Author: Admin

  • Lawan arus lagi, polis giat mengesan pemandu

    Lawan arus lagi, polis giat mengesan pemandu

    POLIS sedang mengesan pemandu sebuah kereta yang dirakam melawan arus di Jalan Bukit Rotan, Kuala Selangor, Isnin lalu.

    Kejadian itu dirakam menerusi kamera papan pemuka (dashcam) berdurasi 21 saat dan tular dalam media sosial sejak Selasa.

    Berdasarkan rakaman video itu, memaparkan pemandu sebuah kenderaan sempat mengelak daripada terlanggar kereta yang melawan arus berkenaan.

    Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, pihaknya menerima maklumat itu menerusi laman Facebook (FB) pada pukul 4.05 petang.

    “Siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku kira-kira pukul 2.09 petang, 6 Disember lalu (Isnin).

    “Kes itu bagaimanapun masih sedang disiasat polis,” katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.

    Jelas beliau, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Dalam pada itu, Ramli menegaskan pihaknya giat mengesan pemandu berkenaan dan meminta kerjasama saksi kejadian supaya tampil bagi membantu siasatan.

  • CAP kesal Sungai Muda dicemari sisa buangan

    CAP kesal Sungai Muda dicemari sisa buangan

    PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil tindakan segera membersihkan bahan buangan yang mencemarkan Sungai Muda dekat Permatang Bendahari di daerah Seberang Perai Utara (SPU).

    Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, tinjauan pihaknya mendapati timbunan bahan buangan terutama bekas plastik yang terapung di permukaan sungai itu menyebabkan kawasan persekitarannya kelihatan kotor.

    Jelasnya, CAP kesal kerana Sungai Muda merupakan sumber utama bekalan air bagi kegunaan penduduk-penduduk di negeri Kedah dan Pulau Pinang.

    “Jika keadaan ini berterusan bukan sahaja boleh menjejaskan kualiti air sungai tersebut tetapi juga menjadi tempat nyamuk membiak yang boleh mencetuskan wabak penyakit.

    “Amat membimbangkan juga jika sisa buangan tersebut mengandungi toksik, pasti akan memberi kesan lebih buruk ke atas alam sekitar, hidupan sungai dan laut serta kesihatan manusia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut Mohideen, CAP percaya jika bahan buangan itu dibiarkan akan turut mencemarkan pantai dan laut berhampiran sekali gus mengganggu aktiviti nelayan serta menjejaskan mata pencarian mereka.

    Justeru katanya, CAP berharap pihak yang bertanggungjawab dapat menjalankan siasatan dan memberi perhatian serius terhadap masalah itu di samping mengambil tindakan berkesan supaya kejadian serupa tidak berulang.

    “Pemantauan yang berterusan perlu dilakukan dan tindakan undang-undang hendaklah dilaksanakan dengan tegas tanpa memberi pertimbangan kepada mereka yang melanggar peraturan-peraturan yang termaktub di bawah akta yang sedia ada,” katanya.

    Dalam masa kata beliau, CAP meminta bahan pencemar itu dilupuskan di kawasan selamat daripada sebarang ancaman ke atas alam sekitar dan kehidupan penduduk tempatan.

    “Pihak berkenaan juga perlu mendedahkan hasil siasatan dan tindakan yang diambil terhadap masalah ini kepada umum,” katanya.

  • Isu HSR KL-Johor Bahru dijangka dibangkitkan Dewan Rakyat hari ini

    Isu HSR KL-Johor Bahru dijangka dibangkitkan Dewan Rakyat hari ini

    ISU mengenai projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Johor Bahru dijangka menjadi tumpuan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

    Menurut Aturan Urusan Mesyuarat dalam laman sesawang Parlimen, pertanyaan itu diajukan Lim Guan Eng (PH-Bagan) kepada Perdana Menteri pada Waktu Pertanyaan Menteri.

    Guan Eng ingin tahu sama ada projek HSR akan dibatalkan untuk diganti dengan cadangan memulihkan HSR KL-Singapura, anggaran kos bagi kedua-dua projek serta sekiranya rundingan dengan Singapura dapat memastikan harga asal projek sebanyak RM100 bilion boleh dikurangkan kepada RM50 bilion.

    Pada sesi sama, Menteri Kewangan pula diminta menyatakan rasional perintah baharu Jabatan Kastam pada tahun depan yang mewajibkan kedai kopi dan restoran memohon lesen arak untuk menjual bir atau stout kepada bukan Islam sehingga mengganggu amalan hidup dan perniagaan kumpulan itu.

    Soalan itu diajukan Tony Pua Kiam Wee (PH-Damansara) yang turut ingin tahu bilangan perniagaan yang terjejas, fi lesen berkaitan, jumlah yang boleh dikutip serta hukuman terhadap mereka yang ingkar.

    Selesai sesi itu, tumpuan dijangka terarah pada sesi soal jawab dengan Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan-Kota Belud) yang bertanyakan Menteri Tenaga dan Sumber Asli sekiranya kerajaan bersedia membenarkan pengeksportan pasir keluar negara terutama bagi projek tebatan banjir di muara sungai.

    Sementara itu, Datuk Mohd Salim Sharif (BN-Jempol) memohon penjelasan Menteri Pertanian dan Industri Makanan berhubung pelan strategik untuk meremajakan sektor pertanian agar dapat menarik minat generasi belia dan melahirkan lebih ramai usahawan tani muda.

    Selesai sesi itu, Dewan Rakyat diteruskan dengan perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 di peringkat Jawatankuasa.

    Politik kepartian panaskan Dewan Rakyat Dewan Rakyat bersidang hingga 16 Disember ini. – Bernama

  • Risiko bawa pelancong ke Pulau Kapas pada musim tengkujuh

    Risiko bawa pelancong ke Pulau Kapas pada musim tengkujuh

    Sejak kebelakangan ini keadaan cuaca di Terengganu semakin tidak menentu, wajah langit pula ada kalanya mendung, ada ketika pula hujan lebat mencurah bumi.

    Perkembangan ini menyebabkan hujan yang menempias serta msnyelinap masuk ke dalam pondok usang milik masyarakat nelayan di pesisir pantai turut diiiringi dengàn terjahan angin kencang dan ombak besar mengganas.

    Bagi masyarakat di Pantai Timur, keadaan cuaca tidak menentu sekarang kerana disebabkan Monsun Timur Laut sekaligus meletakkan mereka kini sudah berada di musim tengkujuh.

    Justeru, disepanjang musim ini, mereka sedikit terhalang untuk menjalankan semua aktiviti di laut sama ada menangkap ikan ataupun pelancongan.

    Ini kerana, keadaan laut bergelora disamping ombak besar dan angin kencang, amat berbahaya terutama kepada bot-bot kecil.

    Ini termasuklah bot yang membawa pelancong ke pulau-pulau peranginan seperti Perhentian, Redang, Tenggol dan Kapas.

    Malah, penulis mendapati sejak tiga minggu lalu, kebanyakan nelayan dan pengusaha bot pelancong telah mempatkan bot-bot mereka di dalam muara dan ada pula yang menaikkannya ke daratan untuk dibaiki atau dicat dengan warna baharu.

    Berdasarkan pengalaman penulis, langkah yang diambil amat tepat demi menjaga keselamatan bukan sahaja diri sendiri, tetapi juga orang ramai khususnya pelancong.

    Meskipun Kerajaan Terengganu tidak pernah mengeluarkan arahan atau memaksa agar operasi pulau-pulau peranginan ditutup, namun tindakan menjaga nyawa adalah lebih penting.

    Peristiwa bot yang membawa pelancong tenggelam dibedal ombak ketika sedang memasuki muara sungai Marang beberapa tahun lalu sewajarnya dijadikan iktibar.

    Seorang rakan penulis, Awang Saripan yang bekerja disebuah chalet di pulau Kapas, Marang memberitahu, setiap kali diminta membawa pelancong ke Pulau Kapas, dadanya sentiasa berdebar.

    “Biasanya sepanjang musim tengkujuh, semua penginapan di Pulau Kapas akan ditutup, namun ada juga sebilangan pelancong yang ghairah untuk bercuti ke sana.

    “Mereka ridak tahu suasana sebenar walaupun telah diterangkan mengenai risikonya, sewaktu keluar dari muara ia kelihatan tenang, tetapi dengan tiba-tiba sahaja ia boleh bertukar menjadi gelombang.

    “Apabila perkara itu berlaku, jantung saya berdenyut kencang, manakala pelancong tersebut mula berasa cemas, jika cuaca buruk berpanjangan, tempoh pelancong berada di pulau juga terpaksa dilanjutkan,” ceritanya kepada penulis, minggu lepas.

    Katanya, walaupun sudah terbiasa dengan suasana tersebut, meredah laut bergelombang dengan ombak besar dan angin kencang,
    namun apabila membawa pelancong perkara utama perlu difikirkan ialah aspek keselamatan.

    “Saya tidak kisah kalau keluar ke Pulau Kapas seorang diri atau hanya membawa barang-barang, namun jika ada nyawa lain di dalam bot khususnya pelancong yang ingin bercuti, itu menimbulkan masalah kerana ia melibatkan keselamatan, iaitu nyawa…. dahulu sebelum adanya benteng pemecah ombak,, risikonya lagi tinggi kerana banyak kejadian bot tenggelam akibat terkandas di beting pasir di muara sungai,”jelas kawan penulis lagi.

    Sebelum ini Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Terengganu, Ariffin Deraman pernah memberitahu, kerajaan negeri tidak pernah menghalang mahupun mengeluarkan arahan untuk menutup operasi pulau-pulau peranginan pada musim tengkujuh.

    Malah katanya, penutupan operasi hotel, resort dan chalet di pulau-pulau sebelum ini merupakan inisiatif daripada pemain industri sendiri kerana kedaan laut bergelora di samping hujan lebat dan angin kencang menyebabkan tidak ramai atau tiada orang yang ingin pergi bercuti ke pulau.

  • Remaja maut motosikal rempuh ‘backhoe’

    Remaja maut motosikal rempuh ‘backhoe’


    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG operator kilang maut apabila motosikal ditunggangnya merempuh sebuah ‘backhoe’ di Jalan Baling menuju ke Weng dan Tanjung Pari, dekat Kampung Bandar di Baling, Kedah, malam tadi.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam itu, mangsa, Muhamad Aiman Nor Hakim Rosidan, 19, yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15zr maut di lokasi kejadian manakala pemboncengnya, Muhmmad Aiman Shah Shukri pula cedera parah.

    Menurut Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Shamsudin Mamat, siasatan awal mendapati motosikal dinaiki kedua-dua remaja itu cuba memotong sebuah kereta ketika melalui jalan tersebut.

    “Mereka cuba memotong kenderaan di hadapan namun tak lepas lalu masuk ke laluan bertentangan. Keadaan itu menyebabkan motosikal tersebut bertembung dengan jentera berat berkenaan yang datang dari arah bertentangan.

    “Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal tersebut maut di lokasi kejadian manakala pemboncengnya pula mengalami kecederaan parah,” katanya ketika dihubungi Warta Rakyat di sini, hari ini.

    Tambahnya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulim untuk bedah siasat manakala mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Baling bagi mendapatkan rawatan.

    “Setakat ini kes masih disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

  • 131,281 murid Darjah Satu di Johor berdepan masalah 3M

    131,281 murid Darjah Satu di Johor berdepan masalah 3M

    Oleh ABU UBAIDILAH RAHMAN

    SERAMAI 131,281 murid Darjah Satu di Johor menghadapi masalah menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M).

    Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, Mazlan Bujang berkata, jumlah tersebut melibatkan 20 peratus.

    Jelas beliau, pandemik Covid-19 yang melanda negara sejak Mac tahun lalu menyebabkan pembelajaran dan pengajaran secara bersemuka terlalu singkat hingga menjejaskan penguasaan 3M.

    “Kemahiran 3M merupakan aspek penting yang perlu diberi penekanan kepada murid di Tahap Satu, membabitkan Darjah Satu, Dua dan Tiga.

    “Justeru, kerajaan negeri telah merangka satu program khas Didik Johor dengan peruntukan sebanyak RM450,000 bagi membantu murid keciciran mengusai kemahiran 3M pada tahun depan,” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas melancarkan Program Penjana KPT Cap@ Johor di Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar, Johor Bahru hari ini.

    Katanya, Didik Johor akan dibantu oleh guru menerusi tuisyen dan sebenarnya lebih kepada kelas pemulihan.

    Program itu katanya, dikelolakan Yayasan Bandaraya Johor Bahru dengan kerjasama Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA).

    “Program perintis bermula sejak bulan lalu di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Mutiara, PPR Kempas, dan PPR Bakar Batu,” katanya.

    Sementara itu, Mazlan berkata, seramai 500 graduan menganggur di negeri ini akan menerima manfaat program Penjana KPT-CAP Negeri Johor.

    Beliau berkata, menerusi program terbabit graduan terutama anak Johor dan yang bermastautin di negeri ini akan memperoleh Sijil

    Perkhidmatan Makanan dan Perkhidmatan Baristar menerusi latihan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

    “Sejak dua minggu lalu pendaftaran sudah dibuka. Kursus sijil antara lapan hingga 15 bulan ini adalah percuma.

    “Graduan yang mengikuti kursus ini akan diberi elaun, makan minum dan tempat tinggal selain akan menjalani latihan sambil bekerja di premis McDonald sebagai pelatih pengurusan dan pengendali makanan,” katanya.

    Mereka juga katanya, akan terus diserap bekerja secara automatik selepas tamat latihan dan program itu bagi membantu graduan menganggur dan masih gagal mendapat pekerjaan berikutan pandemik Covid-19.

  • Penjenayah diberkas lima jam selepas rompak pasar mini

    Penjenayah diberkas lima jam selepas rompak pasar mini

    MENYASARKAN kedai runcit dan pasar mini di kawasan kampung untuk merompak.

    Itu modus operandi dilakukan seorang lelaki yang mempunyai pelbagai rekod jenayah namun berjaya diberkas selepas merompak sebuah pasar mini di Kampung Baru, Sungai Tiang, Pedang, malam tadi.

    Lelaki berusia 30-an itu diberkas tidak sampai lima jam melarikan wang tunai RM300 selepas melakukan rompakan tersebut.

    Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, dalam kejadian pukul 7.15 malam, suspek datang bersendirian masuk ke dalam pasar mini berkenaan.

    “Suspek memakai topi, pelitup muka dan cermin mata hitam itu kemudian meminta seorang lelaki yang menjaga kaunter menyerahkan lesen dan MyKad miliknya.

    “Mangsa enggan menyerahkannya menyebabkan suspek bertindak membuka laci kaunter dan mengambil wang tunai RM300.

    “Suspek terus melarikan diri sejurus selepas itu dengan menaiki sebuah kereta,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Arriz Sham berkata, mangsa berusia 20-an kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Kubur Panjang.

    Beliau berkata, bertindak atas maklumat dan kamera rakaman litar tertutup (CCTV) di pasar mini berkenaan, pihaknya berjaya mengesan suspek.

    “Berikutan itu, pegawai dan anggota menyerbu sebuah rumah di Kampung Baru dan menangkap suspek dalam rumah berkenaan pada pukul 11.30 malam tadi. Turut ditemui semula, wang tunai RM300 hasil rompakan,” katanya.

    Arriz Sham berkata, hasil semakan suspek berusia 30-an yang masih bujang didapati mempunyai pelbagai rekod kesalahan jenayah termasuk dadah.

    “Suspek direman selama enam hari bermula hari ini untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

    “Hasil siasatan mendapati suspek menyasarkan kedai runcit dan pasar mini di kawasan kampung untuk melakukan kegiatan itu,” katanya.

  • 9 individu dijangka dituduh isu seleweng geran Mitra

    9 individu dijangka dituduh isu seleweng geran Mitra

    SEKURANG-KURANGNYA sembilan individu dijangka didakwa di mahkamah berkaitan kes penyelewengan geran peruntukan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra), awal tahun depan.

    Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki berkata individu terbabit adalah daripada 10 syarikat penerima geran berkenaan yang disiasat SPRM sebelum ini.

    “Kita dah di peringkat akhir (siasatan) dan membuat perbincangan dengan Timbalan Pendakwa Raya (DPP) beberapa kali,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Kolokium Antirasuah ‘Adat Perpatih Melingkari Hidup Berintergriti’ di Seremban, hari ini.

    Dalam pada itu, beliau berkata 17 lagi syarikat masih sedang disiasat berhubung kes berkenaan dan akan diteruskan dengan syarikat lain secara berfasa selain ia memerlukan tempoh yang agak panjang berikutan penyiasatan melibatkan rasuah dan agak rumit.

    Pada 22 Nov lepas, Azam berkata kertas siasatan melibatkan 10 syarikat yang menerima geran peruntukan Mitra akan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk proses perundangan selanjutnya.

    Sebelum ini, SPRM dilaporkan sedang meneliti semua permohonan, laporan perbelanjaan dan program yang dikatakan telah dilaksanakan penerima geran peruntukan Mitra sejak 2019 hingga 2021 susulan penahanan beberapa pengarah syarikat yang disyaki terlibat dengan penyelewengan geran itu.

    Sebanyak 337 syarikat, persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) dikenal pasti telah diluluskan geran peruntukan oleh Mitra sejak 2019 hingga 2021 dengan peruntukan berjumlah kira-kira RM203 juta.

    Sementara itu, Azam berkata pihaknya akan meneliti sama ada isu berhubung kewujudan kartel di pelbagai peringkat dalam kalangan pegawai imigresen berada di bawah bidang kuasa SPRM atau tidak selepas mendapat maklumat terperinci daripada Jabatan Imigresen (JIM).

    “Kenyatan itu timbul mungkin daripada siasatan dalaman di JIM, sehingga kini saya masih belum ada maklumat sebenar sama ada berkaitan dengan broker atau rasuah dan menjangkau pegawai di JIM, jadi saya tidak boleh buat spekulasi,” katanya.

    Pada 1 Dis lepas, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin mendedahkan pihaknya ada menerima laporan berhubung kewujudan kegiatan kartel dalam JIM termasuk berkaitan urusan kenaikan pangkat dalam jabatan itu. – Bernama

  • SPRM belum dapat maklumat kartel dalam Jabatan Imigresen

    SPRM belum dapat maklumat kartel dalam Jabatan Imigresen

    KETUA Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki memaklumkan, pihaknya belum menerima maklumat lanjut berkenaan dakwaan wujud kegiatan kartel dalam kalangan pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen).

    Beliau berkata, dakwaan itu kemungkinan timbul hasil siasatan di peringkat dalaman yang dilakukan jabatan terbabit.

    “Kenyataan yang disebutkan oleh pihak menteri itu, saya belum ada maklumat lengkap lagi. Kenyataan ini mungkin timbul hasil siasatan dalaman atau perkara dalaman Jabatan Imigresen.

    “Sehingga kini saya belum dapat lagi maklumat kartel sebenar yang dimaksudkan oleh pihak menteri itu,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas hadir majlis Kolokium Antirasuah Adat Perpatih Melingkari Hidup Berintegiriti di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Sembilan di Seremban, hari ini.

    Namun katanya, jika ada maklumat berkenaan kes terbabit, SPRM akan meneliti sama ada di bawah bidang kuasa agensi itu atau sebaliknya.

    “Saya belum pasti lagi maklumat yang mengatakan sama ada broker atau orang tengah. Yang disebutkan itu adakah berkaitan dengan rasuah atau tidak, dan adakah ia menjangkau masuk ke pegawai kerajaan dalam Jabatan Imigresen,” jelas beliau.

    Sebelum ini media melaporkan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mendedahkan ada menerima laporan berhubung kewujudan kegiatan kartel dalam Jabatan Imigresen membabitkan pegawai pelbagai peringkat.

    Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dilaporkan berkata, pembabitan kartel itu bukan saja berkaitan urusan kenaikan pangkat dalam jabatan berkenaan, malah kartel itu juga dikatakan menggunakan pegawai imigresen untuk kepentingan mereka.

    Malah, katanya, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Jonathan Yasin ada memaklumkan di Sabah terdapat iklan yang menawarkan perkhidmatan pengeluaran Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).

    Hamzah berkata, ia tidak sepatutnya berlaku kerana Jabatan Imigresen tidak pernah melantik mana-mana ejen untuk sebarang urusan imigresen.

  • Ahli perniagaan bergelar ‘Datuk’, ejen insurans berlagak marshal serah diri

    Ahli perniagaan bergelar ‘Datuk’, ejen insurans berlagak marshal serah diri

    DUA lelaki menjadi pengiring atau marshal konvoi motosikal berkuasa tinggi yang memberhentikan kenderaan awam di persimpangan lampu isyarat Sua Betong, Port Dickson, bulan lalu, ditahan semalam.

    Kedua-dua lelaki berusia 45 dan 49 tahun itu hadir ke Balai Trafik Port Dickson pada pada 12.45 tengah hari dan 2.30 petang semalam untuk memberi keterangan berkaitan video mereka tular dalam media sosial.

    Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, kedua-dua lelaki termasuk seorang daripadanya bergelar Datuk hadir ke balai trafik itu sejurus mengetahui aksi mereka dirakam dan tular.

    “Polis menahan kedua-dua lelaki yang juga ahli perniagaan dan ejen insurans itu. Polis turut menahan dua motosikal berkuasa tinggi dan beberapa barangan yang digunakan kedua-dua marshal berkenaan seperti yang dirakam.

    “Siasatan lanjut sedang dijalankan secara menyeluruh termasuk jika wujud kesalahan lain,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

    Kelmarin, dilaporkan polis mencari kumpulan motosikal berkuasa tinggi yang berlagak marsyal di jalan awam selepas rakaman video berdurasi tiga minit tular di media sosial.

    Rakaman itu menunjukkan penunggang motosikal berkuasa tinggi itu memberi arahan kepada sebuah kenderaan supaya memperlahankan kenderaannya dan bergerak ke kiri lorong jalan bagi memberi laluan kepada kumpulan konvoi terbabit.

    Berdasarkan rakaman itu, dipercayai konvoi itu bergerak dari arah Kuala Sungai Baru, Alor Gajah, Melaka melepasi kawasan Jalan Tanjung Agas, Pasir Panjang, Port Dickson.