Author: Admin

  • Polis buru empat lelaki terbabit kes culik dan bunuh

    Polis buru empat lelaki terbabit kes culik dan bunuh

    POLIS memburu empat lelaki dipercayai terbabit dalam kes menyamar sebagai anggota polis, menculik dan membunuh seorang lelaki berusia 39 tahun di sebuah rumah di Bandar Springhill, Lukut pada 13 November lalu.

    Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, suspek masih bebas manakala dua rakan mereka diberkas polis pada 14 November lalu pada jam 3.30 pagi di sebuah rumah di Taman Pusat Kepong, Kuala Lumpur.

    “Dua lelaki ini akan didakwa di Mahkamah Majistret Port Dickson hari ini selepas direman selama 10 hari.

    “Empat lelaki yang dikehendaki ialah Davadas Anpankam (Deva), 41, beralamat di N0 4 Batu 15 ½ Templer Park, Rawang, Selangor; Xavier Peter (Beckam @ Bob), 42, beralamat di 02-12 Blok Selasih, Taman Tun Teja, Batu 6, Rawang, Selangor; Murugan Christnan (Romeo), 40, beralamat di No 717, Tingkat 6, Blok C, Taman Prima Selayang, Batu Cave, Selangor dan Panirselvam Subramaniam (Panir), 31, beralamat di 10-1-23 Jalan 2/1a, Taman Kepong Indah, Kuala Lumpur,” katanya.

    Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302/ 364/170 Kanun Keseksaan.

    Media sebelum ini melaporkan, polis menerima aduan daripada isteri mangsa berumur 38 tahun yang mengatakan suaminya diculik semasa berada di rumah.

    Polis kemudian menerima panggilan memaklumkan mangsa sudah berada di Hospital Selayang, Selangor.

    Mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 9.45 pagi oleh Pegawai Perubatan Jabatan Kecemasan dan Trauma di Hospital Selayang.

  • Ketua pengawal keselamatan, penganggur didakwa menyamar polis, menculik dan membunuh

    Ketua pengawal keselamatan, penganggur didakwa menyamar polis, menculik dan membunuh

    SEORANG ketua pengawal keselamatan dan penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret Port Dickson hari ini, atas pertuduhan menyamar sebagai anggota polis, menculik dan membunuh pada 13 November lalu.

    Tertuduh, M. Murugan, 44, dan Wong Yon Kuan, 43, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 364 Kanun Keseksaan dibacakan di hadapan Majistret V. Vanita.

    Mengikut pertuduhan yang dibacakan berasingan, Murugan yang sebelum ini bekerja sebagai ketua pengawal keselamatan manakala Yon Kuan yang tidak bekerja, bersama-sama tiga lagi yang masih bebas dituduh menculik dan membunuh A. Vasudevan, 39.

    Perbuatan itu dilakukan pada 13 November di antara jam 5.40 pagi hingga 9.45 pagi di Bandar Springhill, Lukut, di sini.

    Jika sabit kesalahan bagi Seksyen 302 Kanun Keseksaan, tertuduh boleh dihukum mati manakala Seksyen 364 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman mati atau penjara 30 tahun dan sebat.

    Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh bersama tiga lagi yang masih bebas didapati menyamar sebagai polis kepada S. Hindumathy, 38, pada tarikh dan di lokasi sama.

    Bagaimanapun tertuduh mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan itu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fatin Nur Athirah Zainuddin dan kedua-dua tertuduh diwakili peguam T Harpal Singh.

    Mahkamah menetapkan 23 Disember depan sebutan semula kes.

  • Pemuda berlumuran darah diserang dengan tukul besi kerana curi burung murai

    Pemuda berlumuran darah diserang dengan tukul besi kerana curi burung murai

    TINDAKAN seorang pemuda mencuri burung murai membawa padah apabila dia dipukul dua beradik dengan tukul besi dalam kejadian di Kampung Banggol Petaling, Pasir Mas, semalam.

    Mangsa, 37, patah jari, luka serta bengkak di kepala selain terdapat kesan lebam dan calar pada belakang badan dipukul dua beradik itu yang juga rakan sekampung.

    kejadian itu kemudian dilaporkan kepada polis selepas bapa mangsa membuat laporan.

    Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, bapa mangsa didatangi seorang rakan anaknya yang memberitahu mangsa dipukul ketika berada di rumah.

    Katanya, bapa mansa bergegas ke lokasi kejadian dan melihat anaknya berlumuran darah akibat dipukul.

    “Dia dan beberapa jiran lain kemudian membawa mangsa ke Unit Kecemasan Hospital Pasir Mas (HPM) untuk mendapatkan rawatan sebelum mengambil keputusan membuat laporan polis.

    “Polis mengambil tindakan segera dengan menangkap dua beradik berusia 26 dan 41 tahun di rumah mereka sebaik laporan diterima,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

    Mohd. Nasaruddin berkata, hasil saringan ujian air kencing terhadap dua suspek mendapati mereka negatif dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

    Menurutnya, siasatan awal suspek mengaku memukul mangsa kerana mendakwa dia mencuri burung murai milik mereka.

  • Lelaki bunuh ibu saudara dihadapkan ke mahkamah

    Lelaki bunuh ibu saudara dihadapkan ke mahkamah

    SEORANG lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini atas tuduhan membunuh ibu saudaranya dalam kejadian dua minggu lalu.

    Sinar Harian melaporkan, Awkim Wah, 40, didakwa melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian terhadap Aw Foong Meng, 73, di sebuah rumah di Kampung Cina, Menglembu antara pukul 11 pagi dan 3.25 petang pada 9 November lalu.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

    Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang juga penganggur selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Azreen Liana Mohd Darus.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Haiqal Asyraf Suhaimi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Mahkamah bagaimanapun tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 24 Januari depan untuk sebutan semula kes.

    Media sebelum ini melaporkan seorang wanita warga emas ditemui mati dengan kesan kelar dan tikaman pada leher.

    Mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap serta berlumuran darah di tepi katil dalam bilik di rumahnya.

    Pemeriksaan ke atas mangsa mendapati terdapat kesan kelar dan tikaman pada leher dengan senjata berupa pisau masih tertusuk di belakang leher wanita itu.

    Polis kemudian menahan reman seorang lelaki berusia 40 tahun yang merupakan anak saudara mangsa dan tinggal bersamanya untuk siasatan lanjut.

  • Tidak perbaharui lesen premis judi:Harap sokongan padu rakyat

    Tidak perbaharui lesen premis judi:Harap sokongan padu rakyat

    Oleh RIZQI ZABIDI

    PERTUBUHAN Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Kedah mengharapkan sokongan padu rakyat terhadap keputusan kerajaan negeri untuk tidak memperbaharui lesen premis perjudian berkuat kuasa serta-merta.

    Ketua Penerangannya, Azrol Mansor berkata, sokongan itu perlu memandangkan terdapat pihak tertentu yang cuba mengheret isu tersebut ke mahkamah untuk mencabar keputusan tersebut.

    “Semua pihak harus membantu usaha murni kerajaan negeri dalam mendidik masyarakat tentang bahaya dan implikasi terhadap tabiat berjudi.

    “Kepada kerajaan negeri Kedah, teruskan usaha untuk menjadikan negeri ini sifar perjudian dengan penguatkuasaan lebih tegas kepada premis yang beroperasi secara berlesen, haram mahu pun yang beroperasi dalam talian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Azrol Mansor

    Beberapa pihak sebelum ini difahamkan telah menghantar permohonan kepada mahkamah untuk mencabar keputusan kerajaan negeri tersebut.

    Malah Pengerusi Biro Undang-UNdang Kebangsaan, Ramkarpal Singh dalam satu kenyataan sebelum ini menyebut, sebanyak empat penduduk Kedah telah memfailkan semakan kehakiman untuk membatalkan langkah itu dengan alasan ia tidak munasabah serta melangkaui kuasa di bawah Perlembagaan Persekutuan.

    Menurut Ramkarpal, tindakan undang-undang itu difailkan di Mahkamah Tinggi Alor Setar pada 18 November lalu dengan plaintif diwakili firma guaman Messrs Karpal Singh & Co.

  • Imigresen tahan 129 pendatang tanpa izin

    Imigresen tahan 129 pendatang tanpa izin

    SERAMAI 129 pendatang tanpa izin ditahan di sebuah kilang mengeluarkan peralatan besi kerana disyaki tidak memiliki sebarang dokumen sah dan menyalahgunakan dokumen yang dikeluarkan oleh Imigresen.

    Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, mereka yang ditahan dalam serbuan pada 8 malam itu terdiri daripada 110 lelaki dan 19 wanita warga Indonesia, Myanmar, India serta Bangladesh berusia lingkungan 20 hingga 49 tahun.

    “Seramai 134 orang telah diperiksa dan 129 daripadanya ditahan kerana didapati tidak mempunyai sebarang dokumen dan ada juga yang menyalahgunakan dokumen yang dikeluarkan.

    “Bagi mereka yang tiada dokumen, siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan yang didapati menyalahgunakan dokumen pula disiasat di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam sidang media operasi penguatkuasaan di Balakong, malam Isnin.

    Beliau juga berkata, program Pelan Rekalibrasi Pendatang Tanpa Izin, Tenaga Kerja yang tamat pada 31 Disember ini tidak akan dilanjutkan.
     
    “Bagi majikan yang mendaftarkan pekerja mereka di dalam portal, walaupun PLKS (Pas Lawatan Kerja Sementara) belum dikeluarkan (dan) sedang diproses, tindakan penguatkuasaan tidak akan dikenakan.

    “Saya minta semua majikan mengambil peluang program ini kerana ia akan berakhir pada hujung Disember ini,” katanya.


    Khairul Dzaimee juga berkata, Jabatan Imigresen telah membuat persiapan rapi bagi memastikan program Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL), yang dijadualkan bermula 29 November ini, berjalan lancar.

    Beliau berkata, ini termasuk persiapan dari segi tenaga kerja seperti sistem Imigresen yang diaktifkan semula selepas ‘berehat’ kira-kira dua tahun akibat pandemik Covid-19.

    Sebelum ini, Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad pada 18 Nov lepas berkata VTL melalui Tambak Johor dan Laluan Kedua Malaysia-Singapura dibuka serentak dengan VTL antara Lapangan Terbang Changi dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. – Bernama

  • 17 positif Covid-19, 30 pekerja The Datai Langkawi dikuarantin

    17 positif Covid-19, 30 pekerja The Datai Langkawi dikuarantin

    Oleh RIZQI ZABIDI

    PENULARAN kes Covid-19 yang membawa kepada penutupan sementara sebuah resort terkemuka, The Datai Langkawi bermula semalam hanya melibatkan kalangan pekerja resort itu tanpa menjangkiti mana-mana tetamu mahu pun pelancong yang menginap di situ setakat ini.

    Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Dr. Othman Warijo berkata, setakat semalam terdapat 17 kes positif Covid-19 yang telah didaftarkan melibatkan pekerja di hotel berkenaan.

    Selain itu katanya, seramai 30 pekerja yang merupakan kontak rapat kes telah diarahkan untuk menjalani kuarantin.

    “Semua pekerja termasuk mereka yang positif telah lengkap menerima vaksinasi Covid-19. Semua kes adalah bergejala ringan dan diletakkan di bawah pemantauan di rumah oleh pasukan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Langkawi.

    “Pihak pengurusan resort tersebut telah mengambil langkah penutupan secara sukarela bermula 22 November 2021 selama 10 hari bagi kerja-kerja pembersihan dan kawalan jangkitan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Menerusi kenyataan dikeluarkan dalam laman web rasminya semalam, pihak pengurusan resort tersebut turut memohon maaf kepada pengunjung yang terjejas dengan penutupan tersebut selain memberi pilihan kepada mereka untuk menukar tarikh atau pembatalan secara percuma tanpa dikenakan sebarang penalti.

    Mengulas lanjut Othman berkata, kes-kes tersebut dikesan melalui aktiviti saringan sukarela dalam kalangan pekerja yang dilakukan oleh majikan.

    “Daripada 17 kes tersebut, tiga telah disahkan melalui ujian pengesahan di Klinik Kesihatan Langkawi manakala selebihnya disahkan melalui ujian di klinik swasta.

    “Majoriti pekerja tersebut tinggal di asrama pekerja disediakan majikan dan berkemungkinan penularan berlaku di situ,” katanya.

    Tambahnya, Pejabat Kesihatan Daerah Langkawi ketika ini masih meneruskan siasatan dan pengesanan kes di samping memberi khidmat nasihat serta pemantauan berterusan bagi memastikan rantaian jangkitan itu dapat diputuskan.

    “Selain itu bagi memastikan jangkitan Covid-19 di Langkawi sentiasa terkawal dan tidak menjejaskan aktiviti pelancongan, Kerajaan negeri Kedah juga telah menubuhkan Jawatankuasa Gelembung Pelancongan Langkawi yang diketuai Pegawai Daerah Langkawi dan dianggotai pelbagai jabatan serta agensi kerajaan selain pihak swasta.

    “Jawatankuasa ini sentiasa mengawasi perkembangan masuk dan keluar pelancong termasuk dalam aspek pematuhan prosedur operasi standard oleh semua pihak terlibat.” katanya.

  • Kantoi sorok 304 biji pil yaba di celah pelepah kelapa dalam kebun

    Kantoi sorok 304 biji pil yaba di celah pelepah kelapa dalam kebun

    KELIBAT seorang lelaki yang dalam keadaan mencurigakan semasa polis melakukan rondaan di sebuah kebun di belakang sebuah rumah di Kampung Bechah Tendong, Pasir Mas, semalam, membongkar kepada penemuan 304 biji pil yaba.

    Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, pihaknya melakukan rondaan di kawasan berkenaan pada pukul 5.30 petang dan menemui suspek, 41, di kawasan itu.

    “Semasa penemuan berkenaan, suspek menggenggam empat biji pil yaba di tangan kanannya dan pemeriksaan lanjut menemui 300 biji pil yaba di dalam plastik hijau yang diletakkan di celah pelepah kelapa di kawasan yang sama,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Katanya, keputusan ujian saringan awal polis mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan mempunyai empat rekod lampau melibatkan dadah.

    Suspek yagn tidak bekerja katanya, mengaku dadah yang dijumpai adalah miliknya dan memberitahu bekalan berkenaan diperoleh daripada seorang individu yang tinggal di sebuah kampung di Kota Bharu.

    “Siasatan akan diteruskan untuk mengenal pasti maklumat lanjut berkenaan individu berkenaan,” katanya.

    Beliau berkata, nilai rampasan keseluruhan adalah sebanyak RM3,040 dan kes disiasat di bawah Seksyen 39(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1) akta yang sama.

  • Peniaga kedai runcit nyaris maut akibat tebing sungai runtuh

    Peniaga kedai runcit nyaris maut akibat tebing sungai runtuh

    SEORANG peniaga kedai runcit nyaris maut selepas bahagian belakang rumahnya di tebing Sungai Kemasin di Kampung Kuau, di Kelantan runtuh dalam kejadian yang berlaku hari ini.

    Hamzah Jusoh, 53, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 3 petang, ketika beliau sedang mengemas bahagian belakang rumahnya itu.

    “Mula-mula saya nampak rekahan di simen di bahagian belakang rumah. Kemudian sedikit demi sedikit tanah tebing mulai runtuh ke dalam Sungai Kemasin.

    “Saya segera masuk ke dalam rumah untuk menyelamatkan diri. Sebuah basikal serta beberapa lagi barangan tidak dapat diselamatkan,” katanya ketika ditemui, hari ini.

    Hamzah berkata anggota bomba yang melawat lokasi kejadian menasihatkan supaya beliau, isteri dan anak-anaknya mengosongkan rumah itu, yang turut dijadikan kedai runcit itu buat sementara waktu.

    “Bomba beritahu tiga hingga empat bulan kena kosongkan rumah ini. Jadi kami sekeluarga dibantu penduduk kampung memindahkan barangan ke rumah adik saya yang terletak berhampiran,” katanya.

    Menurut Hamzah selain kediamannya, sebuah rumah jiran yang terletak bersebelahan turut mengalami kerosakan akibat runtuhan tebing sungai itu.

    Tinjauan Bernama di lokasi mendapat bomba telah meletakkan pita keselamatan di lokasi tersebut bagi menghalang orang ramai menghampiri kawasan tebing sungai. – Bernama

  • Projek Rintis Bantuan Tanpa Tunai jana transaksi lebih RM300,000- Rina Harun

    Projek Rintis Bantuan Tanpa Tunai jana transaksi lebih RM300,000- Rina Harun

    PROJEK Rintis Bayaran Bantuan Tanpa Tunai yang dilaksanakan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, bermula Februari hingga Julai tahun ini di lokasi-lokasi terlibat, telah menjana transaksi berjumlah RM334,059.

    Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata projek rintis fasa satu bayaran tanpa tunai dengan kerjasama Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) itu, melibatkan penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat di beberapa daerah di Perlis, Kedah dan Melaka, dengan penyertaan 246 premis.

    “Satu kajian kebolehlaksanaan projek rintis itu juga telah dilaksanakan pada 14 Jun sehingga 10 Julai 2021, di seluruh lokasi rintis terbabit melibatkan seramai 1,066 peserta dan daripada kajian tersebut sejumlah 845 atau 79.3 peratus peserta memberi sokongan penuh pelaksanaan program ini,” katanya di Majlis Pelancaran Peluasan Program Bayaran Bantuan Tanpa Tunai di Taman Sinar Harapan, di Terengganu, hari ini.

    Sehubungan itu, katanya program bayaran bantuan tanpa tunai fasa satu tersebut kini diperluaskan di seluruh Perlis, Kedah, Melaka, dan penambahan tiga lagi negeri iaitu Terengganu, Kelantan serta Selangor, dengan melibatkan 178 premis.

    Katanya fasa dua pelaksanaan program tersebut akan bermula awal tahun depan melibatkan Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, manakala fasa tiga pula akan bermula pada 2023 di negeri-negeri lain.

    Rina berkata kementerian optimis bahawa peluasan program bayaran tanpa tunai itu merupakan program berimpak tinggi untuk menambah baik penyampaian kepada penerima banguan JKM.

    Ia sejajar dengan Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia 2021 dan memacu transformasi perkhidmatan digital sektor awam yang menyokong ke arah kewujudan masyarakat digital.– Bernama