Author: Admin

  • PRN Melaka: polis nasihatkan berhati-hati guna media sosial

    PRN Melaka: polis nasihatkan berhati-hati guna media sosial

    POLIS mengingatkan pihak berkepentingan seperti parti politik dan calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka agar sentiasa berhati-hati menggunakan media sosial ketika berkempen bagi menyuburkan proses demokrasi. 

    Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata pihaknya telah menubuhkan pasukan khas bagi memantau platform media sosial secara 24 jam untuk mengenal pasti hantaran yang dimuat naik dalam medium berkenaan.

    “Pasukan ini melibatkan tiga kumpulan secara bergilir memantau hantaran untuk kita pastikan mereka menggunakannya dengan cara  sihat dan bukan untuk menghina, mengganggu-gugat ketenteraman awam atau menghina mana-mana pihak.

    “Ini adalah tanggungjawab kita untuk suburkan demokrasi dan bukannya menghasut antara satu sama lain,” katanya dalam program Bicara Khas ‘Keselamatan PRN Melaka Ke-15’ secara langsung di Radio Televisyen Malaysia (RTM) di sini, malam tadi.

    Abdul Majid berkata apabila sesuatu kesalahan dikesan polis akan membuat laporan supaya siasatan adil dapat dijalankan seterusnya menyerahkan kertas siasatan kepada pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

    Dalam pada itu beliau menasihatkan parti dan calon supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan proses pilihan raya secara norma baharu di negeri ini yang terbaik untuk digunakan pada pilihan raya akan datang.

    “Situasi di negeri ini amat terkawal dan terjamin, kita dapat lihat rakyat di Melaka menjalani kehidupan seperti biasa, tiada insiden yang mengganggu-gugat walaupun SOP baharu dilaksanakan pada PRN kali ini di samping kematangan parti-parti politik bertanding,” katanya.

    Katanya polis juga komited menguatkuasakan undang-undang dalam menjaga ketenteraman awam bagi memastikan rakyat keluar mengundi beramai-ramai dan mereka tidak perlu gusar kerana keselamatan mereka  dilindungi di negeri ini.

    SPR menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 November dan undi awal pada 16 November, berikutan pembubaran DUN pada 4 Oktober lepas selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Ketua Menteri. – Bernama

  • Gara-gara selisih faham, 4 maut ditembak

    Gara-gara selisih faham, 4 maut ditembak

    SEKURANG-KURANGNYA empat maut dalam kejadian tembakan di kawasan penempatan karavan di Arizona, Amerika Syarikat pada Ahad.

    Menurut polis, pihak berkuasa menerima beberapa panggilan kecemasan pada jam 12.45 pagi, memetik laporan CNN.

    Sebaik tiba di lokasi, polis menemui tiga individu yang maut di tempat kejadian dengan kesan tembakan.

    Lokasi kejadian tembak yang mengorbankan empat nyawa di Arizona, Amerika Syarikat (gambar CNN)

    Seorang lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital, kata Polis Tucson.

    “Siasatan awal mendapati kejadian bukan tembakan rambang dan mungkin berlaku akibat perselisihan faham antara dua kumpulan penduduk,” kata polis kepada CNN.

    Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti mangsa dan suspek serta motif kejadian.

  • Kedah tidak perlu layan politikus tentang henti operasi judi

    Kedah tidak perlu layan politikus tentang henti operasi judi

    KERAJAAN Negeri Kedah diharap tidak melayan politikus yang sudah dijangka akan menentang usaha menamatkan operasi judi dan mengurangkan penjualan arak di negeri itu khususnya daripada pemimpin DAP.

    Ketua Dewan Pemuda Pas Pulau Pinang, Mohamad Fawwaz Mohamad Jan berkata, seperti dijangka pemimpin DAP akan memanaskan isu itu dengan menjebaknya ke kancah perkauman dan politik sempit.

    Sedangkan tegasnya, tindakan kepimpinan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor adalah usaha besar dalam menyelesaikan kemelut, masalah dan penyakit sosial serta rantaian jenayah dalam kalangan manusia dan negara.

    “Setidak-tidaknya, di sebalik aktiviti judi dan arak yang dilesenkan wujud lebih banyak perjudian dan arak secara haram dengan terselindung pelbagai masalah dan jenayah lain.

    “Oleh itu, langkah Kerajaan Negeri Kedah adalah usaha mengekang dan membendung kebejatan telah sedia membarah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sementara itu, Mohamad Fawwaz berharap segala tentangan dan kritikan daripada keputusan itu tidak dirasakan Kedah bersendirian.

    Malah jelas beliau, pihaknya yakin majoriti rakyat Malaysia yang waras menyokong penuh keputusan tersebut demi melihat kehidupan rakyat lebih baik dan negara ini aman daripada belenggu judi dan arak.

    Dalam masa sama tambah beliau, Pemuda Pas Pulau Pinang turut berharap Kerajaan Persekutuan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memiliki keberanian dan keazaman politik untuk mengambil langkah serupa.

    “Kantung pendapatan kerajaan mesti disucikan daripada sumber judi dan arak dan lesen berkaitan mesti ditamatkan dan dihapuskan.

    “Kamu percaya cita-cita murni mewujudkan Keluarga Malaysia hanya akan dapat direalisasikan antaranya dengan menghapus punca penyebab kepada masalah-masalah masyarakat.

    “Lebih banyak duri dibuang dijalanan, akan lebih laju kita semua dapat melangkah dan selamat,” katanya.

  • RM4.6 bilion untuk projek pembangunan di Johor dalam Bajet 2022

    RM4.6 bilion untuk projek pembangunan di Johor dalam Bajet 2022

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KERAJAAN Persekutuan menerusi Bajet 2022 menyediakan RM4.6 bilion untuk projek pembangunan di negeri ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

    Beliau menjelaskan, peruntukan itu melibatkan 434 projek pembangunan sedia sedia termasuk 79 projek baharu di negeri ini.

    “Beberapa projek utama berimpak tinggi yang mampu memangkin pertumbuhan ekonomi Johor akan dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

    “Salah satunya Landasan Berkembar Elektrik Gemas ke Johor Bahru; Projek Rapid Transit System Link (RTS Link) dan pembinaan sekolah baharu 36 bilik darjah di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Putra 2, Kulai.

    “Ini termasuk Program Perumahan Rakyat (PPR) Ulu Tiram dan pembinaan Hospital Pasir Gudang,” katanya dalam sidang akhbar di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, Kota Iskandar, Iskandar Pueri, hari ini.

    Hadir sama Menteri Besar Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pembangunan dan Infrastruktur negeri, Mohd. Solihan Badri.

    Dalam perkembangan lain, Mustapa berkata, kemasukan Johor dalam kerjasama wilayah Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia Malaysia Thailand (IMT-GT) akan memberikan impak yang lebih besar terhadap ekonomi negeri itu.

    Katanya, hubungan erat antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri akan membantu mempercepatkan perancangan pembangunan yang dilaksanakan khususnya pelaksanaan RMK-12.

    Sementara itu, beliau memberitahu, berdasarkan Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas (HIES BA) 2019, kemiskinan mutlak di Johor iaitu 3.9 peratus pada 2019 adalah rendah berbanding kemiskinan mutlak nasional pada kadar 5.6 peratus dalam tempoh yang sama.

    Daripada aspek strata katanya, kadar kemiskinan mutlak di luar bandar iaitu 4.8 peratus adalah lebih tinggi berbanding kadar kemiskinan mutlak di bandar iaitu 3.6 peratus.

    “Akibat pandemik Covid-19 dan senario ekonomi semasa, kemiskinan mutlak dianggarkan meningkat kepada 5.9 peratus di Johor dibandingkan dengan 8.4 peratus pada peringkat nasional pada tahun 2020,” katanya.

    Jelasnya, mengikut rekod data eKasih, sebanyak 7,927 ketua isi rumah (KIR) dikategorikan sebagai miskin tegar dan 9,655 dikategorikan sebagai miskin di Johor setakat 31 Oktober lalu.

    Daerah Johor Bahru katanya, mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 1,484 KIR miskin tegar manakala 1,499 KIR miskin.

    “Sistem eKasih akan disemak semula dan diperkukuh serta langkah pemutihan dalam mengenal pasti, melaksana dan memantau program pembasmian kemiskinan bagi meningkatkan ketelusan dan ketepatan data,” katanya.

    Pangkalan data bagi mengenal pasti kumpulan sasar dan membangunkan profil isi rumah miskin serta menyediakan bantuan sosial akan disepadukan melalui pembangunan Pangkalan Data Perlindungan Sosial (PDPS) untuk menambah baik program membasmi kemiskinan, katanya.

  • Kenal pasti dua lokaliti setiap negeri laksana projek rintis basmi kemiskinan

    Kenal pasti dua lokaliti setiap negeri laksana projek rintis basmi kemiskinan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    UNIT Perancang Ekonomi (EPU) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama kerajaan negeri sedang mengenal pasti dua lokaliti di setiap negeri untuk melaksana projek rintis membasmi kemiskinan tegar secara holistik.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, tujuannya bagi mencapai sasaran kemiskinan tegar sifar pada 2025 dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

    “Pada 6 November 2021, sebuah kampung di Sik, Kedah dicadangkan sebagai projek rintis pertama membasmi kemiskinan tegar secara holistik di kawasan luar bandar.

    “Projek rintis ini menggabungkan kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, badan berkanun, universiti, pertubuhan masyarakat sivil (CSO), organisasi berasaskan komuniti (CBO) setempat dan pihak swasta,” katanya dalam sidang akhbar di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, Kota Iskandar, Iskandar Puteri, hari ini.

    Hadir sama Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pembangunan dan Infrastruktur negeri, Mohd. Solihan Badri.

    Menurut Mustapa, sesi ‘Poverty Circle’ yang telah diadakan sebanyak lima kali akan mengenal pasti modul terbaik untuk projek rintis membasmi kemiskinan tegar.

    Modul tersebut katanya, akan dilaksanakan mengikut keperluan lokaliti sama ada berasaskan komuniti, individu atau secara hibrid.

    Mustapa (kanan) dan Hasni berbincang semasa mengadakan siri jerayawara (roadshow) RMK-12 ke Johor hari ini

    Dalam pada itu, beliau berkata, Johor merupakan sebuah negeri penyumbang utama kepada ekonomi negara pada 2020 selain Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Sarawak.

    Mustapa berkata, purata pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)
    Johor mencapai 3.1 peratus setahun iaitu melebihi purata nasional sebanyak 2.7 peratus setahun dalam tempoh 2016 hingga 2020.

    “Pertumbuhan ekonomi Johor diterajui oleh sektor perkhidmatan khususnya dalam subsektor perdagangan borong dan runcit; makanan dan minuman dan penginapan; diikuti sektor pembuatan khususnya dalam produk elektrik, elektronik dan optikal,” katanya.

    Sementara itu, beliau berkata, pihaknya mengadakan siri jerayawara (roadshow) RMK-12 ke Johor hari ini.

    Lawatan tersebut katanya, bermula pada jam 9 pagi dengan sesi taklimat program menangani kemiskinan di Iskandar Malaysia dan Johor oleh Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Ismail Ibrahim dan Timbalan Pengarah (Pemantauan), Pejabat Pembangunan Negeri Johor, Amy Lydia Adnan di Ibu Pejabat IRDA di sini.

    Selepas itu, Mustapa melawat Rumah Iskandar dan dua keluarga miskin di Kampung Sungai Melayu.

  • Dambaan cinta bekas pelarian perang Vietnam di Pulau Bidong

    Dambaan cinta bekas pelarian perang Vietnam di Pulau Bidong

    SEPASANG remaja Vietnam berlari-lari di pergigian pantai di sebuah pulau yang sebelum itu tidak penghuni, tiba-tiba bertukar menjadi pulau paling padat di dunia.

    Kedua-duanya kelihatan begitu romantik, sambil berpegangan tangan lalu duduk di atas bebatu di suatu sudut di tepian laut di pulau tersebut.

    Begitulah antara dambaan cinta pernah terkisah dalam kalangan remaja Vietnam yang pernah menjadi pelarian perang di Pulau Bidong, Kuala Nerus tidak lama dahulu.

    Walaupun tidak pernah mengenali antara satu sama lain, namun pulau nostalgia itu akhirnya telah mempertemukan cinta pasangan remaja berkenaan, Nguyen Thand Diep dan juga Minh Qouc Tranh.

    Kedua-duanya pernah tinggal di Pulau Bidong selama sembilan bulan sebelum terpilih untuk ke negara ketiga, iaitu Amerika Syarikat.

    Peristiwa ini sebenarnya berlaku 36 tahun lalu dan ia pernah diceritakan oleh seorang kawan penulis yang bekerja sebagai pekerja sosial Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM) di pulau tersebut.

    Ketika itu penulis terlibat dengan kerja-kerja sukarela di bawah PBSMM di Marang Transit Kem, sebelum pelarian terbabit dihantar ke Sungai Besi untuk dihantar ke negara ketiga.

    Pulau Bidong yang terletak di bahagian timur laut Terengganu dengan keluasan 203 hektar persegi itu sebenarnya penah dianggap sebagai ‘pulau rahmat’ oleh bekas pelarian perang Vietnam yang menjadi penghuni di situ.

    Malah, Pulau Bidong juga yang pernah menjadi pusat penempatan sementara kepada 254,534 orang pelarian Vietnam mulai tahun 1978 hingga 1991 mempunyai nostalgia tersendiri kepada golongan berkenaan.

    Selain itu, bekas pelarian Vietnàm yang dahulunya pernah dipanggil sebagai Pendatang Haram Vietnam (PHV) dan juga Orang Hanyut Vietnam (OHV), seolah-olah menjadikan pulau tersebut sebagai negeri kedua mereka.

    Kebanyakan mereka cukup seronok berada di pulau ini sehinggakan terlupa segala penderitaan yang sedang dialami termasuk kejadian diserbu dan dirompak oleh lanun ketika berada di lautan.

    Setiap pelarian yang pernah menjadi penghuni sementara di pulau yang turut dikenali sebagai ‘Pulau Tikus’ ini tidak pernah melupakan kenangan manis sepanjang berada di pulau ini.

    Ini kerana, sebaik sahaja berjaya mendarat di pulau yang pernah diberi julukan ‘Mini Saigon’ itu, mereka sudah mampu menarik nafas lega.

    Ya, kita sudah tiba di Pulau Bidong, inilah ‘Mini Saigon’, kita sudah selamat!, kehidupan kita akan berubah, cerita Minh kepada kawan penulis.

    Pulau Bidong ketika itu dilengkapi dengan pelbagai kemudahan asas umpama sebuah bandar di tengah laut.

    Selain kemudahan elektrik dan air, ia turut dilengkapi sebuah sekolah, pejabat pos, empat buah kuil, gereja, perpustakaan, klinik, dewan wanita, bengkel pertukangan, gelanggang sukan, mini bar dan bangunan Pejabat Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai pelarian (UNCHR).

    Berdasarkan itulah mengapa kebanyakan pelarian yang tinggal di pulau ini tidak pernah melupakan kenangan manis sepanjang berada di Pulau Bidong berbanding bandar kelahiran mereka sendiri, iaitu Ho Chi Minh.

    Selepas pusat penempatan sementara pelarian ini ditutup, lokasi yang terbiar itu kelihatan dinaiki semak samun di samping beberapa serpihan bangunan terbiar.

    Yang tinggal hanyalah kenangan dan kesan peninggalan sejarah seperti monumen mercu tanda, tugu peringatan, perkuburan dan rumah-rumah ibadat.

    Sesekali lokasi ini turut dikunjungi oleh bekas-bekas pelarian Vietnam yang pernah menghuni di pulau berkenaan.

    Pulau Bidong diserahkan semula kepada kerajaan negeri Terengganu pada 30 November 1991 selepas ia dikosongkan oleh kumpulan terakhir seramai 52 orang pelarian Vietnam termasuk empat perempuan dan seorang kanak-kanak pada 21 Januari 1991.

    Selain kesan sejarah dan keindahan alam semulajadi, Pulau Bidong kini menjadi lokasi penyelidikan marin Universiti Maysia Terengganu (UMT) dan juga lokasi bagi aktiviti marin dan coral melibatkan dasar laut.

  • Kastam gagalkan cubaan seludup minuman keras lebih RM20 juta

    Kastam gagalkan cubaan seludup minuman keras lebih RM20 juta

    JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah Unit II Selangor merampas 627,510 liter minuman keras bernilai lebih RM20 juta di Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Barat di Pelabuhan Klang dalam beberapa siri rampasan dalam dua bulan ini.

    Rampasan minuman keras melibatkan arak, wain dan bir itu dirampas menerusi operasi pada 21 dan 27 Septermber serta 8 Novermber lalu.

    Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Malaysia, Datuk Abdul Wahabi Abdullah berkata, jumlah nilai rampasan tersebut termasuk duti dan cukai.

    “Kes pertama yang berlaku pada 21 September lalu membabitkan serbuan yang dibuat oleh pasukan dari Bahagian Penguatkuasaan, JKDM Zon Tengah, Unit II (Selangor) ke atas sebuah gudang yang disyaki.

    “Hasil pemeriksaan ke atas semua gudang berkenaan menemukan pelbagai jenis minuman keras dipercayai belum lulus kastam dengan nilai rampasan dianggarkan RM18.5 juta membabitkan kuantiti rampasan dianggarkan sebanyak 494,373 liter termasuk jumlah duti dan cukai.

    “Kes kedua pada 27 September lalu melibatkan serbuan ke sebuah gudang yang disyaki dan hasil semakan rekod pengimportan mendapati pihak syarikat mengikrar enam kontena bermuatan minuman keras membabitkan jumlah rampasan sebanyak RM2.11 juta termasuk duti serta cukai.

    “Seorang lelaki warga tempatan berusia lingkungan 40-an turut ditahan dalam serbuan itu bagi membantu siasatan,” katanya pada sidang media di Wisma Kastam Pulau Indah, Pelabuhan Kelang, hari ini.

    Abdul Wabahi berkata, kes ketiga pada 8 November lalu pula melibatkan serbuan menahan tiga kontena apabila pihak pengimport menggunakan Borang Zon Bebas 1 (ZB1) dengan mengemukakan permit import yang tidak sepadan dengan kelulusan semasa pengikraran.

    “Hasil pemeriksaan ke atas semua kontena berkenaan menemukan pelbagai jenis minuman keras dipercayai belum lulus kastam dengan nilai dagangan dianggarkan sebanyak RM1.6 juta termasuk duit dan cukai,” katanya.

    Dalam pada itu, Abdul Wahabi berkata, kesalahan bagi kes bertarikh 21 September dan 8 November sedang disiasat di bawah Akta Kastam 1967 iaitu cubaan mengelakkan dengan fraudan duti kastam dan mengelakkan larangan import di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.

    Ujarnya, jika disabitkan kesalahan, mahkamah boleh mengenakan hukuman denda tidak kurang daripada 10 kali nilai barang atau RM100,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih daripada 20 kali nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar; atau dipenjarakan tidak kurang dari enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

    “Bagi cubaan mengelakkan dengan fraudan duti eksais di bawah Seksyen 74(1)(e) Akta Eksais 1976, jika disabitkan kesalahan, mahkamah boleh mengenakan hukuman denda tidak kurang daripada 10 kali ganda amaun duti eksais atau RM100,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih daripada 20 kali amaun duti eksais atau RM500,000 yang mana lebih besar; atau dipenjarakan tidak kurang dari enam (6) bulan serta tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

    “Bagi kes bertarikh 27 September pula disiasat di bawah Seksyen 5(1) Akta Zon Bebas 1990,” katanya.

  • Rokok seludup RM2.85 juta dirampas di rumah, belakang lori rosak

    Rokok seludup RM2.85 juta dirampas di rumah, belakang lori rosak

    SEORANG lelaki ditahan dan 21,210 karton rokok seludup bernilai RM2.85 juta dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Changkat Jering, Taiping, semalam.

    Unit risikan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu Kampung Acheh merampas melakukan serbuan pukul 6 petang itu hasil maklumat risikan Op Kontraban.

    Komander PPM Wilayah Satu, Asisten Komisioner Shamsol Kassim berkata, lelaki tempatan berusia 46 tahun itu disyaki menyimpan rokok putih dan kretek pelbagai jenis tanpa cukai kastam.

    “Hasil pemeriksaan di dalam rumah dan stor menemukan 6,550 karton rokok putih serta 2,710 kartok rokok kretek yang dianggarkan bernilai RM1.25 juta.

    “Susulan daripada penggeledahan itu, PPM telah melakukan pemeriksaan ke atas sebuah lori milik suspek yang dalam keadaan rosak di belakang rumah tersebut.

    “Polis kemudiannya menjumpai 7,800 karton rokok putih dan 4,150 karton rokok kretek bernilai RM1.59 juta,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Menurutnya, kesemua bekalan rokok itu dipercayai diperoleh dari Pulau Pinang untuk dipasarkan di sekitar daerah Taiping.

    “Rokok berkenaan dirampas dan suspek diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping untuk tujuan siasatan lanjut.

    “Suspek direman selama lima hari untuk disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.

    Shamsol berkata, PPM akan terus memerangi jenayah penyeludupan terutama pengedaran atau penjualan rokok tanpa cukai Kastam dari masa ke masa.

    “Dengan penangkapan dan rampasan ke atas kes ini juga diharap dapat memberi kesedaran kepada masyarakat agar tidak terlibat dengan sebarang aktiviti penyeludupan, pengedaran serta penjualan rokok seludup yang tiada cukai Kastam,” katanya.

  • PRN Melaka:Gerakan boleh menang undi Cina-Muhyiddin

    PRN Melaka:Gerakan boleh menang undi Cina-Muhyiddin

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin melahirkan keyakinan parti Gerakan boleh menang undi Cina pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka yang akan berlangsung 20 November ini.

    Sambil menyifatkan komuniti tersebut sebagai ‘sangat pragmatik’, bekas Perdana Menteri itu juga berkata terdapat angin perubahan yang melanda negara yang tidak boleh dipandang rendah, sambil menambah bahawa Melaka mungkin menjadi lokasi perubahan itu.

    “Ada sebilangan yang mengatakan bahawa peratusan keluar mengundi Cina mungkin rendah dan mereka adalah penyokong kuat DAP, saya fikir mereka adalah orang yang sangat pragmatik.

    “Kami harap mereka akan mempertimbangkan calon-calon yang telah kami letakkan daripada Gerakan,” katanya ketika ditanya sama ada beliau yakin Gerakan boleh memenangi undi masyarakat Cina, lapor Free Malaysia Today (FMT), hari ini.

    prn melaka mohd muhammad

    Gerakan bertanding untuk lima kerusi pada PRN Melaka iaitu di Asahan, Ayer Keroh, Kesidang, Kota Laksamana dan Bandar Hilir. Penyandang di empat kerusi berkenaan adalah daripada DAP.

    Muhyiddin juga menepis dakwaan veteran DAP Lim Kit Siang, awal hari ini bahawa terdapat ‘bantahan keras’ dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menamakan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin sebagai calon PN untuk menjadi Ketua Menteri jika menang kerusi terbanyak.

    Presiden Bersatu itu berkata, bukan urusan Lim untuk campur tangan dalam hal partinya, sambil menambah bahawa beliau akan menguruskan hal tersebut sendiri.

    “Saya tidak pernah masuk campur dalam urusan DAP. Saya tidak bertanya apa-apa pun mengenainya,” katanya selepas bertemu masyarakat Cina di Melaka petang tadi.

    Terdahulu, Lim menyifatkan ketidakupayaan Muhyiddin untuk mengumumkan Mas Ermieyati sebagai calon Ketua Menteri PN sebagai bom jangka kerana dakwaan terdapat tentangan dalam Bersatu.

    Mas Ermieyati yang juga Timbalan Menteri Undang-undang, menang kerusi Parlimen Masjid Tanah atas tiket Barisan Nasional (BN) pada 2018.

  • Dakwaan ADUN Selangor dera bekas isteri disiasat

    Dakwaan ADUN Selangor dera bekas isteri disiasat

    POLIS membuka kertas siasatan berhubung dakwaan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Selangor mendera bekas isterinya.

    “Ya, saya sahkan kita ada terima laporan kes itu yang akan disiasat mengikut seksyen berkenaan.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga 1994,” ujar Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor@Saleh kepada BH, hari ini.

    Sebelum ini, media melaporkan bekas isteri ahli politik daripada Parti Amanah Negara (Amanah) itu membuat laporan polis dan mendakwa didera ADUN berkenaan pada 21 Ogos lalu.

    Difahamkan, pasangan itu memfailkan kes perceraian di Mahkamah Syariah Kuala Langat baru-baru ini.

    Wanita mangsa dera itu dipercayai isteri ketiga ADUN itu yang sebelum itu dikatakan sudah menceraikan isteri pertama dan kedua ketika perkahwinan mereka.

    Dia mendakwa bekas suaminya itu mahu berkahwin semula dengan bekas isteri kedua namun tidak mendapat persetujuannya menyebabkan perkahwinan mereka mula goyah.