KEJADIAN kemalangan melibatkan 11 buah kenderaan sehingga menyebabkan kesesakan teruk sejauh kira-kira 15 kilometer di Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan dekat Perai, Pulau Pinang petang tadi berpunca daripada sebuah bas disyaki hilang kawalan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd. Samad berkata, ekoran itu bas yang dari arah Butterworth menuju ke Ipoh, Perak terbabit merempuh sebuah kenderaan lain di hadapannya.

Akibat rempuhan itu katanya, bas terbabit kemudian turut melanggar sembilan lagi kenderaan lain yang dalam laluan sama.

Tambah beliau, beberapa mangsa mengalami kecederaan ringan dalam kejadian itu dan  dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan lanjut.

“Polis menerima laporan berhubung kejadian tersebut kira-kira pukul 2.40 petang dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Sementara itu, Shafee meminta pengguna labuh raya yang menyaksikan kejadian tersebut menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Mohd. Sufi Abdul Razak di talian 013-477 4542 atau 04-538 2222 bagi membantu siasatan.

Media hari ini melaporkan berlaku kemalangan melibatkan sebuah bas dan beberapa kenderaan lain di lebuh raya itu sehingga menyebabkan kesesakan teruk sejauh kira-kira 15 kilometer.

Kesesakan yang berlarutan sehingga ke Plaza Tol Sungai Dua, Butterworth sehingga lewat petang tadi itu disebabkan kedua-dua lorong terhalang ekoran kejadian itu.

Kejadian dikatakan berlaku selepas sebuah bas ekspres dilaporkan melanggar belakang sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire di lorong kanan sebelum melanggar beberapa kenderaan lain di hadapannya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here