Author: Admin

  • Op Benteng:45 Pati Indonesia ditahan

    Op Benteng:45 Pati Indonesia ditahan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SERAMAI 45 pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Indonesia ditahan dalam tiga siri tangkapan Op Benteng di Teluk Punggai, Kota Tinggi semalam dan hari ini

    Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia Angkatan Tentera Malaysia dalam satu kenyataan memberitahu, kesemua 45 PATI tersebut yang terdiri daripada 33 lelaki dan 12 wanita berusia lingkungan 17 hingga 56 tahun.

    Menurut kenyataan itu, Radar Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA) telah mengesan pergerakan bot yang mencurigakan menghala ke arah Teluk Punggai pada pukul 8 malam.

    Katanya, anggota petugas Pos Pemerhati juga turut mengesan pergerakan bot yang mencurigakan di perairan tersebut serta mengesan kelibat orang sedang menuruni bot menuju ke arah pantai sekitar jam 9.30 malam.

    Seramai 30 PATI dipercayai baru saja tiba ke negara ini melalui jalan yang tidak sah

    “Hasil serbuan yang dilakukan pada pukul 11 malam, Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia telah berjaya menangkap seramai 30 PATI dipercayai baru saja tiba ke negara ini melalui jalan yang tidak sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut kenyataan itu lagi, Pasukan Tindakan Pantas (QRF) bersama-sama pasukan Angkatan Tentera Malaysia telah diaturgerakkan bagi menjejaki dan mencari kemungkinan saki baki PATI yang masih bersembunyi.

    Katanya, pasukan QRF telah berjaya menangkap tujuh lagi PATI berhampiran kawasan tangkapan pertama dan lapan lagi PATI turut ditahan sekitar pukul 11 pagi.

    “Kesemua mereka telah dibuat saringan Covid-19 di Pos Tanjung Sepang. Hasil ujian saringan mendapati kesemuanya negatif Covid-19.

    Kesemua 45 PATI tersebut yang terdiri daripada 33 lelaki dan 12 wanita berusia lingkungan 17 hingga 56 tahun

    “Mereka akan diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia Setia Tropika, Kempas. Laporan Polis telah dibuat di Balai Polis Bayu Damai.

    “Hasil penahanan kesemua suspek, sejumlah wang tunai RM2,838.70 dan matawang rupiah 38.1 juta (RM 11,316.54), beberapa matawang asing yang lain, 38 buah telefon bimbit serta barangan perhiasan turut dirampas.

    “Pasukan meneruskan atur gerak pasukan QRF dan pasukan Dron ATM dan dibantu pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi menjejak kemungkinan saki baki PATI di sekitar kawasan tangkapan,” ujarnya.

  • ‘Talent scout’ pastikan pegawai dan anggota polis benar-benar layak

    ‘Talent scout’ pastikan pegawai dan anggota polis benar-benar layak

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SATU pasukan pencari atau ‘talent scout’ dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu ditubuhkan bagi memastikan pengambilan pegawai dan anggotanya pada masa depan merupakan mereka yang benar-benar layak, berminat dan terbaik.

    Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, cadangan itu sebagai persiapan dalam menyedia dan memastikan kualiti perhidmatan PDRM setaraf di peringkat antarabangsa malah menjadi contoh kepada dunia.

    Malah, langkah itu juga mampu mengelak polis hanya dijadikan kerjaya pilihan terakhir bagi sesetengah individu.

    “Asas utama kekuatan PDRM adalah anggotanya, kalau kita hendak pertingkat sudah tentu kita perlu tarik minat mereka untuk bersama-sama dengan PDRM, biar yang memohon sebagai pegawai atau anggota adalah mereka yang terpilih.

    “Saya minta kalau boleh, ada ‘talent scout’ diwujudkan oleh PDRM dan dimulakan di peringkat sekolah menengah. Kita mahu mereka yang benar-benar mahu menjadi polis, bukan lagi mereka yang melihat kerjaya ini sebagai pilihan terakhir.

    “Melalui ‘talent scout’ ini, saya yakin pengambilan anggota boleh ditambah baik dengan mengambil kira aspek modal insan melibatkan ‘soft skills’, ’emotional intelligence’ dan ‘tech savvy’, ini yang kita mahu,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Projek Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri, hari ini.

    Turut hadir, Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR), Datuk Ir. Mohamad Zulkefly.

    Hamzah berkata, selain cadangan itu termasuk pembangunan aspek fizikal dan infrastruktur, tumpuan juga perlu diberikan terhadap aspek latihan buat pegawai dan anggota polis di negara ini.

    “Latihan yang hendak diberi itu perlulah latihan yang boleh bersaing dengan polis luar negara, kita mahu PDRM menjadi setaraf dengan polis ‘Scotland Yard’ atau polis Hong Kong yang biasa kita dengar kisah kejayaan mereka.

    “Saya percaya dengan kepimpinan Ketua Polis Negara, kita akan mampu mempertingkatkan PDRM ke satu taraf membanggakan di peringkat dunia,” katanya.

  • Projek HSR ditimbang diadakan semula

    Projek HSR ditimbang diadakan semula

    PERDANA Menteri Singapura Lee Hsien Loong berkata, republik itu terbuka menerima cadangan baharu dari Malaysia berkaitan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura walaupun kedua-dua negara itu sebelum ini telahpun bersetuju untuk menamatkan projek tersebut.

    Lee berkata, Kementerian Pengangkutan dari kedua-dua negara akan membincangkan perkara tersebut dan Singapura berharap menerima butiran lebih terperinci dari Malaysia.

    “Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) mencadangkan perbincangan mengenai HSL dihidupkan semula dan saya menjawab bahawa Singapura dan Malaysia telah mencapai persetujuan sebelum ini untuk menamatkan projek HSR, dan ini telah diselesaikan secara baik.

    “Bagaimanapun, Singapura terbuka menerima cadangan baharu dari Malaysia mengenai projek HSR dan kementerian pengangkutan kedua-dua negara akan membincangkan perkara itu. Singapura berharap menerima butiran lebih terperinci dari Malaysia agar kami boleh mengkajinya dan menimbangkan sekali lagi perkara itu,” katanya.

    Lee berkata demikian pada sidang media bersama Ismail Sabri hari ini yang juga disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook rasmi beliau.

    Sidang media bersama itu diadakan bersempena dengan pelancaran Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin jalan darat (VTL-Darat) di Singapura.

    Pada 1 Jan 2021, Malaysia dan Singapura mengumumkan bersama penamatan projek HSR apabila kedua-dua negara gagal mencapai persetujuan bagi perubahan yang dicadangkan Malaysia sebelum perjanjian projek itu luput pada 31 Disember 2020.

    Pada Mac tahun ini, Malaysia mengumumkan ia membayar SG$102.8 juta (SG$1=RM3.09) kepada Singapura bagi kos yang ditanggung bagi pembangunan projek HSR dan berkaitan dengan pelanjutan penangguhannya.

    Sementara itu, mengenai projek Laluan Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura, Lee berkata, pembinaan projek itu sedang berjalan dan kedua-dua negara berharap sistem itu dapat memulakan perkhidmatan penumpangnya menjelang akhir 2026.

    Laluan RTS itu adalah projek kereta api rentas sempadan sepanjang empat kilometer yang menghubungkan antara terminal stesen Woodlands North di Singapura dan terminal stesen Bukit Chagar di Johor Bahru.

    Ia akan menyokong kapasiti kemuncak 10,000 penumpang sejam di kedua-dua arah.

  • Nilai semula tawaran PN kepada anak muda, penjawat awam-Armada

    Nilai semula tawaran PN kepada anak muda, penjawat awam-Armada

    ANGKATAN Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan menjadikan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sebagai rujukan termasuk menilai semula tawaran kepada anak muda dan penjawat awam yang dibuat sebelum ini.

    Ketuanya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, ini bagi memastikan sama ada tawaran itu memenuhi kehendak mereka atau sebaliknya.

    “Kita akan lihat semula soal kebajikan rakyat dan ia sudah diperhalusi jawatankuasa Armada pusat yang akan membuat pengumuman mengenainya dalam masa terdekat.

    “Armada sudah lakukan post-morterm di peringkat sayap parti, tidak ada apa-apa yang serius melainkan kelemahan jentera di PRN Melaka, kita akan perbaikinya,” katanya.

    Menurutnya, Armada dalam konteks Perikatan Nasional (PN) perlu lebih memahami denyut nadi rakyat khususnya membabitkan kestabilan politik serta perkara asas seperti ekonomi dan kebajikan.

    Beliau yang juga Timbalan Menteri Perpaduan Negara berkata, perkara sama juga diingatkan kepada jentera parti pada Persidangan Bahagian Bersatu Titiwangsa baru-baru ini dan menjadi titik tolak kepada perubahan gerak krja yang lebih mantap.

    “Di peringkat Pusat, kita lakukan bedah siasat punca kekalahan di Melaka serta untuk tidak mengulanginya adalah dengan terus memperkukuh hubungan bersama rakan-rakan parti komponen dalam PN sama ada di peringkat negeri, bahagian mahupun cawangan,” katanya.

  • Dua polis tak mengaku rasuah babit kes air ketum

    Dua polis tak mengaku rasuah babit kes air ketum

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    DUA anggota polis mengaku tidak bersalah Mahkamah Sesyen, Johor Bahru hari ini selepas dihadapkan atas tiga pertuduhan rasuah termasuk menerima suapan sebanyak RM4,500, pada Mac tahun lalu.

    Anggota berpangkat Lans Koperal Farid Rosni, 35, dan Konstabel Clinton Kudang Gangga, 29, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal.

    Mereka didakwa meminta suapan wang tunai RM10,000 daripada Muhammad Amirul Hafiz Azmi, 23, sebagai dorongan untuk melepaskan pemuda itu dan rakannya yang ditahan kerana memiliki air ketum.

    Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Melayu, Pandan, Johor Bahru, pada pukul 6.30 petang, 10 Mac tahun lalu.

    Atas kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntuk penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

    Sementara bagi pertuduhan kedua, mereka berdua didakwa bersetuju menerima suapan RM4,500 daripada Muhammad Amirul sebagai dorongan melepaskan Muhammad Amirul dan rakannya pada pukul 9.45 malam di lokasi dan tarikh yang sama.

    Bagi pertuduhan ketiga yang turut dilakukan di tempat dan tarikh tersebut pada pukul 10 malam, Farid dan Clinton didakwa memperoleh suapan wang tunai RM4,500 daripada Rafsanjani Rosli, 33, sebagai dorongan melepaskan Muhammad Amirul dan rakannya.

    Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, mereka didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan denda mimimum lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000 masing-masing mengikut mana yang lebih tinggi.

    Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa SPRM, Nur Mahirah Mohd. Pauzi, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Chuah Shyue Chien dan Muhammad Faizuddin Abd. Ra’fik.

    Nur Mahirah menawarkan jaminan masing-masing RM20,000 terhadap tertuduh.

    Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin masing-masing RM5,000 dan seorang penjamin serta menetapkan 28 Disember ini sebagai tarikh sebuatan semula kes dan serahan dokumen.

  • Petugas Parlimen maut akibat Covid-19

    Petugas Parlimen maut akibat Covid-19

    SEORANG petugas Parlimen yang berusia 54 tahun disahkan meninggal dunia akibat Covid-19 di Hospital Kuala Lumpur (HKL) semalam.

    Pengarah Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (JKWPKL&P), Datuk Dr Param Jeeth Singh Pakar Singh berkata, lelaki berkenaan mula mengalami gejala demam dan batuk pada 3 November lalu.

    “Dia telah melakukan ujian saringan RT-PCR pada 8 November dengan nilai kitaran ambang (CT value) 17.4 sebelum diarahkan ke pusat penilaian Covid-19 (CAC) bagi penilaian klinikal dan seterusnya rawatan susulan jika berkaitan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Dr Param berkata, sehari selepas itu, lelaki berkenaan hadir ke CAC Dewan Komuniti Bukit Bandaraya, Bangsar dengan memaklumkan mengalami sesak nafas.

    “Penilaian klinikal menunjukkan status Covid-19 kes adalah kategori empat dan beliau dengan segera telah dirujuk ke HKL dan dimasukkan ke wad untuk rawatan lanjut.

    “Siasatan pergerakan kes mendapati pergerakan lelaki berkenaan sebelum ini hanya meliputi tempat kerja dan rumah sahaja. Dia tidak terlibat dengan perjumpaan bersama ahli perwakilan Parlimen dalam tempoh dua minggu sebelum beliau bergejala.

    “Malah dia juga sudah tidak hadir bekerja sejak mula mengalami gejala dan hari terakhir hadir ke pejabat adalah pada 3 November,” ujarnya.

    Dalam pada itu, beliau berkata, JKWPKL&P telah mengenal pasti empat individu yang menjadi kontak rapat melibatkan dua di rumah dan dua di tempat kerja.

    “Kesemua mereka telah menjalani kuarantin sebaik sahaja dikenal pasti. Siasatan juga masih dijalankan bagi mengenalpasti punca kes mendapat jangkitan.

    “Jabatan ini bersimpati dengan kejadian ini dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa,” katanya.

  • Bekas pengurus ladang mengaku tidak bersalah terima rasuah

    Bekas pengurus ladang mengaku tidak bersalah terima rasuah

    BEKAS Pengurus Ladang Tabung Tentera Terengganu tidak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terenganu hari ini atas enam pertuduhan menerima suapan berjumlah RM27,500 untuk kerja-kerja pembekalan di Ladang Tabung Tentera Terengganu, Kemaman, enam tahun lalu.

    Tertuduh, Sauddin Che Lamin, 57, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dazuki Ali.

    Sauddin didakwa menerima suapan wang berjumlah RM27,500 daripada Tham Mun Hing untuk terus memilih Syarikat TP Parts & Machinery dan Syarikat SS Terus Jaya Enterprise bagi membuat pembekalan barangan kepada Ladang Tabung Tentera Terengganu, Kemaman, antara Julai hingga Disember, enam tahun lalu.

    Sinar Harian melaporkan, Sauddin didakwa mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama.

    Kesalahan itu membawa penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Ikhwan Zaudii Nordin, manakala tertuduh diwakili peguam, Datuk Syed Azimal Amir Syed Abu daripada Tetuan Sharif Ridzuan & Co.

    Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM14,000 dengan seorang penjamin.

    Hakim kemudian memerintahkan tertuduh melaporkan diri ke pejabat SPRM setiap 1 hari bulan setiap bulan dan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.

    Ramai belia makan rasuah demi hidup mewah Mahkamah menetapkan sebutan semula kes berkenaan pada 3 Januari tahun depan untuk serahan dokumen.

  • Kes pertama positif COVID-19 VTL Malaysia-Singapura dikesan – Khairy

    Kes pertama positif COVID-19 VTL Malaysia-Singapura dikesan – Khairy

    SATU kes positif COVID-19 dikesan di pintu masuk Malaysia pada hari pertama Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) antara Malaysia dan Singapura, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

    Beliau berkata maklumat itu diterima pagi tadi daripada pintu masuk antarabangsa Tambak Johor, iaitu satu kes positif dari ujian RTK-Antigen yang dikesan ketika ujian saringan semasa ketibaan.

    “Perkara ini sedang disemak melalui ujian pengesahan secara RT-PCR. Kita hendak uji melalui RT-PCR bagi mengesahkan keputusan ujian yang dibuat melalui RTK-Antigen,” katanya pada sidang media selepas Majlis Apresiasi Petugas COVID-19 Institut Kesihatan Negara, hari ini.

    Katanya, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Johor Bahru kini sedang membuat penilaian risiko terhadap penumpang bas yang bersama individu dikesan positif tersebut, sama ada mereka diperlukan menjalani kuarantin dan sebagainya.

    “Walaupun ada satu kes saya tidak menganggap ini sebagai satu yang boleh menggagalkan VTL ini sebaliknya adalah satu contoh bagaimana ujian saringan pra-ketibaan dan saringan semasa ketibaan serta semua adalah langkah pencegahan perlu kita adakan. Bukan bermaksud kita kena batalkan VTL kerana satu kes (positif).

    “Akan ada kes-kes positif, tapi yang penting adalah dari segi keupayaan dan keperluan diagnosis kita serta penilaian risiko yang dibuat PKD apabila kes seperti ini berlaku,” katanya.

    Khairy berkata hari ini adalah hari penting kepada Malaysia dan Singapura, jiran paling hampir kepada kedua-dua negara untuk membuka sempadan dengan selamat.

    “Petang nanti apabila kita dah ada maklumat lanjut, kita akan keluarkan kenyataan mengenai status VTL yang bermula hari ini,” katanya. – Bernama

  • Empat penguat kuasa ditahan terlibat samun barang kes

    Empat penguat kuasa ditahan terlibat samun barang kes

    EMPAT penguat kuasa antara tujuh yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes samun di tempat penyimpanan barang kes di Dengkil Sepang pada Rabu lalu.

    Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, kesemua tangkapan berusia 25 hingga 49 tahun itu ditahan di Shah Alam dan Sepang pada hari sama.

    “Hasil soal siasat empat lelaki penguat kuasa itu, kita berjaya menahan tiga lagi individu lain termasuk seorang lelaki berperanan sebagai orang tengah selaku pengantara ‘orang dalam’ dengan kumpulan penjenayah tersebut,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, hari ini.

    Pihaknya tidak menolak kemungkinan ada kebocoran maklumat daripada ‘orang dalam’ agensi penguatkuasaan memaklumkan barang kes jenis arak yang berada di lokasi tersebut.

    “Dalam kejadian pukul 2.30 pagi itu, seramai tiga lelaki menggunakan sebuah lori menyamun barang kes berkenaan dan suspek turut mengikat pengawal keselamatan.

    “Kumpulan penjenayah itu mengambil masa kira-kira dua jam untuk menyamun barang kes ke dalam sebuah lori,” katanya.

    Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya berjaya menjumpai sebuah lori yang digunakan kumpulan penjenayah itu di Shah Alam dan merampas 234 kotak arak di dalam lori terbabit.

    “Selain itu, kita turut merampas dadah jenis pil captagon seberat dua kilogram, 47 biji pil erimin 5 dan kokain 4.9 gram bernilai RM559,899 serta wang tunai RM111,100 dalam sebuah kereta milik salah seorang anggota penguat kuasa berbabit,” katanya.

    “Kita masih mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan,” jelasnya.

  • Tiga pelajar tahfiz buli dua junior didakwa

    Tiga pelajar tahfiz buli dua junior didakwa

    TIGA pelajar sebuah pusat tahfiz yang membuli dua pelajar junior mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kajang hari ini atas pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap mangsa.

    Semua mereka yang masih juvana berusia 16 dan 17 tahun itu membuat pengakuan tersebut pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Syahrul Sazly Md. Sain.

    Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap dua kanak-kanak berusia 10 dan 12 tahun, lapor Harian Metro.

    Kesalahan itu dilakukan di bilik asrama sebuah madrasah tahfiz di Hulu Langat di sini, pada pukul 7.30 malam, 31 Oktober lalu.

    Bagi kesalahan berkenaan, mereka didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Bagaimanapun, mahkamah menetapkan 29 Disember depan untuk pendengaran laporan akhlak, sebelum hukuman dijatuhkan.

    Dalam mahkamah sama, seorang lagi tertuduh iaitu Muhammad Muaz Zainul Abidin, 24, yang juga rakan kepada tiga tertuduh juvana itu mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan sama.

    Mahkamah menetapkan tarikh sama bagi sebutan semula kes.

    Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Husna Amran manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

    Mahkamah membenarkan tiga tertuduh juvana itu diikat jamin RM1,000 setiap seorang dan Muhammad Muaz diikat jamin RM1,500.

    Pada 24 November lalu, media melaporkan dua beradik menjadi mangsa buli sekumpulan pelajar senior di sebuah pusat tahfiz di Hulu Langat.

    Kejadian itu terbongkar apabila bapa saudara dua pelajar itu melihat ada kesan kecederaan pada badan dan muka mereka lalu membuat laporan polis.