SEORANG lelaki maut selepas terkena renjatan elektrik berhampiran sebuah premis perniagaan di Taman Deluxe, Sepang, hari ini.
Mangsa berumur 30-an itu ditemui dalam keadaan terbaring di lokasi kejadian dan ditemukan pukul 10.30 pagi ketika bomba sedang melakukan kerja menyelamat penduduk di Taman Mas dan Taman Aman untuk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Ketua Polis Daerah (IPD) Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, keluarga mangsa difahamkan baru membuat laporan polis berkaitan kejadian.
“Mangsa difahamkan meninggal dunia ketika dibawa ke Hospital Putrajaya. Siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.
POLIS menafikan mesej tular menerusi media sosial hari ini mengatakan 16 orang hanyut dengan lima daripadanya masih hilang kononnya berlaku di Telemong, Bentong.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd. Kahar berkata, orang ramai diminta berhenti menyebarkan mesej tersebut bagi mengelak kegusaran terutamanya dalam situasi genting yang sedang berlaku kini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pahang, Ismail Abdul Ghani juga mengesahkan tiada kejadian itu berlaku dan tidak menolak kemungkinan ia dilakukan pihak tidak bertanggungjawab dengan menggunakan gambar lama yang tidak berkaitan dengan banjir yang sedang berlaku.
Hari ini, tular menerusi WhatsApp dan Facebook gambar seorang anggota bomba dalam keadaan berbalut di bahu sedang duduk dengan keterangan ‘dekat Telemong Pahang, 16 orang hanyut, 10 dapat diselamatkan, satu meninggal dan lima lagi masih dicari. Allahu’.
Dalam perkembangan lain, Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu mengesahkan setakat ini tiada laporan diterima mengatakan terdapat kejadian maut akibat terkena renjatan elektrik di Batu 3, di sini akibat banjir.
Dakwaan itu tersebar dalam kalangan mangsa banjir yang berada di beberapa pusat pemindahan sementara di sini. – Bernama
SEORANG bakal jemaah umrah terlepas penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk ke Tanah Suci awal hari ini, selepas terkandas lebih lapan jam di Lebuhraya Persekutuan akibat banjir yang melanda Lembah Klang.
Hanya mahu dikenali sebagai Ahmad, beliau sepatutnya dijadual menaiki penerbangan Emirates Airlines ke Dubai pukul 2 pagi hari ini tetapi terkandas di lebuh raya berkenaan sehingga kira-kira 3 pagi kerana laluan tersebut dinaiki air dan sukar dilalui oleh kenderaan ringan.
“Memang banyak kenderaan terkandas bersama-sama kami. Hujan awal pagi tadi memang lebat dan saya dan anak perempuan hanya duduk di dalam kereta untuk berteduh.
“Alhamdulillah, kereta saya tidak tenggelam dan saya bergilir-gilir tidur dalam kereta dengan anak… bimbang kalau dua-dua tidur nanti air naik dan kami tidak dapat keluar,” katanya ketika ditemui Bernama di Masjid Sultan Abdul Samad KLIA, hari ini.
Ahmad, 50, dari Temerloh, Pahang berkata jika mengikut perancangan, beliau sememangnya akan tiba awal di KLIA.
“Tapi apakan daya… banyak jalan ditutup,” katanya yang berpendapat banjir di Lembah Klang kali ini amat teruk dan sama sekali tidak menjangkakan akan terlepas penerbangan untuk pergi bersama kumpulannya untuk menunaikan umrah.
Ahmad berkata beliau telah berhubung dengan ejen umrahnya yang sedang berusaha untuk mendapatkan tiket penerbangan baharu untuknya malam ini.
“Kalau ada rezeki dapatlah tunaikan umrah, kalau tidak dapat… tidak mengapa,” katanya reda dengan ujian yang menimpa.
Seorang pekerja swasta dikenali Rahim Hamzah, 26, berkata beliau terlepas penerbangan untuk ke Pulau Pinang petang semalam kerana terkandas di Lebuhraya Persekutuan.
“Memang semua jalan air naik….pukul 6 pagi tadi, saya sampai di masjid ini (Masjid Sultan Abdul Samad KLIA) bersama rakan dan kami akan tidur dahulu kerana saya telah beli tiket untuk balik ke Pulau Pinang pukul 9 malam nanti,” katanya.
Banjir melanda Lembah Klang sejak semalam menyebabkan ribuan penduduk dipindahkan manakala ramai pengguna jalan raya terkandas akibat laluan sesak dan ditutup kerana dilimpahi air banjir.
Banjir juga dilaporkan berlaku di Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Terengganu, Kelantan dan terbaharu Perak turut dilanda bencana itu.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengarahkan semua kementerian berkaitan menggerakkan aset ke kawasan terjejas banjir bagi memastikan rakyat diselamatkan dan ditempatkan di pusat pemindahan sementara dengan segera. – Bernama
SEBUAH rumah di Kampung Bandar Tinggi, Jelebu hilang selepas dihanyutkan banjir dalam kejadian pada pukul 3 pagi tadi.
Semasa kejadian terdapat enam individu berada di lokasi iaitu pasangan suami isteri, Fadilah Itam, 53, dan suaminya Ibrahim Taib, 62, bersama-sama dua anak lelaki berusia 29 dan 22 tahun serta dua cucu perempuanya berusia 10 dan 12.
Fadilah berkata, hujan berterusan sejak pukul 3 petang semalam menyebabkan kediaman mereka berhampiran Sungai Triang ditenggelami air.
“Hujan mulai lebat pukul 6 petang dan kami mengambil keputusan untuk berpindah termasuk membawa 15 ekor kucing peliharaan di kawasan selamat berdekatan sebuah kedai membasuh kenderaan berhampiran rumah yang kedudukannya lebih tinggi.
“Kami berada di kedai berkenaan untuk menunggu air surut namun pukul 3 pagi suami dan seorang anak memaklumkan bahawa rumah kami sudah terangkat dan dihanyutkan banjir,” katanya ketika ditemui di kampung itu, hari ini.
Katanya, disebabkan kejadian itu kesemua barangan termasuk perkakas elektrik dan perabot rosak serta tidak dapat diselamatkam.
“Ketika ini kami sekeluarga akan tinggal sementara di sebuah rumah di Taman Undang Abdullah. Saya trauma sebab dalam tempoh 35 tahun tinggal di sini rumah hilang sekelip mata,” katanya.
Sementara itu, Ibrahim berkata, dua tabung wang miliknya ditemui semula dan satu daripadanya masih berada dalam keadaan baik manakala satu lagi rosak.
“Pagi tadi saya pergi semula ke tapak rumah dan melihat atap rumah kami berada di tepi jalan, kebanyakan barangan sudah rosak dan tiada apa yang tinggal,” katanya.
JUMLAH mangsa banjir terus mencatatkan peningkatan membabitkan 27,214 individu di lapan negeri dengan Pahang mencatatkan angka tertinggi iaitu 11,377 mangsa setakat ini, selepas hujan tidak berhenti lebih 24 jam sejak Jumaat lalu.
Laman sesawang info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan sejumlah mangsa terjejas membabitkan 8,675 keluarga yang kini ditempatkan di 318 pusat pemindahan sementara (PPS).
BH melaporkan, laman berkenaan memaklumkan mangsa banjir di Pahang kini ditempatkan di 171 PPS, manakala seramai 9,770 mangsa ditempatkan di 66 PPS, diikuti dengan Kelantan yang merekodkan 4,163 mangsa banjir yang kini dipindahkan ke 49 PPS.
Selain itu di Melaka (581 mangsa di 10 PPS); Kuala Lumpur (526 mangsa di tiga PPS); Negeri Sembilan (499 mangsa dengan 12 PPS); Terengganu (229 mangsa di enam PPS) dan 69 mangsa banjir di Perak yang kini berlindung di sebuah PPS.
Sementara itu, di Shah Alam, hujan sudah berhenti dan air Sungai Damansara yang melalui kawasan Bukit Jelutong, Seksyen 13 dan Seksyen 20 dilihat sudah mulai surut dengan laluan di Lebuh Raya Persekutuan yang terputus sejak petang semalam, kini sudah boleh dilalui semula.
SUASANA pilu menyelubungi Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam hari ini apabila lapan van jenazah memasuki pekarangannya membawa sembilan sekeluarga yang maut dalam kemalangan malam kelmarin berdekatan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) USJ, Lebuhraya ELITE.
Dapat dilihat lapan buah van jenazah yang dipandu petugas kesihatan lengkap mengenakan kelengkapan perlindungan diri (PPE) diiringi anggota polis, tiba di pintu pagar utama tanah perkuburan itu pada pukul 12.40 tengah hari.
Jenazah selesai dikebumikan pukul 1.30 petang dalam satu liang lahad atas permintaan keluarga setelah menjalani bedah siasat dan pemeriksaan saringan Covid-19, serta disolatkan di Unit Forensik Hospital Shah Alam.
Ibu mereka Allahyarham Norul Naziah Buyong, 37, dikebumikan bersama-sama lapan anaknya iaitu Razarul Amin Abd Razak, 17; Razatul Aliah, 16; Puteri Hidayah, 12; Muhamad Aizat Syazwan, 10; Muhamad Rolkaizat Rezky, 9; Muhamad Hidayat Hakimie, 7; Puteri Nur Ain Syalwana, 3; dan Muhammad Raid Fathi yang berusia 10 bulan.
Adik kepada Norul Naziah, Nurul Atika Buyong, 33, berkata, lima anak arwah bebas Covid-19 manakala empat anak termasuk bayi berusia 10 bulan, didapati positif Covid-19.
Kesemua mereka yang menaiki Proton Wira itu, maut di tempat kejadian dan mayat dihantar ke Hospital Shah Alam.
Bapa kepada kanak-kanak dan remaja yang maut itu, Abd. Razak Majit, 50, cedera ringan, manakala mereka yang menaiki sebuah lagi kereta iaitu Mimie Nafiesa Abdullah, 19; Ihyat Sufi Shokip serta Ummi Nasuha Annuwar masing-masing berusia 20 tahun juga cedera ringan.
Turut terbunuh dalam kemalangan yang mengorbankan 10 nyawa itu adalah seorang mekanik, Mohamad Rahimi Rolex, 27, dikebumikan di tanah perkuburan sama, kira-kira pukul 1 pagi tadi.
Keluarga malang itu dikatakan dalam perjalanan dari Melaka untuk pulang ke rumah mereka di Padang Jawa, Klang.
SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa sedih dan dukacita dengan banjir terburuk yang sedang melanda sebahagian besar daerah di negeri itu.
Menurut satu kenyataan menerusi Facebook Selangor Royal Office hari ini, baginda dimaklumkan banyak lokasi yang terjejas dan terputus hubungan akibat jalan raya dinaiki air serta kawasan-kawasan kediaman yang dilanda banjir luar biasa sehingga kini.
Selain itu, kenyataan itu turut memaklumkan, baginda menyaksikan sendiri gambar-gambar dan video-video kawasan terjejas dan risau serta bimbang dengan kesukaran yang sedang dihadapi rakyat jelata.
“Bagaimanapun, baginda terharu melihat semangat kerjasama yang ditunjukkan oleh ahli masyarakat dan kumpulan-kumpulan sokongan yang saling bantu membantu antara satu sama lain ketika berdepan keadaan amat meruncing.
“Baginda dengan tegas mahu pihak berkuasa yang bertanggungjawab agar menyegerakan bantuan ke seluruh pelusuk kawasan yang terjejas,” menurut kenyataan itu lagi.
Selangor Royal Office berkata, baginda juga telah menitahkan Lembaga Zakat Selangor (LZS) terus menghulurkan bantuan ke pusat-pusat penempatan sementara banjir dan mengenal pasti situasi rakyat yang kritikal.
Selain itu, Sultan Selangor juga menyeru pelan tindakan yang lebih komprehensif dikemas kini khususnya apabila berhadapan dengan fenomena bencana banjir luar jangkaan seperti.
Ini bagi memastikan respons pantas dapat diambil, serta kebajikan dan kesejahteraan rakyat sentiasa terjaga.
“Baginda berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala agar bencana banjir ini segera berakhir dan semua urusan rakyat jelata dipermudah serta kembali seperti sedia kala,” menurut kenyataan itu lagi.
KERAJAAN bersetuju untuk memberi cuti kecemasan kepada penjawat awam yang terjejas akibat banjir.
Selain itu, kerajaan juga bersetuju untuk menyediakan peruntukan awal RM100 juta untuk pasca banjir bagi membaiki kerosakan rumah dan infrastruktur lain di mana setiap ketua isi rumah terjejas banjir akan menerima sumbangan RM1,000.
Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media, hari ini, susulan krisis banjir yang melanda kebanyakan kawasan di negara ini sejak beberapa hari lalu.
“Saya juga menyeru kepada majikan-majikan swasta supaya memberi cuti kecemasan kepada pekerja mereka yang terkesan akibat banjir.
“Jika mereka setuju beri, dua perkara yang kita syaratkan adalah tidak boleh ditolak cuti tahunan dan tidak boleh potong gaji… tapi cuti berbayar,” katanya.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri meminta majikan-majikan swasta membuat pertimbangan itu dari segi kemanusiaan terhadap pekerja yang terkesan akibat banjir.
“Kita mengesyorkan. Dari segi perundangan, saya tak pasti… saya rasa tak ada undang-undang yang memaksa majikan untuk memberi cuti kepada pekerja (akibat banjir) tapi daripada segi kemanusiaan.
“Sebab kalau duduk di pusat pemindahan sehelai sepinggang tinggal macam mana nak pergi bekerja? Anak kecil pun ada di situ. Jadi dari segi keadilan, saya minta majikan swasta memberi cuti tanpa pemotongan gaji dan tanpa memotong cuti tahunan pekerja mereka yang terlibat,” katanya.
MASJID-MASJID di Wilayah Persekutuan termasuk Masjid Wilayah Persekutuan dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dijadikan penempatan sementara untuk mangsa banjir, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad.
Beliau telah mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) untuk menyelaraskan perkara berkenaan.
“Masjid-masjid di Wilayah Persekutuan telah bersedia dan akan menyediakan keperluan yang bersesuaian. Pihak masjid juga menguruskan makanan melalui Program Dapur It’am dan JAWI Food Bank,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) turut diarah menyediakan keperluan untuk membantu mangsa-mangsa banjir.
Lembah Klang dilanda banjir buruk menyebabkan lebih 3,600 penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara setakat malam tadi, selain sejumlah besar pengguna jalan raya terkandas akibat laluan dan lebuh raya ditutup setelah laluan dinaiki air.
Setakat 12 tengah hari ini, selain Kuala Lumpur dan Selangor, negeri lain yang turut terjejas dengan banjir ialah Kelantan, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan dan Terengganu.
PUKAT tarik merupakan sejenis pukat (jaring) yang diperbuat daripada nylon di mana aktivitinya cukup popular dalam kalangan masyarakat nelayan pesisir pantai di beberapa kampung di Terengganu.
Sekitar tàhun 1960an dan 1970an dahulu, aktiviti pukat ini lebih terserlàh memandangkan para nelayan tempatan masih lagi tertumpu kepada kerja-kerja menangkap ikan secara tradisi.
Ketika itu peralatan moden seperti pengunaan pukat laut dalam atau pukat jerut masih belum popular, kalaupun ada ia belum meluas dan dilakukan secara kecil kecilan. Lain-lain jenis pukat yang digunakan pada zaman itu ialah pukat tangkul.
Bagaimanapun, penulis perhatikan sekarang ini aktiviti dan penggunaan pukat tarik semakin pupus dan hilang ditelan zaman. Hal ini kerana kebanyakan nelayan pesisir pantai sudah beralih kepada aktiviti menangkap ikan di laut dalam.
Bagi generasi baru pula, mereka semakin ‘teranjak’ daripada kerja kerja tradisi seperti itu. Dan yang tinggal kini hanyalah nostalgia silam di sebalik cerita orang tua tua, mereka juga tidak lagi mengenali apa itu pukat tarik.
Bagi mengimbas semula nostalgia pukat tarik kepada masyarakat, beberapa penduduk dari Kampung Kelulut Marang pada setiap tahun cuba mengadakan demonstrasi menarik pukat tersebut kepada orang ramai.
Demonstrasi yang diadakan sempena program Pekan Budaya Marang bermula sejak tahun 1995 itu sebagai satu usaha berterusan untuk menggambarkan betapa uniknya aktiviti tersebut.
Seorang penduduk Kampung Kelulut, Abdul Rahim Muda memberitahu, seperti juga pukat udang baring dan jala, penggunaan pukat tarik agak mudah dan ringkas serta digemari kebanyakan penduduk atau nelayan yang tinggal di tepi pantai.
Ujar Abdul Rahim, biasanya pukat tarik digunakan untuk menangkap ikan seperti bilis, pelata, kekek, anding dan tamban.
“Awak-awaknya (pekerja) pula hanya melibatkan jiran terdekat termasuk ahli keluarga terdiri daripada lelaki dan juga perempuan. Dari segi peralatan pula, ia tidak memerlukan bot yang besar, cukup sekadar dengan sebuah perahu untuk membawa pukat”, ceritanya.
Berdasarkan pemerhatian dan pengalaman penulis, sebenarnya aktiviti pukat tarik bukan sahaja unik, namun ia sangat menarik disamping boleh mengukuhkan perpaduan dalam keluarga dan masyarakat.
Pada masa sama, aktiviti ini sebenarnya boleh dihidupkan semula untuk dijadikan sebagai produk pelancongan negeri sepertimana pernah dilakukan di negara Jepun.
Kalau di Jepun, aktiviti berkenaan lebih tertumpu kepada aktiviti memasak dan memakan ikan, pendekatan di sini pula pula boleh melibatkan pelancong merasai sendiri suasana dan gaya hidup masyarakat dahulu iaitu dengamenyertai aktiviti menarik pukat, memasak, memanggang dan memakan hasil tangkapan.
Sudah sampai masanya aktiviti ini perlu diberikan perhatian serius, bukan sekadar aktiviti tempelan sempena pesta pesta tertentu seperti Pekan Budaya sahaja.