Author: Admin

  • JPNS tahan pemandu, sita lori balak

    JPNS tahan pemandu, sita lori balak

    SEBUAH lori yang membawa kayu balak di Jalan Bukit Fraser menghala Kuala Kubu Bharu, Kuala Kubu Bharu pada 20 Januari lalu.

    Lori itu ditahan sepasukan anggota Seksyen Penguatkuasaan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) pada pukul 3.30 petang.

    Menurut Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS), Datuk Ahmad Fadzil Abd. Majid, semakan mendapati lori itu beroperasi dengan memiliki Pas Pemindah meragukan dan dipercayai telah digunakan semula kerana telah tamat tempoh kuat kuasa 24 jam Pas Pemindah tersebut.

    “Selain itu, bilangan tual kayu balak yang dibawa lori tersebut juga tidak sama seperti bilangan yang ditetapkan dalam Pas Pemindah.

    “JPNS menyita sebuah lori balak dan menahan pemandunya dalam operasi di jalan Bukit Fraser menghala Kuala Kubu Bharu,” katanya hari ini.

    Beliau berkata, pemandu lori warga tempatan telah ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kubu Bharu untuk tindakan lanjut.

    Katanya, tindakan sitaan telah diambil ke atas lori terbabit dan dibawa ke Pusat Penyimpanan Barang Kes Jabatan Perhutanan Negeri Selangor.

    “Kes telah disiasat di bawah peruntukan Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985,” tegasnya.

  • Undi muda: Tiada parti boleh selesa dengan pengundi tegar

    Undi muda: Tiada parti boleh selesa dengan pengundi tegar

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    TIADA mana-mana parti kini boleh berbangga dan yakin dengan pengundi tegar mereka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kelak ekoran kehadiran lebih 700,000 pengundi baharu yang terdiri dalam kalangan orang muda.

    Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan turut mengakui parti itu juga berdepan kesukaran untuk meramal undi pertama daripada golongan itu.

    Menurut beliau, kehadiran pengundi dalam kalangan kumpulan itu bukan sahaja memberi cabaran kepada Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) tetapi semua parti bertanding ekoran pertambahan undi di setiap kerusi.

    “Pengundi muda adalah satu kumpulan yang membawa cabaran kepada semua parti, kita kena tunjuk kesungguhan dan keikhlasan untuk mendekati mereka dan buat tawaran bermakna kepada anak muda.

    “Ini satu perkara positif untuk demokrasi dan politik dalam negara, selama ini ada parti yang boleh kata dia selesa ada pengundi tegar yang macam mana pun akan undi dia.

    “Tetapi dengan anak muda ini kita tak boleh baca kerana ada kemungkinan mereka undi pihak A, undi B dan ada kemungkinan juga tidak mengundi,” katanya.

    Wan Saiful berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri program Jelajah Penerangan Isu Semasa di Kampung Parit Haji Ali, Muar, malam tadi.

    Jumlah pengundi di Johor mencatatkan peningkatan kira-kira 28 peratus dengan pertambahan 749,731 pengundi berusia 18 tahun ke atas susulan pendaftaran automatik Undi18.

    Justeru, kata Wan Saiful, amanah kini diberikan kepada Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) dan sayap Pemuda PN untuk menggalas tanggungjawab dalam merangka strategi bagi mendekati golongan itu.

    Dalam perkembangan berkaitan, PN juga katanya akan menampilkan calon-calon yang seimbang dalam PRN Johor iaitu terdiri daripada golongan muda, wanita, profesional dan calon berpengalaman.

    “Kita sudah terima nama dari negeri dan parti gabungan dalam PN, ada beberapa proses yang perlu dilalui dan kita kena ingat bahawa kita dalam PN, jadi PN yang akan buat keputusan itu.

    “Suasana di Johor juga agak berbeza, negerinya luas dan demografi yang pelbagai jadi sudah tentu strategi kita pasti berbeza. Kita ada pengalaman di Melaka yang kita belajar dan pasti ada tambah baik di Johor,” katanya.

    Sementara itu, Bersatu berharap sedikit kelonggaran dapat diberikan semasa tempoh kempen PRN Johor berbanding di Melaka untuk memastikan semua parti boleh menyampaikan mesej mereka kepada rakyat dengan cara paling berkesan.

    “Rakyat kita ini nak tak nak kaedah rumah ke rumah dan ceramah masih penting, teknik dalam talian memang betul ada kepentingannya tetapi ramai masih nak ceramah umum. Saya yakin kalau dapat pastikan prosedur operasi standard (SOP) terjaga kita patut benarkan ceramah-ceramah atau rumah ke rumah,” katanya.

  • Zuraida masih ahli, anggota MPT Bersatu

    Zuraida masih ahli, anggota MPT Bersatu

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    KETUA Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan meminta semua pihak menunggu pengumuman rasmi berkaitan spekulasi mengenai Datuk Zuraida Kamaruddin yang didakwa menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

    Wan Saiful berkata, apa yang diketahuinya Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi itu masih kekal sebagai anggota MPT Bersatu dan ahli parti itu sehingga kini.

    “Macam-macam spekulasi mengenai Zuraida. Saya punya pandangan sebagai Ketua Penerangan parti saya rasa isu dibincang dalam mesyuarat kita kekal dalam mesyuarat.

    “Lebih elok kita tunggu pengumuman rasmi daripda parti kalau ada apa-apa, kalau tiada sebaiknya kita pastikan Perikatan Nasional (PN) menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor,” katanya.

    Terdahulu Wan Saiful bersama Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah yang juga anggota MPT Bersatu menghadiri program Jelajah Penerangan Isu Semasa di Kampung Parit Haji Ali, Muar, malam tadi.

    Zuraida dikaitkan menyertai PBM dan dilaporkan terdapat perbincangan pimpinan Bersatu berkaitan isu pemecatan Ahli Parlimen Ampang itu dan individu lain yang didakwa terlibat dengan parti baharu terbabit seperti ditulis Malaysia Kini.

    Dalam laporan portal itu, seorang lagi anggota MPT Bersatu, Muhammad Faiz Na’aman memaklumkan, isu berkenaan dibangkitkan dalam mesyuarat pada 25 Januari lalu.

    Bagaimanapun Muhammad Faiz berkata, tiada sebarang keputusan dibuat setakat ini sementara menunggu siasatan lanjut oleh parti.

    Dalam pada itu, Wan Saiful menegaskan, isu terbabit tidak akan menganjak momentum Bersatu dan PN dalam perjalanan menghadapi PRN Johor.

  • Abdul Hadi:Pas tidak akan bersama UMNO yang bocor bahteranya

    Abdul Hadi:Pas tidak akan bersama UMNO yang bocor bahteranya

    PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang hari ini memberi amaran terhadap anggota parti itu ‘yang digoda’ dan melanggar sumpah taat setia atau baiah mereka terhadap parti tersebut.

    Abdul Hadi berkata, Pas tidak akan bersama-sama UMNO melalui pendekatan Barisan Nasional (BN) ‘yang telah bocor bahteranya kerana Pas tidak mahu tenggelam bersama’ gabungan itu.

    Katanya, walaupun terdapat segelintir ahli Pas digoda supaya mengubah ‘road map’ dan hala tuju Pas, namun mereka yang tergoda itu akan kembali ke pangkal jalannya.

    “…atau (mereka ini) terpelanting jatuh ‘disambar jerung, atau tenggelam dalam gelombangnya sepertimana mereka yang pernah melakukannya dahulu.

    “Namun, para pemimpin yang setia kepada perjuangan PAS dan ahli-ahli yang memberikan wala’ dan taat secara tidak membabi buta, terus melayari bahteranya hingga sampai ke destinasi dengan izin Allah SWT,” katanya pada hantaran di media sosial hari ini.

    Menurutnya, Pas yakin bahawa mereka yang mengkhianati baiah mereka terhadap parti itu pasti akan menerima akibatnya.

    Dalam memberi peringatannya, Abdul Hadi yang juga ahli parlimen Marang memetik firman Allah SWT pada ayat 10, Surah al-Fath.

    Tidak jelas siapa yang dimaksudkan Abdul Hadi sebagai ahli yang melanggar baiah itu.

    Pun begitu, terdapat pemimpin Pas yang masih mahu mengekalkan kerjasama dengan Umno melalui gagasan Muafakat Nasional (MN) manakala presiden PAS itu mahu parti pimpinannya kekal bersama-sama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di bawah panji Perikatan Nasional (PN).

    Dalam pada itu, Abdul Hadi hari ini berkata sudah ‘terang lagi bersuluh PAS mahu mengembalikan UMNO ke pangkal jalan’ perpaduan umat Melayu dan Islam mengikut acuan Islam.

    “Pada masa yang sama, tidak meninggalkan mana-mana golongan yang tercicir dan bersama masyarakat majmuk dalam gagasan PN dan MN bersama-sama Bersatu.

    “Akan tetapi, UMNO masih lagi membawa pendekatan ‘asabiyyah Melayu yang hanya melibatkan UMNO dan Pas serta meminggirkan sahabatnya sendiri daripada kalangan Bersatu,” katanya lagi.

  • Mayat wanita warga emas ditemukan dalam Sungai Plentong

    Mayat wanita warga emas ditemukan dalam Sungai Plentong

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG penduduk terkejut apabila menemukan mayat seorang wanita warga emas terapung-apung dalam Sungai Plentong berdekatan Jalan Masjid, Kampung Plentong Baru, Masai, Johor Bahru, hari ini.

    Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superitendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, mayat tersebut yang dipercayai warga asing berusia 64 tahun ditemukan pada pukul 10.45 pagi sebelum dilaporkan kepada pihak polis.

    “Susulan penemuan mayat itu pihak polis menyiasat seorang wanita warga tempatan berusia 33 tahun yang membuat laporan polis berkenaan kehilangan rakan serumahnya.

    “Mayat wanita tersebut dipercayai rakan serumahnya yang hilang selepas wanita warga tempatan itu membuat pengecaman pakaian yang dipakai simati,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Katanya, mayat dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru untuk dibedah siasat.

    Menurutnya, pihak polis masih menjalankan siasatan dan ketika ini kes diklasifikasi sebagai kematian mengejut (SDR).

    Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya, Pegawai Bomba Kanan II Kilok Anak Lampas berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan untuk membantu polis mengangkat naik mayat tersebut pada pukul 12.11 tengah hari.

    Susulan itu katanya, seramai lapan anggota dan satu jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) serta satu unit bot kecil dari Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Ulu Tiram dikejarkan ke tempat kejadian.

    “Mayat wanita dewasa itu didapati berada di permukaan sungai dengan jarak 10 meter dari tebing sungai. Mayat dibawa naik ke darat dan disahkan sudah meninggal oleh pasukan perubatan yang hadir.

    “Mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. Operasi tamat pada pukul 2.45 petang,” katanya.

  • JHS rampas 717 batang balak hasil aktiviti pembalakan haram

    JHS rampas 717 batang balak hasil aktiviti pembalakan haram

    KEGIATAN aktif pembalakan haram di kawasan Batu 36, Jalan Oya, Tamin, Selangau berjaya dihentikan oleh Jabatan Hutan Sarawak semasa melakukan rondaan penguatkuasaan di Sibu semalam.

    Pengarahnya, Datu Hamden Mohammad berkata, Pejabat Hutan Wilayah Sibu merampas kayu-kayu balak tersebut untuk siasatan lanjut serta membuat laporan polis di Balai Polis Selangau.

    “Apabila tiba ke lokasi berkenaan, pasukan penguatkuasaan ini telah menjumpai tujuh longgok kayu balak yang sebanyak 717 batang kayu balak pelbagai spesies dan saiz dipercayai telah ditebang secara haram kerana tidak mempunyai tanda Tukul JH, Tukul Hak Milik dan Tag LPI pada kedua hujung kayu balak berkenaan.

    “Satu kertas siasatan berkaitannya akan dibuka dalam waktu terdekat agar pihak yang terlibat tidak terlepas begitu sahaja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Nilai rampasan keseluruhan kayu balak tersebut belum dapat dipastikan sehingga siasatan lanjut berkaitannya dilaksanakan.

    Hamden menegaskan pihaknya akan terus melakukan rondaan penguatkuasaan tanpa mengira cuti umum atau hujung minggu bagi mematahkan cubaan kegiatan haram ini.

  • MYCC tubuh pasukan khas siasat isu industri ayam dan telur

    MYCC tubuh pasukan khas siasat isu industri ayam dan telur

    SURUHANJAYA Persaingan Malaysia (MyCC) menubuhkan satu pasukan khas untuk menyiasat isu persaingan dalam industri berkaitan ayam dan telur ayam.

    Suruhanjaya itu dalam kenyataannya berkata, MyCC akan mengambil tindakan ke atas sebarang tindakan sabotaj ekonomi terhadap rakyat melalui elemen kartel atau penyalahgunaan kuasa dominan serta monopoli dalam industri ayam serta telur ayam di negara ini.

    “MyCC tidak akan teragak-agak untuk mengenakan tindakan tegas berdasarkan kuasanya di bawah Akta Persaingan 2010 terhadap pihak-pihak berkenaan.

    “Tindakan ini termasuk mengenakan penalti maksimum dan tindakan tegas lain bagi memastikan penindasan ini dihentikan sama sekali demi kepentingan rakyat,” menurut kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa itu.

    Semalam, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata, Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara mengenai Industri Pengeluaran Makanan yang dipengerusikannya memutuskan harga runcit maksimum bagi ayam standard dikurangkan sebanyak 20 sen kepada RM8.90 daripada harga siling RM9.10 yang ditetapkan.

    Sementara itu, harga telur ayam untuk semua gred kekal seperti harga kawalan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) semasa.

    Pelaksanaan kedua-dua harga berkenaan akan bermula dari 5 Februari sehingga 5 Jun ini. -. Bernama

  • 20 ditahan berpesta liar di inap desa

    20 ditahan berpesta liar di inap desa

    POLIS menahan 20 individu yang mengadakan parti liar dalam serbuan di sebuah inap desa di Jalan Presint 1, Darulaman Perdana, Sungai Petani, pukul 3 pagi tadi.

    Semua mereka yang ditahan masing-masing 18 lelaki dan dua wanita dikatakan baru mahu memulakan acara ‘goyang kepala’.

    Difahamkan, mereka berkongsi wang untuk menyewa inap desa terbabit selain turut mengenakan bayaran tertentu kepada setiap peserta yang hadir ke parti liar berkenaan.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, dalam serbuan terbabit semua yang ditahan didapati tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) penjarakan sosial dan dikenakan kompaun.

    “Semua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda untuk tindakan dan pemeriksaan lanjut.

    “Hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan, enam daripada mereka yang kesemuanya lelaki berusia 18 hingga 24 tahun positif dadah,” katanya dalam satu kenyataan.

    Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan tindakan mengikut Peraturan 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

  • Banjir termenung di Marudi jejaskan sambutan Tahun Baharu Cina

    Banjir termenung di Marudi jejaskan sambutan Tahun Baharu Cina

    BANJIR termenung membuatkan perayaan Tahun Baharu Cina di bandar Marudi, Kuching suram dan hambar, hari ini.

    Ini susulan sebahagian besar jalan raya di pekan berkenaan dinaiki air sehingga paras 0.5 meter.

    Pekan Marudi mula dinaiki air 26 Januari lalu akibat limpahan air Sungai Batang Baram selepas hujan lebat di kawasan hulu sungai.

    Beberapa penempatan penduduk terjejas sehingga pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Dewan Suarah Marudi pada jam 4 petang, Sabtu lalu.

    Ketika ini, seramai 31 penduduk daripada lapan keluarga dari Kampung Padang Kerbau dan Jalan Wawasan Kampung Cina Marudi, masih ditempatkan di PPS berkenaan.

    Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Miri, Law Poh Kiong berkata, pihaknya terus memantau keadaan banjir di Marudi termasuk membuat tinjauan udara hari ini.

    Tinjauan itu dijalankan Unit Udara Bomba Wilayah Sarawak yang berpangkalan di Miri.

    “Hasil tinjauan pada 12.30 tengah hari tadi mendapati beberapa kawasan sekitar pekan Marudi masih ditenggelami air namun pada aras yang terkawal,” katanya.

  • Gajah liar mati sebelum dipindahkan

    Gajah liar mati sebelum dipindahkan

    GAJAH yang ditangkap di Kampung Padang Tapong, Jertih, Sabtu lalu didapati mati di kebun getah pada di kampung berkenaan, petang semalam.

    Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Loo Kean Seong berkata, pihaknya mendapati gajah berusia lingkungan 15 tahun itu mati kira-kira jam 2.30 petang.

    “Saya menerima berita sedih itu daripada kakitangan yang bertugas di lapangan, dan bedah siasat dilakukan oleh doktor veterinar Perhilitan pagi ini bagi mengetahui punca sebenar kematian gajah itu.

    “Setakat ini saya masih menunggu laporan rasmi punca kematian gajah tersebut, manakala bangkai gajah itu ditanam di lokasi ia dirantai,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Tambah Loo, gajah seberat kira-kira dua tan tersebut sebelum ini dijadual akan dipindahkan ke lokasi yang ditetapkan dengan bantuan gajah denak pada Rabu.

    Ahad lepas Bernama melaporkan, Perhilitan Terengganu berjaya menangkap seekor gajah jantan di Kampung Padang Tapong dekat Kampung Padang Luas, di sini selepas menerima aduan orang awam berhubung gajah liar yang berkeliaran sekitar kampung termasuk menghampiri kawasan taman perumahan.

    Kakitangan Perhilitan Terengganu berjaya menangkap gajah tersebut dengan menggunakan kaedah tembak ubat pelali dan haiwan itu dirantai kakinya pada pokok getah sementara menunggu ia dipindahkan. – Bernama