SEORANG anggota polis yang sedang melakukan rondaan pematuhan bersama-sama pasukan di sebuah stesen minyak di bandar Chukai, Kemaman, malam tadi, tiba-tiba diserang sakit jantung sebelum meninggal dunia.

Menurut Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan, Lans Koperal Mohd. Nor Afiza Mohd., 36, kemudian dikejarkan ke di Hospital Kemaman selepas rebah namun disahkan meninggal dunia pukul jam 9 malam.

“Sebelum itu, Allahyarham meminta rakannya berhenti di sebuah stesen minyak. Sebaik keluar dari kenderaan pelbagai guna (MPV), arwah tiba-tiba rebah dan terus dikejarkan ke Hospital Kemaman, sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kemaman, hari ini.

Menurut Hanyan, Mohd. Nor Afiza merupakan anggota Balai Polis Chukai yang berkhidmat selama 15 tahun dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, Allahyarham meninggalkan seorang balu serta empat anak berusia 15 bulan hingga 12 tahun.

“Arwah merupakan seorang anggota yang berdedikasi, rajin bekerja, disenangi rakan-rakan serta mempunyai hubungan baik dengan masyarakat,” katanya.

Sementara itu, isterinya Norazilla Mohd Yusuff, 32, berkata, suaminya itu pernah mengadu sakit dada beberapa hari sebelum ini.

Norazilla berkata, dia terkejut dan tidak menyangka menerima khabar duka bahawa suaminya meninggal dunia sebaik tiba di hospital.

“Arwah bekerja syif petang pada Rabu. Sebelum keluar bekerja dia ada mengadu sakit dada dan penat. Selepas saya mengurut kaki dan badan, arwah memberitahu berasa agak lega dan ingin keluar bekerja.

“Kali terakhir kami berhubung melalui panggilan telefon pada pukul 5 petang. Ketika itu nada suaranya seperti biasa dan tidak menunjukkan sebarang perubahan,” katanya.

Dalam pada itu, Norazilla berkata, sejak tiga hari sebelum meninggal dunia suaminya mahu makan nasi berlauk budu, kicap dan ikan goreng sahaja.

“Arwah juga meminta saya masak kari ikan dan sempat menjamah juadah itu sebelum keluar bekerja.

“Walaupun masih terkejut dengan pemergian arwah, saya reda dan pasrah dengan ketentuan Ilahi,” ujarnya.

Jenazah Mohd. Nor Afiza akan dikebumikan di Kampung Bukit Besi, Dungun, hari ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here