SEORANG petugas Parlimen yang berusia 54 tahun disahkan meninggal dunia akibat Covid-19 di Hospital Kuala Lumpur (HKL) semalam.

Pengarah Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (JKWPKL&P), Datuk Dr Param Jeeth Singh Pakar Singh berkata, lelaki berkenaan mula mengalami gejala demam dan batuk pada 3 November lalu.

“Dia telah melakukan ujian saringan RT-PCR pada 8 November dengan nilai kitaran ambang (CT value) 17.4 sebelum diarahkan ke pusat penilaian Covid-19 (CAC) bagi penilaian klinikal dan seterusnya rawatan susulan jika berkaitan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Param berkata, sehari selepas itu, lelaki berkenaan hadir ke CAC Dewan Komuniti Bukit Bandaraya, Bangsar dengan memaklumkan mengalami sesak nafas.

“Penilaian klinikal menunjukkan status Covid-19 kes adalah kategori empat dan beliau dengan segera telah dirujuk ke HKL dan dimasukkan ke wad untuk rawatan lanjut.

“Siasatan pergerakan kes mendapati pergerakan lelaki berkenaan sebelum ini hanya meliputi tempat kerja dan rumah sahaja. Dia tidak terlibat dengan perjumpaan bersama ahli perwakilan Parlimen dalam tempoh dua minggu sebelum beliau bergejala.

“Malah dia juga sudah tidak hadir bekerja sejak mula mengalami gejala dan hari terakhir hadir ke pejabat adalah pada 3 November,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, JKWPKL&P telah mengenal pasti empat individu yang menjadi kontak rapat melibatkan dua di rumah dan dua di tempat kerja.

“Kesemua mereka telah menjalani kuarantin sebaik sahaja dikenal pasti. Siasatan juga masih dijalankan bagi mengenalpasti punca kes mendapat jangkitan.

“Jabatan ini bersimpati dengan kejadian ini dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here