Author: Admin

  • Mahkamah perintah KDN daftarkan Muda dalam tempoh 14 hari

    Mahkamah perintah KDN daftarkan Muda dalam tempoh 14 hari

    MAHKAMAH Tinggi hari ini mengarahkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) membenarkan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) didaftarkan sebagai parti politik dalam tempoh 14 hari, serta membayar kos RM10,000.

    Perkara itu dimaklumkan oleh kumpulan berkenaan menerusi Twitter, lapor Malaysiakini, hari ini.

    Muda sebelum ini mengambil tindakan undang-undang untuk mencabar keputusan Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin yang menolak rayuan kumpulan itu untuk didaftarkan sebagai sebuah parti politik.

  • Mayat bayi bertali pusat dalam tong sampah

    Mayat bayi bertali pusat dalam tong sampah

    SEORANG pekerja pembersihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terkejut apabila menemukan mayat seorang bayi perempuan masih bertali pusat dalam tong sampah berhampiran tempat letak kenderaan bertingkat di flat Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur, semalam.

    Penemuan tersebut kemudian dimaklumkan kepada pihak polis pada pukul 5.50 petang.

    Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui pada mayat bayi berkenaan.

    “Mayat bayi malang ini kemudian dihantar ke Bahagian Forensik, Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HCTM), Cheras, untuk bedah siasat.

    “kita masih menjalankan siasatan lanjut dan tiada tangkapan dilakukan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Muhammad Idzam berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan iaitu menyembunyikan kelahiran dan membuang bayi.

    Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kes pembuangan bayi ini diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras di talian 013-2165881 atau hotline Polis KL di talian 03-21460584 atau datang ke balai polis berhampiran.

  • Bas terbabas rempuh 10 kenderaan lain sebabkan kesesakan teruk

    Bas terbabas rempuh 10 kenderaan lain sebabkan kesesakan teruk

    KEJADIAN kemalangan melibatkan 11 buah kenderaan sehingga menyebabkan kesesakan teruk sejauh kira-kira 15 kilometer di Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan dekat Perai, Pulau Pinang petang tadi berpunca daripada sebuah bas disyaki hilang kawalan.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd. Samad berkata, ekoran itu bas yang dari arah Butterworth menuju ke Ipoh, Perak terbabit merempuh sebuah kenderaan lain di hadapannya.

    Akibat rempuhan itu katanya, bas terbabit kemudian turut melanggar sembilan lagi kenderaan lain yang dalam laluan sama.

    Tambah beliau, beberapa mangsa mengalami kecederaan ringan dalam kejadian itu dan  dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan lanjut.

    “Polis menerima laporan berhubung kejadian tersebut kira-kira pukul 2.40 petang dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan malam ini.

    Sementara itu, Shafee meminta pengguna labuh raya yang menyaksikan kejadian tersebut menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Mohd. Sufi Abdul Razak di talian 013-477 4542 atau 04-538 2222 bagi membantu siasatan.

    Media hari ini melaporkan berlaku kemalangan melibatkan sebuah bas dan beberapa kenderaan lain di lebuh raya itu sehingga menyebabkan kesesakan teruk sejauh kira-kira 15 kilometer.

    Kesesakan yang berlarutan sehingga ke Plaza Tol Sungai Dua, Butterworth sehingga lewat petang tadi itu disebabkan kedua-dua lorong terhalang ekoran kejadian itu.

    Kejadian dikatakan berlaku selepas sebuah bas ekspres dilaporkan melanggar belakang sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire di lorong kanan sebelum melanggar beberapa kenderaan lain di hadapannya.

  • JIM berkas 2 lelaki Bangladesh dalang sindiket palsu dokumen

    JIM berkas 2 lelaki Bangladesh dalang sindiket palsu dokumen

    JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) memberkas dua lelaki warga Bangladesh yang disyaki menjadi dalang sindiket pemalsuan dokumen diberkas dalam operasi khas di sebuah apartment di Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada 6 Disember lalu.

    Operasi tersebut dilakukan pada pukul 11 pagi itu merupakan rentetan daripada tangkapan seorang lelaki warga Myanmar berusia lingkungan 30-an yang merupakan orang perantaraan kepada sindiket berkenaan pada 25 November lalu.

    Menurut Ketua Pengarah JIM, Datuk Khairul Dzaimee Daud, ketika serbuan suspek berusia 34 dan 37 tahun itu sedang menyiapkan tempahan yang diterima iaitu pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dan pasport.

    “Suspek cuba melarikan diri tetapi telah berjaya ditangkap oleh anggota penguat kuasa yang mengepung premis berkenaan.

    “Pemeriksaan di premis tersebut mendapati sebuah bilik telah digunakan untuk menghasilkan pelbagai jenis dokumen palsu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Antara barang yang dirampas dalam operasi khas di sebuah apartment di Wangsa Maju di sini pada 6 Disember lalu.

    Khairul Dzaimee berkata, antara yang dirampas adalah set peralatan komputer, mesin pencetak kad dan beberapa peralatan yang digunakan untuk menghasilkan dokumen palsu.

    “Pemeriksaan lanjut menemui pelekat keselamatan imigresen, kad Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dan pasport pelbagai negara seperti India, Bangladesh, Nepal dan Myanmar yang telah siap dicetak untuk diserahkan kepada pelanggan.

    “Modus operandi sindiket itu adalah menggunakan orang tengah bagi mencari pelanggan yang memerlukan perkhidmatan mereka dengan menyasarkan warga Bangladesh, Myanmar, Nepal dan India,” katanya.

    Beliau berkata, sindiket itu dikesan telah menjalankan kegiatan sejak setahun yang lalu dan mengenakan bayaran antara RM300 hingga RM500 bagi pelekat PLKS, manakala kad CIDB dan pasport pula antara RM100 hingga RM300.

    Katanya, kedua-dua suspek ditahan di Depot Imigresen Semenyih untuk siasatan dan tindakan lanjut.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 55D Akta Imigresen 1959/63 kerana kesalahan menghasilkan dokumen palsu dan seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki pas yang sah,” katanya.

  • Wang simpanan DJ RM419,050 lebur ditipu ‘Inspektor Ling’

    Wang simpanan DJ RM419,050 lebur ditipu ‘Inspektor Ling’

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    WANG simpanan seorang DJ wanita di sebuah Pusat Hiburan sebanyak RM419,050 lebur apabila ditipu ‘Inspektor Ling’ berkaitan tunggakan bil telefon.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Johor, Asisten Komisioner Amran Md Jusin berkata, mangsa berusia 45 tahun membuat laporan polis berhubung kejadian itu di Balai Polis Taman Pelangi, Johor Bahru, semalam.

    Beliau berkata, pengadu menerima panggilan telefon pada 1 Disember lalu, melalui talian telefon rumah daripada lelaki tidak dikenali yang memperkenalkan diri sebagai pegawai Telekom Malaysia.

    “Lelaki itu mengatakan bahawa nama pengadu akan disenarai hitam kerana tunggakan bil telefon belum dijelaskan dan akan menghubungi pengadu semula.

    “Pengadu kemudiannya telah menerima panggilan telefon dari wanita yang memperkenalkan diri sebagai ‘Inspektor Ling’ daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuantan yang memaklumkan boleh membantu pengadu membuat laporan polis secara atas talian.

    “Inspektor Ling kemudian menyatakan telah membuat semakan ke atas nama pengadu dan mendapati pengadu terlibat dalam kegiatan penggubahan wang haram,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Amran memberitahu, ‘Inspektor Ling’ itu kemudian mengarahkan pengadu membuat pemindahan wang ke akaun yang diberikan atas alasan untuk siasatan dan wang itu akan dikembalikan selepas siasatan selesai.

    Katanya, mangsa yang terpedaya dengan kata-kata Inspektor Ling telah membuat 58 transaksi pindahan wang berjumlah RM419,050 ke lapan akaun pelbagai bank antara 2 hingga 9 Disember lalu.

    “Pengadu hanya menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan selepas gagal menghubungi Inspektor Ling selepas bayaran dibuat.

    “Polis mengingatkan kepada orang awam agar sentiasa berhati-hati sekiranya menerima panggilan telefon dari individu tidak dikenali yang mendakwa dari penguatkuasa,” katanya kes disiasat dibawah Seksyen 420 kanun keseksaan.

  • Gonzalo Cabrera tinggalkan JDT

    Gonzalo Cabrera tinggalkan JDT

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PEMAIN kelahiran Argentina, Gonzalo Cabrera tidak lagi akan bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) bagi saingan Liga Malaysia musim depan apabila akan meninggalkan kelab itu.

    Perkara itu diumumkan menerusi satu hantaran di Facebook rasmi kelab, Johor Southern Tigers, hari ini.

    JDT mengesahkan tidak akan menyambung kontrak pemain sayap kiri pasukan itu, Gonzalo Cabrera bagi mengharungi kempen Liga Malaysia (Liga M) dan saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim depan.

    Menerusi kenyataan itu, turut dimuat naik ucapan terima kasih kepada Cabrera atas jasanya sepanjang menyarung jersi Harimau Selatan sejak 2017.

    “Ia pengalaman bersama yang akan sentiasa dikenang, memenangi pelbagai trofi dan menjaringkan begitu banyak gol untuk menjadi penjaring terbanyak kelab berkenaan.

    “Cabrera menjaringkan 43 gol sepanjang bersama JDT dalam saingan Liga Super dan juga 66 gol dalam semua pertandingan menerusi 152 penampilan sejak musim 2017.

    “Sudah tiba masanya untuk berpisah tapi ia penghormatan yang amat besar. Terima kasih sekali lagi untuk setiap detik yang indah dan kami ucapkan selamat maju jaya,” demikian menurut kenyataan itu.

    Sepanjang kariernya bersama JDT, pemain kelahiran Argentina itu membantu pasukan muncul juara liga sejak 2017 hingga 2021 manakala memenangi Piala Sumbangsih dari 2018 hingga 2021.

    Pemain lincah berusia 32 tahun itu turut membantu skuad Harimau Selatan muncul juara Piala Malaysia 2017 dan 2019.

    Sebelum ini, nama Cabrera dicanang untuk dijadikan pemain naturalisasi bagi memperkuat skuad Harimau Malaya setelah berada di negara melebihi tempoh lima tahun.

    Berita perpindahan Cabrera itu bakal membuka ruang buat pasukan untuk membawa masuk pemain import baharu bagi menguatkan jentera serangan namun belum ada sebarang perkembangan terkini mengenainya.

  • Hanya 20 saat, dua lelaki berjaya larikan jam tangan bernilai jutaan dolar

    Hanya 20 saat, dua lelaki berjaya larikan jam tangan bernilai jutaan dolar

    BAGAI babak dalam sebuah filem aksi, dua lelaki yang memecah masuk ke ruang pameran kereta mewah di Chicago, Amerika Syarikat berjaya mencuri sekurang-kurangnya lapan utas jam tangan berjenama mewah yang bernilai jutaan dolar dalam masa hanya 20 saat.

    Rompakan tersebut berlaku di ruang pameran Gold Coast Auto Gallery yang mempamerkan kereta Bentley, Lamborghini dan Rolls-Royce.

    Menerusi video berdurasi 21 saat yang dikongsikan MailOnline, dapat dilihat seorang daripada mereka berdiri di hadapan pintu sambil memegang sepucuk pistol, manakala seorang lagi memecahkan bekas pameran yang menempatkan jam tangan jenama mewah dan berjaya membawa lari sekurang-kurangnya lapan daripadanya.

    Seramai 10 pelanggan termasuk kanak-kanak dilaporkan berada di dalam premis itu semasa kejadian pada petang Sabtu.

    Pekerja-pekerja premis itu dilaporkan cuba mengejar dua perompak tersebut namun gagal menangkap mereka.

    “Kami mengejar mereka di sepanjang jalan, namun mereka kemudiannya berpecah,” kata pemilik bersama bilik pameran tersebut, Joe Abbas.

    Menurut laporan media tempatan, pemilik ruang pameran Gold Coast, Joe Perillo berkata, pemerintah dan pihak berkuasa perlu mengambil tindakan atau perniagaan tersebut akan meninggalkan bandar itu.

    “Jika mereka tidak melakukan apa-apa mengenai perkara ini, mereka akan kehilangan banyak perniagaan.

    “Mereka kehilangan Macy, Neiman Marcus dan mereka mungkin akan kehilangan ruang pameran ini,” katanya.

    Perillo turut mengambil langkah berjaga-jaga dengan meningkatkan keselamatan di ruang pameran tersebut dan merancang untuk memastikan pintu sentiasa berkunci walaupun semasa waktu perniagaan.

    Tambahnya, perkhidmatan juga akan dilakukan melalui temu janji sahaja mulai sekarang.

    Nilai dan model jam tangan yang dirompak bagaimanapun tidak didedahkan meskipun barangan tersebut adalah berkaitan kereta mewah yang dipamerkan.

    Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam kejadian tersebut. 

  • Bapa tiga anak bebas tuduhan bunuh pengawal keselamatan

    Bapa tiga anak bebas tuduhan bunuh pengawal keselamatan

    Oleh ABU UBADILLAH RAHMAN

    SEORANG bapa kepada tiga anak dilepas dan dibebaskan Mahkamah Tinggi Johor Bahru hari ini daripada pertuduhan membunuh seorang pengawal keselamatan dalam kejadian di Pasir Gudang, pada Disember 2017.

    Hakim Datuk Abu Bakar Katar membuat keputusan tersebut terhadap M.S. Muthusamy, 58, yang didakwa menyebabkan kematian Ramli Jusoh, 54.

    Muthusamy didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kilang di Jalan Timah, Kawasan Perindustrian Pasir Gudang antara pukul 9 hingga 10 pagi pada 16 Disember 2017.

    Atas perbuatan itu, dia dibawa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati sekiranya disabitkan bersalah.

    Dalam penghakimannya, Abu Bakar memberitahu mahkamah telah melihat dengan teliti bukti dipersembahkan sepanjang prosiding kes berkenaan.

    Katanya, pendakwaan bergantung kepada bukti persekitaran di mana tertuduh merupakan individu terakhir yang dilihat bersama si mati.

    “Walaubagaimanapun, mahkamah telah mempertingkatkan tempoh sepanjang 13 jam sebelum Ramli ditemui mati sebagai tempoh masa terlalu lama untuk mengaitkan tertuduh dengan jenayah berkenaan.

    “Pertemuan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang tidak dikenali di atas dua batang kayu yang mungkin digunakan sebagai senjata turut mempengaruhi keputusan mahkamah.

    “Melihat kepada bukti secara keseluruhannya, pendakwaan dilihat gagal membuktikan kes prima facie bahawa tertuduh yang menyebabkan kecederaan sehingga mangsa maut,” katanya.

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syafiq Mohd. Ghazali manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd. Daud Ismail dan Hang Lee Ying.

  • Tasik Cermin ditutup mulai hari ini susulan tular lelaki terjun

    Tasik Cermin ditutup mulai hari ini susulan tular lelaki terjun

    TASIK Cermin di Ipoh, Perak yang sering menjadi tumpuan pelancong kerana keindahan alam semula jadinya, ditutup bermula hari ini gara-gara tular video menunjukkan seorang lelaki terjun ke dalam tasik berkenaan.

    Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata kawasan tersebut ditutup sehingga siasatan kes itu selesai dijalankan dan pembukaan semula untuk kunjungan pelancong akan diumumkan kepada orang ramai.

    “Majlis Perbandaran Ipoh (MBI) telah menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat kejadian itu dan kes masih dalam siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

    Katanya identiti pelaku masih dalam siasatan dan tindakan akan dikenakan mengikut undang-undang pihak berkuasa tempatan yang bersesuaian.

    Kawasan Tasik Cermin berada di bawah pengurusan Geopark Kinta dan orang ramai tidak dibenarkan mandi-manda di kawasan tasik berkenaan.

    Baru-baru ini, video berdurasi 15 saat menunjukkan seorang lelaki berpakaian serba hitam terjun ke dalam tasik berkenaan tular di aplikasi TikTok.

    Rata-rata netizen meluahkan rasa kurang senang dengan tindakan lelaki itu kerana perbuatannya itu boleh menyebabkan kawasan rekreasi itu ditutup kepada pengunjung.

    Sebelum ini, Tasik Cermin pernah ditutup kepada pengunjung pada Mac tahun lalu atas faktor keselamatan.–Bernama

  • Konsep ‘Sekolahku Sejahtera’ bendung gejala buli

    Konsep ‘Sekolahku Sejahtera’ bendung gejala buli

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) dalam peringkat akhir sesi libat urus berkaitan pengenalan konsep ‘Sekolahku Sejahtera’ yang antara lain bagi membendung gejala buli dalam kalangan pelajar sekolah.

    Menteri Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata konsep itu bukan untuk dijadikan sebagai mata pelajaran baharu sebaliknya ia merupakan penerapan nilai murni kepada pelajar sewaktu mereka berada di peringkat awal persekolahan.

    “Jika kita lihat antara komponen dalam konteks buli ini sebagai contoh, apabila ramai anak-anak kita yang tidak bertindak secara rasional, masing-masing mengambil tindakan merasakan mereka dalam kelompok yang ramai, mereka boleh membuli sahabat-sahabat lain.

    “Mereka ini menyebabkan antara punca yang membawa kepada keadaan pada hari ini, anak-anak kita tidak mengambil kira bahawa apa yang dilakukan itu adalah sesuatu yang tidak betul. Begitu juga rasa empati, rasa memahami apakah perasaan mereka yang dibuli atau dipukul,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 peringkat Jawatankuasa bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.

    Radzi berkata konsep ‘Sekolahku Sejahtera’ mempunyai 14 elemen dengan guru akan menerapkan elemen itu secara tidak langsung di dalam kelas yang dibuat secara alami atau natural.

    Katanya, pelajar ketika ini tidak didedahkan di peringkat awal tentang keperluan untuk membuat sesuatu keputusan dengan rasional, iaitu kesan besar gejala buli terhadap diri sendiri, keluarga dan masa depan mereka termasuk kepada mangsa yang dibuli.

    “Insya-Allah, dalam masa terdekat kita akan turun ke bawah menceritakan bahawa pada masa ini, kita mahukan anak-anak kita bukan sahaja menumpukan pada pendidikan akademik semata-mata, tetapi mereka memahami konsep penting dalam kehidupan,” katanya.

    Rang undang-undang yang memperuntukkan RM47,590,933,700 dalam Bajet 2022 bagi KPM diluluskan dengan lebih suara menyokong setelah dibahas lebih 20 Ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang serta Bebas. – Bernama