POLIS Singapura sudah menahan seorang lelaki yang memandu sebuah kereta dan merempuh pengawal keselamatan di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Iskandar Puteri, kelmarin sebelum melarikan diri.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kejadian langgar lari itu berlaku pada pukul 4 pagi melibatkan mangsa yang berusia 38 tahun mengalami kecederaan ringan selepas dirempuh kereta Proton Iswara dipandu suspek.
“Siasatan dibuat mendapati suspek bertindak melarikan diri mengikut laluan eksport lori selepas enggan memberikan kerjasama semasa pemeriksaan dijalankan pihak keselamatan.
“Suspek kemudiannya ditahan polis Singapura dan akan diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia setelah proses dokumentasi selesai,” katanya dalam satu kenyataan pada malam tadi.
Katanya, pemeriksaan lanjut dibuat terhadap suspek mendapati suspek tidak memiliki sebarang rekod jenayah lampau.
“Kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 307, Seksyen 186, Seksyen 427 dan Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana cubaan bunuh, menghalang penjawat awam menjalankan tugas, melakukan perbuatan khianat dan ceroboh.
“Suspek yang berusia 47 tahun itu juga akan disiasat 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan melulu dan merbahaya,” ujarnya.
Ketika ini katanya, pihak polis Johor sedang menunggu siasatan polis Singapura sama ada suspek mabuk pada semasa kejadian.
SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan mengurniakan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Yang Kedua, Dato’ Mulia Sultan Ibrahim Johor (DMIJ) kepada empat individu.
Baginda mengurniakan DMIJ yang membawa gelaran Datuk kepada Penasihat Undang-Undang Negeri Johor, Amir Nasruddin; Ketua Polis Negeri Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dan bekas Duta Besar Malaysia ke Bahrain, Agus Salim Yusof.
Pegawai Daerah Kota Tinggi, Hazlina Jalil juga dikurniakan DMIJ yang membawa gelaran Datin Paduka.
Majlis pengurniaan darjah bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Tuanku Sultan berlangsung di Balai Mengadap Istana Bukit Serene, Johor Bahru, hari ini .
Turut hadir Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Sultan Johor turut berkenan mengurniakan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Ketiga Setia Mulia Sultan Ibrahim Johor (SIJ) kepada empat individu.
Penerima SIJ ialah Pegawai Daerah Tangkak, Mohammed Shakib Ali; Pengarah Jabatan Kerja Raya Johor, Abu Bakar Abd. Aziz; Pengarah Perangkaan Johor, Wan Mohd. Shahrulnizam Wan Mohd. Najuri dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Keluarga Jabatan Agama Islam Negeri Johor, Maimunah Othman.
SEORANG ahli perniagaan kerugian RM22,724 selepas diperdaya sindiket pinjaman tidak wujud selepas tertarik dengan satu iklan pinjaman wang dalam Facebook, kelmarin.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa, 39, diperdaya ahli sindiket terbabit selepas melihat iklan tersebut ketika berada di rumahnya di Bandar Kuantan Puteri, Kuantan.
Mohd Wazir berkata, mangsa kemudian berminat untuk membuat pinjaman sebanyak RM60,000 selepas berhubung dengan ejen pinjaman dikenali Jennifer.
“Selepas itu, mangsa mengemukakan dokumen seperti diminta iaitu penyata gaji dan salinan kad pengenalan untuk proses pinjaman kepada suspek.
“Pada Sabtu lalu, mangsa diberitahu oleh suspek bahawa wang pinjamannya tergendala disebabkan mangsa mempunyai komitmen yang tinggi.
“Susulan itu, mangsa diminta untuk berurusan dengan Anson Chee bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi. Selepas menghubungi Anson Chee, mangsa diminta untuk melakukan pembayaran sebelum pinjamannya boleh diluluskan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mohd. Wazir berkata, mangsa kemudian membuat sebanyak 12 transaksi pembayaran ke dalam enam akaun bank diberikan suspek berjumlah RM22,724.
Beliau menjelaskan, suspek masih meminta mangsa membuat pelbagai pembayaran bagi membolehkan pinjaman RM60,000 diluluskan, namun mangsa enggan berbuat demikian.
“Mangsa tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan semalam selepas merasakan dirinya ditipu.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.
Kira-kira 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini berhimpun di depan Wisma Darul Aman di Alor Setar bagi menyatakan sokongan terhadap kerajaan negeri berhubung langkah untuk tidak lagi mengeluarkan lesen judi selain mengehadkan penjualan arak.
Menerusi himpunan yang dimulakan kira-kira pukul 11.15 pagi itu, kalangan NGO tersebut turut menyampaikan memorandum sokongan kepada wakil Menteri Besar bagi menyuarakan hasrat masing-masing agar kerajaan negeri tidak berganjak dengan keputusan tersebut.
Menurut Presiden Skuad Badar, Azhar Mohamad, kalangan NGO tersebut menyambut baik langkah kerajaan selain bersedia mempertahankan tindakan sekiranya mendapat tentangan daripada mana-mana pihak.
“Sokongan kami cukup padu untuk kerajaan negeri dalam hal ini. Jika kami tidak menyokong, itu bermakna kami reda dengan judi dan arak ini sedangkan dua perkara itu terlalu banyak membawa kerosakan kepada masyakat termasuklah kehancuran rumah tangga.
“Jadi dalam memorandum ini kami tegaskan bahawa kerajaan negeri perlu kekal konsisten dan sama sekali tidak menarik balik keputusan tersebut. Kami mahu Kedah bebas daripada dua kerosakan ini dan harap-harap negeri lain juga dapat menuruti langkah yang sama,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyerahkan memorandum tersebut kepada Ketua Pegawai Khas Menteri Besar, Zulkifli Yahya.
Selain Skuad Badar, antara NGO lain yang turut menyertai himpunan tersebut adalah Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (PEKIDA), Warisan Pendekar Negeri Kedah serta Sirah Malaysia.
Sementara itu Setiausaha Majlis Ayahanda Pekida Malaysia, Datuk Seri Yaacob Hassan berkata, umat Islam di negeri ini sewajarnya memberi sokongan tidak berbelah bahagi terhadap langkah tersebut.
“Ini langkah yang perlu diambil bagi memastikan negeri ini terus aman dan makmur. Kami yakin usaha ini mampu membantu rakyat hidup dalam keadaan lebih aman dan damai,” katanya.
Dalam pada itu Zulkifli memaklumkan, langkah kerajaan negeri itu setakat ini mendapat sokongan padu daripada umat Islam dari semua peringkat.
“Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor amat menghargai sokongan tersebut. Meski pun begitu, cabarannya tetap ada dengan beberapa pihak ketika ini sudah mengambil langkah untuk menyaman kerajaan negeri.
“Alhamdulillah, Muhammad Sanusi bagaimanapun terus konsisten untuk mempertahankan perkara ini dan menegaskan yang beliau sama sekali tidak gentar berdepan saman. Kita harap sokongan sebegini berterusan demi kebaikan semua agar judi dan arak ini dapat dibendung,” katanya.
Tiga lelaki tempatan ditahan di Kedah kerana bertindak sebagai ‘transporter’ bagi membawa masuk 17 pendatang asing tanpa izin (PATI), kelmarin.
Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Mohd Roze Shaari berkata, penahanan tiga lelaki itu bersama kesemua PATI tersebut dilakukan di Plaza Tol Hutan Kampung, arah selatan kira-kira pukul 9.30 pagi, Jumaat lalu.
“Tiga lelaki tempatan itu didapati memandu tiga kenderaan tersebut yang membawa 212 perempuan dan lima lelaki warganegara Myanmar.
“Kesemua PATI tersebut yang berusia 21 hingga 44 tahun didapati tidak memiliki dokumen perjalanan sah dengan kesemua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Tambahnya, ketiga-tiga lelaki tempatan tersebut dipercayai ditawarkan upah sebanyak RM200 oleh ejen untuk setiap PATI yang dibawa mereka.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Manusia dan Anti Pemerdagangan Migran 2007 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963.
“Tangkapan kini direman di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2021 (Sosma).
Dengan iringan beberapa alat muzik lain seperti serunai, nobat, gong, gendang ibu dan gendang anak, raja tersebut lalu menyanyi…
“Royat hilang, timbul berita, timbul nak royat satu raja di sebuah negeri…”,
Begitulah petikan baris pertama lagu yang terdapat dalam permainan makyong sebelum diteruskan dengan cerita yang hendak dibawa menerusi sesuatu persembahan.
Dalam permainan makyong, intro (permulaan) cerita itu dikatakan perlu bagi mengelakkan berlaku perkara tidak diingini.
Maka itu, mana-mana kumpulan yang ingin mengadakan persembahan makyong akan melakukan acara ‘buka panggung’ terlebih dahulu dengan membaca ‘mentera” atau bacaan tertentu disamping menabur beras kunyit di sekelilingnya.
Selepas Sang Raja iaitu watak utama menghadap rebab, ianya diteruskan dengan acara atau segmen dinamakan ‘dua penyanyi sedayu makyong’, ‘menyanyi kijang emas’, ‘menziarahi bilik pengasuh’ dan “menyanyi kisah pakyong muda’.
Kemudian ia diteruskan pula dengan segmen ‘lawak jenaka’, ‘sedayung perang’ dan ‘lagu sedara’.
Demikianlah serba ringkas segmen-segmen atau bahagian yang terdapat dalam permainan makyong yang akan dipersembahkan oleh sesebuah kumpulan sepertimana pernah diceritakan oleh seorang pengkaji dan penyelidik makyong di Terengganu, Tengku Ismail Su (kini Allahyarham) kepada penulis beberapa tahun lalu.
Menurut Tengku Ismail, dalam permainan makyong, watak utama yang diangkat ialah seorang raja di samping dua orang ‘tukang lawak’ dengan karakter lucunya bagi menghilangkan rasa bosan dalam kalangan penonton.
Malah, suatu ketika dahulu, cerita dalam persembahan makyong mengambil masa agak lama untuk dihabiskan sehingga satu minggu dan ada juga sehingga tiga bulan seperti cerita ‘Dewa Muda’, ‘Raja Gondang’ dan ‘Raja Besar’.
“Sebab itulah ketika dahulu permainan makyong sentiasa mendapat tempat dalam kalangan masyarakat di mana mereka sanggup menonton hingga pagi dan persembahan dilakukan secara bersambung seperti segmen drama swasta yang disiarkan menerusi kaca televisyen sekarang ini,’katany
Hal ini disebabkan penonton ingin mengetahui kesudahan atau pengakhiran ceritanya”ujar Tengku Ismail.
Bagaimanapun sekarang ini penulis perhatikan permainan makyong seakan tidak lagi mendapat tempat dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda.
Ini kerana, selain banyak hiburan moden disajikan kepada anak-anak muda, faktor kerajaan negeri Terengganu tidak membenarkan persembahan kesenian yang mengandungi unsur-unsur ritual dan perbomohan meletakkan makyong bakal melalui zaman gelap.
Apakah permainan makyong akan terus hilang dan lenyap di bumi Terengganu, ditenggelami hiburan lebih moden dan juga keterbatasan aktiviti persembahan yang disekat?.
Ketika dahulu Terengganu pernah memunculkan nama-nama pemain makyong seperti Jusoh Muda, Mek Yam Abdullah, Idris Mamat, Tawang Mahmud dan Wahid Ali.
Tiga tahun lalu, hanya terdapat dua kumpulan di bawah Majlis Kebudayaan Daerah Besut masih aktif mengadakan persembahan termasuk di program Pekan Budaya, Pesta Pantai dan KT Walk.
PKR ‘dinasihatkan’ untuk tidak ‘membuang masa dan tenaga’ membicarakan isu agihan kerusi Pakatan Harapan (PH) yang didakwa mereka sebagai tidak sah.
Sebaliknya, Pengerusi DAP Sarawak, Chong Cheng Jien menasihatkan PKR negeri itu memberi fokus penuh kepada 47 kerusi yang akan mereka tandingi di bawah persetujuan bersama dan berusaha memenangi sebanyak mungkin kerusi.
“Jangan bazirkan masa dan tenaga yang berharga untuk merebut kerusi hingga terlupa matlamat untuk menang dalam perang menentang GPS (Gabungan Parti Sarawak),” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
‘Nasihat’ Cheng Jien itu rentetan kenyataan, PKR Sarawak yang mendakwa perjanjian rundingan kerusi PH negeri itu terbatal dan tidak sah kerana dikatakan dibuat di antara DAP dengan bekas pengerusi PKR, Larry Sng, dan tidak mendapat persetujuan akar umbi.
PKR juga mendakwa mereka telah cuba merundingkan pengagihan kerusi untuk menghadapi PRN tidak lama lagi namun ditolak DAP Sarawak.
Terdahulu, pada 2 Januari lalu, PH Sarawak bersetuju agar PKR bertanding di 47 kerusi, manakala DAP 26 dan Amanah di sembilan yang lain.
Perjanjian itu ditandatangani oleh Larry, Cheng Jien dan Pengerusi Amanah Sarawak, Abang Abdul Halil Abang Naili.
Pun begitu, pada Februari, Larry melompat meninggalkan PKR untuk menjadi Ahli Parlimen bebas yang mesra Perikatan Nasional (PN).
Kata Cheng Jien, persetujuan di antara ketiga-tiga parti berkenaan didahului dengan banyak pusingan rundingan dan bukan sekadar melibatkan Larry.
Malah, jelas beliau selanjutnya, turut kerap dihadiri beberapa ahli jawatankuasa negeri dari PKR, seperti Joshua Jabeng dan Abang Zulkifli Abang Engkeh yang kini memangku jawatan Pengerusi PKR Sarawak.
“Pada hari tersebut, Larry menandatangani (persetujuan) bagi pihak jawatankuasa PKR negeri, yang ramai juga hadir. Itu merupakan keputusan jawatankuasa negeri secara keseluruhan, bukan keputusan Larry seorang.
“Hanya kerana Sng kemudian meninggalkan PKR, ia tidak bermaksud semua keputusan terdahulu terbatal dan harus dikaji semula.
“Bukan begitu caranya (dalam) perjanjian. Ia perjanjian di antara parti dengan parti, perubahan seorang pemegang jawatan tidak memberi kesan kepada kesahihan perjanjian itu. Di pihak kami pun (DAP Sarawak) telah mengalah dalam beberapa kerusi bagi mencapai perjanjian pada 2 Januari itu,” katanya lagi.
Cheng Jien sebelum ini mengumumkan calon DAP untuk 18 kerusi yang bakal ditandingi mereka, termasuk di Kemena, Senadin, Pujut dan Piasau.
PKR Sarawak sebelum ini meminta untuk bertanding di empat kerusi tersebut, tetapi DAP ‘enggan terlibat dalam sebarang rundingan’.
PEJABAT Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) Pulau Pinang mengeluarkan lapan notis pengesahan maklumat barangan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 kepada pengimport, pengeksport dan pemborong sayur sejak Rabu lalu.
Notis itu dikeluarkan supaya pihak terbabit memberikan maklumat berkenaan kenaikan harga sayur-sayuran seperti yang dilaporkan berlaku sejak kebelakangan ini.
Menurut Pengarah PPDNHEP Pulau Pinang, Mohd. Ridzuan Ab. Ghapar, pemeriksaan pihaknya mendapat sekurang-kurangnya tiga jenis sayur mengalami kenaikan harga di Pulau Pinang ketika ini.
Jelasnya, sayur-sayuran itu adalah kacang buncis yang dijual pada harga antara RM15-RM17 sekilogram ketika ini berbanding RM12-RM14 sebelum ini.
Turut menyaksikan kenaikan harga katanya, adalah sayur kubis bulat import daripada RM4-RM5 sekilogram kepada RM5-RM7 serta sekilogram, cili akar merah daripada RM13-RM15 kepada antara RM15-RM20.
“Berdasarkan pemeriksaan yang dilakukan pada 22 November sehingga semalam di pasar awam, didapati terdapat beberapa jenis sayuran yang mengalami kenaikan harga dan ada beberapa jenis sayuran yang mengalami penurunan harga.
“Bagaimanapun, harga sayuran di pasar raya adalah jauh lebih murah jika dibandingkan dengan harga yang ditawarkan di pasar awam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Notis dikeluarkan PPDNHEP kepada pengimport, pengeksport dan pemborong sayur sejak Rabu lalu
Menurut Mohd. Ridzuan, secara keseluruhan pihaknya mengeluarkan sebanyak 46 notis pengesahan maklumat barangan dan lima notis bertulis di bawah seksyen sama kepada peniaga sayuran di negeri itu sepanjang tahun ini.
Jelasnya, selain pemeriksaan oleh anggota penguat kuasa PPDNHEP, sebanyak 186 jenis barangan turut dipantau secara harian oleh Pegawai Pemantau Harga yang merangkumi 41 premis pasar serta 31 pasar raya super dan hiper terpilih di seluruh negeri itu.
Dalam perkembangan sama ujar beliau, Seksyen Penguatkuasa PPDNHEP Pulau Pinang sepanjang tahun ini telah melakukan sebanyak 47,578 pemeriksaan berkaitan harga barang.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 373 kes dihasilkan di bawah Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan 2011 yang melibatkan kompaun sebanyak RM46,850.
“Selain itu, sebanyak 374 notis pengesahan maklumat barangan dan 139 notis bertulis di bawah seksyen sama telah dikeluarkan kepada peniaga bagi mendapatkan maklumat kenaikan harga barangan,” katanya.
Tambah beliau, sepanjang tahun ini juga, sebanyak 237 aduan melibatkan harga diterima pihaknya dengan 133 daripadanya melibatkan harga barang yang mahal.
Daripada aduan harga tersebut katanya, sebanyak 26 kes telah dibuka untuk tindakan.
“Kita sentiasa mengambil berat berhubung isu harga barang ini dan sentiasa memberi komitmen penuh dalam memantau dan membuat pemeriksaan ke atas harga barangan bagi memastikan kepentingan pengguna sentiasa dilindungi.
“Bagi mengekang manipulasi harga, pemeriksaan akan terus dipergiatkan dan diberikan tumpuan khusus oleh pegawai-pegawai penguat kuasa,” katanya.
Dalam masa sama, beliau menasihatkan pengguna untuk membuat pilihan yang bijak apabila berbelanja dan menyarankan menggunakan aplikasi ‘price catcher’ bagi membuat perbandingan harga sebelum pembelian sesuatu barang dibuat.
PRESIDEN Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menafikan dakwaan ‘mengintai’ kerusi Parlimen di Johor untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Namun Ahli Parlimen Port Dickson itu menganggap masih terlalu awal untuk beliau memutuskan bertanding di kerusi mana dalam PRU-15.
“Yaka? Di mana? Simpang Renggam dia (Dr. Maszlee Malik) tidak bagi tapi seperti mana biasa ini terlalu awal.
“Mereka baca (nampak) sebab saya datang ke sini di Kluang dan Simpang Renggam. Saya tidak kata tidak, tapi saya tak tahu,” katanya ketika ditemui selepas Program Jelajah Presiden PKR di Kampung Baru Machap, Simpang Renggam, Kluang, hari ini.
Terdahulu, Anwar menerima borang keahlian PKR daripada Dr. Maszlee dan 500 ahli baharu ke dalam Cabang Simpang Renggam di Dewan itu.
Sebelum ini, terdapat ura-ura Ketua Pembangkang itu mungkin akan bertanding di Parlimen Batu Pahat, Tebrau atau Segamat yang kini disandang bekas wakil rakyat PKR yang melompat ke parti lain.
Mengenai kemasukan Maszlee ke dalam PKR yang diumum secara rasmi hari ini, Anwar berkata, kemasukan Ahli Parlimen Simpang Renggam itu memberi suntikan baharu yang sangat bermakna kepada parti.
“Beliau mewakili barisan golongan muda yang boleh memperkuatkan lagi kedudukan parti,” katanya.
Ketika ditanya adakah itu memberi bayangan awal Maszlee akan mempertahankan kerusi Simpang Renggam di bawah tiket PKR, Anwar berkata, perbincangan ke arah itu akan dilakukan selepas ini.
“Soal kerusi belum lagi kita bincang tapi tentulah kenyataan beliau diambil kira tentang prestasinya sebagai antara Ahli Parlimen yang banyak turun ke bawah dan prestasi ketika menjadi menteri yang saya percaya akan diberi pertimbangan,” katanya.
PAKATAN Harapan (PH) tidak boleh lagi terus menamakan Anwar Ibrahim sebagai satu-satunya calon perdana menteri bagi gabungan itu selepas kalah teruk pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka minggu lalu, kata Anthony Loke.
Tumpuan PH kini sebaliknya perlu lebih kepada agenda reformasi, bukan semata-mata tentang mencalonkan Anwar sebagai perdana menteri, menurut setiausaha organisasi kebangsaan DAP itu kepada The Malaysian Insight.
“Dan PH perlu terbuka untuk menerima sekutu baharu, selagi mana parti itu bersedia menyokong agenda reformasi,” tambahnya.
Beliau juga berkata sudah tiba masanya kedudukan Anwar sebagai ketua pembangkang dan presiden PKR dikaji semula.
PH terdiri daripada PKR, DAP, Amanah dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).
Gabungan itu hanya menang lima daripada 28 kerusi DUN yang ditandingi dalam PRN Melaka, iaitu empat dari DAP dan Amanah satu kerusi. PKR tewas di semua 11 kerusi.
Barisan Nasional menang besar apabila menyapu 21 daripada 28 kerusi, sekali gus membolehkannya membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga, manakala Perikatan Nasional menang dua kerusi.
Loke seterusnya berkata PH perlu berhenti mengulangi pendirian bahawa tiada pemimpin lain yang berwibawa untuk menggantikan Anwar.
“Jika tidak, PH akan menemui jalan buntu. PH perlu meneroka hala tuju baharu.”
Bekas menteri pengangkutan itu berkata demikian pada forum bersama penganalisis politik Dr Wong Chin Huat dan Dr James Chin pada Khamis.
Loke bagaimanapun berkata pandangan itu bukanlah pendirian rasmi DAP tetapi hanya pendapat peribadi beliau.
“Perkara ini perlu diputuskan Anwar sendiri, dan saya berpendapat beliau perlu diberi masa untuk menimbang langkah seterusnya,” kata ahli Parlimen Seremban itu.
Gesaan supaya Anwar berundur mula timbul sejak keputusan PRN Melaka diumum Sabtu lalu. Adun Bilut Lee Chin Chen juga dari DAP, pada Isnin menyeru Anwar berundur sebagai ketua pembangkang dan menggesa PH meneroka hala tuju baharu secepat mungkin.
Mengulas gesaan itu, dua lagi pemimpin DAP memberitahu The Malaysian Insight isu tersebut masih belum dibincangkan parti.
“Perkara ini bukan sahaja dihadapi PH tetapi juga Barisan Nasional.
“Ramai pengikut kami beritahu mereka mahukan generasi lama digantikan dengan pemimpin muda kerana mereka sudah muak. Mereka mahu calon yang lebih muda memimpin negara.”
Sementara itu, seorang lagi pemimpin parti itu mengesahkan isu mengenai pengganti Anwar belum dibincangkan lagi.
“Bagaimanapun, kami terbuka dalam hal ini. PH perlu meneroka kemungkinan lain,” katanya.