Author: Admin

  • JKDM Labuan diperintahkan mahkamah pulangkan kenderaan Brunei

    JKDM Labuan diperintahkan mahkamah pulangkan kenderaan Brunei

    JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Labuan diperintahkan Mahkamah Sesyen Labuan untuk mengembalikan sebuah kenderaan berdaftar di Brunei kepada pemiliknya selepas dirampas kerana berada di pulau bebas cukai itu melebihi tempoh ditetapkan.

    Hakim Egusra Ali memerintahkan demikian selepas pemilik kenderaan terbabit yang juga seorang ahli perniagaan, Wong Jyh Chyn@James, 30, memohon perintah mahkamah agar kereta pacuan empat roda Toyota Hilux itu dipulangkan kepadanya.

    Egusra memerintahkan JKDM Labuan memulangkan kenderaan terbabit dalam masa empat hari bermula semalam.

    Berdasarkan fakta kes, James membawa masuk kenderaan terbabit dari Brunei ke Labuan pada 20 Februari tahun lalu dan hanya dibenarkan berada di pulau berkenaan selama tiga bulan.

    Bagaimanapun, James tidak dapat kembali ke Brunei bersama kenderaannya berikutan penutupan sempadan negara dan pulau berkenaan hingga menyebabkannya terperangkap di pulau terbabit.

    Selepas menyedari pintu sempadan dibuka semula, James cuba keluar dari Labuan untuk kembali ke Brunei pada 18 Ogos lalu, namun ditahan JKDM Labuan dan kenderaannya dirampas.

    Beliau kemudian membuat permohonan meminta supaya kenderaannya dipulangkan, namun JKDM Labuan enggan berbuat demikian kecuali selepas James membayar bon sebanyak RM10,000 sementara menunggu siasatan selesai.

    Bagaimanapun, James enggan mematuhi bon sementara itu dan syarat yang dikenakan sebelum meminta peguamnya untuk membuat permohonan kepada Mahkamah Sesyen Labuan bagi mendapatkan perintah mahkamah bagi melepaskan kenderaannya dengan segera.

    Dalam prosiding semalam, Peguam Persekutuan Fazriel Fardiansyah Abdul Kadir menyerahkan satu afidavit yang antara lain menyatakan bahawa James bertanggungjawab memaklumkan kepada JKDM yang beliau tidak dapat kembali dalam tempoh ditetapkan.

    Beliau turut menyatakan tiada sebarang permohonan rasmi berhubung perkara itu dibuat James.

    Peguam James, Datuk Seri Rakhbir Singh bagaimanapun berhujah bahawa beban berkenaan tidak boleh dipindahkan kepada anak guamnya atau mana-mana pemilik kenderaan atas perkara itu bagi memaklumkan JKDM jika sempadan dibuka semula.

  • 472,572 pelancong berkunjung ke Langkawi sejak 16 September 2021

    472,572 pelancong berkunjung ke Langkawi sejak 16 September 2021

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEHINGGA 5 Disember lalu, seramai 472,572 pelancong dicatatkan mengunjungi Langkawi sejak sektor pelancongan di pulau legenda itu kembali dibuka di bawah gelembung pelancongan pada 16 September lepas.

    Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Nasaruddin Abdul Muttalib berkata, trend kemasukan ke Langkawi dilihat sentiasa menunjukkan peningkatan pada setiap bulan apabila sektor pelancongan di pulau tersebut, kembali dibuka bulan lalu.

    “Sejak sektor pelancongan kembali dibuka pada 16 September lalu, pendapatan sektor pelancongan yang telah dijana di Langkawi berjumlah RM487 juta.

    “Itu menunjukkan bahawa Langkawi mempunyai potensi besar untuk kembali menyinar selepas sekian lama sunyi dari kemeriahan pelancong akibat pandemik Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Terdahulu pada malam tadi, LADA bersama pemain-pemain industri pelancongan Langkawi telah menerima enam anugerah pada Majlis Anugerah Emas, Majlis Pelancongan Malaysia (MTC) 2021 yang diadakan di sebuah hotel di Petaling Jaya.

    Enam anugerah yang itu adalah Anugerah Khas Inisiatif Gelembung Pelancongan yang diberikan kepada LADA, Kereta Kabel Terbaik di Malaysia (Langkawi Skycab), Restoran Hidangan dan Warisan Melayu Terbaik (Langsura Geopark Sdn. Bhd.), Destinasi Mesra Eco Terbaik (Langsura Geopark Sdn. Bhd.), Hotel Tiga Bintang Terbaik Untuk Pemandangan Laut (Nadias Hotel Langkawi) dan Hotel Pematuhan Islamik Terbaik (Hotel Adya Langkawi).

    Mengulas mengenai anugerah diterima, Nasaruddin berkata pengiktirafan itu membuktikan betapa Langkawi mampu menawarkan pengalaman pelancongan unik dan mempesona buat para pengunjung.

    “Usaha bagi mengembalikan kegemilangan industri pelancongan di Langkawi akan terus dilaksanakan demi kelangsungan ekonomi Langkawi.

    “Bersandarkan trend semasa, LADA menjangkakan kedatangan pelancong ke Langkawi akan meningkat lebih baik pada 2022,” katanya.

  • 49 pendatang haram dalam trak maut kemalangan ketika cuba masuk AS

    49 pendatang haram dalam trak maut kemalangan ketika cuba masuk AS

    SEKURANG-KURANGYA 49 pendatang haram maut selepas trak yang mereka naiki melanggar tembok penahan dan terbalik di negeri Chiapas, Mexico, dipercayai mahu menuju ke Amerika Syarikat (AS).

    Selain itu, 40 orang lagi cedera dengan tiga daripadanya serius, menurut laporan awal daripada pendakwa raya di Chiapas, negeri Mexico yang bersempadan dengan Guatemala dan tempat transit utama pendatang tanpa izin yang cuba memasuki AS.

    Pemandu itu dipercayai memandu laju sebelum dia hilang kawalan ke atas kenderaan tersebut di sebuah lebuh raya yang menghubungkan bandar Chiapa de Corzo dengan ibu negeri, Tuxtla Gutierrez.

    Warganegara mangsa-mangsa yang terbunuh masih belum didedahkan dan pendatang haram itu dilaporkan bersembunyi dalam trak tersebut.

    Gabenor negeri, Rutilio Escandón menyatakan solidaritinya dengan mangsa-mangsa kejadian itu.

    “Saya telah memberi arahan untuk mereka yang cedera mendapat perhatian dan bantuan segera,” katanya menerusi Twitter seperti dilaporkan oleh AFP.

    “Penguatkuasaan undang-undang akan menentukan siapa yang bertanggungjawab,” katanya. – Agensi

  • Gagal seludup 85 ekor biri-biri, kambing dari Thailand

    Gagal seludup 85 ekor biri-biri, kambing dari Thailand

    CUBAAN menyeludup 85 ekor biri-biri dan lapan ekor kambing bernilai RM63,100 dipercayai dari negara jiran berjaya dipatahkan polis di Pasir Mas, tengah malam tadi.

    Menurut Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir, dalam rondaan pada pukul 12.55 pagi di Jalan Repek-Lubok Jong berjaya mengesan sebuah lori yang berada dalam keadaan mencurigakan.

    “Kami mengekori lori berkenaan dan berjaya menahannya di tepi jalan Taman Tengku Anis. Pemeriksaan di belakang lori menemui 85 ekor biri-biri dan lapan ekor kambing.

    “Pemandu dan seorang kelindan berusia awal 20-an ditahan kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen permit permindahan haiwan ternakan dan binatang berkenaan diseludup masuk ke Malaysia melalui jalan yang tidak sah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Lori yang yang digunakan membawa biri-biri dan kambing seludup yang ditahan di Pasir Mas pada awal pagi Jumaat.

    Menurutnya, hasil siasatan awal, kedua-dua tahanan mengaku terlibat dengan penyeludupan biri-biri dan kambing dari Thailand.

    Katanya, kesemua kambing tersebut diambil di kawasan tepi sungai Kampung Kubang Pak Hitam, Meranti dan dihantar ke kandang yang terletak di belakang Taman Tengku Anis, Lubok Jong.

    “Tangkapan dan rampasan diserahkan ke pihak veterinar untuk tindakan lanjut,” katanya.

  • Maritim tahan dua bot dari Indonesia

    Maritim tahan dua bot dari Indonesia

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TINDAKAN dua bot tunda dari Batam, Indonesia yang tidak memaklumkan ketibaan dan tidak mempunyai kebenaran menunda daripada Pengarah Laut Malaysia membawa pada apabila ditahan semalam.

    Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Johor menerusi Zon Maritim Tanjung Sedili (ZMTS) menahan dua bot tunda itu yang disyaki melakukan operasi tanpa kebenaran pada jam 6 petang ketika menunda sebuah kapal tangki.

    Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, mereka melakukan kesalahan tersebut pada kedudukan 0.7 batu nautika tenggara Tanjung Langsat, dekat ini.

    “Kedua-dua bot tunda terbabit yang berdaftar dari Batam, Indonesia dikendalikan oleh 13 kru warga Indonesia berumur antara 25 tahun hingga 47 tahun mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

    “Hasil pemeriksaan lanjut mendapati nakhoda kedua-dua bot tunda terbabit tidak memaklumkan ketibaan dan tidak mempunyai kebenaran menunda daripada Pengarah Laut Malaysia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Katanya, semua kru berserta dua bot tunda terbabit ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 491B (1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

    Maritim Johor katanya, mengingatkan setiap kapal asing yang ingin memasuki perairan negeri Johor agar melaporkan ketibaan dan mendapatkan kebenaran sebelum menjalankan sebarang aktiviti bagi mengelakkan tindakan undang-undang.

  • Penggal kakak sebelum berswafoto, berarak dengan kepala wanita itu

    Penggal kakak sebelum berswafoto, berarak dengan kepala wanita itu

    SEORANG remaja bertindak kejam apabila memenggal kepala kakaknya itu sebelum berswafoto dan berarak dengannya selepas berang mengetahui wanita itu hamil kerana kahwin lari.

    Remaja tersebut melakukan perbuatan itu dikatakan demi menjaga maruah keluarga selepas kakaknya, Kirti Thore, 19, berkahwin lari dengan lelaki dicintainya apabila mendapat tentangan.

    Polis menahan remaja berusia 17 atau 18 tahun itu dan ibunya, Shobhabai Mote selepas kejadian di perkampungan Ladgaon, Aurangabad.

    Mereka sebelum itu melawat Kirti yang tinggal di kampung berkenaan bersama keluarga suaminya, menurut One India.

    Penolong Pesuruhjaya Polis Kailash Prajapati berkata, adik Kirti menyerangnya dari belakang dengan sabit sementara ibu memegang kakinya.

    Katanya, remaja itu kemudian memenggal kepala mangsa dan membawanya keluar.

    Prajapati berkata, ketika kejadian suami Kirti sakit dan berbaring di dalam rumah, hanya tersedar apabila mendengar bunyi pinggan mangkuk jatuh.

  • Pas terima Amanah sertai MN jika parti itu tinggalkan DAP

    Pas terima Amanah sertai MN jika parti itu tinggalkan DAP

    PAS sedia menerima Parti Amanah Negara (Amanah) menyertai Muafakat Nasional (MN) sekiranya parti itu tidak bersama-sama DAP dalam Pakatan Harapan (PH).

    Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, keputusan itu sama seperti apa yang berlaku dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysa (Bersatu) apabila tidak lagi bersama-sama DAP, Pas menerima kemasukan Bersatu dalam MN.

    Mohd. Amar berkata, seiring dengan realiti politik semasa yang dinamik, keutamaan perlu diletakkan pada kepentingan agama dan negara.

    “Sekarang ini kerana Amanah bersama-sama DAP, itu isunya. Masa dulu kita tolak Bersatu kerana dia bersama DAP… bila mereka berpisah maka kita boleh berbincang, (apa akan jadi) masa depan kita tak tahu, tapi masa ini realitinya, politik ini dinamik dan kita pula lihat keperluan semasa dan kepentingan agama dan negara,” katanya.

    Beliau berkata demikian sebagai menyahut cabaran Exco Pemuda UMNO, Datuk Dr. Najmil Faiz Mohamed Aris yang membangkitkan penyatuan antara Pas dan Amanah.

    UMNO sebelum ini memberi kata dua kepada Pas selepas parti itu dilihat mementingkan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) berbanding MN.

    Walaupun Pas menegaskan bahawa MN perlu dikekalkan, UMNO sebaliknya menyifatkan Pas melanggari piagam yang dimeterai bersama.

    Mengulas lanjut, Mohd Amar berkata, kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang jelas bahawa hubungan MN bukan sahaja melibatkan Pas dan UMNO, sebaliknya, hubungan ke arah penyatuan ummah membabitkan parti Melayu lain dan badan bukan kerajaan (NGO).

    Untuk itu MN, kata Abdul Hadi, tidak boleh diikat antara Pas dan UMNO sahaja, sebaliknya, perlu meneroka ruang yang lebih besar iaitu melalui PN.

    Mengambil kira kedudukan politik negara, ia tidak boleh mengenepikan prinsip majmuk dan tidak boleh mengikat UMNO dan Pas sahaja dalam MN yang bersifat eksklusif.

    Mohd Amar juga berkata, tidak berbangkit soal MN diketepikan, sebaliknya, gagasan itu boleh dijadikan jambatan ke arah penyatuan bersama PN.

  • Polis nafi laporan plot terbaharu tawan Sabah dari selatan Filipina

    Polis nafi laporan plot terbaharu tawan Sabah dari selatan Filipina

    PESURUHJAYA Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah hari ini menafikan laporan berita mengenai 19 ‘datuk bandar’ dari selatan Filipina didakwa terlibat dalam plot baharu untuk menawan negeri itu.

    “Tak benar. Walaupun begitu kita (polis Sabah) akan tingkatkan keselamatan,” katanya ringkas menerusi aplikasi WhatsApp kepada Bernama pada Khamis.

    Sebelum ini, akhbar melaporkan satu mesyuarat bagi membincangkan mengenai rancangan untuk menyerang Sabah dipercayai telah diadakan di selatan Filipina.

    Akhbar itu yang memetik South China Morning Post menyatakan mesyuarat rahsia melibatkan 19 datuk bandar itu diadakan bagi membincangkan mengenai rancangan bagi merekrut 600 individu untuk menyerang negeri itu serta menghantar pengintip.

    Menurut laporan media tersebut, difahamkan pertemuan itu diatur oleh pegawai kanan kerajaan tempatan di selatan Filipina.

    Sementara itu di Lahad Datu, khabar angin berhubung plot rahsia dari selatan Filipina untuk menawan Sabah diterima perisikan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) sejak awal bulan ini.

    Komander ESSCom, Datuk Ahmad Fuad berkata, pihaknya cuba mendapatkan maklumat-maklumat tambahan serta pengesahan berhubung khabar angin itu daripada pihak keselamatan di Filipina.

    “Khabar angin seumpama ini tersebar setiap kali pilihan raya di negara itu (Filipina) semakin hampir dan khabar angin ini dikhuatiri dijadikan plot propaganda untuk pilihan raya di sana dalam meraih undi,” katanya kepada Bernama.

    Namun menurutnya, ESSCom tidak pernah mengambil ringan sebarang ancaman, malah setiap maklumat atau khabar angin yang diperoleh dianggap serius dan perlu disiasat.

    “Ini menggambarkan komitmen sebenar pasukan keselamatan dalam memastikan kedaulatan Sabah tidak diganggu-gugat pihak luar yang berniat jahat menimbulkan kekacauan dan ketegangan di negeri ini,” katanya. – Bernama

  • Sembunyikan dadah dalam batang paip PVC di reban ayam

    Sembunyikan dadah dalam batang paip PVC di reban ayam

    CUBAAN seorang lelaki menyembunyikan 144 biji pil yaba bernilai RM1,440 yang dalam sebatang paip PVC di rumahnya di Tasek Hulu, Rantau Panjang gagal apabila berjaya dikesan polis kelmarin.

    Lelaki berusia 42 tahun itu yang tidak bekerja ditahan dalam serbuan pukul 10.30 pagi.

    Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, polis tidak menemui barang salah dalam rumah suspek, namun hasil soal siasat suspek kemudiannya menunjukkan sebatang paip PVC berwarna putih yang disimpan dalam reban ayam.

    “Suspek mengaku dadah itu adalah miliknya dan mendapatkan bekalan daripada seorang individu bernama Jesmani yang tinggal di Tasek Pasir Putih, Rantau Panjang.

    “Suspek juga didapati positif dadah jenis methamphetamine,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Dadah yang disembunyikan dalam kasut di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Air Teniat, Lubok Stol, semalam.

    Dalam serbuan berasingan pula, Mohd Nasaruddin berkata, polis merampas 16 biji pil epam dan 200 biji pil yaba bernilai RM2,160 yang disembunyikan dalam kasut di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Air Teniat, Lubok Stol, semalam.

    Menurutnya, dalam serbuan pukul 5.30 petang, polis juga menahan tiga lelaki warga asing.

    “Hasil saringan awal mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah jenis methamphetamine dan mengaku dadah berkenaan adalah milik mereka.

    “Difahamkan, suspek mendapatkan bekalan dadah daripada seorang individu yang bernama Tok Nah yang dipercayai tinggal di Gual Sok,” katanya.

    Katanya, siasatan lanjut akan diteruskan bagi mengenal pasti individu berkenaan.

    “Kesemua kes disiasat di bawah Seksyen 39(A), Seksyen 12(A) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya

  • PGA gagalkan cubaan seludup 3 tan daun ketum

    PGA gagalkan cubaan seludup 3 tan daun ketum

    Oleh RIZQI ZABIDI

    BATALION 1 Pasukan Gerakan Am (PGA) Hulu Kinta, Perak yang ditugaskan mengawal sempadan Malaysia Thailand di Bukit Kayu Hitam, Kedah, berjaya menggagalkan cubaan menyeludup daun ketum seberat lebih tiga tan ke negara jiran semalam.

    Penolong Pegawai Pemerintahnya, Deputi Supritendan Ayob Ismail berkata, kejayaan membanteras penyeludupan itu berlaku pada pukul 11.45 malam tadi apabila pasukan risik Kompeni ‘D’ Batalion terserempak dengan lori dipandu seorang lelaki berusia 30-an di Jalan Kuala Kedah.

    Melihat keadaan lelaki itu yang berada dalam keadaan mencurigakan katanya, pasukan risik tersebut mengarahkan dia memberhentikan lori tersebut untuk diperiksa.

    “Pemandu lori tersebut gagal menunjukkan Mykadnya namun menerusi akuan lisan, dia mendakwa berasal dari Kubang Rotan, Jalan Kuala Kedah.

    Sebahagian daripada bungkusan berisi daun ketum yang cuba diseludup ke negara jiran

    “Pemeriksaan lanjut di bahagian belakang lori menemukan sejumlah besar beg plastik hitam mengandungi daun hijau disyaki ketum,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Kompleks Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem), hari ini.

    Tambahnya, kesemua daun ketum itu dianggarkan bernilai RM96,000.

    “Kita percaya daun ketum ini dibawa menggunakan lori dari daerah Padang Terap menuju ke Kuala Kedah untuk diseludup ke negara jiran menggunakan jalan laut.

    “Sebelum ini ‘askar semut’ yang menaiki kereta atau motosikal sering digunakan untuk menyeludup ke negara jiran. Namun disebabkan kawalan di pagar sempadan kian ketat, mereka dilihat mula mencari cara alternatif untuk melaksanakan kerja haram tersebut,” katanya.

    Tambahnya, kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan kes diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar untuk tindakan lanjut.