Author: Admin

  • Bot karam:10 PATI maut, 29 masih hilang

    Bot karam:10 PATI maut, 29 masih hilang

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SERAMAI 10 pendatang asing tanpa izin (PATI) mati lemas manakala 21 lagi selamat selepas bot yang dinaiki karam di Tanjung Balau, Kota Tinggi, hari ini.

    Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, pihak Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru menerima panggilan kejadian itu pada pukul 4.30 pagi.

    Satu daripada mayat lelaki dewasa yang ditemukan lemas

    “Sebuah bot yang membawa 60 PATI dilapor karam akibat cuaca buruk di Tanjung Balau. Seramai 21 orang dilaporkan selamat dan 10 mayat telah ditemui pasukan Tentera Darat Malaysia (TDM).

    “Seramai 29 mangsa masih tidak ditemui,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

    Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan pukul 8.50 pagi dengan mengatur gerak pesawat AW 139 AGUSTA, kapal KM TEGAS dan bot Petir 50 bagi mengesan dan mencari baki mangsa yang terlibat.

    Seramai 10 PATI ditemukan lemas manakala 29 lagi masih hilang dan operasi mencari dan menyelamat diteruskan pagi ini

    Sementara itu, Ketua Bomba Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor, Al Hasra Mohamed berkata, seramai tujuh anggota bersama-sama 40 anggota TDM dikejarkan ke tempat kejadian.

    “10 mayat yang ditemukan itu terdiri daripada empat wanita dan enam lelaki manakala 21 mangsa yagn terselamat terdiri daripada 19 lelaki dan dua wanita,” katanya dalam satu kenyataan.

  • ‘Bisikan syaitan politik’ gagalkan usaha satukan ummah

    ‘Bisikan syaitan politik’ gagalkan usaha satukan ummah

    ISU Muafakat Nasional masih hangat diperdebatkan. Berikutan itu Majlis Syura Ulama Pas akan mengadakan perbincangan pada 18 Disember ini.

    Tidak perlu berselindung lagi, di dalam Pas ada dua kelompok – satu kelompok mahukan Muafakat Nasional yang hanya melibatkan parti itu dengan UMNO dan satu lagi kelompok mahukan ketiga-tiga parti Melayu berada dalam satu muafakat. Tetapi sekali lagi tidak perlu berlapik untuk menyatakan di dalam Pas kelompok yang menyokong Muafakat Nasional bersama UMNO jauh lebih kuat berbanding satu lagi kelompok.

    Tindakan Pas yang menjadi anggota rasmi Perikatan Nasional dikatakan menimbulkan perasaan tidak puas hati dalam kalangan segelintir ahli dan pemimpin parti tersebut. Atas sebab itulah kita menyaksikan ada pemimpin Pas secara terus-terang mahukan Pas bersama mempertahankan Muafakat Nasional sebaik sahaja Pilihan Raya Negeri Melaka berakhir pada 20 November lalu.

    Bagaimanapun ketegasan Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mahukan Bersatu turut bersama dalam agenda perpaduan ummah menyebabkan ada pemimpin Pas tidak berpuas hati. Walaupun ada antara mereka dilihat membuat kenyataan seperti menyokong pendirian Abdul Hadi namun di belakang hanya Allah SWT mahu mengetahui.

    Firman Allah SWT;

    ‘’Dan sesungguhnya Tuhanmu sedia mengetahui apa yang terpendam dalam hati mereka dan apa yang mereka nyatakan (dengan tutur kata dan perbuatan)’’ – An-Naml ayat ayat 74

    Pada masa sama, UMNO yang cuba mencari jalan selamat dengan menyerahkan kepada Pas membuat  keputusan berhubung Muafakat Nasional kini berada dalam dilema apabila pucuk pimpinan Pas tetap mahu Bersatu dalam permuafakatan itu.

    Semua orang tahu UMNO sama sekali tidak boleh menerima Bersatu. Walaupun UMNO mendabik dada mempunyai jumlah ahli lebih 3 juta orang dan begitu gah apabila menang selesa di PRN Melaka, namun mereka tetap takut dengan kehadiran Bersatu/Perikatan Nasional.

    Anehnya, ada dalam kalangan mereka juga mendakwa Bersatu tidak ada ahli, cawangan pun tak ada, bahagian pun tidak banyak mana dan jentera pilihan raya pun tidak wujud. Kalau itulah hujahnya kenapa ada segelintir pemimpin UMNO begitu takut kepada Bersatu?

    Kenapa terlalu membenci Tan Sri Muhyiddin Yassin? Adakah mereka bimbang kehadiran Bersatu boleh menggugat peluang UMNO dalam PRU-15? Kalaulah percaturan politik menjadi kebimbangan dan Muafakat Nasional dianggap eksklusif hanya untuk Pas dan UMNO sahaja apa kata tukar sahaja kepada Muafakat Ummah.

    Permuafakatan ini tidak ada unsur-unsur politik tetapi kesepakatan bagi mewujudkan persefahaman antara parti-parti Melayu untuk bersama mempertahankan perkara-perkara berkaitan orang Melayu dan Islam. Soal kerusi pilihan raya, apa yang berlaku di Melaka boleh menjadi contoh, masing-masing bertanding mengikut kesepakatan sendiri. Contohnya, Bersatu dan Pas tidak bertembung begitu juga Pas dan UMNO pun tidak bertembung.

    Sebelum ini pun Presiden UMNO Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi pernah melontarkan pandangan supaya parti itu bertanding solo dan sama ada hendak bekerjasama atau bergabung dengan mana-mana parti-parti bagi menubuhkan kerajaan boleh dibincangkan selepas keputusan pilihan raya diketahui.

    Kalaulah formula itu digunakan sudah tentu semua parti berhak mempersiapkan pemimpin mereka menjadi Perdana Menteri tidak kiralah UMNO, Pas mahupun Bersatu. Tetapi adakah UMNO mahu keadaan itu berlaku? Sekarang inipun UMNO/Barisan Nasional masih mempertahankan dan berhasrat untuk menjadi parti dominan dalam PRU-15 nanti, oleh itu adakah mereka akan bersedia dengan formula ‘bertanding dulu, bincang kemudian’?

    Kalau sikap mahu dominan masih menebal dalam kalangan sesetengah pemimpin UMNO dengan alasan demi kestabilan politik, bagaimanakah segelintir Pas begitu mempercayai menjalin hubungan dengan UMNO, jauh lebih beruntung daripada berbaik-baik dengan Bersatu?

    Adakah pemimpin-pemimpin UMNO yang mahu terus mempertahankan Muafakat Nasional kerana kepentingan ummah atau demi keuntungan politik? Adakah ia benar-benar mahu memastikan umat Islam tidak berpecah belah atau merasakan dengan sokongan pengikut Pas mereka boleh meraih keuntungan?

    Penulis akan mengulas lanjut dalam artikel seterusnya tetapi buat masa ini, usaha perlu dilakukan untuk menyatukan ketiga-tiga parti Melayu tersebut.

    Penulis percaya Bersatu tidak ada masalah dan bersedia bekerjasama dengan UMNO seperti mana pendirian beberapa pemimpin UMNO yang tetapi cenderung  mahukan  penyatuan ummah melibatkan Bersatu. Tetapi penulis yakin dalam kalangan segelintir pemimpin UMNO, mereka mempunyai dendam kesumat kepada Bersatu. Walaupun jumlah mereka tidak ramai dan ada antaranya bertanding dalam pilihan raya pun kalah, namun suara mereka dilihat dominan.

    Tambahan pula apabila Ahmad Zahid sendiri dilihat lebih cenderung mahukan  UMNO/BN bertanding solo seperti mana PRN Melaka tetapi kalau keputusan PRN Melaka mahu dijadikan sandaran maka parti itu ibarat ‘menggali kubur sendiri’.

    Apapun sebagai orang Melayu, penulis masih mengharapkan akan wujud penyatuan ummah antara ketiga-tiga parti tersebut. Ia bukanlah sukar tetapi malangnya ia dihalang akibat ada pemimpin-pemimpin Melayu yang terus terpengaruh dengan ‘bisikan syaitan politik’.

    Akibat terpengaruh dengan ‘bisikan’ inilah terlalu sukar untuk kita menyatukan orang Melayu dan parti Melayu biar atas nama apapun. Siapakah yang sering terpengaruh dengan ‘bisikan syaitan politik’ itu? Kajilah sendiri…

  • 7 maut, 4 cedera kenderaan seludup PATI kemalangan

    7 maut, 4 cedera kenderaan seludup PATI kemalangan

    TUJUH pendatang asing tanpa izin (PATI) maut manakala empat lagi cedera selepas kenderaan membawa mereka melanggar sebuah kedai bunga di Hungary selepas mengelak mengelak pemeriksaan polis lewat semalam.

    Kenderaan dipandu warga Serbia itu terbabas lalu merempuh sebuah kedai bunga dan pemandu berkenaan ditahan hari ini.

    Menurut polis, lelaki itu didakwa memecut kenderaan yang didaftar di Serbia itu untuk mengelak pemeriksaan polis, namun kemalangan di Morahalom, pekan di sempadan Hungary-Serbia.

    Tiada maklumat lanjut diberikan, bagaimanapun terdapat gambar kemalangan yang menyaksikan sebahagian dinding kedai bunga itu rosak, namun polis menyatakan tiada sesiapa di dalamnya cedera.

    Tragedi paling buruk membabitkan PATI sebelum ini berlaku di Hungary, di mana 71 PATI ditemui mati akibat sesak nafas dalam sebuah trak yang ditinggalkan di lebuh raya Austria.

    Pada 2019, mahkamah Hungary menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup berhubung kematian itu. – AFP

  • Perhalusi SOP kemasukan lebih ramai pekerja asing, termasuk pembantu rumah – Hishammuddin

    Perhalusi SOP kemasukan lebih ramai pekerja asing, termasuk pembantu rumah – Hishammuddin

    MESYUARAT menteri Kuartet COVID-19 sudah diarahkan Kabinet untuk memperhalusi prosedur operasi standard (SOP) kemasukan pekerja asing dalam pelbagai lagi sektor, termasuk pembantu rumah.

    Menurut Pengerusi Menteri Kuartet COVID-19, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, sebahagian pengusaha mengalami kesukaran untuk merancakkan semula perniagaan, kerana kekurangan pekerja susulan SOP sedia ada yang agak ketat.

    “Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan telah hadir menjelaskan situasi sebenar, seterusnya mencadangkan pendekatan bersesuaian bagi menangani situasi berkenaan.

    “Penting untuk saya tegaskan, di pihak Mesyuarat Kuartet, fokusnya hanyalah terhadap penambahbaikan dari sudut pra pelepasan, semasa ketibaan, selepas ketibaan (tempoh kuarantin) dan pasca kuarantin.

    “Untuk menentukan jumlah kemasukan pekerja asing, ia bukan di bawah bidang kuasa Mesyuarat Kuartet sebaliknya di bawah bidang kuasa Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Dalam Negeri,” ujar Menteri Kanan Pertahanan itu di Bangunan Parlimen hari ini.

    Hishammuddin berkata, SOP baharu tersebut telahpun tersedia dan diselaraskan, namun ia banyak bergantung kepada jumlah kuota yang diluluskan oleh Jawatankuasa Bersama Antara Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia Mengenai Pengurusan Pekerja Asing.

    Beliau berkata, penyediaan SOP berkenaan juga sedikit sebanyak terkait dengan penularan varian baharu COVID-19, iaitu Omicron di beberapa negara.

  • Lebih 5,000 PATI cuba masuk Malaysia ditahan

    Lebih 5,000 PATI cuba masuk Malaysia ditahan

    PASUKAN Gerakan Am (PGA) merekodkan sebanyak 5,862 tangkapan individu membabitkan kes kemasukan pendatang tanpa izin dengan nilai rampasan sekitar RM366 juta sejak tahun lepas.

    Komander Briged Tengah Pasukan Gerakan Am, Senior Asisten Komisioner Muhammad Abdul Halim berkata, jumlah itu diperoleh melalui operasi diadakan di sekitar perairan negeri Selangor yang menjadi tumpuan pendaratan pendatang tanpa izin.

    Beliau berkata, operasi terbabit turut membawa kepada tangkapan tekong darat serta laut selain penemuan rumah-rumah apungan yang menjadi tempat persembunyian pendatang tanpa izin itu.

    “Kejayaan tersebut melibatkan kesemua 5 Briged PGA seluruh negara dan turut mendapat kerjasama pelbagai agensi di bawah Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) yang turut serta dalam menghasilkan tangkapan yang berkualiti,” katanya menerusi program Koresponden Bernama.

    Muhammad berkata, PGA akan turut melaksanakan satu operasi khas dalam mengekang kemasukan pendatang tanpa izin di sekitar perairan negeri Selangor dalam masa terdekat.

    Beliau berkata, terdapat banyak titik pendaratan tanpa izin serta lorong tikus di Kuala Lumpur bermula dari sempadan Sungai Lang di utara Selangor yang bersempadanan dengan Perak sehingga Sepang yang bersempadanan dengan Negeri Sembilan.

    “Berikutan ia menjadi lokasi tumpuan mereka untuk memasuki negara, pihak kami akan menggandakan operasi itu,” katanya. – Bernama

  • Bekalan cukup, tidak perlu kurangkan eksport ke Singapura

    Bekalan cukup, tidak perlu kurangkan eksport ke Singapura

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    KERAJAAN tidak perlu mengurangkan apatah lagi menghentikan eksport barangan keperluan harian ke Singapura ekoran peningkatan harga yang dilaporkan berlaku memandangkan bekalan di negara ini mencukupi.

    Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Johor, Dr. Chong Fat Full berkata, faktor kenaikan harga yang berlaku bukan kerana kekurangan bekalan asas sebaliknya harga kos yang meningkat.

    Malah, aktiviti eksport ke Singapura juga perlu terus dilakukan bagi mematuhi kontrak yang telah dipersetujui sebelum ini.

    “Kita perlu faham bahawa kenaikan harga barangan yang berlaku ketika ini bukan disebabkan kurangnya bekalan di pasaran tetapi kerana kenaikan harga kos seperti baja dan racun.

    “Buktinya kita boleh lihat kesemua barangan itu ada dijual di pasaran tempatan dan mudah diperolehi, cuma harganya sahaja dijual agak mahal berbanding biasa.

    “Oleh itu tiada keperluan mengurangkan eksport ke Singapura, namun jika benar berlaku kekurangan barangan keperluan, sudah pasti kita akan utamakan keperluan tempatan dahulu,” katanya selepas melawat Projek Aquagro di Kota Masai, hari ini.

    Mengulas lanjut, kata Fat Full, kerajaan juga tidak sewajarnya terlalu mencampuri urusan penjualan barangan sehingga menyebabkan golongan peniaga tidak mendapat sebarang keuntungan.

    “Buat masa ini kerajaan tidak masuk campur kerana golongan peniaga perlu diberi ruang untuk mendapat keuntungan, jika tiada keuntungan dikhuatiri tidak ada mana-mana pihak yang akan berniaga.

    “Jadi kerajaan hanya akan masuk campur apabila perlu sahaja bagi memastikan situasi menang-menang kepada semua pihak,” ujarnya.

  • Rosmah gagal mohon hakim tarik diri dengar perbicaraannya

    Rosmah gagal mohon hakim tarik diri dengar perbicaraannya

    KES pengubahan wang haram dan pengelakan cukai Datin Seri Rosmah Mansor akan didengar di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mendengar kes rasuahnya berkaitan projek tenaga solar untuk sekolah luar bandar di Sarawak.

    Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan pada Selasa menolak permohonan Rosmah supaya beliau menarik diri daripada mendengar kes pengubahan wang haram dan gagal mengisytiharkan cukai yang dihadapinya.

    Mahkamah menetapkan perbicaraan bermula pada 12 Januari 2022.

    Hakim Mohamed Zaini berkata, beliau akan memastikan isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu, tidak akan diprejudis dalam kes pengubahan wang haram apabila rujukan dibuat kepada kenyataan dalam kes rasuah projek solar kerana hakim dikehendaki mempertimbangkan secara berasingan dan secara bebas keterangan terhadap tertuduh.

    “Sebarang dapatan yang saya buat dalam kes solar kekal di sana. Lagipun adalah menjadi tanggungjawab saya atau mana-mana hakim, untuk memastikan tertuduh atau mana-mana tertuduh, dibicarakan secara adil seperti yang termaktub di bawah Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

    Beliau juga memetik keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Pendakwa Raya lawan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang memutuskan bahawa seorang hakim, tidak seperti juri, dilatih dalam undang-undang untuk tidak berat sebelah.

    Hakim berkata, dakwaan Rosmah mungkin berlaku prejudis kerana beliau (Hakim Mohamed Zaini) akan membuat perbandingan antara kenyataan dan pembelaannya dalam kes ini, adalah tidak berasas.

    “Dalam kes solar, apabila membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk menerima kenyataan bagi mencabar tertuduh, saya memutuskan bahawa tiada soalan perlu ditanya berkaitan fakta kes pengubahan wang haram di sini.

    “Semasa membuat keputusan itu, saya memutuskan bahawa nilai probatif bagi isu-isu yang ingin dikemukakan oleh pihak pendakwaan tidak melebihi kesan prejudis yang mungkin dialami oleh tertuduh.

    “Dalam apa jua keadaan, peguam responden (Rosmah) semasa membuat penghujahan, meyakinkan saya bahawa isu yang ingin dikemukakan oleh pihak pendakwaan berhubung kenyataan dalam kes solar tidak mempunyai kaitan dengan isu dalam kes ini,” katanya.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram manakala Rosmah yang tidak hadir di mahkamah hari ini diwakili peguam Datuk Geethan Ram Vincent.

    Pada 2 November, Rosmah memfailkan permohonan supaya Hakim Mohamed Zaini menarik diri daripada mendengar kes pengubahan wang haram dan gagal mengisytiharkan pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) atas alasan keterangan dan eksibit telah dikemukakan di mahkamah dalam perbicaraan kes solar itu boleh secara langsung atau tidak langsung boleh mempengaruhi hakim dalam kes pengubahan wang haram tersebut.

    Rosmah, 70, berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750, serta lima pertuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada LHDN.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di sini, antara 4 Dis 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini dari 1 Mei 2014 hingga 1 Mei 2018.

    Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Rosmah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta  Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama.

    Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang lima kali ganda nilai aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Pertuduhan mengelakkan cukai pula dibuat mengikut Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 yang menuntut Rosmah mengemukakan penyata pendapatan bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri pada atau sebelum 30 April 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018 dengan tiada sebab yang munasabah yang bertentangan dengan Seksyen 112 akta sama. – Bernama
     

  • 5,000 ahli bersekutu Bersatu di Johor

    5,000 ahli bersekutu Bersatu di Johor

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    JUMLAH keahlian Sayap Bersekutu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Johor kini sudah mencecah 5,000 orang yang menandakan parti diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin itu semakin diterima ramai termasuk dalam kalangan bukan bumiputera.

    Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPN) Bersatu, Dr. Chong Fat Full berkata, penerimaan terhadap parti berkenaan oleh masyarakat bukan Melayu menjadi faktor agar sayap berkenaan dilebarkan ke negeri-negeri lain.

    Katanya, setakat ini selain Johor, Sabah juga memiliki keanggotaan dalam kalangan ahli bukan bumiputera yang ramai sejak ia ditubuhkan.

    “Sayap Bersekutu Bersatu sudah mengadakan perbincangan baru-baru ini agar kita membuat lebih banyak promosi yang bertujuan untuk memaklumkan kepada orang ramai bahawa mereka ada pilihan baharu.

    “Kita mahu orang tahu bahawa Bersatu sudah ada satu sayap baharu untuk rakyat Malaysia bukan bumiputera yang secara tidak langsung akan membantu masyarakat melihat parti ini dengan perspektif baharu.

    “Bersatu bukan lagi alternatif kepada UMNO atau tempat berkumpulnya bekas ahli UMNO, ia sudah tidak sama. Kita sudah masuk elemen kepelbagaian kaum,” katanya ketika ditemui selepas melawat Projek Aquagro di Kawasan Rukun Tetangga Kota Masai, di sini hari ini.

    Fat Full yang juga Naib Ketua Sayap Bersekutu Bersatu Pusat dan Ketua Bersekutu Bersatu Johor berkata, pihaknya akan mengadakan siri jelajah di semua negeri bagi mempromosikan lagi sayap itu termasuk di Kedah, Melaka, Pahang, Selangor dan Wilayah Persekutuan.

    “Malah, semasa kita menyediakan senarai ahli, kita agak berhati-hati kerana mahu memastikan ahli adalah orang yang akan menyokong perjuangan parti dan bukan mudah keluar selepas itu,” ujarnya.

    Sementara itu, ujar Fat Full, pihaknya bercadang untuk menggunakan nama Kesatria sebagai nama rasmi bagi sayap baharu tersebut.

    “Ini sesuatu yang belum diumumkan dan belum rasmi, masih cadangan. Kita ada Armada, Srikandi, jadi nama Sayap Bersekutu pelik sikit, jadi ada cadangan untuk menggunakan nama Kesatria.

    “Kesatria merupakan perkataan Sanskrit yang membawa maksud pahlawan, tetapi ini kena dapat persetujuan pusat, kita akan cadangkan dan bawa ke mesyuarat MPT Bersatu,” katanya.

  • Kurikulum pendidikan agama, moral di sekolah gagal punca kes buli

    Kurikulum pendidikan agama, moral di sekolah gagal punca kes buli

    PERBUATAN buli yang terus berlaku dari semasa ke semasa menunjukkan kurikulum pendidikan agama dan moral yang digunakan di sekolah-sekolah kebangsaan selama ini gagal atau kurang berkesan dalam pembentukan sahsiah pelajar.

    Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Mohd. Noor berkata, ia juga berkait rapat dengan ketandusan nilai akhlak dan kepincangan adab kesopanan dalam kalangan sebahagian pelajar yang perlu dicari jalan penyelesaian segera oleh pihak berwajib terutama Kementerian Pendidikan.

    Menurut beliau, pihak kementerian terbabit perlu berusaha ke arah menambah baik kurikulum pendidikan akhlak atau moral di sekolah termasuk dari sudut amalan atau praktikal supaya lebih berkesan dalam pembentukan sahsiah pelajar.

    “Kita tidak seharusnya memandang remeh kepada pendidikan agama dan moral kerana jika diselidiki secara jujur akan terbukti gejala buli adalah berpunca daripada kekeringan nilai akhlak dan adab pelajar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Ujar beliau, walaupun ibu bapa juga patut dipertanggungjawabkan kerana menyerahkan pendidikan moral anak-anak sepenuhnya kepada sekolah, namun adalah tidak wajar untuk menuding jari kepada mana-mana pihak dalam isu tersebut.

    “Ini kerana tanggungjawab dalam pendidikan moral atau akhlak perlu dipikul bersama oleh ibu bapa, sekolah, masyarakat malah termasuk juga pihak media,” katanya.

    Dalam pada itu, beliau turut menyarankan para penyelia asrama dilantik daripada kalangan mereka yang berakhlak mulia dan terlatih dalam kemahiran kaunseling.

    Ia katanya, supaya dapat dijadikan contoh kepada pelajar di samping memainkan peranan membimbing pelajar dalam menghayati nilai-nilai moral yang terpuji dalam kehidupan dan pergaulan.

    Jawatankuasa Disiplin Maktab (JDM) hari ini menamatkan pengajian 10 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Kangsar, Perak yang dikenal pasti terlibat dalam kes buli yang tular di dalam media sosial baru-baru ini.

  • Pemancing maut akibat bot terbalik

    Pemancing maut akibat bot terbalik

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG pemancing maut apabila bot dinaikinya terbalik di kedudukan 5.5 batu nautika, barat daya Jeti Tanjung Dawai dekat Merbok, hari ini.

    Menurut Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak, kejadian itu mengakibatkan mangsa, Muhamad Ridhwan Mokhtar, 38, meninggal dunia di lokasi kejadian.

    Katanya, selain mangsa terdapat lima lagi individu yang menaiki bot tersebut namun kesemua yang lain selamat dengan hanya seorang mengalami kecederaan ringan.

    pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu dari pemilik bot tersebut pukul 11.15 pagi yang memaklumkan mengenai kehilangan mangsa.

    “Pihak kami menerima panggilan mengenai kejadian itu dari pemilik bot tersebut pukul 11.15 pagi yang memaklumkan mengenai kehilangan mangsa. Sebaik menerima panggilan itu, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi terus mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) pada pukul 11.35 pagi.

    Kejadian bot terbalik mengakibatkan mangsa, Muhamad Ridhwan Mokhtar, 38, meninggal dunia di lokasi kejadian.

    “Bot Perkasa 1221 Maritim Pulau Pinang dan Bot Perkasa 1226 Zon Maritim Kuala Kedah diatur gerak ke lokasi kejadian. Setibanya di lokasi tersebut, bot pemancing dinaiki enam individu berkenaan didapati berada dalam keadaan terbalik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Lima individu yang cedera terdiri daripada tekong bot tersebut, Che Roslan Hashim, 49, manakala empat pemancing lain adalah Mohd. Firdaus Zainal Abidin, 36; Engku Mohamad Farizam Fadilah,19; Zulkifli Ahmad, 45; dan Hafizul Ajis Samsudin, 31.

    Tambahnya, kesemua pemancin tersebut termasuk mangsa yang lemas ditemui dalam keadaan memakai jaket keselamatan.

    “Mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut manakala empat lagi mangsa yang tidak mengalami kecederaan dibenarkan pulang bersama waris masing-masing.

    “Seorang lagi mangsa yang cedera ringan pula telah terlebih dulu dibawa bot nelayan tempatan ke Jeti berhampiran sebelum dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani untuk diberikan rawatan,” katanya.