanding di kerusi DUN Tanjung Bidara, akan menjadi wanita pertama dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka.

    Ditanya mengenai keterbukaan Barisan Nasional (BN) untuk bekerjasama dengan parti lain jika parti itu menang pada PRN ini, Wan Saiful berkata Bersatu akan membincangkan perkara berkenaan, juga selepas PRN nanti.

    “Mula-mula fokus kita ialah untuk memastikan PN mendapat bilangan kerusi majoriti yang jelas supaya kita boleh membentuk satu kerajaan yang stabil di Melaka. Apa yang berlaku selepas itu, kita tunggu selepas pilihan raya, selepas itu baru kita bincang mengenai isu-isu ini,” katanya.

    Sementara itu, Kamarudin berkata beliau yakin untuk menyumbang satu kerusi DUN pada PRN kali ini di bawah PN.

    “Walaupun PAS tak menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tetapi waktu itu pertandingan tiga penjuru dan sebagainya, PAS sudah ada undi teras, jadi apabila berlaku gabungan dalam PN kita jangkakan calon-calon di DUN yang kita letakkan akan bertambah undilah (sebab) undi teras dah ada.

    Macam saya (bertanding) di DUN Duyong, saya dah ada 3,000 undi yang saya peroleh (pada PRU14). Dengan ada gabungan daripada Gerakan dan Bersatu saya yakin undi akan meningkatlah,” katanya.

    SPR menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 Nov dan undi awal pada 16 Nov, berikutan pembubaran DUN pada 4 Okt lepas selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Ketua Menteri. – Bernama

  • Dua PATI sanggup melarikan diri berenang ke laut

    Dua PATI sanggup melarikan diri berenang ke laut

    POLIS berjaya menahan dua lagi tahanan yang melarikan diri dari Pusat Tahanan Sementara (PTS) di Depoh Tahanan Imigresen (DTI) Kimanis, Sabah, hari ini.

    Perkembangan itu menjadikan jumlah keseluruhan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan setakat ini berjumlah sembilan orang.

    Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintenden Batholomew Ak Umpit berkata, lima lagi PATI masih diburu dikenali sebagai Nadzwin Usma, 24; Herman Bilau dan Tuliang Maddalani masing-masing berusia 35 tahun; Pertama Lapanji, 40, serta Husin Japar, 43.

    “Menurut maklumat awam, Pertama dan Tuliang berjaya dikesan namun mereka bertindak melarikan diri dengan berenang ke laut.

    “Kita percaya mereka masih berada dalam kawasan Papar dan kawasan pencarian juga masih berada di dalam daerah ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

    Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat boleh berhubung terus dengan pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar di talian 088-912222 dan 088-916064 (Hotline).

    Media semalam melaporkan, seramai 14 PATI warga Filipina bertindak melarikan diri kira-kira jam 3.30 pagi dengan memanjat bumbung tandas dan memotong pagar depoh berkenaan.

    Bagaimanapun, tujuh daripadanya berjaya ditahan semula seawal pukul 5 pagi sehingga pukul 10.45 pagi kira-kira dua kilometer dari depoh berkenaan.

  • Empat kanak-kanak cedera periuk api meletup di Afghanistan

    Empat kanak-kanak cedera periuk api meletup di Afghanistan

    EMPAT kanak-kanak cedera dalam kejadian letupan periuk api di barat wilayah Ghor, Afghanistan, lapor Xinhua.

    Kejadian itu berlaku pada petang semalam ketika kanak-kanak berkenaan sedang membawa biri-biri mereka meragut rumput di kampung Tasarqi di pinggir wilayah Firoz Koah, kata pengerusi direktorat kesihatan wilayah Abdul Satar.

    Kesemua mangsa dibawa ke hospital dan seorang daripada mereka mengalami kecederaan serius, katanya hari ini.

    Hampir setiap bulan kejadian letupan bom buatan sendiri dan periuk api tinggalan perang dilaporkan berlaku yang telah meragut banyak nyawa serta kecederaan sehingga menyebabkan kecacatan, menurut Kementerian Pengurusan Bencana Afghanistan. – Bernama

  • Anggota polis meninggal dunia semasa meronda

    Anggota polis meninggal dunia semasa meronda

    SEORANG anggota polis yang sedang melakukan rondaan pematuhan bersama-sama pasukan di sebuah stesen minyak di bandar Chukai, Kemaman, malam tadi, tiba-tiba diserang sakit jantung sebelum meninggal dunia.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan, Lans Koperal Mohd. Nor Afiza Mohd., 36, kemudian dikejarkan ke di Hospital Kemaman selepas rebah namun disahkan meninggal dunia pukul jam 9 malam.

    “Sebelum itu, Allahyarham meminta rakannya berhenti di sebuah stesen minyak. Sebaik keluar dari kenderaan pelbagai guna (MPV), arwah tiba-tiba rebah dan terus dikejarkan ke Hospital Kemaman, sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kemaman, hari ini.

    Menurut Hanyan, Mohd. Nor Afiza merupakan anggota Balai Polis Chukai yang berkhidmat selama 15 tahun dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

    Katanya, Allahyarham meninggalkan seorang balu serta empat anak berusia 15 bulan hingga 12 tahun.

    “Arwah merupakan seorang anggota yang berdedikasi, rajin bekerja, disenangi rakan-rakan serta mempunyai hubungan baik dengan masyarakat,” katanya.

    Sementara itu, isterinya Norazilla Mohd Yusuff, 32, berkata, suaminya itu pernah mengadu sakit dada beberapa hari sebelum ini.

    Norazilla berkata, dia terkejut dan tidak menyangka menerima khabar duka bahawa suaminya meninggal dunia sebaik tiba di hospital.

    “Arwah bekerja syif petang pada Rabu. Sebelum keluar bekerja dia ada mengadu sakit dada dan penat. Selepas saya mengurut kaki dan badan, arwah memberitahu berasa agak lega dan ingin keluar bekerja.

    “Kali terakhir kami berhubung melalui panggilan telefon pada pukul 5 petang. Ketika itu nada suaranya seperti biasa dan tidak menunjukkan sebarang perubahan,” katanya.

    Dalam pada itu, Norazilla berkata, sejak tiga hari sebelum meninggal dunia suaminya mahu makan nasi berlauk budu, kicap dan ikan goreng sahaja.

    “Arwah juga meminta saya masak kari ikan dan sempat menjamah juadah itu sebelum keluar bekerja.

    “Walaupun masih terkejut dengan pemergian arwah, saya reda dan pasrah dengan ketentuan Ilahi,” ujarnya.

    Jenazah Mohd. Nor Afiza akan dikebumikan di Kampung Bukit Besi, Dungun, hari ini.