SEORANG bakal jemaah umrah terlepas penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk ke Tanah Suci awal hari ini, selepas terkandas lebih lapan jam di Lebuhraya Persekutuan akibat banjir yang melanda Lembah Klang.

Hanya mahu dikenali sebagai Ahmad, beliau sepatutnya dijadual menaiki penerbangan Emirates Airlines ke Dubai pukul 2 pagi hari ini tetapi terkandas di  lebuh raya berkenaan sehingga kira-kira 3 pagi kerana laluan tersebut dinaiki air dan sukar dilalui oleh kenderaan ringan.

“Memang banyak kenderaan terkandas bersama-sama kami. Hujan awal pagi tadi memang lebat dan saya dan anak perempuan hanya duduk di dalam kereta untuk berteduh.

“Alhamdulillah, kereta saya tidak tenggelam dan saya bergilir-gilir tidur dalam kereta dengan anak… bimbang kalau dua-dua tidur nanti air naik dan kami tidak dapat keluar,” katanya ketika ditemui Bernama di Masjid Sultan Abdul Samad KLIA, hari ini.

Ahmad, 50, dari Temerloh, Pahang berkata jika mengikut perancangan, beliau sememangnya akan tiba awal di KLIA.

“Tapi apakan daya… banyak jalan ditutup,” katanya yang berpendapat banjir di Lembah Klang kali ini amat teruk dan sama sekali tidak menjangkakan akan terlepas penerbangan untuk pergi bersama kumpulannya untuk menunaikan umrah.

Ahmad berkata beliau telah berhubung dengan ejen umrahnya yang sedang berusaha untuk mendapatkan tiket penerbangan baharu untuknya malam ini.

“Kalau ada rezeki dapatlah tunaikan umrah, kalau tidak dapat… tidak mengapa,” katanya reda dengan ujian yang menimpa.

Seorang pekerja swasta dikenali Rahim Hamzah, 26, berkata beliau terlepas penerbangan untuk ke Pulau Pinang petang semalam kerana terkandas di Lebuhraya Persekutuan.

“Memang semua jalan air naik….pukul 6 pagi tadi, saya sampai di masjid ini (Masjid Sultan Abdul Samad KLIA)  bersama rakan dan kami akan tidur dahulu kerana saya telah beli tiket untuk balik ke Pulau Pinang pukul 9 malam nanti,” katanya.

Banjir melanda Lembah Klang sejak semalam menyebabkan ribuan penduduk dipindahkan manakala ramai pengguna jalan raya terkandas akibat laluan sesak dan ditutup kerana dilimpahi air banjir.

Banjir juga dilaporkan berlaku di Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Terengganu, Kelantan dan terbaharu Perak turut dilanda bencana itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengarahkan semua kementerian berkaitan menggerakkan aset ke kawasan terjejas banjir bagi memastikan rakyat diselamatkan dan ditempatkan di pusat pemindahan sementara dengan segera. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here