KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) dalam peringkat akhir sesi libat urus berkaitan pengenalan konsep ‘Sekolahku Sejahtera’ yang antara lain bagi membendung gejala buli dalam kalangan pelajar sekolah.

Menteri Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata konsep itu bukan untuk dijadikan sebagai mata pelajaran baharu sebaliknya ia merupakan penerapan nilai murni kepada pelajar sewaktu mereka berada di peringkat awal persekolahan.

“Jika kita lihat antara komponen dalam konteks buli ini sebagai contoh, apabila ramai anak-anak kita yang tidak bertindak secara rasional, masing-masing mengambil tindakan merasakan mereka dalam kelompok yang ramai, mereka boleh membuli sahabat-sahabat lain.

“Mereka ini menyebabkan antara punca yang membawa kepada keadaan pada hari ini, anak-anak kita tidak mengambil kira bahawa apa yang dilakukan itu adalah sesuatu yang tidak betul. Begitu juga rasa empati, rasa memahami apakah perasaan mereka yang dibuli atau dipukul,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 peringkat Jawatankuasa bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.

Radzi berkata konsep ‘Sekolahku Sejahtera’ mempunyai 14 elemen dengan guru akan menerapkan elemen itu secara tidak langsung di dalam kelas yang dibuat secara alami atau natural.

Katanya, pelajar ketika ini tidak didedahkan di peringkat awal tentang keperluan untuk membuat sesuatu keputusan dengan rasional, iaitu kesan besar gejala buli terhadap diri sendiri, keluarga dan masa depan mereka termasuk kepada mangsa yang dibuli.

“Insya-Allah, dalam masa terdekat kita akan turun ke bawah menceritakan bahawa pada masa ini, kita mahukan anak-anak kita bukan sahaja menumpukan pada pendidikan akademik semata-mata, tetapi mereka memahami konsep penting dalam kehidupan,” katanya.

Rang undang-undang yang memperuntukkan RM47,590,933,700 dalam Bajet 2022 bagi KPM diluluskan dengan lebih suara menyokong setelah dibahas lebih 20 Ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang serta Bebas. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here