Author: Admin

  • Farhash mahu lawan Amirudin jejas keharmonian PKR

    Farhash mahu lawan Amirudin jejas keharmonian PKR

    KEHARMONIAN dalam PKR terjejas gara-gara hasrat Ketua PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak melawan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pada pemilihan parti April ini.

    Memetik laporan FMT, Timbalan Pengarah Komunikasi PKR Selangor, Zainol Abidin Mohamed berkata, penggunaan istilah ‘menyuburkan demokrasi’ yang dimaksudkan Farhash sepatutnya digunakan di tempat dan dalam keadaan yang betul.

    Beliau memberitahu, Farhash perlu terus fokus di Perak bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kerana negeri itu berpotensi untuk Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan negeri.

    “Meninggalkan Perak dan bertukar ke Selangor boleh diibaratkan sebagai seorang bapa yang meninggalkan anak-anaknya dalam keadaan anak-anak memerlukan perhatian dan bimbingan si bapa,” katanya kepada FMT.

    Pada 7 Februari lalu, Farhash yang juga bekas Setiausaha Politik Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan kepada FMT bahawa beliau akan menentang Amirudin di Cabang Gombak dalam pemilihan yang dijadualkan pada 22 hingga 29 April ini.

    Beliau menyifatkan cabarannya itu sebagai meraikan proses demokrasi.

    Zainol yang juga Bendahari PKR Gombak menyeru supaya Farhash menarik diri daripada pemilihan di Gombak.

    Menurut beliau, jika Farhash ikhlas mahu memperkukuhkan parti, maka beliau perlu membantu Amirudin dalam mendapat sokongan rakyat sekali gus mampu mengangkat Anwar sebagai Perdana Menteri.

    “Gunakan pengaruh dan kedudukan yang saudara Farhash miliki dengan membantu Menteri Besar sama ada di peringkat Majlis Pimpinan Negeri (MPN) mahukan pentadbiran Kerajaan Negeri.

    “Ini baru betul disebut reformis sejati iaitu meletakkan kepentingan rakyat mengatasi kehendak serta nafsu peribadi,” jelasnya.

  • Isu Mara: Tiada aduan salah laku Suhaili diterima SPRM

    Isu Mara: Tiada aduan salah laku Suhaili diterima SPRM

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menerima sebarang aduan berhubung dakwaan salah laku membabitkan Pengarah Eksekutif Mara Corporation (Mara Corp), Datuk Suhaili Abdul Rahman mengenai penggunaan kad kredit korporat syarikat itu.

    Menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, pihaknya hanya akan bertindak jika ada laporan dibuat.

    “Kena seseorang buat laporan kepada kita. Setakat ini kita tidak terima laporan apa-apa lagi.

    “Kalau ada pihak buat laporan kepada polis terpulang, (itu) saya tak tahu.

    “Fokus saya pada hari ini ialah (dakwaan) salah guna kuasa (oleh lima pegawai kanan MARA) iaitu menggunakan kedudukan untuk mendapatkan elaun yang tidak sepatutnya dapat,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro, hari ini.

    Semalam, sebuah portal melaporkan seorang daripada lima pegawai Mara berkenaan membuat laporan mendakwa Suhaili menggunakan kad kredit Mara Corp untuk tujuan peribadi namun ia dinafikan Suhaili.

    Suhaili ialah Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) serta Pengerusi Bersatu Bahagian Labuan.

  • Uncle Kentang positif Covid-19 tahap 4

    Uncle Kentang positif Covid-19 tahap 4

    AKTIVIS masyarakat, Kuan Chee Heng, 57, yang lebih dikenali sebagai ‘Uncle Kentang’ dimasukkan ke Hospital Serdang, Selangor sejak malam kelmarin, selepas dikesan terkena jangkitan Covid-19.

    Chee Heng menerusi kenyataan di Facebook peribadinya, mengesahkan perkara itu dan memaklumkan beliau kini berada pada Tahap 4 jangkitan Covid-19.

    “Maaf, telefon saya akan ditutup selama tujuh hari, positif COVID tahap 4, pejabat akan ditutup selama empat hari bermula semalam.

    “Talian bebas kami juga akan ditutup kecuali untuk urusan ambulans. Kami akan meningkatkan jumlah ambulans Covid-19 kepada dua buah, memandangkan kini lebih ramai yang kena COVID-19,” katanya dalam hantaran Facebook.

    Chee Heng bagaimanapun tidak mendedahkan bagaimana beliau mendapat jangkitan tersebut.

    “Sila doakan untuk saya sembuh. Kategori 4A Covid positif. Bubuh oksigen,” katanya.

    Dalam hantaran berasingan, Uncle Kentang sebelum itu meminta bantuan netizen untuk berkongsi maklumat mengenai hospital swasta yang menjalankan pemeriksaan pengesahan Covid-19.

    Chee Heng adalah di antara aktivis masyarakat di negara ini yang terkehadapan dalam membantu golongan memerlukan menerusi pelbagai inisiatif unik tetapi berkesan dalam meringan beban yang memerlukan seperti kemudahan ambulans, teksi 10 sen, rumah penginapan sementara, bantuan kecemasan, barangan makanan serta van jenazah.

  • Ustaz disyaki liwat pelajar di sebuah pusat tahfiz ditahan

    Ustaz disyaki liwat pelajar di sebuah pusat tahfiz ditahan

    SEORANG ustaz ditahan di sebuah pusat tahfiz di Kemaman kerana disyaki meliwat pelajar lelakinya yang berusia 14 tahun awal bulan ini.

    Ketua Polis Daerah, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, perbuatan tidak bermoral suspek terbongkar selepas mangsa yang trauma tampil membuat laporan di Balai Polis Chukai.

    “Selain mangsa, suspek berusia 23 tahun dipercayai turut mencabul beberapa pelajar lain di asrama pusat tahfiz berkenaan dan mereka sudah membuat laporan polis,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian, hari ini.

    Menurut Hanyan, pihak pengurusan pusat tahfiz yang mendapat tahu perbuatan suspek telah menamatkan perkhidmatannya dan lelaki berkenaan bertindak melarikan diri ke Pekan, Pahang.

    Bagaimanapun kata beliau, polis berjaya mengesan suspek dan dia ditahan di Pekan, Pahang pada pukul 11 malam tadi dan kini ditahan reman selama seminggu.

    “Suspek direman bermula Selasa hingga 15 Februari nanti untuk melengkapkan proses siasatan berhubung kejadian liwat dan cabul yang dilakukan terhadap semua mangsa.

    “Kita meminta kerjasama ibu bapa pelajar untuk tampil membuat laporan polis sekiranya mereka mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini,” katanya.

    Jelas beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017.

    Hanyan turut mengingatkan pengusaha pusat tahfiz agar tidak menyembunyikan sebarang bentuk kes jenayah di tempat mereka kerana perbuatan tersebut menyalahi undang-undang.

  • Rasuah: Bekas pengurus kanan GLC Sabah dipenjara 6 bulan, denda RM295,000

    Rasuah: Bekas pengurus kanan GLC Sabah dipenjara 6 bulan, denda RM295,000

    SEORANG bekas pengurus kanan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Sabah hari ini dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM295,000 oleh Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu  selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan menerima rasuah pada 2017.

    Hakim Abu Bakar Manat menjatuhkan hukuman itu terhadap Sufian Abdul Ghani, 51, dan memerintahkannya dipenjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda.

    Bagi kesalahan pertama, Sufian dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM220,000 atau penjara tiga bulan jika gagal membayar denda; bagi pertuduhan kedua, dia turut dipenjara enam bulan dan denda RM25,000 atau sebulan penjara manakala kesalahan ketiga, tertuduh dihukum enam bulan penjara dan denda RM50,000 atau sebulan penjara.

    Abu Bakar memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak bermula hari ini. Sufian akan menjalani hukuman penjara itu selama 11 bulan kerana gagal menjelaskan denda.

    Bagi pertuduhan pertama, Sufian didakwa secara rasuah menerima wang RM44,000 daripada Nordin Abdillah melalui cek Public Islamic Bank milik syarikat Shadaz Enterprise yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB bank atas nama syarikat Binoun Jaya milik Sham Charles William.

    Dia dituduh melakukan kesalahan itu pada 9 Mac 2017 di CIMB Bank Cawangan Inanam, Inanam Point, Jalan Tuaran.

    Lelaki itu juga didakwa secara rasuah menerima wang RM5,000 melalui kiriman wang Public Bank daripada Phang Thou Kim yang dimasukkan ke dalam akaun Maybank miliknya pada 16 Okt 2017 bertempat di Maybank Cawangan Karamunsing, Kota Kinabalu.

    Sufian didakwa secara rasuah menerima cek Public Bank berjumlah RM10,000 daripada Phang di sebuah rumah di Jalan Kembura, Kampung Seroja, Likas, Kota Kinabalu pada 4 Mei 2017.

    Semua kesalahan itu adalah sebagai dorongan agar segala urusan tuntutan kerja dilakukan oleh syarikat Shadaz Enterprise terhadap Jabatan Pengurusan Gudang dan Logistik Sabah Electricity Sdn Bhd menjadi lancar, selain untuk memastikan syarikat tersebut mendapat projek kerja-kerja kecemasan daripada agensi terbabit.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

    Semasa rayuan, peguam Viviana Chew yang mewakili Sufian memaklumkan tertuduh yang kini bekerja sebagai tutor sambilan di sebuah kolej swasta tempatan dengan pendapatan RM1,400 setiap semester mempunyai masalah kesihatan dan menanggung keluarga.

    Pegawai Pendakwa SPRM Norsham Baharom memohon hukuman sewajarnya terhadap tertuduh melihat kepada keseriusan kesalahan dilakukan selain bagi memberi pengajaran kepada masyarakat agar tidak melakukan kesalahan sama. – Bernama

  • Polis buru dua penjenayah letup mesin ATM

    Polis buru dua penjenayah letup mesin ATM

    DUA penjenayah meletupkan sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) sebelum melarikan sejumlah wang tunai di sebuah kedai serbaneka di Pekan Meru, Klang, Selangor, awal pagi tadi.

    Kejadian itu disedari pekerja kedai serbaneka berkenaan ketika mahu membuka kedai kira-kira pukul 8 pagi selepas mendapati pintu kaca kedai pecah selain pintu pada mesin ATM telah terbuka.

    Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, kejadian itu dipercayai berlaku antara pukul 3 hingga 4 pagi.

    Menurutnya, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), kejadian itu dipercayai dilakukan oleh dua individu yang memecah masuk kedai serbaneka melalui pintu hadapan.

    “Kedua-dua suspek kemudiannya meletupkan mesin ATM di dalam kedai serbaneka berkenaan sebelum melarikan sejumlah wang.

    “Jumlah wang yang dilarikan masih dalam siasatan,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

    Katanya, pihak polis kini giat mengesan suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

  • Kesihatan Tun M semakin pulih-Mukhriz

    Kesihatan Tun M semakin pulih-Mukhriz

    KEADAAN kesihatan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad semakin pulih berbanding minggu lalu selepas pulang dari Institut Jantung Negara (IJN).

    Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, itu merupakan satu petanda baik dan ayahandanya kini berehat di rumah.

    Bagaimanapun katanya, Pengerusi Pejuang itu masih perlu menjalani rawatan sesi fisioterapi di Institut Jantung Negara (IJN).

    “Tun M sekarang ini dah dibenarkan pulang ke rumah walaupun masih lagi menjalani rawatan di IJN.

    “Jadi kekadang itu, setiap hari atau setiap dua hari, beliau akan diminta IJN untuk (menjalani sesi rawatan) fisioterapi.

    Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengadakan sidang media di Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Jadi bagi saya itu satu petanda yang sangat baik dan keadaannya dah banyak pulih berbanding dengan seminggu dua minggu lepas,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

    Terdahulu beliau berkata demikian dalam sidang media selepas program Sepetang Bersama Datuk Seri Mukhriz Mahathir di D’Sultanaa Bazaar, Jalan Tun Abdul Razak, hari ini.

    Dr Mahathir sebelum ini dibenarkan keluar dari IJN pada 13 Januari selepas dimasukkan ke pusat perubatan itu pada 7 Januari dan beliau menjalani prosedur perubatan elektif yang dikendalikan sepasukan doktor dari institut tersebut dan Pusat Perubatan Universiti Malaya pada 8 Januari.

  • Ribut landa Pulau Pinang, bumbung stadium mini tercabut, pokok tumbang

    Ribut landa Pulau Pinang, bumbung stadium mini tercabut, pokok tumbang

    KEJADIAN ribut dan angin kuat yang melanda Pulau Pinang kira-kira pukul 5 petang tadi menyebabkan berlakunya kejadian pokok tumbang di beberapa kawasan di negeri itu.

    Sehingga pukul malam 7 malam ini, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menerima sekurang-kurangnya 16 laporan kejadian pokok tumbang termasuk satu kejadian yang menimpa kenderaan.

    Antara lokasi itu termasuk di Gerbang Midlands; Jalan Cheeseman Masjid Negeri; Solok Tengku; Jalan Air Itam, Taman Sri Bayan, Bayan Lepas; Jalan Zainal Abidin; Relau dan Taman Tunas Muda Bayan Baru.

    MBPP menerima sekurang-kurangnya 16 laporan kejadian pokok tumbang termasuk satu kejadian yang menimpa kenderaan.

    Bagaimanapun, setakat ini tiada laporan kemalangan atau kehilangan jiwa dilaporkan akibat kejadian ribut itu yang berlaku dalam tempoh kurang 20 minit.

    Dalam pada itu, kejadian sama turut menyebabkan bumbung sebuah stadium mini di Sungai Ara, Bayan Lepas diterbangkan angin dan menimpa beberapa buah kenderaan di flat Seri Delima yang terletak berhampiran.

    Bagaimanapun, kejadian itu juga tidak melibatkan kecederaan kerana difahamkan penduduk yang berada di lokasi kejadian sempat menyelamatkan diri.

    Video mengenai kejadian itu juga turut tular di dalam media sosial sejurus selepas kejadian tersebut.

  • Bayi baru lahir maut dengan kesan tikam di dada

    Bayi baru lahir maut dengan kesan tikam di dada

    SEORANG bayi lelaki yang baru sahaja dilahirkan, ditemukan meninggal dunia dengan kesan kecederaan di dada, dipercayai akibat ditikam dengan objek tajam, di sebuah rumah di Felcra Seri Bandi, Chukai di Kemaman, Terengganu pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata pihaknya menerima laporan kira-kira 10 pagi tadi berhubung kejadian itu.

    Katanya bayi itu dilahirkan oleh seorang remaja berusia 15 tahun di rumahnya, dipercayai dengan bantuan seorang rakan, yang kemudiannya bergegas untuk memaklumkan kelahiran bayi itu kepada klinik berdekatan, meninggalkan remaja itu dengan bayinya.

    “Namun apabila petugas klinik sampai di rumah remaja itu, mereka ternampak bayi itu mengalami pendarahan dengan kesan kecederaan di dada,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Beliau berkata bayi itu kemudiannya dibawa ke klinik yang terletak kurang 100 meter dari rumah berkenaan dan diberikan bantuan kecemasan, namun disahkan telah meninggal dunia.

    “Siasatan awal polis di rumah remaja itu menemukan beberapa peralatan tajam dengan kesan darah. Ketika kejadian, ibu kepada remaja itu tiada di rumah kerana bekerja di Chukai,” katanya.

    Hanyan berkata remaja berkenaan juga sudah tidak bersekolah dan dikatakan hanya tinggal bersama ibunya di rumah itu selepas bapanya meninggal dunia.

    Beliau berkata mayat bayi itu dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk dibedah siasat, manakala remaja berkenaan turut mendapatkan rawatan lanjut di hospital.

    Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – Bernama

  • Ahli Parlimen Labuan mohon batal pertuduhan guna kedudukan

    Ahli Parlimen Labuan mohon batal pertuduhan guna kedudukan

    AHLI Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli memohon untuk membatalkan pertuduhan menggunakan kedudukan bagi mendapatkan kontrak pekerjaan untuk sebuah syarikat di mana ahli keluarganya mempunyai kepentingan serta dibebaskan atas dakwaan itu.

    Rozman selaku pemohon memfailkan permohonan itu semalam menerusi Tetuan Law Practice of Rafique dengan menamakan pendakwa raya sebagai responden.

    Pihak media memperoleh notis permohonan daripada peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Rozman selepas pengurusan kes itu, hari ini, di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob.

    Berdasarkan permohonan itu, beliau juga memohon supaya prosiding kesnya di Mahkamah Sesyen digantung sementara sehingga selesai permohonan tersebut.

    Permohonan itu dibuat antaranya atas alasan pertuduhan di bawah Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang dikenakan terhadapnya tidak berasas sama ada dari segi fakta mahupun perundangan dan dilakukan dengan niat jahat selain menyalahgunakan proses mahkamah.

    Sementara itu, Muhammad Rafique ketika dihubungi pemberita berkata mahkamah menetapkan 2 Mac ini untuk mendengar permohonan tersebut dan perkara itu disahkan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Asri Abd Rahman Sidik.

    Mahkamah sebelum ini menetapkan lima hari bermula 9 Mei ini untuk perbicaraan kes itu dan seramai 42 saksi pendakwaan akan memberi keterangan.

    Rozman, 58, didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Timbalan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan, telah menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan iaitu kontrak pekerjaan sebagai operator Dermaga Merdeka Pelabuhan Labuan bagi Syarikat Labuan Liberty Port Management Sdn Bhd yang bapa dan adik lelakinya mempunyai kepentingan.

    Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Bilik Mesyuarat TKSU, Aras 9, Kementerian Pengangkutan Malaysia, Jalan Tun Hussein, Presint 4, Putrajaya antara jam 2.30 hingga 5.30 petang pada 21 Mac 2018.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – Bernama