PUKAT tarik merupakan sejenis pukat (jaring) yang diperbuat daripada nylon di mana aktivitinya cukup popular dalam kalangan masyarakat nelayan pesisir pantai di beberapa kampung di Terengganu.

Sekitar tàhun 1960an dan 1970an dahulu, aktiviti pukat ini lebih terserlàh memandangkan para nelayan tempatan masih lagi tertumpu kepada kerja-kerja menangkap ikan secara tradisi.

Ketika itu peralatan moden seperti pengunaan pukat laut dalam atau pukat jerut masih belum popular, kalaupun ada ia belum meluas dan dilakukan secara kecil kecilan. Lain-lain jenis pukat yang digunakan pada zaman itu ialah pukat tangkul.

Bagaimanapun, penulis perhatikan sekarang ini aktiviti dan penggunaan pukat tarik semakin pupus dan hilang ditelan zaman. Hal ini kerana kebanyakan nelayan pesisir pantai sudah beralih kepada aktiviti menangkap ikan di laut dalam.

Bagi generasi baru pula, mereka semakin ‘teranjak’ daripada kerja kerja tradisi seperti itu. Dan yang tinggal kini hanyalah nostalgia silam di sebalik cerita orang tua tua, mereka juga tidak lagi mengenali apa itu pukat tarik.

Bagi mengimbas semula nostalgia pukat tarik kepada masyarakat, beberapa penduduk dari Kampung Kelulut Marang pada setiap tahun cuba mengadakan demonstrasi menarik pukat tersebut kepada orang ramai.

Demonstrasi yang diadakan sempena program Pekan Budaya Marang bermula sejak tahun 1995 itu sebagai satu usaha berterusan untuk menggambarkan betapa uniknya aktiviti tersebut.

Seorang penduduk Kampung Kelulut, Abdul Rahim Muda memberitahu, seperti juga pukat udang baring dan jala, penggunaan pukat tarik agak mudah dan ringkas serta digemari kebanyakan penduduk atau nelayan yang tinggal di tepi pantai.

Ujar Abdul Rahim, biasanya pukat tarik digunakan untuk menangkap ikan seperti bilis, pelata, kekek, anding dan tamban.

“Awak-awaknya (pekerja) pula hanya melibatkan jiran terdekat termasuk ahli keluarga terdiri daripada lelaki dan juga perempuan. Dari segi peralatan pula, ia tidak memerlukan bot yang besar, cukup sekadar dengan sebuah perahu untuk membawa pukat”, ceritanya.

Berdasarkan pemerhatian dan pengalaman penulis, sebenarnya aktiviti pukat tarik bukan sahaja unik, namun ia sangat menarik disamping boleh mengukuhkan perpaduan dalam keluarga dan masyarakat.

Pada masa sama, aktiviti ini sebenarnya boleh dihidupkan semula untuk dijadikan sebagai produk pelancongan negeri sepertimana pernah dilakukan di negara Jepun.

Kalau di Jepun, aktiviti berkenaan lebih tertumpu kepada aktiviti memasak dan memakan ikan, pendekatan di sini pula pula boleh melibatkan pelancong merasai sendiri suasana dan gaya hidup masyarakat dahulu iaitu dengamenyertai aktiviti menarik pukat, memasak, memanggang dan memakan hasil tangkapan.

Sudah sampai masanya aktiviti ini perlu diberikan perhatian serius, bukan sekadar aktiviti tempelan sempena pesta pesta tertentu seperti Pekan Budaya sahaja.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here