Author: Admin

  • PRN Johor:Syed Saddiq sahkan Muda bertanding

    PRN Johor:Syed Saddiq sahkan Muda bertanding

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PRESIDEN Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengesahkan mereka akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Ahli Parlimen Muar itu mengesahkan demikian dalam menerusi satu hantaran video dalam Facebook miliknya.

    Jelasnya, keputusan itu menjadikan PRN Johor sebagai pilihan raya pertama pertama mereka terlibat secara rasmi dalam politik tanah air.

    “Muda secara rasminya akan bertanding di dalam PRN Johor 2022. Johor adalah permulaan bagi Muda, Muda adalah perubahan bagi Johor.

    “Jadi marilah kita bangunkan Johor yang bersatu dan sejahtera bersama-sama, mari bersama Muda,” katanya dalam video berkenaan yang dikongsikan dalam Facebook miliknya.

    Muda dilaporkan berdaftar sebagai parti politik secara rasminya oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) pada 23 Disember tahun lalu.

    Sebelum ini, media turut melaporkan Syed Saddiq dijangka bertanding dalam PRN Johor dan sedia meletakkan calon di kesemua 56 kerusi DUN.

    Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Jimmy Puah Wee Tse dilaporkan memberitahu Pakatan Harapan (PH) Johor bakal bertemu dengan Muda pada Ahad untuk membincangkan kerjasama politik antara mereka.

    Pada 22 Januari lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN Johor selepas menerima mengadap Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad.

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam satu kenyataan memberitahu, pihaknya akan bermesyuarat berkenaan PRN Johor pada 9 Februari depan bagi membincangkan tarikh-tarikh penting berkenaan PRN Johor.

  • Kem Umno Zahid rancang beberapa siri PRN sebelum ’pertembungan akhir’ PRU15?

    Kem Umno Zahid rancang beberapa siri PRN sebelum ’pertembungan akhir’ PRU15?

    KEM Umno yang diketuai presidennya, Ahmad Zahid Hamidi sedang merancang sekurang-kurangnya tiga lagi pilihan raya negeri (PRN) dengan harapan dapat mengembalikan semula pengaruh kuat di Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum menamatkannya dengan ‘pertembungan akhir’ dalam bentuk pilihan raya umum (PRU) pada Julai, MalaysiaNow difahamkan.

    Satu sumber rapat dengan kem Zahid berkata rancangan itu bakal menyaksikan PRN diadakan di Perlis, Kedah dan Perak.

    “Selepas Johor, terdapat usaha gigih untuk mencetuskan PRN di Perak pula,” kata pemimpin Umno itu kepada MalaysiaNow dengan syarat tidak dinamakan.

    Semalam, Presiden PAS Abdul Hadi Awang membuat kenyataan paling tegas terhadap Umno sejak kedua-dua parti Melayu terbesar itu berdamai pada 2019 dengan termeterainya Muafakat Nasional (MN).

    MN merupakan sebuah piagam kerjasama bersejarah di mana kedua-dua parti itu menamatkan perseteruan politik yang mewarnai politik Melayu sejak beberapa dekad lalu.

    Kenyataan Hadi itu dilihat sebagai isyarat beliau tidak akan tunduk kepada gesaan segelintir pemimpin pro-Umno dalam PAS yang selesa bekerjasama dengan Zahid.

    Presiden parti yang memiliki pengaruh besar terhadap penyokong PAS di seluruh negara itu dilihat menjarakkan partinya dari Umno selepas mereka memilih untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu.

    Selepas Pakatan Harapan (PH) tumbang pada 2020, sokongan PAS diberikan kepada Muhyiddin Yassin untuk menjadi perdana menteri.

    Parti itu juga turut merasmikan kerjasama mereka itu dengan menyertai Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin presiden Bersatu itu, selain turut menolak percubaan sekelompok ahli Parlimen Umno yang bersekutu dengan Zahid dan Najib Razak untuk menumbangkan pentadbiran Muhyiddin.

    Sumber yang bercakap kepada MalaysiaNow mengesahkan dakwaan Hadi semalam bahawa sekumpulan pemimpin Umno dikenali sebagai ‘kluster mahkamah’ menjadi dalang dalam mencetuskan beberapa PRN sebelum ini.

    “Umno sedar PRN yang diadakan ketika orang ramai mempunyai pelbagai perkara untuk difikirkan selepas dua tahun hidup dalam pandemik adalah waktu terbaik untuk mengukuhkan kuasa di peringkat negeri sebelum PRU,” tambah sumber itu.

    Sementara seorang lagi sumber dari kem anti-Zahid dalam Umno bagaimanapun berkata, masa sudah tidak lagi menyebelahi presiden parti itu, yang kini sedang berdepan kemungkinan disabitkan kesalahan rasuah sama seperti bekas bosnya Najib.

    “Masanya adalah sekarang, sebelum mandat lima tahun tamat. Negeri-negeri itu mesti kembali kepada Umno sebelum pertembungan pada peringkat akhir,” kata ahli Parlimen itu.

    Beliau berkata, keadaan yang seakan menyebelahi Umno ketika ini bukan kerana wujudnya peningkatan sokongan terhadap parti itu, sebaliknya ia berpunca daripada sikap kurang minat dalam kalangan pengundi dalam pilihan raya selain PRU.

    “Melaka sudah menunjukkan Umno tidak mendapat undi yang mereka hilang sebelum ini, sebaliknya Melayu yang mengundi PH memindahkan sokongan mereka kepada Bersatu di bawah PN.

    “Inilah masa di mana deposit tetap undi Umno akan keluar mengundi dan pada masa yang sama ramai yang lain tidak akan keluar mengundi seperti apa yang berlaku pada PRN Melaka. Tiada masa lain yang sesuai untuk rampas kuasa selain sekarang,” katanya.

    “PRU akan jadi pertembungan peringkat akhir, selepas Umno menyelesaikan usaha mereka untuk kembali berkuasa di semua negeri yang sama ada mereka kalah atau terpaksa berkongsi kuasa,” kata sumber itu lagi.

    Semalam, Hadi turut mengatakan beliau mengetahui mengapa sekumpulan pemimpin Umno mahu mencetuskan PRN, bahkan beliau turut memberi amaran kekuatan akar umbi PAS bersedia untuk melawan ‘strategi’ sedemikian.

    “Kita tahu strategi di Melaka, akan dibuat sama juga di Johor. Strategi tak lebih daripada menggunakan undi-undi teras Umno.

    “Peratus keluar undi (di Melaka) adalah 60%. Undi atas pagar tak keluar habis, undi muda tak keluar habis,” kata Hadi.

    Ini merupakan pertama kali dalam sejarah terlalu banyak PRN dilaksanakan di luar PRU.

    Sejak 2020, tiga negeri – Sabah, Melaka dan Sarawak – melaksanakan PRN, sementara tarikh PRN Johor dijangka akan diumumkan tidak lama lagi susulan pembubaran DUN pada 22 Januari lalu.

    Sumber juga berkata tujuan utama rancangan itu dijalankan bukan sahaja bertujuan untuk menunjukkan ‘Umno sudah kembali’, bahkan untuk menetapkan momentum bagi mendapatkan kuasa ‘sepenuhnya’ di peringkat persekutuan.

    “Selepas banyak negeri dikuasai, barulah mudah bagi Umno untuk kembali menguasai Putrajaya tanpa perlu berkongsi kuasa dengan orang-orang yang menyebabkan kami tersungkur,” kata sumber dalaman Umno Pahang itu merujuk kepada peranan Bersatu dalam menumbangkan kerajaan diketuai Umno pada 2018.

    Dalam PRU tersebut, pemimpin Umno yang menentang perdana menteri pada ketika itu Najib Razak ekoran penglibatannya dalam skandal 1MDB menubuhkan Bersatu.

    Bersatu menyebabkan sebahagian deposit undi tetap Umno beralih kepadanya sekali gus menumbangkan kerajaan enam dekad Barisan Nasional (BN) yang diterajui Umno.

    Bagaimanapun, difahamkan walaupun Umno sudah mengerakkan usaha bagi membubarkan DUN Perak dan Perlis, namun tindakan sedemikian di Kedah akan menentukan hala tuju jalinan hubungan antara PAS dengan parti Melayu itu.

    Di Kedah, PAS memimpin negeri dengan sokongan Umno dan Bersatu.

    “Sebarang langkah untuk mengganggu kestabilan kerajaan Kedah akan berdepan kecaman besar daripada penyokong PAS, ia juga akan menjadi kubur kepada Muafakat,” kata sumber dari Umno Pahang itu lagi.

  • PRN Johor: Hasni nekad pertahan DUN Benut

    PRN Johor: Hasni nekad pertahan DUN Benut

    MENTERI Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad nekad mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor itu memilih untuk terus bertanding di kawasan itu yang disandangnya itu sejak Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12).

    “Jika diberi peluang sekali lagi, saya mahu bertanding di Benut,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyampaikan sumbangan Tahun Baru Cina peringkat DUN Benut di Dewan Kompleks Muafakat Sungai Pinggan Benut, Pontian, hari ini.

    Ditanya mengenai khabar angin bahawa adik Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bakal bertanding di DUN Benut, Hasni hanya menjawab ringkas sambil tersenyum.

    “Lebih ramai, lebih meriah,” ujar Pengerusi UMNO Johor itu.

    Aziz Shari, 33, yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pontian dilaporkan akan menentang Hasni di DUN Benut.

    DUN Benut antara dua kerusi DUN yang terletak di Parlimen Pontian, selain DUN Pulai Sebatang.

    Pada PRU-14 lalu, Hasni menewaskan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Zulkifly Tasrep dan Mohd. Firdaus Jaafar (Pas) dengan majoriti 4,447 undi.

  • 50 PATI diberkas di Pantai Bagan Pasir

    50 PATI diberkas di Pantai Bagan Pasir

    SERAMAI 50 pendatang asing tanpa izin (PATI) diberkas Pasukan Gerakan Am (PGA), Batalion 4 Semenyih di pesisir Pantai Bagan Pasir, Kuala Selangor, tengah malam tadi.

    Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA, Superintendan Rizal Mohamed berkata, kesemua mereka membabitkan lelaki, wanita dan remaja berusia lingkungan 16 hingga 51 tahun dicekup ketika rondaan pukul 12.10 tengah malam.

    “Pemeriksaan lanjut mendapati kesemua individu itu gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah dan dipercayai baru sahaja memasuki negara ini melalui laluan jalan laut dengan menggunakan bot.

    “Kesemua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor untuk tindakan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63.

    “Katanya, mereka akan menjalani ujian saringan Covid-19 bagi mencegah penularan virus.

    “Kami meminta masyarakat memberi kerjasama dan menyalurkan sebarang maklumat kepada polis berkaitan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

  • UMNO sasar peratusan keluar mengundi rendah untuk menang PRN Johor

    UMNO sasar peratusan keluar mengundi rendah untuk menang PRN Johor

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    UMNO menyasarkan peratusan keluar mengundi bawah 65 peratus bagi membolehkan mereka menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Suhaizan Kaiat berkata, bagi memastikan sasaran tersebut tercapai UMNO perlu melakukan usaha pembubaran DUN dan mereka sudah pun berjaya melakukannya Sabtu lalu.

    Beliau yang juga Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor berkata, usaha pembubaran DUN sudah lama dirancang ‘war room’ UMNO dan kini dilihat masa yang paling sesuai berbuat demikian.

    Jelas Suhaizan, UMNO mendapat banyak peluang dan kelebihan DUN dibubarkan.

    “UMNO juga tahu jika PRN diadakan dalam situasi semasa, peratusan penduduk keluar mengundi di bawah 65 peratus akan memanfaatkan mereka.

    “Apa yang berlaku di Johor hari ini memang sudah dirancang oleh UMNO melalui Timbalan Presidennya, Datuk Mohamad Hassan yang menyatakan parti itu akan menang besar sekiranya peratusan keluar mengundi rendah.

    “Itu memang hajat UMNO dan kini mereka mahu merealisasikannya, sementara negeri Johor dan rakyatnya menjadi mangsa keadaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Suhaizan berkata, apa yang dilakukan itu merupakan satu tindakan tidak bermoral kerana pelbagai agenda yang memanfaatkan rakyat tertangguh akibat pembubaran DUN.

    Sebelum ini, Mohamad dilaporkan berkata, pihaknya tidak menafikan kemenangan kemenangan besar UMNO dalam PRN Melaka lalu kerana berjaya memanfaatkan situasi semasa dan peratusan keluar mengundi yang rendah.

    PRN Johor mendapat tentangan banyak pihak yang menganggap bakal diadakan dalam keadaan yang tidak sesuai kerana negeri ini masih dibelenggu Covid-19 selain baru pulih daripada banjir.

  • Mahkamah benar permohonan Siti Bainun dapatkan pasport sementara untuk ke Filipina

    Mahkamah benar permohonan Siti Bainun dapatkan pasport sementara untuk ke Filipina

    MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali untuk mendapatkan sementara pasport bagi membolehkan beliau menghadiri program sukarelawan di Filipina.

    Hakim Izralizam Sanusi memberikan pelepasan sementara pasport itu dari hari ini hingga 11 Februari depan selepas mendengar hujahan peguam Farhan Maaruf, yang mewakili Siti Bainun, dan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Zilfinaz Abbas.

    “Perkara pertama yang dinilai oleh mahkamah ialah sama ada terdapat asas untuk tertuduh melarikan diri. Saya berpendapat tiada risiko untuk pemohon melarikan diri dan berdasarkan rekod, pemohon tidak pernah gagal hadir di mahkamah dan sentiasa memberikan kerjasama.

    “Setelah mempertimbang hujahan pihak pembelaan dan pendakwaan, mahkamah membenarkan pemulangan sementara pasport bermula hari ini dan pemohon perlu menyerahkannya semula kepada mahkamah sebelum atau pada 11 Februari selain wang jaminan sebelum ini RM17,000 dinaikkan RM3,000 menjadikan keseluruhannya RM20,000,” katanya.

    Terdahulu, Farhan memaklumkan mahkamah bahawa pada 3 Januari lepas, Siti Bainun menerima jemputan daripada Cebu Madinah Mosque di Punta, San Remigio, Filipina untuk menghadiri program pembangunan komuniti selama seminggu dari 3 hingga 9 Februari.

    “Pemohon menyertai program tersebut sejak 2014 dan kebiasaannya akan berkunjung ke sana pada minggu pertama bulan Ramadan setiap tahun sebelum pandemik COVID-19 melanda negara. Perbicaraan kes yang dihadapinya bermula awal Ramadan maka pemohon ingin menghadiri program itu lebih awal daripada biasa.

    “Beliau perlu berada di sana bagi menguruskan wang sumbangan daripada individu di Malaysia. Pihak kami percaya wang sumbangan itu boleh diserahkan menerusi pemindahan wang namun pemohon perlu berada di sana bagi meyakinkan individu yang telah mengamanahkan wang sumbangan kepadanya supaya penerima menerima wang tersebut,” katanya yang turut dibantu peguam M.Yalini.

    Ditanya Hakim Izralizam mengapa permohonan itu difailkan petang semalam sedangkan Siti Bainun menerima jemputan pada 3 Januari lepas, Farhan berkata terdapat kesalahan pada isi kandungan dan anak guamnya menerima surat yang telah dikemas kini pada Rabu lepas.

    Selain itu, beliau berhujah tiada risiko untuk anak guamnya melarikan diri kerana Siti Bainun memiliki segala-galanya di Malaysia seperti keluarga, perniagaan dan pekerjaan hakiki.

    “Tambahan pula kes itu telah mendapat liputan media dan beliau perlu berada di Malaysia untuk menjawab segala pertuduhan serta membersihkan namanya, jadi tiada sebarang risiko untuk Siti Bainun melarikan diri,” katanya.

    Zilfinaz, yang dibantu oleh TPR Noor Shakira Aliana Alias, pula membantah permohonan itu kerana ia dikemukakan pada saat-saat akhir sedangkan Siti Bainun menerima jemputan lebih awal dan ini menunjukkan pemohon mengambil kesempatan untuk meraikan Tahun Baharu Cina sebelum program itu.

    “Pada surat tersebut tidak dinyatakan tarikh tetap dan atur cara program, oleh itu dikhuatiri pemohon akan mengambil kesempatan,” katanya sambil menambah Siti Bainun hanya peserta dan ketidakhadiran beliau tidak menjejaskan program itu.

    Beliau berkata tarikh perbicaraan kes itu semakin hampir dan memandangkan jangkitan COVID-19 di Filipina menyaksikan peningkatan, ia membahayakan pemohon manakala kelancaran prosiding mahkamah akan terjejas sekiranya Siti Bainun dijangkiti wabak tersebut.

    Siti Bainun, 30, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya seorang remaja perempuan Sindrom Down berusia 13 tahun sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah kondominium di Wangsa Maju di Kuala Lumpur antara Februari dan Jun 2021.

    Beliau didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Perbicaraan kes itu dijadualkan berlangsung selama 15 hari mulai 30 Mac dan 34 saksi pendakwaan dijangka memberi keterangan.- Bernama

  • Gaduh libatkan penarik kereta, 5 lagi ditahan

    Gaduh libatkan penarik kereta, 5 lagi ditahan

    LIMA lagi lelaki ditahan susulan insiden pergaduhan berpunca daripada salah faham berhubung urusan menarik kereta yang terbabit kemalangan di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, Pulau Pinang kelmarin.

    Jumlah itu menjadikan keseluruhan yang ditahan setakat ini ialah seramai 10 orang selepas lima lelaki ditahan semalam bagi membantu siasatan kejadian itu.

    Kesemua yang ditahan merupakan warga tempatan berusia antara 21 hingga 54 tahun.

    Bagaimanapun menurut Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong, dua daripada mereka telah dibebaskan dengan jaminan polis mankala lapan lagi masih direman selama lima hari sehingga 31 Januari ini.

    “Suspek yang masih ditahan reman berada di Lokap Berpusat Bayan Baru untuk siasatan lanjut,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Mereka merupakan antara kira-kira 20 individu yang dikesan terlibat dalam insiden itu yang berlaku di Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu, Georgetown, kira-kira pukul 2 petang kelmarin.

    Insiden itu yang berjaya dirakam orang awam dan turut tular di dalam media sosial Facebook menunjukkan kira-kira 20 lelaki bergaduh sesama sendiri sehingga menarik perhatian pengguna jalan raya lain.

    Kejadian itu berlaku selepas sebuah lori membawa muatan mozek dan dua buah kenderaan lain terbabit kemalangan di laluan menghala pusat bandar.

    Hasil siasatan mendapati pergaduhan tersebut berpunca daripada perselisihan faham berkaitan urusan menarik kenderaan-kenderaan yang terlibat dalam kemalangan jalan raya berkenaan.

    Pihak polis turut merampas senjata yang digunakan dalam pergaduhan tersebut iaitu topi kaledar dan pengunci motosikal dan kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan (kesalahan merusuh dengan senjata).

  • Agong dibenarkan keluar IJN hari ini

    Agong dibenarkan keluar IJN hari ini

    YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah dibenarkan keluar dari Wad Diraja Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur, hari ini. 

    Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin ketika dihubungi Bernama mengesahkan, Seri Paduka dibenarkan keluar dari IJN pada 11.30 pagi ini setelah selesai menjalani pemeriksaan kesihatan dan rawatan susulan sejak Sabtu lepas.

    Pada Ahad, Ahmad Fadil menerusi satu kenyataan memaklumkan pemeriksaan kesihatan dan rawatan susulan itu adalah berkaitan rawatan intervensi pada sendi-sendi lutut dan buku lali yang dijalani oleh Seri Paduka di IJN pada 24 Sept lepas. 

    Menurutnya intervensi itu dibuat setelah Imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI)  menunjukkan kecederaan pada sendi-sendi lutut dan buku lali Al-Sultan Abdullah ketika bersukan.- Bernama

  • Bekas calon PRK Port Dickson didakwa bunuh suami

    Bekas calon PRK Port Dickson didakwa bunuh suami

    SEORANG suri rumah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Seremban, Negeri Sembilan hari ini  atas pertuduhan membunuh suaminya yang ditemukan maut di dapur rumah mereka selepas dipercayai ditikam pada 23 Januari lepas.

    Lau Seck Yan, 55,  yang merupakan bekas calon bebas Pilihan Raya Kecil Port Dickson 2018, didakwa membunuh Poh Seng Hiap, bekas akauntan syarikat swasta di rumah berkenaan di Jalan TK 6/2 Rasa Kemayan Golf & Country Township, Seremban, antara 3.30 petang hingga 4.30 petang.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

    Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Norzaliza Tesmin kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

    “Saya tidak sanggup didakwa di bawah seksyen tersebut, kebenaran bukan begitu…tidak harus dituduh di bawah akta tersebut,” kata Lau.

    Norzaliza memberitahu tertuduh bahawa dia perlu berbincang dengan peguam yang dilantik sekiranya terdapat perkara yang ingin dimaklumkan kepada mahkamah.

    Peguam Ng Kian Nam yang mewakili Lau memohon anak guamnya dibenarkan diikat jamin dan turut memaklumkan kes itu berkaitan hal keluarga. 

    Beliau juga memohon supaya anak guamnya dirujuk ke hospital untuk menjalani rawatan psikiatri.

    Mahkamah tidak membenarkan wanita itu dilepaskan dengan ikat jamin dan turut menolak permohonan peguam untuk merujuk tertuduh ke hospital atas alasan tiada keperluan untuk berbuat demikian pada waktu ini serta  menetapkan 25 Februari untuk sebutan semula kes.

    Terdahulu, pekarangan mahkamah kecoh dengan jeritan tertuduh ke arah wartawan ketika dia diiringi anggota polis pada 9.30 pagi.

    Media sebelum ini melaporkan mangsa ditemukan maut di dapur rumah mereka selepas dipercayai ditikam dua kali di bahagian dada dan pinggang menggunakan senjata tajam oleh isterinya.

    Pasangan itu mempunyai empat anak dan ketika kejadian anak ketiga dan keempat merupakan saksi kejadian. – Bernama

  • Polis tahan dua lelaki gaduh di Station 18 

    Polis tahan dua lelaki gaduh di Station 18 

    POLIS menahan dua lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes pergaduhan yang dikatakan berlaku di Station 18, Ipoh, Perak yang tular di media sosial pada Khamis.

    Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, selain kedua-dua lelaki berusia 27 tahun itu, polis juga sedang mengesan suspek yang lain bagi membantu siasatan.

    Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 148 dan 427 Kanun Keseksaan kerana perbuatan merusuh serta khianat.

    “Hasil semakan mendapati pihak polis telah pun menerima laporan mengenai kes berkenaan pada 27 Januari, lebih kurang pukul 11.51 malam berkaitan satu kejadian rusuhan di hadapan sebuah restoran di kawasan Station 18, Ipoh,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, kejadian melibatkan seorang mangsa lelaki yang memandu sebuah kereta dan telah dituduh mencuri sebuah telefon bimbit.

    Menurutnya, berikutan daripada tuduhan tersebut, berlaku kejadian kejar-mengejar di antara mangsa dan suspek sehingga kenderaan yang dipandu mangsa melanggar sebuah kereta lain.

    Ia kemudiannya membawa kepada rusuhan dalam kalangan sekumpulan remaja yang dipercayai pekerja perkhidmatan penghantaran makanan.

    Kata Mior Faridalathrash, kenderaan mangsa telah dirosakkan dengan menggunakan kerusi plastik, batu serta kon plastik.

    “Siasatan mendapati punca kejadian adalah disebabkan salah faham dan tuduhan kecurian telefon bimbit oleh mangsa tidak dapat dibuktikan,” katanya.

    Dalam pada itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya tampil memberi keterangan dalam usaha untuk mengesan suspek lain yang terlibat.