PERBUATAN buli yang terus berlaku dari semasa ke semasa menunjukkan kurikulum pendidikan agama dan moral yang digunakan di sekolah-sekolah kebangsaan selama ini gagal atau kurang berkesan dalam pembentukan sahsiah pelajar.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Mohd. Noor berkata, ia juga berkait rapat dengan ketandusan nilai akhlak dan kepincangan adab kesopanan dalam kalangan sebahagian pelajar yang perlu dicari jalan penyelesaian segera oleh pihak berwajib terutama Kementerian Pendidikan.

Menurut beliau, pihak kementerian terbabit perlu berusaha ke arah menambah baik kurikulum pendidikan akhlak atau moral di sekolah termasuk dari sudut amalan atau praktikal supaya lebih berkesan dalam pembentukan sahsiah pelajar.

“Kita tidak seharusnya memandang remeh kepada pendidikan agama dan moral kerana jika diselidiki secara jujur akan terbukti gejala buli adalah berpunca daripada kekeringan nilai akhlak dan adab pelajar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ujar beliau, walaupun ibu bapa juga patut dipertanggungjawabkan kerana menyerahkan pendidikan moral anak-anak sepenuhnya kepada sekolah, namun adalah tidak wajar untuk menuding jari kepada mana-mana pihak dalam isu tersebut.

“Ini kerana tanggungjawab dalam pendidikan moral atau akhlak perlu dipikul bersama oleh ibu bapa, sekolah, masyarakat malah termasuk juga pihak media,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyarankan para penyelia asrama dilantik daripada kalangan mereka yang berakhlak mulia dan terlatih dalam kemahiran kaunseling.

Ia katanya, supaya dapat dijadikan contoh kepada pelajar di samping memainkan peranan membimbing pelajar dalam menghayati nilai-nilai moral yang terpuji dalam kehidupan dan pergaulan.

Jawatankuasa Disiplin Maktab (JDM) hari ini menamatkan pengajian 10 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Kangsar, Perak yang dikenal pasti terlibat dalam kes buli yang tular di dalam media sosial baru-baru ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here