Author: Admin

  • Murid sekolah rendah jalani saringan Covid-19 setiap Rabu – KPM

    Murid sekolah rendah jalani saringan Covid-19 setiap Rabu – KPM

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) akan melaksanakan 10 peratus sampel saringan Covid-19 secara mingguan dengan kaedah penggiliran kepada murid sekolah rendah pada setiap Rabu pada hari persekolahan.

    KPM telah membekalkan kit ujian kendiri Covid-19 ke sekolah rendah di bawahnya bagi memastikan ujian saringan dapat dilaksanakan sebagaimana tatacara pelaksanaan ujian kendiri yang terkandung dalam Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0.

    Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin berkata, KPM akan mengeluarkan surat pemakluman berkenaan pelaksanaan saringan bergilir Covid-19 untuk murid sekolah rendah yang perlu dilaksanakan pada setiap Rabu.

    “Kami juga menyarankan agar ketetapan ini turut terpakai di semua sekolah rendah dan institusi pendidikan swasta yang berdaftar di bawah KPM,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Semalam, Menteri Kesihatan (KKM), Khairy Jamaluddin Abu Bakar mewajibkan murid sekolah rendah untuk menjalani ujian saringan Covid-19 mingguan secara bergilir, bagi mengelakkan wujudnya kluster pendidikan.

    Beliau berkata, ujian terbabit adalah sebahagian daripada Strategi Pengujian Covid-19 Kebangsaan.

  • Lagi rakyat Malaysia dijatuhi hukuman mati di Singapura gagal rayuan

    Lagi rakyat Malaysia dijatuhi hukuman mati di Singapura gagal rayuan

    PANNIR Selvam Pranthaman, seorang lagi rakyat Malaysia yang dikenakan hukuman mati atas kesalahan dadah, gagal dalam rayuan akhirnya pada hari ini untuk mencabar keputusan mahkamah Singapura ke atasnya.

    Pannir sebelum ini dijadual menjalani hukuman mati pada 24 Mei 2019, tetapi pada 23 Mei 2019 Mahkamah Rayuan Singapura membenarkan permohonannya untuk menangguhkan hukuman mati bagi membolehkan dia mencabar proses pengampunan.

    Dia disabitkan bersalah oleh Mahkamah Tinggi Singapura pada 27 Jun 2017 atas tuduhan mengedar 51.84 gram diamorphine ketika ditahan di Pusat Pemeriksaan Woodlands pada 3 Sept 2014 .

    Pada 12 Feb 2020, Mahkamah Tinggi menolak usahanya untuk mencabar keputusan mahkamah yang mengetepikan permohonan pengampunan.

    Awal bulan ini, seorang lagi warga Malaysia Nagaentran K. Dharmalingam, dijatuhi hukum mati pada 10 Nov terselamat daripada tali gantung apabila Mahkamah Rayuan dimaklumkan dia didapati positif COVID-19. Rayuan Nagaentran akan didengar pada Selasa (30 Nov).

    Untuk kes Pannir, dilaporkan, selain mencabar proses pengampunan, Pannir turut memfailkan cabaran ke atas keputusan Pendakwa Raya yang tidak memberikan kepadanya perakuan memberi pertolongan kepada pasukan pendakwa.

    Keputusan mahkamah semalam dilaporkan tertumpu kepada sama ada maklumat yang disalurkan Pannir kepada Biro Narkotik Pusat (CNB) benar-benar dapat membantu agensi itu melumpuhkan aktiviti pengedaran dadah.

    Menurut Akta Penyalahgunaan Dadah Singapura, mereka yang ditahan kerana mengedar dadah dan diberikan sijil perakuan sebagai pemberi maklumat kepada pendakwa, boleh mengelak daripada hukuman mati tetapi diganti dengan seumur hidup dan sebatan.

    Sementara itu, keluarga Pannir tetap tenang walaupun selepas dimaklumkan mengenai keputusan penghakiman itu.

    “Kami cuba bertenang meskipun perasaan sengsara. Kami berusaha untuk tenang kerana kami percaya kepada Tuhan,” kata kakaknya Sangkari Pranthaman ketika dihubungi Bernama di Singapura, hari ini.

    Ditanya apakah langkah seterusnya, Sangkari berkata mereka masih menunggu arahan peguam.

    “Setakat ini kami tidak tahu apa perlu dilakukan sebenarnya. Kami buntu. Kami cuba untuk menerima hakikat. Tapi perlu lakukan sesuatu,” katanya.

    Sangkari merancang untuk pergi ke Singapura selepas tidak berjumpa adiknya, yang ketiga daripada lapan adik beradik, kira-kira 20 bulan akibat pandemik COVID-19.

    “Saya fikir nak ke Singapura lagi. Mungkin dalam waktu terdekat, saya akan ke Singapura untuk bertemu adik saya. Saya (akan pergi) dengan adik perempuan saya,” tambahnya.

    Sangkari turut berkongsi apa yang Pannir katakan ketika menghubunginya kira-kira pukul 3 petang sejurus selepas penghakiman kes itu.

    “Jangan sedih. Saya tahu awak sangat sedih. Mesti peguam sudah maklumkan pada awak. Jangan rasa bersalah. Kita akan lihat apa yang boleh kita lakukan. Saya cuma nak bagi tahu yang saya okey,” kata Pannir kepada kakaknya akrab dengannya sejak kecil.

    Sangkari berkata Pannir masih positif dan kuat disebalik ketidaktentuan itu.

    Sementara itu, seorang daripada peguam Pannir, Too Xing Ji dilaporkan berkata semalam bahawa anak guamnya tidak diberikan sebarang arahan untuk memfailkan permohonan lanjut. – Bernama

  • Penyertaan program WBB melebihi sasaran-Rina Harun

    Penyertaan program WBB melebihi sasaran-Rina Harun

    PROGRAM Wanita Bangkit Berniaga (WBB), yang diperkenalkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dengan kerjasama RichWorks International Sdn. Bhd., berjaya menarik hampir 40,000 penyertaan berbanding sasaran asal 2,000 peserta.

    Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, di bawah program itu, peserta bukan sahaja diajar teknik berniaga, tetapi juga melalui ilmu-ilmu yang dikongsi oleh usahawan-usahawan yang berjaya, ia boleh diterapkan dalam kehidupan seharian.

    Beliau berkata, peserta program WBB bukan hanya meneroka peluang pendapatan melalui perniagaan, malah mereka juga mampu menjadi kelompok yang menghulurkan bantuan kepada wanita lain yang berdepan cabaran dan tekanan hidup.

    “Bila saya memegang portfolio Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, saya turun padang, saya lihat ramai wanita yang terjejas, (malahan) ada yang hilang semangat untuk teruskan kehidupan.

    “Ramai wanita yang sertai WBB ini, kita bukan nak mereka sekadar berniaga, tetapi mereka sesama wanita beri sokongan kepada satu sama lain, dan jangan rasa berseorangan,” katanya dalam perkongsian di Program WBB secara dalam talian, hari ini.

    Rina berkata, idea untuk mewujudkan program WBB ini lahir dari pengalamannya melihat kepayahan ibunya yang gigih berniaga meneruskan kehidupan membesarkan enam orang anak selepas berpisah dengan ayahnya.

    Beliau berkata, ibunya, Taiyibah Rusli, ketika itu mencari rezeki dengan bekerja sebagai tukang masak di kedai menjual sate ayam.

    “Saya bersyukur kerana ibu saya ada semangat kental dan kuat. Kalau ketika itu beliau berputus asa, saya tak rasa saya akan berada di sini hari ini. Wanita bangkit ini saya pelajari dari ibu saya,” katanya.

    Dalam pada itu, Rina berkata, program Wanita Bangkit Berniaga adalah sebahagian daripada program Wanita Bangkit yang memberi tumpuan bukan saja kepada perniagaan malah ia juga membabitkan wanita yang mahu mendapat peluang pekerjaan dan bangkit dari segi emosi.

    Beliau berkata, inisiatif Wanita Bangkit Berniaga itu digerakkan bagi membantu khususnya wanita yang terjejas ekoran pandemik COVID-19 bagi menjana pendapatan dengan berniaga.

    “Perkongsian daripada lebih 30 usahawan jutawan dalam program ini pasti memberikan inspirasi kepada para peserta kerana sebelum berjaya mereka juga merupakan suri rumah yang berdepan masalah hutang, kewangan yang terhad, ibu tunggal dan lain-lain,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Pegawai Perniagaan RichWorks, Radzi Mohd. berkata pihaknya sangat berbesar hati kerana dipilih menjadi rakan kolaborasi kementerian untuk memperkasakan lebih ramai wanita dalam bidang keusahawanan. – Bernama  

  • Individu tular amalan mandi Safar akan dipanggil Jakim

    Individu tular amalan mandi Safar akan dipanggil Jakim

    JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan memanggil individu yang tular di media sosial, mengenai amalan mandi Safar dalam masa terdekat, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary.

    “Amalan mandi Safar adalah khurafat, dan perkara itu sudah disebut dalam hadis Bukhari dan sahih Muslim bahawa tidak ada kesialan dalam bulan Safar.

    “Ini antara amalan jahiliah yang kita kena buang dan ubah masyarakat kita supaya tidak menganggap bulan Safar sebagai bulan sial,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada 18 keluarga mangsa kebakaran di Jalan Gajah Mati, Kota Bharu di Kelantan, hari ini.

    Khamis lalu, tular di media sosial, kuliah agama seorang pendakwah terkenal ketika kuliah dalam taliannya mengatakan, mandi Safar adalah mandi pada Rabu terakhir bulan Safar sebagai usaha menolak bala.

    Mengulas lanjut, Ahmad Marzuk berkata, pihaknya telah mengarahkan Jakim dan Jabatan Agama Negeri, supaya memantau kuliah agama oleh pemegang tauliah yang bebas mengajar di masjid dan disiarkan melalui media sosial.

    “Pihak kita sudah ada perbincangan secara dalaman terhadap apa saja isu yang tular, dan kita memohon pihak berkuasa agama meneliti isi kandungan penceramah. Jika masyarakat kita cuba hidupkan kembali amalan mandi Safar ini, seolah-olah ia kembalikan kepada zaman jahiliah,” katanya. – Bernama
     

  • Dr. Maszlee akui sertai PKR dalam keadaan parti itu lemah

    Dr. Maszlee akui sertai PKR dalam keadaan parti itu lemah

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    AHLI Parlimen Simpang Renggam, Dr. Maszlee Malik hari ini menamatkan spekulasi dan khabar angin apabila beliau secara rasmi mengumumkan penyertaannya dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR).

    Pengumuman itu dilakukan dalam program Jelajah Presiden yang dihadiri Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan JKKK Kampung Baru Machap, Simpang Renggam, Kluang, hari ini.

    Menurut Dr. Maszlee, kemasukan dalam PKR itu ibarat sirih pulang ke gagang kerana sebelum ini pernah menjadi ahli parti itu bagi Cabang Ampang pada tahun 2017.

    “Sementelahan Keadilan berada dalam situasi dan populariti yang tidak begitu menggalakkan pada waktu ini terutamanya selepas kekalahan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, saya terpanggil melakukan sesuatu untuk membawa perubahan.

    “Ada yang mengejek mengapa masuk parti kalah, malah presidennya diserang dari pelbagai sudut oleh lawan dan segelintir kawan. Lebih malang ada yang sindir apa ertinya sertai Keadilan ketika mereka sedang lemah dan tidak menjadi pilihan.

    “Saya katakan inilah harga sebuah perjuangan (kerana) saya tidak masuk parti untuk mengaut laba keuntungan dan tidak mahu menjadi opurtunis politik yang tukar parti untuk dapat jawatan atau ganjaran,” katanya ketika berucap dalam program itu.

    Maszlee sebelum ini merupakan seorang ahli akademik yang menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) di Parlimen Simpang Renggam.

    Beliau pernah menganggotai Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu dan dilantik sebagai Menteri Pendidikan di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH), namun meletak jawatan susulan beberapa kontroversi.

    Maszlee dipecat daripada Bersatu pada Mei tahun lalu susulan konflik sebelum menjadi Ahli Parlimen Bebas pada November tahun lalu selepas beberapa bulan bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menubuhkan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

  • Belum sesuai adakan pilihan raya umum dalam masa terdekat 

    Belum sesuai adakan pilihan raya umum dalam masa terdekat 

    Oleh RIZQI ZABIDI

    PILIHAN Raya Umum ke-15 (PRU-15) tidak sesuai diadakan dalam masa terdekat ketika tumpuan semua pihak perlu difokuskan terhadap usaha membangunkan negara setelah lebih dua tahun ‘berperang’ dengan Covid-19.

    Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, ketika ini pelbagai usaha masih perlu dilakukan untuk melandaikan lagi Covid-19.

    Dalam masa sama katanya, semua pihak turut perlu memberi fokus terhadap ekonomi negara yang terjejas akibat pandemik tersebut.

    “Saya kira elok kita landaikan lagi Covid-19 kerana terdapat pelbagai masalah melanda negara dalam tempoh dua tahun ini. Lagi pun sekarang ini kita dalam usaha memulihkan ekonomi yang terjejas.

    “Dua perkara ini perlu diberi penekanan dan selepas itu kalau keadaan dah selesa, eloklah kita fikirkan nak buat PRU,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Forum Sahabat Komuniti Desa (Skod) di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dekat Naka, Padang Terap, hari ini.

    Baru-baru ini, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, menggesa agar PRU-15 dipertimbangkan untuk diadakan dalam masa terdekat mengambil kira sentimen rakyat ketika ini yang dilihat memihak kepada Barisan Nasional (BN).

    Beliau juga ada menyuarakan perkara itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebaik sahaja BN memenangi PRN Melaka.

    Namun semalam Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memaklumkan, Kementerian Kesihatan berpandangan tidak sesuai untuk PRU-15 diadakan dalam tempoh terdekat memandangkan penularan kes Covid-19 di negara ini masih membimbangkan selain berdepan peningkatan kadar kemasukan ke hospital.

  • Maritim Malaysia Pulau Pinang rampas 39 set bubu naga di Pulau Aman

    Maritim Malaysia Pulau Pinang rampas 39 set bubu naga di Pulau Aman

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang merampas sebanyak 39 set bubu naga di tiga lokasi berasingan di sekitar 3.4 batu nautika barat daya Pulau Aman kelmarin.

    Rampasan itu dilakukan hasil aduan awam serta rondaan rutin agensi berkenaan menerusi Op Pertiwi antara pukul 6.45 petang hingga 7.55 malam.

    Pengarah Maritim negeri, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, pihaknya melakukan pemerhatian khusus terhadap lokasi aduan sebelum menjumpai 39 set bubu naga yang dipasang di perairan berhampiran Pulau Aman.

    Kesemua bubu naga dengan anggaran nilai RM4,680 itu dirampas serta dibawa ke jeti Polis Marin Batu Uban

    “Kesemua bubu naga dengan anggaran nilai RM4,680 itu dirampas serta dibawa ke jeti Polis Marin Batu Uban untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Menurut Abd. Razak, penggunaan bubu naga diharamkan kerana sifatnya yang tidak selektif dan boleh merosakkan ekosistem perairan serta menjejaskan sumber pendapatan nelayan lain.

    Tambahnya, pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan yang mana jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

    Penggunaan bubu naga diharamkan kerana boleh merosakkan ekosistem perairan serta menjejaskan sumber pendapatan nelayan lain

    “Sehubungan itu, nelayan diingatkan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang telah diperuntukkan,” ujarnya.

    Tambah beliau, Maritim Malaysia akan terus memantau aktiviti haram itu dari semasa ke semasa dan meminta kerjasama orang ramai segera melaporkan sebarang kejadian dan jenayah maritim yang berlaku di perairan negeri ini.

    Jelasnya, sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh menghubungi Maritim Malaysia menerusi talian 24 jam iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146.

  • Kos haji dijangka meningkat lebih 50 peratus

    Kos haji dijangka meningkat lebih 50 peratus

    KOS menunaikan haji dijangka meningkat lebih 50 peratus berikutan cukai nilai tambah (VAT) yang diperkenalkan kerajaan Arab Saudi, naik kepada 15 peratus bermula Julai tahun lepas, berbanding lima peratus sebelumnya.

    Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata kenaikan ini telah menyebabkan kos tersebut akan bertambah menjadi lebih RM30,000, berbanding sebelum ini RM23,000.

    “Jumlah tepat mengenai perkara ini akan diputuskan dalam Kabinet dan diketahui awal tahun hadapan.

    “Sebagaimana kami tegaskan di sini, Tabung Haji akan menanggung sebahagian daripada jumlah kos, namun kita belum putuskan berapa banyak yang akan ditanggung,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada mangsa kebakaran membabitkan 18 keluarga di Jalan Gajah Mati, Kota Bharu di Kelantan, hari ini.

    Mengulas lanjut, Ahmad Marzuk berkata sebelum ini kos sebenar mengerjakan haji adalah RM23,000 namun hanya RM9,980 dikenakan kepada jemaah, dan jumlah itu tidak pernah dinaikkan sejak 2001.

    “Sebaik sahaja kami mendapat jumlah sebenar kos yang dikenakan, kami akan maklumkan kepada bakal jemaah haji yang terpilih,” katanya.


    Dalam perkembangan sama, Ahmad Marzuk berkata mengenai kuota jemaah haji, perkara itu akan diketahui awal tahun depan.

    “Kami akur dengan segala keputusan yang dibuat kerajaan Arab Saudi sama ada mengekalkan kuota sedia ada iaitu 30,000 jemaah atau dikurangkan,” katanya. – Bernama

  • Sedia siasat laporan pekerja asing dipukul polis-Ayob Khan

    Sedia siasat laporan pekerja asing dipukul polis-Ayob Khan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    POLIS sedia menyiasat laporan artikel berita Reuters yang mendakwa seorang bekas pekerja ATA IMS Bhd. didakwa dipukul polis Jun lalu.

    Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya mengambil maklum kejadian tersebut namun sehingga hari ini tiada sebarang laporan polis dibuat.

    “Tiada laporan polis dibuat berkenaan seorang pekerja syarikat tersebut dipukul di balai polis semasa disiasat tentang perkongsian maklumat mengenai keadaan kilang tempatnya bekerja sepertimana dilaporkan.

    “Polis Johor akan menjalankan siasatan sekiranya wujud apa yang dilaporkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Kelmarin Reuters melaporkan, pegawai syarikat berkenaan membawa seorang pekerja warga Nepal ke sebuah balai polis untuk berkongsi maklumat tentang keadaan di kilang berkenaan.

    Pekerja asing tersebut yang bimbang dan takut kemudian melarikan diri dari Malaysia selepas kejadian berkenaan dan pengalaman semasa disoal siasat itu kemudian diceritakan kepada peguam Dyson Manufacturing Sdn. Bhd.

    Reuters sebelum ini melaporkan Dyson Operations Pte Ltd dan Dyson Manufacturing Sdn Bhd telah menamatkan kontrak dengan syarikat penyedia perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS), ATA IMS berikutan audit terhadap amalan buruh yang diterima.

    Menerusi artikel berita itu memaklumkan bekas pekerja ATA IMS itu yang ditemu bual, mendakwa telah dibawa ke balai polis untuk disoal siasat sebelum mendakwa dipukul pihak polis dan insiden tersebut dimaklumkan kepada aktivis sosial.

    Menurut ATA IMS dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada 25 November lepas, Lembaga Pengarahnya mengambil perhatian mengenai artikel berita itu dan rujukan telah dibuat membabitkan penamatan tiga kontrak dengan anak syarikat milik penuhnya, ATA Industrial (M) Sdn Bhd (ATAIM) yang berkuat kuasa 1 Jun 2022 serta audit amalan buruh syarikat.

  • Langgar kereta peronda polis elak ditangkap

    Langgar kereta peronda polis elak ditangkap

    CUBAAN seorang penunggang motosikal untuk melarikan diri daripada ditahan polis gagal apabila terlibat kemalangan di Jalan Lingkaran Tengah 2, Kampung Pasir, Ampang semalam.

    Dalam kejadian pada pukul 11.40 malam, lelaki berkenaan melanggar sebuah kereta peronda polis jenis Proton yang mengejarnya.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kejadian berlaku semasa anggota polis yang memandu kereta peronda itu di Taman Melawati terserempak suspek yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC dalam keadaan mencurigakan.

    Menurutnya, pemandu kereta peronda polis menyalakan lampu ‘beacon light’ sebagai tanda amaran dan mengarahkan penunggang motosikal itu berhenti untuk pemeriksaan.

    “Bagaimanapun lelaki tersebut bertindak melarikan diri dengan menunggang motosikal dalam keadaan berbahaya secara zig zag.

    “Polis terus mengekorinya sejauh 500 meter sebelum dia mengubah haluan secara tiba-tiba dan terus melanggar bahagian hadapan sebelah kanan kereta peronda,” katanya melalui kenyataan, hari ini.

    Mohamad Farouk berkata, akibat pelanggaran itu lelaki tersebut terjatuh di atas jalan dan mengalami kecederaan di bahagian muka serta kepala.

    “Lelaki itu dibawa ke Hospital Ampang untuk rawatan lanjut dan hasil semakan lanjut mendapati dia mempunyai tiga rekod lampau berkaitan kes dadah,” katanya.

    Katanya, orang ramai yang menyaksikan kejadian itu diminta tampil menyalurkan maklumat kepada Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya, Inspektor Navine Gunasegaran di talian 012-6436327.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.