Author: Admin

  • PRN Johor hanya spekulasi- Ahmad Faizal

    PRN Johor hanya spekulasi- Ahmad Faizal

    TIMBALAN Presiden parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berpendapat, jangkaan berlakunya Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dalam masa terdekat hanya spekulasi.

    Ahmad Faizal berkata, namun jika PRN itu diadakan juga, pihaknya akan terus memberi sokongan penuh kepada kerajaan yang akan bakal memerintah di Johor.

    “Seperti di Perak dan kerajaan Persekutuan. Saya memberi sokongan penuh kepada kepemimpinan Menteri Besar Perak dan kepada Perdana Menteri yang datang daripada UMNO.

    “Maka, kita fokus kepada perkara itu (kerajaan sedia ada) dulu,” katanya selepas melepaskan peserta Larian Baton Ratu Sukan Komanwel Birmingham 2022 di Padang Lintau Kampung Tengku Hussein, Gugusan Manjoi, hari ini.

    Media sebelum ini melaporkan, Pas akan berbincang dengan UMNO bentuk kerjasama bagi menghadapi PRN Johor jika diadakan dalam masa terdekat.

    Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata, selain UMNO, parti itu akan berbincang dengan rakan politik lain bagi membentuk kerjasama.

    Ahmad Faizal berkata, pihaknya akan terus memberi fokus berkhidmat untuk rakyat.

    “Daripada segi pilihan raya, jika kami (Bersatu) tidak bersama, sama-samalah kita mendapatkan sokongan daripada rakyat.

    “Insya-Allah kalau rakyat terima, kita boleh tubuhkan kerajaan, tak payah nak gaduh-gaduh,” katanya.

  • Skuad wanita negara dibelasah India 9-0 pada aksi sulung Hoki Piala Asia

    Skuad wanita negara dibelasah India 9-0 pada aksi sulung Hoki Piala Asia

    SKUAD Projek Khas Wanita Kebangsaan mengalami kekalahan besar 0-9 di tangan India, pada aksi sulung Kumpulan A Kejohanan Hoki Piala Asia Wanita 2022 di Muscat, Oman, awal pagi tadi.

    Pada aksi di Kompleks Sultan Qaboos itu, India menjaringkan lapan gol padang dan satu gol menerusi pukulan sudut penalti bermula dengan jaringan pembukaan Katariya Vandana pada minit kelapan sebelum Deep Grace Ekka menyempurnakan pukulan sudut penalti dua minit kemudian.

    India menambah dua gol sebelum rehat menerusi Navneet Kaur pada minit ke-15 dan ke-27 sebelum Vandana menjaringkan gol kedua peribadinya pada minit ke-34 selain giliran Lalremsiami mencatat nama sebagai penjaring gol keenam India pada minit ke-38.

    Tiga lagi gol India masing-masing dijaringkan Monika pada minit ke-40 dan Sharmila Devi (minit ke-46 dan ke-59).

    Dalam kenyataan dikeluarkan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) hari ini, Ketua Jurulatih negara, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim mengakui India selaku pasukan ranking pertama Asia bukan tandingan anak buahnya yang kurang pengalaman beraksi di pentas antarabangsa.

    Beliau berkata, India yang menduduki tempat keempat di Sukan Olimpik Tokyo 2020 mempunyai misi turun ke kejohanan itu untuk membuktikan mereka adalah pasukan terbaik, malah turut membariskan 16 pemain yang beraksi di temasya Olimpik.

    “Pada perlawanan hari ini India menunjukkan bahawa mereka berada pada tahap yang tinggi terutama dalam sudut teknikal, kemahiran bermain hoki serta tahap kecergasan.

    “Kekalahan ini pastinya menjadi satu pengalaman pahit untuk pemain terutamanya mereka yang tidak mempunyai sebarang caps (penampilan) antarabangsa dan kami barisan kejurulatihan memainkan peranan untuk menaikkan semula motivasi mereka yang sememangnya kecewa,” katanya.

    Mohd Nasihin pada masa sama berkata banyak penambahbaikan perlu dilakukan terutama dari sudut kecergasan pemain dan kemahiran teknikal untuk diserapkan dalam pasukan sebelum turun berdepan Singapura pada aksi kedua, esok.

    “Kami akan melihat satu perlawanan demi satu perlawanan dan barisan kejurulatihan akan membuat analisa video untuk meneliti sudut yang perlu diperbaiki. Saya juga mengingatkan pemain bahawa kami masih belum terkeluar daripada kejohanan dan misi di sini masih belum berakhir,” katanya.

    Selepas bertemu Singapura, Malaysia dijadual melengkapkan saingan kumpulan menentang Jepun pada 24 Januari dalam usaha memburu dua kedudukan teratas untuk mara ke peringkat separuh akhir kejohanan itu yang juga merupakan kelayakan Piala Dunia Wanita 2022.- Bernama

  • 1,776 pegawai, anggota bomba positif Covid-19

    1,776 pegawai, anggota bomba positif Covid-19

    KETUA Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid mendedahkan, seramai 1,776 pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di seluruh negara dilaporkan dijangkiti Covid-19.

    Menurut beliau, statistik tersebu sejak virus itu melanda negara pada Januari 2020 dan selepas hasil ujian saringan ke atas 7,200 pegawai dan anggota yang disyaki (PUI) dijangkiti atau kontak kepada kes (PUS).

    Mohammad berkata, daripada jumlah kes positif, dua pegawai meninggal dunia akibat Covid-19.

    “Sebanyak 95 peratus mereka yang positif disebabkan jangkitan daripada komuniti, sementara lima peratus adalah dari tempat mereka berkhidmat.

    “Kes ini sama ada mereka berkontak rapat daripada rakan, ataupun daripada mangsa,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Perbarisan Tahunan 2022, Kuala Lumpur, hari ini.

    Mengulas lanjut, Mohammad Hamdan berkata, dua pegawai yang meninggal dunia dikesan jangkitan daripada komuniti dan mempunyai masalah kesihatan yang kronik.

    Berucap pada Majlis Perbarisan Tahunan 2022 pula, beliau berkata, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang bermula pada 24 Februari tahun lalu telah memberi harapan dan perlindungan kepada daya tahan jangkitan dalam anggota bomba menjalankan tugas.

    Sehingga 31 Disember 2021 katanya, sejumlah 99 peratus warga jabatan ini telah menerima dua dos suntikan vaksin.

    “Digalakkan juga warga untuk mendapatkan dos penggalak agar kita boleh dilindungi daripada varian baharu yang difahamkan tular dengan pantas,” katanya.

    Beliau berkata, warga JBPM yang masih belum menerima suntikan vaksin telah dikenalpasti sebagai mereka yang tidak layak untuk menerima dos suntikan.

    Situasi itu jelasnya kerana faktor masalah kesihatan, dan kesemua individu tersebut akan terus dipantau dengan rapi.

    “Saya mengambil peluang untuk menasihatkan semua warga JBPM untuk mengambil langkah yang proaktif dalam memastikan penularan wabak Covid-19 ini dapat dibendung dengan mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

    “Ia sejajar dengan arahan pihak kerajaan semasa menjalankan operasi,” katanya.

  • Pemandu van maut terbabas rempuh pokok

    Pemandu van maut terbabas rempuh pokok

    SEORANG lelaki meninggal dunia selepas van dipandunya hilang kawalan lalu merempuh sebatang pokok di Batu 11 Jalan Pantai Tanjung Piandang, Parit Buntar, pukul 6.15 pagi tadi.

    Mangsa, Mohamad Tarmizi Mohd. Tajudin, 33, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

    Ketua Polis Daerah Kerian, Superintenden Mazuki Mat berkata, ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan dari arah Kuala Kurau ke Tanjung Piandang.

    “Apabila sampai di tempat kejadian, kenderaan yang dipandu mangsa telah hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan dan melanggar sebatang pokok di bahu jalan.

    “Akibat perlanggaran itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian kerana kecederaan parah di bahagian kepala,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Menurut Mazuki, mayat mangsa dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat.

    “Punca nahas adalah hilang kawalan dan terbabas sendiri,” ujarnya dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Kerajaan benarkan guru, petugas Kemas berpolitik – PM

    Kerajaan benarkan guru, petugas Kemas berpolitik – PM

    KERAJAAN hari ini mengumumkan kebenaran kepada kesemua guru sekolah di seluruh negara untuk berpolitik sebagai menghormati prinsip demokrasi iaitu hak seluruh rakyat untuk berpolitik.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kebenaran itu turut melibatkan petugas Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) untuk berpolitik.

    Justeru kata beliau, Kementerian Pendidikan perlu mengeluarkan pekeliling mengenai kebenaran tersebut dengan segera sekiranya masih belum ada.

    “Saya telah pun membawa perkara ini ke Kabinet dan memutuskan dalam menghormati prinsip demokrasi iaitu kebenaran rakyat untuk berpolitik maka kami telah membuat keputusan membenarkan guru-guru berpolitik.

    “Kakitangan Kemas, dahulu dibenarkan berpolitik seperti rakyat biasa namun ketika era Pakatan Harapan (PH) mereka tidak dibenarkan berbuat demikian justeru saya ingin umumkan bahawa petugas Kemas juga bebas dan dibenarkan berpolitik.

    “Jika pekeliling belum dikeluarkan, saya harap Kementerian Pendidikan segera mengeluarkan pekeliling tersebut agar tiada lagi tekanan dilakukan terhadap guru-guru ini,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Khas Perdana Menteri Bersama Ahli Biro Politik UMNO Negeri di Bangunan UMNO Kelantan, Kota Bharu, hari ini.

    Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

    Terdahulu, beliau memaklumkan sebelum ini ada pekeliling menyekat guru-guru daripada berpolitik sehingga ramai dalam kalangan pendidik berkenaan diberi amaran untuk diambil tindakan.

    Bagaimanpun jelas Ismail Sabri, guru-guru dan petugas Kemas berkenaan masih tertakluk terhadap peraturan jabatan masing-masing.

    “Seperti guru misalnya jika berpolitik hingga meninggalkan tugas mereka boleh diambil tindakan disiplin dan sebagainya, itu terserah pada jabatan (membuat penilaian),” kata beliau. – Bernama

  • KPM mahu PPD lapor, kemaskini perkembangan kes Covid-19 di sekolah

    KPM mahu PPD lapor, kemaskini perkembangan kes Covid-19 di sekolah

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) meminta semua Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) supaya sentiasa mengemaskini dan melaporkan dari masa ke masa perkembangan peningkatan kes jangkitan Covid-19 di sekolah.

    Timbalan Menterinya, Datuk Mohamad Alamin berkata, PPD untuk berhubung rapat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sekiranya ada peningkatan kes dari masa ke masa.

    “Pihak kementerian sentiasa memantau perkembangan semasa berhubung perkara itu.

    “Kita mahu kawal keadaan sebaik mungkin dan kluster yang wujud serba sedikit turut menjejaskan tetapi saya percaya dengan KPM dan KKM,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) Sabah di Dewan Terbuka Bongawan, Papar, hari ini

    Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas berhubung wujudnya kluster jangkitan Covid-19 di sekolah, termasuk di Sabah.

    Diminta mengulas lanjut adakah prosedur operasi standard (SOP) dalam asrama dan kelas bersemuka akan diteliti semula, beliau yang juga Ahli Parlimen Kimanis berkata, perbincangan akan dilakukan antara KPM dan KKM.

    “Kita sediakan SOP yang cukup ketat di semua institusi pendidikan KPM termasuk di sekolah-sekolah.

    “Jika ada peningkatan (kes), kita akan semak apa pendekatan terbaik hasil perbincangan KPM dan KKM,” katanya.

    Sementara itu, diminta mengulas berhubung isu keselamatan murid dan pelajar sekolah yang ditularkan baru-baru ini di Pitas, beliau memaklumkan kejadian itu di luar bidang kuasa KPM.

    “Ia berlaku diluar kawasan sekolah. KPM hanya bertanggungjawab dalam sekolah dan mana-mana institusi pendidikan. Jika berlaku apa-apa diluar sekolah, kita serah kepada pihak berkaitan.

    “Namun, kebajikan dan keselamatan murid kita akan pantau dari masa ke masa dan kita akan bantu,” katanya.

    Sebelum ini, media melaporkan sekumpulan murid menaiki bot dalam keadaan bersesak tanpa memakai jaket keselamatan untuk ke sekolah.

  • Persiapan PRN:MT UMNO serah kepada UMNO Johor-Ismail Sabri

    Persiapan PRN:MT UMNO serah kepada UMNO Johor-Ismail Sabri

    NAIB Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO menyerahkan kepada UMNO Johor untuk melakukan persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).

    Namun Perdana Menteri berkata, sebelum itu perlu mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan selepas itu barulah melakukan persiapan PRN tersebut.

    “Mengenai Johor seperti yang kita putuskan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT), kita serahkan kepada Badan Perhubungan UMNO Negeri untuk berbincang persediaan dan serahkan kepada MB Johor untuk buat keputusan.

    “Dari segi peraturan, mesti dapat perkenan Sultan Johor jadi kita serahkan kepada Johor dari segi menentukan sama ada nak buat pilihan raya atau tidak, tarikh dan sebagainya kita serahkan kepada kerajaan negeri,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melakukan pertemuan dengan Badan Perhubungan UMNO Kelantan, di Kota Bharu, pagi tadi.

    Ini kali pertama Ismail Sabri melakukan lawatan kerja sehari ke Kelantan sejak dilantik sebagai Perdana Menteri.

    Katanya, sebagai sebuah parti, UMNO sentiasa bersedia untuk menghadapi pilihan raya bukan sahaja di Johor sebaliknya di seluruh negara.

    Jelas Ismail Sabri lagi, dalam konteks pilihan raya, UMNO juga perlu mendekati anak muda 18 tahun ke atas yang layak mengundi dan baharu sahaja didaftarkan.

    “UMNO perlu jelas dan memahami sikap pengundi muda yang baru didaftarkan secara automatik pada 16 Januari lepas yang angkanya dianggarkan lebih 4 juta.

    “Pergerakkan Pemuda khasnya perlu melakukan kajian sikap pengundi yang baru berdaftar itu selain Program Jalinan Rakyat yang dikendalikan pergerakan wanita diperkasakan lagi,” katanya.

  • Penjaga stor rugi RM5,500 ‘beli’ motosikal tidak wujud

    Penjaga stor rugi RM5,500 ‘beli’ motosikal tidak wujud

    IMPIAN seorang penjaga stor sebuah syarikat kurier untuk memiliki sebuah motosikal musnah selepas diperdaya dalam urusan pembelian kenderaan yang dipercayai tidak wujud, kelmarin.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, mangsa, 26, bukan sahaja gagal menerima motosikal jenis Yamaha Y125Z yang dibeli malah turut menanggung kerugian RM5,500.

    “Mangsa berminat untuk memiliki motosikal tersebut selepas melihat iklan penjualannya melalui laman sosial Facebook.

    “Kemudian mangsa menghubungi penjual bernama Firdaus melalui nombor telefon yang tertera pada ilkan untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang harga dan cara pembayaran.

    “Selepas berbincang, mangsa bersetuju untuk membeli motosikal itu dengan harga RM5,500 dan segera membuat pembayaran sebagai tanda jadi.

    “Mangsa membuat bayaran sebanyak dua kali melalui mesin deposit tunai di cawangan sebuah bank di Kuantan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Mohd. Wazir berkata, selepas bayaran dibuat, mangsa menghubungi penjual namun lelaki itu gagal dihubungi.

    “Mangsa curiga dan syak telah ditipu tampil membuat laporan polis di Balai Polis Kuantan semalam dan kes dibuka kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

  • Serangan udara penjara Yaman korbankan 70 nyawa

    Serangan udara penjara Yaman korbankan 70 nyawa

    SERANGAN udara ke atas sebuah penjara di Utara Saada, Yaman pada Jumaat telah mengorbankan sekurang-kurangnya 70 orang, lapor AFP.

    Menurut laporan agensi berita, serangan udara itu merupakan serangan balas Emiriah Arab Bersatu (UAE) diketuai Arab Saudi ke atas pemberontak Houthi yang menyerang Abu Dhabi, pada Isnin.

    Dalam satu kenyataan bersama-sama, lapan agensi bantuan yang beroperasi di Yaman menyifatkan serangan berkenaan satu serangan yang tidak menghiraukan orang awam apabila mangsa-mangsa yang terbunuh adalah termasuk pendatang, wanita dan kanak-kanak.

    Mereka berkata, penjara di Saada digunakan sebagai pusat tahanan untuk migran, turut menempatkan ramai mangsa di sana.

    Dalam kejadian berasingan di bandar pelabuhan Hodeida, agensi bantuan Save The Children melaporkan sekurang-kurangnya tiga kanak-kanak maut dalam serangan oleh pakatan berkenaan yang memusnahkan kemudahan telekomunikasi.

    Tiga kanak-kanak itu diaporkan sedang bermain di padang bola sepak berhampiran ketika peluru berpandu meletus.

    Yaman turut dilaporkan mengalami gangguan internet di seluruh negara ekoran serangan udara berkenaan.

    Sementara itu, UAE menegaskan mereka bersama-sama ahli gabungan lain akan kekal komited terhadap tindak balas bersasar dari serangan pemberontak Houthi.

    Serangan itu katanya, adalah susulan pemberontak Houthi mengaku bertanggungjawab ke atas serangan dron dan peluru berpandu ke atas Abu Dhabi Isnin lalu sehingga mengorbankan tiga nyawa.

    Serangan ke atas Abu Dhabi itu menandakan pemberontak Houthi telah membawa perang tujuh tahun antara mereka dan UAE ke fasa yang baharu.

  • DAP panik, sentimen anti Lim Guan Eng semakin kuat

    DAP panik, sentimen anti Lim Guan Eng semakin kuat

    Oleh BADRUL HISHAM SHAHARIN

    DAP semakin panik, krisis pertembungan pasukan Lim Guan Eng lawan pasukan bukan pro dinasti Lim semakin kuat.

    Walaupun yang pro Lim ini nama nama besar tetapi yang dikatakan melawan bukanlah kecil seperti Dr Boo Cheng Hau (Johor), Datuk Teng Chang Kim dan ramai lagi orang lama yang berpengaruh dan setia dalam DAP.

    Sebenarnya ramai termasuk yang muda-muda tetapi mungkin kurang sabar maka itu yang ramai pemimpin muda yang berpotensi keluar.

    Tawaran untuk Lim Guan Eng berundur sebagau Setiausaha Agung DAP dalam Pemilihan Agung DAP 20 Mac ini nampaknya seperti tidak mampu meredakan.

    badrul hisham shaharin hidup antivaksin
    BADRUL HISHAM SHAHARIN (Gambar: The Sun)

    Terbaharu dua Ahli Dewan Undangan Negeri ADUN Sabah dan seorang bekas Senator keluar parti.

    Alasan mereka adalah DAP hilang arah dan semakin sombong tidak mahu mendengar akar umbi.

    Namun kawan-kawan DAP di Pulau Pinang mengatakan di sebalik keluarnya 1,000 ahli di Johor dengan bubar 13 cawangan, keluarnya beberapa pimpinan berpengaruh di Pulau Pinang dan terbaharu di Sabah adalah kerana ada ‘pancingan’ dari Warisan sebagai strategi selepas Warisan umum melebarkan sayap ke Semenanjung Malaysia untuk menjadi parti nasional.

    Sejauh mana kebenaran cuma masa menentukan namun akhbar berbahasa Cina berpengaruh iaitu 光华日报 Kwong Wah Yit Poh menerbitkan tulisan ada kemungkinan dua nama besar DAP iaitu Ng Wei Aik dan Jeff Ooi sendiri berkemungkinan akan keluar parti dalam masa terdekat dan tindakan itu turut dikaitkan parti Warisan.

    Penulis ialah Pengarah Operasi Pilihan Raya Bersatu Johor. Artikel ini dipetik daripada laman Facebook beliau.