RAHSIA dua lelaki yang hidup mewah dan tinggal dalam kawasan rumah berpagar dan berpengawal terbongkar apabila berjaya dihidu pihak berkuasa sebelum melakukan serbuan sekitar Kempas, Johor Bahru dan Iskandar Puteri pada 23 Januari lalu.
Menerusi operasi bermula pada pukul 4 petang itu, kedua-dua suspek berusia 31 dan 34 tahun diberkas hasil daripada maklumat yang diperolehi menerusi siasatan ke atas tangkapan dalam Op Tapis Khas.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, tangkapan pertama melibatkan suspek berusia 34 tahun dalam sebuah kereta di tempat letak kenderaan di Kempas.
Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas suspek dan kenderaan menemui sejumlah 4.06 kilogram (kg) dan 1 kg ketamin.
“Siasatan lanjut membawa kepada tangkapan kedua melibatkan suspek berusia 31 tahun di sebuah rumah di Nusa Bestari, Iskandar Puteri.
“Polis menemui 37.77 kg syabu dan 6.1 kg ketamin di dalam rumah mewah berpagar dan berpengawal,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Johor Bahru, hari ini.
Kamarul Zaman berkata, jumlah keseluruhan rampasan dadah melibatkan dadah jenis syabu seberat 41.78 kg dan ketamin 7.11 kg bernilai RM1.9 juta.
Beliau berkata, sindiket ini beroperasi sejak awal tahun lalu dengan menggunakan modus operandi meletakkan bekalan dadah di dalam kenderaan sebelum diedarkan kepada pembeli.
“Kejayaan tangkapan ke atas dua lelaki ini adalah hasil siasatan ke atas individu yang ditangkap menerusi Op Tapis Khas yang bermula 21 hingga 23 Januari lalu,” katanya.
Kamarul Zaman berkata, dalam operasi itu, polis turut merampas lima kenderaan termasuk kereta mewah jenis Audi A7S, Volkswagen serta Toyota Camry selain wang tunai RM1,500 serta barang kemas bernilai RM65,000 turut dirampas.
Jelasnya, hasil semakan terhadap rekod lampau mendapati memiliki rekod jenayah dan kesalahan dadah serta hasil ujian air kencing mendapati kedua-sua mereka positif dadah jenis methamphetamine.
Kedua-dua suspek ditahan reman tujuh hari bermula pada 21 hingga 30 Januari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Nama Mahanie Sulong, 62, sememangnya tidak asing lagi dalam kalangan khalayak sastera di negara ini khususnya di Terengganu.
Ini kerana kegigihan anak kelahiran Ladang Sekolah, Kuala Terengganu ini dalam berkarya berjaya menempatkan dirinya sebagai seorang penulis dan penyair wanita prolifik Terengganu.
Walaupun ada ketika beliau mendakwa pernah ‘timbul tenggelam’ dalam berkarya, namun tanpa disedari penglibatannya dalam bidang penulisan dan kesusasteraan telah menjangkau melebihi 40 tahun.
Minat yang dipupuk sejak dibangku sekolah menengah akhirnya menjadi realiti sebaik beliau dilantik menjadi Setiausaha Kerja Persatuan Sasterawan Terengganu (PELITA) sekitar tahun 1980.
Pada awalnya, beliau menulis hanya ingin mencuba sesuatu yang baharu, tetapi akhirnya telah mencambahkan minat mendalam untuk terus berkarya. Berkat usaha tersebut, maka terhasillah beberapa buah novel awal antaranya ‘Di Bawah Mentari’, ‘Percikan Badai’ dan ‘Izat’.
Selain novel, beliau turut menghasilkan karya dalam pelbagai genre lain seperti puisi, skrip drama radio, cerpen dan rencana.
Ikutilah Wawancara 5 Soalan Wartawan WartaRakyat MOHD LAZIM ENDUT bersama Penyair wanita prolifik Terengganu, MAHANIE SULONG, yang juga Bendahari PELITA mengenai bidang penulisan dan kesusasteraaan yang diceburi.
Sudah berapa lama melibatkan diri dalam bidang penulisan dan kesusasteraan, boleh ceritakan bagaimana mula ‘terheret’ di bidang ini?
MAHANIE : Boleh dikatakan agak lama juga iaitu bermula pada akhir 1980an. Ketika itu, saya belum bekerja dan masih lagi menganggur, jadi masa terluang banyak diisi dengan mendengar radio terutama melibatkan slot siaran rancangan drama tempatan.
Lama kelamaan hati saya mula tertarik untuk turut menulis skrip drama radio, kemudian tercetus pula minat untuk menulis cerpen, novel dan terakhir puisi.
Apakah antara nama-nama karya terawaldan terkini pernah dihasilkan?
MAHANIE: Sebaik dilantik menjadi Setiausaha Kerja PELITA pada akhir tahun 1980, saya terus mengaplikasikan minat yang ada dengan menghasilkan karya dalam pelbagai genre termasuk novel, cerpen, puisi dan rencana.
Antara novel terawal saya ialah “Di Bawah Mentari”, ‘Percikan Badai” dan “Izat”.
Manakala lain-karya saya pernah dihasilkan termasuk antologi bersama antaranya ialah “Tarbiyah” (1984: TETAMU), “Warna Kemesraan” (1986: PELITA), “Sekayu” (1989: PELITA), “Guru Oh Guru” (DBP), “Mutiara Timur” (DBP), “Wilayah Permata” (1991: PELITA), “Kisaran Angin” (1997: PELITA), “Gema Membelah Gema” (GAPENA), “Teng Ye Nung” (PELITA) “Bah Kuning” (2015: DBPWT) dan “Dermaga Hayat” (2017: PELITA).
Bagaimana perkembangan bidang penulisan dan Kesusasteraan di Terengganu ketika ini?
MAHANIE: Kalau diperhatikan memang terdapat percambahan di mana semakin ramai lahirnya penulis muda berbakat besar di negeri ini, namun ketrampilan dan kerancakkan dalam berkarya di bidang ini masih kelihatan agak lesu.
Hal ini disebabkan kebanyakan penulis hari ini khususnya di Terengganu mempunyai kerjaya tetap yang lain dan mereka menulis hanya kerana minat, tetapi terpaksa berhadapan dengan kekangan masa yang agak terhad dan terbatas. Justeru seseorang penulis perlulah bijak dalam menguruskan masa.
Bagaimana pula dengan penulis wanita, difahamkan ia masih lagi kurang dan apakah cara untuk menarik lebih ramai golongan tersebut menyertai bidang ini?
MAHANIE: Di Terengganu memang ada ‘terlahir’ ramai penulis wanita sejak dahulu lagi, tetapi kemunculan penulis muda wanita kebelakangan ini tidak begitu konsisten dalam berkarya dan tidak ramai pula yang betul-betul aktif.
Sebenarnya saya sendiri pun masih lagi ‘tenggelam timbul’ dalam bidang ini, saya tiada pilihan atau cara bagaimana mahu menarik minat penulis wanita supaya mereka mendekati dan menyertai bidang penulisan dan kesusasteraan.
Namun, pada saya usaha persatuan berkaitan seperti PELITA yang secara berterusan mengadakan pelbagai aktiviti seperti bengkel dan latihan penulisan bermula diperingkat sekolah menengah boleh membantu ke arah itu.
Sepanjang terlibat dalam bidangini, adakah pernah memenangi anugerah atau hadiah?
MAHANIE: Antara hadiah yang pernah saya menangi ialah Hadiah Saguhati Puisi Utusan-Public Bank (1990), Hadiah Penulis Produktif PELITA genre skrip drama radio (1990) dan Hadiah Utama Puisi Utusan-Public Bank (1993).
SAYA tidak tujukan status ini kepada sesiapa yang mencintai Muafakat Nasional (MN) sama ada dari PAS mahupun dari ahli-ahli UMNO.
Melihat kepada perkembangan terkini UMNO, kelihatan UMNO sangat ghairah untuk kembali berkuasa secara bersendirian tanpa PAS dan tanpa Bersatu.
Erti kata lain, ingin mengembalikan kuasa Barisan Nasional (BN) dengan UMNO sekali lagi menjadi tulang belakangnya.
Keghairahan itu semakin memuncak selepas berjaya menukar Perdana Menteri dari Bersatu kepada UMNO. Kemudian diekori dengan kemenangan besar UMNO di Melaka dan terkini cubaan menguasai Johor pula.
Suara UMNO Kelantan dan Johor menolak kerjasama dengan PAS mula bergema. Sebelum ini gema tersebut telah disuarakan oleh UMNO Terengganu.
Kelihatan yang masih agak sayang kepada MN hanya UMNO Selangor, Perlis dan Pahang. Negeri lain saya tidak pasti (sedang memerhati perkembangannya).
UMNO sudah semacam kembali dirasuk sifat asal mereka iaitu tamakkan kuasa dan rakuskan kerusi. UMNO sudah lupa sama sekali dengan kemenangan-kemenangan yangg mereka perolehi dalam pilihan raya kecil (PRK) sebelum ini hasil bantuan dan pertolongan PAS.
Namun kelihatannya tiada pawang lagi yang mampu merawat UMNO selain sebuah kekalahan.
MOKHTAR SENIK
Sebelum ini saya menyebut kalau benar-benar ikhlas perjuangan ini demi agama, bangsa dan negara, maka UMNO, PAS dan Bersatu duduk laa baik-baik.
Jangan ada siapa nak jadi ABANG LONG kepada siapa. Kerana gabungan ketiga-tiga parti gergasi orang melayu ini sudah cukup untuk menyekat Pakatan Harapan (PH) kembali berkuasa.
Saya sebut “jangan ada siapa yang nak jadi ABANG LONG kepada siapa” itu dengan maksud jangan ada mana-mana parti terasa mahu mendominasi gabungan itu.
Kerana dari pengamatan saya, jika mana-mana parti merasa dia lebih besar dari parti-parti lain dalam gabungan itu maka gabungan itu akan pecah.
Tidak salah jika memberikan UMNO lebih kerusi berbanding PAS dan Bersatu kerana hakikatnya ahli UMNO lebih ramai dari keahlian PAS dan Bersatu. Tetapi lebihan kerusi itu jangan sampai UMNO mampu membentuk kerajaan sendiri tanpa PAS dan Bersatu.
Pada saya, UMNO boleh dipapah dan dibantu untuk kuat tetapi tidak boleh dirawat sehingga menjadi TERLALU KUAT kerana bila merasa terlalu kuat, UMNO akan mula lupa dan hilang keinsafannya.
Apa yang saya bayangkan itu ternyata benar. Itulah yang sedang berlaku kepada UMNO sekarang. UMNO dah rasa terlalu sihat sebelum rawatan selesai. UMNO dah rasa sangat kuat.
Perlu disedari bahawa latar belakang politik Malaysia ini mana-mana parti tidak akan berjaya menjadi kerajaan tanpa gabungan dengan parti-parti lain. Penguasaan UMNO selama ini sebagai kerajaan pun kerana bergabung dengan belasan parti lain dalam BN.
Sejarah juga membuktikan apabila PH dibentuk hasil gabungan DAP, PKR dan PAN serta penyertaan Tun Mahathir mereka berjaya mengalahkan BN dan UMNO. Sebuah kekalahan yang mengejutkan.
Oleh itu, UMNO perlu sedar bahawa UMNO sekarang sudah tidak sama dengan UMNO dahulu. BN sekarang dah tak sama dengan BN dahulu.
UMNO dahulu adalah UMNO yang perkasa. Ahli UMNO zaman Tun Razak, zaman Tun Hussein, zaman Tun Mahathir, zaman Datuk Seri Najib adalah ahlI yang DENGAR KATA kepada Presiden.
Tetapi sekarang UMNO zaman Datuk Zahid. Zaman ahli dah tak dengar kata Presiden. Zaman UMNO dah bermazhab-mazhab. Zaman UMNO dah banyak kluster-klusternya.
Hakikatnya UMNO belum sihat dari tumbukan TKO PRU-14 yang lalu. Pendarahan dalaman masih parah bahkan semakin parah. UMNO tidak mampu pergi jauh secara sendirian ketengah gelanggang musuh.
Yang kedua BN juga sudah tidak sama dengan BN sebelum PRU014. BN yang ada sekarang adalah BN yang sudah rapuh. Kesetiaan parti-parti komponen BN kepada parti tulang belakangnya telah longgar dan kendur.
Penyakit osteoporosis yang dihidap oleh BN menjadikan BN sangat lemah untuk menghadapi gabungan PH yang masih kuat.
Tiada pilihan bagi UMNO selain menguatkan barisan UMNO + PAS + Bersatu. Tapi dengan syarat jangan nak jadi ABANG LONG. Setakat jadi ABANG NGAH tu boleh.
Belajar tawaduk dan setiakawan. Insya-Allah gabungan ini akan kuat demi agama, bangsa dan negara.
Penulis ialah Ahli Jawankuasa Kerja Dewan Ulama PAS. Tulisan ini dipetik dari laman Facebook beliau.
POLIS Johor sudah menyerahkan kertas siasatan kes gangguan seksual membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Sedili, Rasman Ithnain terhadap seorang wanita ke Pejabat Perundangan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada minggu lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kertas siasatan melibatkan mangsa yang merupakan Ahli Jawatankuasa Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sudah pun dilengkapkan.
“Kertas siasatan sudah kita majukan kepada bahagian perundangan dan mereka akan meneliti serta buat kajian hasil siasatan yang kita jalankan. Kita masih menunggu keputusan.
“Polis sudah melakukan siasatan terhadap 11 individu termasuk ADUN tersebut dan mangsa sendiri,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Johor, Johor Bahru, hari ini.
Laporan polis terhadap Rasman dibuat mangsa, 26, pada Isnin lalu sebelum tular dalam media sosial yang mendakwa diganggu secara seksual oleh ADUN terbabit semasa terlibat dalam aktiviti bantuan kepada mangsa banjir di Kuala Sedili, Kota Tinggi, Sungai Ara, Mersing dan Bukit Kepong, Muar baru-baru ini.
Pada 18 Januari lalu, Rasman menafikan tuduhan beliau melakukan gangguan seksual terhadap seorang wanita berkenaan.
Rasman yang juga Ketua Bersatu Bahagian Kota Tinggi berkata, dakwaan wanita tersebut tidak benar dan menyifatkannya sebagai satu konspirasi politik untuk mencemarkan reputasinya
Pada 21 Januari lalu, Kamarul Zaman dilaporkan berkata, pihaknya telah memanggil 11 individu bagi dirakam percakapan berhubung kes itu.
DALAM ucapan dan rencana saya semenjak tahun 2012, iaitu dua tahun sebelum PRU-14, saya secara konsisten berkata bahawa UMNO berada di atas landasan yang betul, tetapi masalahnya adalah pemimpin-pemimpinnya.
Untuk pulih semula UMNO perlu membersihkan dirinya daripada pemimpin-pemimpin yang terlibat atau terpalit dengan rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Mereka hendaklah berundur atau disingkir. Terus terang saya telah menyebut nama DS (Datuk Seri) Najib dan DS Zahid.
Penyokong-penyokong mereka, terutama sekali orang-orang DS Zahid, sangat marah kepada saya dan mengutuk saya, khususnya keadaan fizikal saya yang uzur itu. Saya tidak kisah.
Saya memuji DS Najib kerana melepaskan jawatan Presiden UMNO. Saya juga memuji DS Zahid kerana bercuti apabila beliau dituduh di mahkamah.
Kebetulan dalam tempoh beberapa bulan itu, apabila DSU (Datuk Seri Utama) Mohamad Hassan memangku jawatan Presiden UMNO dari 20 Disember 2018 ke 30 Jun 2019, BN, tegasnya UMNO, memenangi tiga pilihan raya kecil secara berterusan.
Tiga pilihan raya kecil tersebut adalah PRK Parlimen P.078 Cameron Highlands, Pahang, pada 26 Januari, PRK DUN N.24 Semenyih, Selangor, pada 2 Mac PRK DUN N.27 Rantau, Negeri Sembilan, pada 13 April.
*Untuk UMNO berubah, Zahid perlu berundur atau disingkirkan
Saya merasa lega dan mengharapkan bahawa itu tanda UMNO sudah mula pulih. Tetapi, melihat perkembangan itu DS Zahid kembali semula memegang teraju UMNO. DS Najib pula dibawa balik sebagai Penasihat UMNO. Saya melihat ini sebagai tanda UMNO tidak akan berubah. Apa yang berlaku semenjak itu hingga sekarang menunjuk ke arah itu.
DS Najib dan DS Zahid nampak seperti mula menggunakan UMNO untuk membebaskan diri mereka daripada pertuduhan-pertuduhan terhadap mereka, manakala ahli-ahli MKT menurut perancangan mereka. Dalam keadaan itu saya tidak fikir UMNO akan berubah.
Keputusan PRN Melaka yang di luar dugaan itu menyebabkan saya menulis, antara lain:
“Pengajaran paling penting kepada UMNO ialah ia mesti sedar bahawa orang Melayu memberinya peluang sekali lagi. UMNO bukan indispensable. Pemimpin-pemimpin dan ahli-ahlinya janganlah angkuh dan mengulangi amalan politik wang yang menjadi kanser yang merebak dari dalam.
‘’Pemimpin-pemimpin UMNO juga hendaklah berhenti daripada terlibat dengan amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Kedua-dua faktor inilah yang telah membawa kepada kejatuhan UMNO dalam PRU 14.
Perlu diingati bahawa kemenangan UMNO/BN di PRN Melaka bukanlah kemenangan bagi DS Zahid. Ia adalah in spite of him. Ini kerana PRN itu bukanlah untuk membolehkannya menjadi Ketua Menteri Melaka atau Perdana Menteri Malaysia.
Orang Melayu mengundi UMNO/BN kerana sumbangan UMNO kepada mereka dan negara semenjak Merdeka. Mereka sanggup memejamkan mata seketika daripada melihat titik hitam dalam sejarah UMNO dengan harapan ia akan membersihkan diri selepas ini.
Dalam kata-kata lain, orang Melayu masih mahukan UMNO tetapi mereka mahu UMNO berubah.
Untuk berubah, DS Zahid perlu berundur atau disingkirkan daripada menjadi Presiden UMNO. Demikian juga dengan pemimpin-pemimpin UMNO yang menjadi liability kepada UMNO. Hanya dengan cara itu UMNO akan dapat menarik semula pengundi-pengundi yang lari daripadanya dalam PRU 14.
Mereka boleh membantu kempen UMNO dari belakang tabir. Elok juga mereka memberi balik apa yang mereka perolehi daripada UMNO selama ini. Kepada ahli-ahli UMNO, ingin saya peringatkan bahawa memekik “Hidup Bossku” sebagai merayakan kemenangan PRN Melaka itu bukan satu cara yang betul. Ia memakan diri sendiri (counter-productive). Kita perlu memikirkan akibatnya sebelum berbuat sesuatu, bukan mengikut emosi.”
Seorang bekas Ahli MKT UMNO menyeru ahli-ahli UMNO supaya tidak mempedulikan saya kerana saya sudah bedridden. “Apa yang dia tulis ni aku pun tak pasti ini Tun Hamid tulis ker atau macai mana yang tulis, kan? Dia bedridden, bila masa dia tulis? Dari dia punya otak dia tu, tak tau nak cakap apalah. Dia memang pro, nampak gaya memang pro kepada Muhyiddin. Dan dia tak boleh fikir bahawa Dato Seri Zahid dituduh di mahkamah kerana apa, kerana dia tak nak membubarkan UMNO, kalau dia membubarkan UMNO dia tak didakwa sampai 80 lebih pertuduhan.”
Tidak mengapa, saya tidak mahu menjawabnya. Saya tidak akan turun ke tingkat itu. Biarlah pembaca berfikir sendiri. Saya cuma hendak mengemukakan satu soalan kepada pemimpin UMNO tersebut: Jika itulah sebabnya DS Zahid dituduh, mengapa dari awal lagi DS Zahid tidak menggunakan alasan itu untuk membuat permohonan mengenepikan pertuduhan-pertuduhan terhadapnya atau membangkitkan isu itu dalam soal balas saksi-saksi pendakwaan untuk membolehkannya membangkitkan alasan itu dalam pembelaannya jika dan apabila beliau dipanggil membela diri?
Biar apa pun, DS Zahid telah dipanggil membela diri dalam 47 pertuduhan, iaitu 12 pertududuhan di bawah seksyen 409 Kanun Keseksaan (pecah amanah), lapan pertuduhan di bawah seksyen 16 (a)(B) Akta SPRM (rasuah) dan 27 pertuduhan money-laundering. Ertinya, berdasarkan keterangan yang telah dikemukakan di mahkamah, Hakim Mahkamah Tinggi berkenaan telah mendapati pendakwaan telah berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya. Maka, terserahlah kepada beliau untuk membela dirinya.
*PRN Johor
Pada masa yang sama, DUN Johor telah dibubarkan dan kemungkinan PRU 15 diadakan dalam masa yang terdekat semakin kuat. Pas tidak boleh diharap untuk berganding bahu dalam menghadapi PRN Johor dan PRU 15. Sebab-sebabnya saya telah beri dalam “Keputusan PRN Melaka: Pengajaran Kepada Parti-parti Melayu Dalam PRU 15” (22 11 2021). Maka, UMNO perlu menghadapinya sendirian.
UMNO boleh merasa lega dengan keputusan PRN Melaka itu dan mengharapkan ia akan berulang di Johor. Tetapi, ada faktor-faktor lain yang mungkin menjadi penghalang. Pertama, Johor adalah negeri TS Muhyiddin. Pengaruhnya tentu masih ada, cuma kita tidak tahu setakat mana kuatnya.
Kedua, ini kali pertama pengundi-pengundi 18 tahun hingga 21 tahun akan mengundi. Kita boleh meneka dengan yakin pengundi-pengundi muda keturunan Cina akan bersepadu mengundi calon DAP dan PH. Tetapi, perkara seperti itu tidak mungkin berlaku kepada pengundi-pengundi muda Melayu: undi mereka akan berpecah, paling kurang kepada empat kumpulan, mungkin lebih.
Pertama, ada yang idealistik yang merasa mereka lebih pandai daripada semua penjawat awam dan hendak mengubah dunia. Mereka mungkin tertarik dengan parti MUDA yang juga berpusat di Johor.
Kedua, ada sekumpulan yang menggelar diri mereka liberal, yang tidak mahu dikenali sebagai Melayu lagi dan telah lupa daratan walaupun hanya baru keluar dari kampung atau pedalaman satu atau dua generasi. Mereka ini tentu akan mengundi PH “untuk menentang politik rasis, merobohkan sistem feudal yang lapuk dan mewujudkan sebuah kerajaan yang lebih adil (fair) kepada semua orang tanpa mengira kaum.”
Ketiga, ada satu kumpulan yang taksub dengan jenama Islam, sedangkan isinya tiada apa beza dengan yang lainnya. Mereka akan mengundi Pas dan PAN.
Keempat ialah kumpulan yang merasa terhutang budi kepada BN, khususnya UMNO yang telah mengubah nasib datuk dan ibu bapa mereka hingga membolehkan keluarga dan diri mereka berada di mana mereka berada sekarang. Mereka tahu UMNO tidak sempurna tetapi, sekurang-kurangnya, ia mempunyai track record yang boleh menjadi asas ukuran. Mereka ini akan mengundi UMNO/BN.
Perpecahan akan lebih buruk jika Pejuang, Perkasa dan Warisan juga turut serta. Walaupun tidak berapa banyak undi yang mereka akan perolehi, tetapi dalam pertandingan banyak penjuru, ia cukup untuk memberi kemenangan kepada PH. Malays never learn.
Faktor yang akan amat sangat mempengaruhi golongan muda ini adalah perkataan “rasuah”, “penyalahgunaan kuasa” dan “integriti”.
PH akan menggunakan perkataan-perkataan itu sebagai senjata paling tajam mereka terhadap UMNO dan golongan muda akan termakan dengannya. Sekarang pun PH telah memulakan perang urat saraf itu, dengan membesar-besarkan tuduhan tehadap TS Azam Baki.
Bagi saya, inilah faktor utama yang, jika tidak ditangani dengan tegas, akan menyebabkan kekalahan UMNO/BN dan memungkinkan berulangnya pemerintahan PH.
Maka, UMNO tidak ada pilihan. Ia mesti buang imej rasuah yang ada padanya. Ia mesti rehatkan pemimpin-pemimpinnya yang terlibat atau terpalit dengan rasuah. DS Najib dan DS Zahid mestilah berundur atau direhatkan. Diharapkan Majlis Tertinggi UMNO dan/atau Perhimpunan Agung UMNO 2021 yang dijadualkan pada 16 hingga 19 Mac 2022 ini akan dapat menyelesaikan isu ini sebelum PRN-Johor dan PRU-15. Menunggu Perhimpunan Agung UMNO 2022 mungkin terlalu lewat.
Tun Abdul Hamid Mohamad adalah bekas Ketua Hakim Negara.
Artikel ini dipetik daripada https://tunabdulhamid.me bertajuk : UMNO perlu buang imej rasuah sebelum PRN Johor dan PRU 15
Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian WartaRakyat.
SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menemukan petunjuk baharu dalam siasatan ke atas kontrak perolehan enam buah kapal Littoral Combat Ship (LCS) dengan menahan dua Ketua Pegawai Eksekutif daripada syarikat yang terlibat.
Menurut sumber, kedua-dua individu itu berusia 79 dan 49 tahun ditahan pada petang semalam di Ibu Pejabat SPRM ketika memberikan keterangan bagi membantu siasatan,” katanya.
“Kedua-dua individu itu ditahan kerana disyaki melakukan penyelewengan dan menerima rasuah menerusi pembayaran yang dibuat kepada tiga syarikat di luar negara.
“Seorang lagi, disyaki menerima rasuah daripada sub-kontraktor yang dilantik bagi mengendalikan projek tersebut,” katanya.
Katanya, siasatan tertumpu kepada kesalahan di bawah seksyen 16 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 409 Kanun Keseksaan.
Sebelum ini, SPRM menerima aduan berhubung projek pembinaan enam buah kapal Littoral Combat Ship (LCS) oleh Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS).
Laporan yang dibuat kepada SPRM adalah bagi membuat siasatan ke atas pelaksanaan projek tersebut susulan kegagalan pihak berkenaan menyerahkan kapal itu mengikut tempoh ditetapkan.
Mengikut kontrak asal yang ditandatangani pada 2014, LCS pertama sepatutnya diterima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada April 2019 dan bayaran sebanyak RM6 bilion juga telah dibuat.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan dua individu itu.
“Ya, memang benar, ramai akan dipanggil untuk membantu siasatan,” katanya.
SELEPAS tular video penemuan ular sawa, kini wartawan cilik, Muhammad Haziq Mohd Asyraf tampil dengan membuat laporan langsung di Pasar Bukit Selambau, Kedah.
Sekali lagi, kepetahan Haziq menarik perjatian ramai menerusi video berdurasi dua minit 20 saat yang tular di aplikasi Twitter.
Menerusi video tersebut, remaja berumur 12 tahun itu menemuramah beberapa peniaga di pasar tersebut dengan yakinnya dan dilihat seperti sudah terbiasa membuat liputan.
Memetik laporan Astro Awani, ayahnya, Mohd Asyraf Ahmad, 37, yang berniaga di pasar berkenaan menyatakan bahawa dunia kewartawanan adalah antara cabang kerjaya yang diminati oleh anaknya selain menjadi chef tersohor yang merupakan cita-cita sebenarnya.
Selain itu, Muhammad Haziq turut menyatakan bahawa kehidupannya mula berubah selepas videonya tular dan orang ramai yang menyedari kehadirannya mahu merakamkan foto kenangan terutama dalam kalangan guru sekolah dan pengunjung Pasar Pagi Bukit Selambau.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen memberi pujian terhadap kemahirannya yang mampu membuat liputan secara langsung dengan cara penceritaannya yang mudah menangkap perhatian penonton.
Terdahulu, tular sebuah video Muhammad Haziq yang petah berkata-kata dengan lenggok tidak ubah seperti seorang wartawan ketika ‘melaporkan’ kejadian penemuan seekor ular di Bukit Selambau.
Menerusi video tersebut, Muhammad Haziq menyatakan air dalam longkang tersebut bertakung tinggi disebabkan terdapat seekor ular di dalamnya dan mencuba sehabis baik untuk tidak terlepas sebarang maklumat ketika melaporkan kejadian berkenaan biarpun dalam keadaan termengah-mengah
GOLONGAN muda yang mengundi menerusi pelaksanaan Undi 18 diingatkan agar menggunakan peluang itu dengan bertanggungjawab.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, hak itu yang bakal dilaksanakan bermula Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor perlu digunakan secara baik dan diambil serius oleh golongan muda demi masa depan dan kepentingan negara.
“Saya percaya kita akan lihat (Undi18) pada PRN Johor tak lama lagi. Ia agak menarik bagi kami untuk melihat bagaimana kecenderungan anak-anak muda berumur 18 tahun ke atas, menggunakan hak baharu mereka dengan bertanggungjawab.
“Ini sesuatu yang Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sentiasa ingatkan, supaya hak baharu ini bukan untuk cuba mencuba, untuk gurau diguraukan atau dimain-mainkan, tetapi diguna dengan penuh bertanggungjawab,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat Majlis Perundingan Belia Negara di Bangi, hari ini.
Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 1 Dis menyatakan pendaftaran secara automatik pengundi berusia 18 tahun ke atas berkuat kuasa pada 15 Dis lepas.
Berikutan itu, dilaporkan bahawa berlaku pertambahan lebih kurang 700,000 pengundi baharu dalam kalangan anak muda yang layak mengundi pada PRN Johor, meningkat kepada kira-kira 2.5 juta pengundi secara keseluruhan.
POLIS menahan seorang lelaki yang disyaki menikam dan menyamun seorang pemandu e-hailing, dalam satu kejadian di Jalan Sentul Pasar, Kuala Lumpur, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata, lelaki berusia 23 tahun itu ditahan kira-kira 12 tengah hari tadi di Kota Damansara, Selangor selepas pihaknya menerima laporan berhubung kejadian.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati mangsa berusia 47 tahun itu mengambil suspek yang juga penumpang itu di Putrajaya, kira-kira 1 tengah hari.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, suspek meminta nombor akaun untuk membuat pembayaran namun ketika mangsa sedang mencari nombor tersebut, suspek bertindak menikam leher mangsa sebelum melarikan diri dengan kenderaan milik mangsa.
“Dalam kejadian itu, mangsa yang cedera dibantu orang awam dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beh berkata pihaknya berjaya menemui semula kereta Proton Saga milik mangsa dengan nombor pendaftaran telah dibuang dalam tong sampah, serta beberapa barangan peribadi milik mangsa.
“Semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” katanya.
Terdahulu, tiga video mengenai kejadian itu tular di media sosial, memaparkan tindakan seorang lelaki menarik keluar individu dipercayi pemandu e-hailing yang mempunyai kesan darah di bahagian lehernya, sebelum melarikan diri dengan kereta mangsa. – Bernama
MALAYSIA akan menerima sumbangan satu juta dos vaksin COVID-19 jenis Sinopharm dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan kumpulan pertama 500,000 dos tiba hari ini.
Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata bantuan dari UAE itu akan melengkapkan usaha Malaysia dalam menangani pandemik COVID-19 selain menandakan hubungan diplomatik penting antara kedua-dua negara.
“…kami ingin berterima kasih kepada kedutaan UAE dalam memudahkan dan menyelaras penghantaran sumbangan vaksin COVID-19 (Sinopharm).
“Semoga hubungan sebagai dua negara bersaudara kekal kukuh untuk kerjasama masa hadapan dan manfaat ummah keseluruhannya,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan vaksin itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Kuala Lumpur, hari ini.
Turut hadir Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar UAE di Kuala Lumpur Nour Ibrahim Ali Rashed AlKuwaiti, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Kesihatan (KKM) Harjeet Singh serta pegawai kanan dari Kementerian Luar dan KKM.
Sementara itu, mengenai sumbangan vaksin, Nour berkata, baki 500,000 dos vaksin Sinopharm akan diserahkan kepada Malaysia dalam masa dua minggu.
Beliau berkata sejak bermulanya pandemik, UAE sentiasa memandang Malaysia sebagai rakan karib dan sekutu selain memberi banyak sumbangan untuk menyokong negara dalam melawan virus COVID-19.
“Dengan sumbangan ini, UAE berdoa agar pandemik ini segera berakhir dan berharap sumbangan ini akan terus menyokong Malaysia dalam memerangi virus COVID-19,” katanya.
Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada vaksin Sinopharm akan diberi sebagai suntikan penggalak, Harjeet berkata Kumpulan Kerja Teknikal bagi Vaksinasi COVID-19 Kementerian Kesihatan akan memutuskan perkara itu.
“Yang ini akan ditentukan oleh jawatankuasa teknikal di peringkat Kementerian (Kesihatan), tapi sementara kita dah dapat (vaksin Sinopharm) ini jadi jawatankuasa teknikal itu akan perakukan dahulu kepada pihak kementerian, jadi kita kena tunggu,” katanya.
UAE sebelum ini telah memberi bantuan COVID-19 kepada Malaysia seperti menyumbang 20,000 unit kit ujian PCR pada Mac 2020 dan tujuh tan pensanitasi tangan yang dibuat khusus untuk Malaysia’s Diplomatic Equipment Stockpile (MDES) Wisma Putra pada Mei 2020. – Bernama