Oleh RIZQI ZABIDI

BATALION 1 Pasukan Gerakan Am (PGA) Hulu Kinta, Perak yang ditugaskan mengawal sempadan Malaysia Thailand di Bukit Kayu Hitam, Kedah, berjaya menggagalkan cubaan menyeludup daun ketum seberat lebih tiga tan ke negara jiran semalam.

Penolong Pegawai Pemerintahnya, Deputi Supritendan Ayob Ismail berkata, kejayaan membanteras penyeludupan itu berlaku pada pukul 11.45 malam tadi apabila pasukan risik Kompeni ‘D’ Batalion terserempak dengan lori dipandu seorang lelaki berusia 30-an di Jalan Kuala Kedah.

Melihat keadaan lelaki itu yang berada dalam keadaan mencurigakan katanya, pasukan risik tersebut mengarahkan dia memberhentikan lori tersebut untuk diperiksa.

“Pemandu lori tersebut gagal menunjukkan Mykadnya namun menerusi akuan lisan, dia mendakwa berasal dari Kubang Rotan, Jalan Kuala Kedah.

Sebahagian daripada bungkusan berisi daun ketum yang cuba diseludup ke negara jiran

“Pemeriksaan lanjut di bahagian belakang lori menemukan sejumlah besar beg plastik hitam mengandungi daun hijau disyaki ketum,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Kompleks Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem), hari ini.

Tambahnya, kesemua daun ketum itu dianggarkan bernilai RM96,000.

“Kita percaya daun ketum ini dibawa menggunakan lori dari daerah Padang Terap menuju ke Kuala Kedah untuk diseludup ke negara jiran menggunakan jalan laut.

“Sebelum ini ‘askar semut’ yang menaiki kereta atau motosikal sering digunakan untuk menyeludup ke negara jiran. Namun disebabkan kawalan di pagar sempadan kian ketat, mereka dilihat mula mencari cara alternatif untuk melaksanakan kerja haram tersebut,” katanya.

Tambahnya, kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan kes diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar untuk tindakan lanjut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here