SEORANG jururawat wanita berusia 26 tahun mati ditembak oleh seorang pembantu wad hospital yang sering menghendapnya pada malam Khamis lalu.
Memetik laporan PTI , kejadian berlaku di dalam unit rawatan rapi (ICU) hospital daerah Bhind di Madhya Pradesh, India.
Pesuruhjaya Polis Bhind, Shalendra Singh Chauhan berkata, mangsa, Neha Chandel ditembak di kepala menggunakan sepucuk pistol pada jarak dekat oleh suspek yang merupakan bapa kepada empat anak.
Difahamkan, jururawat terbabit menolak cinta suspek yang berusia sekitar 40-an.
Suspek mahu mengahwini Neha namun perkahwinan mangsa dengan lelaki lain telah ditetapkan.
Keluarga Neha mendakwa, suspek telah mendesak mangsa untuk mengahwini sejak berbulan-bulan lalu.
Namun, Neha menolak lamaran suspek.
Lelaki itu menyerah diri kepada polis selepas insiden tembakan berlaku.
Mayat mangsa telah dihantar untuk bedah siasat.
Ekoran kejadian menyayat hati itu, kira-kira 100 jururawat hospital terbabit melancarkan protes bagi menuntut tahap keselamatan yang lebih tinggi di fasiliti kesihatan berkenaan.
Ketua Pegawai Perubatan dan Kesihatan Bhind, Dr Ajit Mishra berkata, pihaknya berusaha memastikan para pesakit tidak terganggu dengan protes berkenaan.
ISU kenaikan harga ayam perlu segera diselesaikan oleh kerajaan kerana ia sangat menghimpit rakyat khususnya B40 apatah lagi dalam suasana pilihan raya semasa.
Subsidi kepada pengusaha hanyalah umpama ‘panadol yang bersifat sementara melegakan kesakitan’ tetapi tidak merawat akar umbi penyakit dan masalah.
Kerajaan mempunyai tanggungjawab besar untuk memastikan keselamatan makanan asasi rakyat sentiasa cukup dan dipenuhi. Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara yang telah ditubuhkan oleh Kabinet pada April 2020 melibatkan beberapa kementerian perlu segera bermesyuarat menyelesaikan isu ini secara holistik.
Kenaikan harga ayam adalah kesan langsung daripada kenaikan bahan mentah seperti makanan ayam. Ini antara punca permasalahan. Untuk itu kerajaan perlu segera menggalakkan industri kitar semula bahan buangan agrikultur untuk diproses semula sebagai makanan ayam ke arah mengurangkan kos menternak ayam.
MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Kawalan eksport isi rung kelapa sawit (Palm Kernel Cake) yang menjadi antara bahan makanan haiwan mesti diperketatkan lagi oleh Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi kerana sememangnya bekalan dalam negara sendiri tidak mencukupi yang memberi kesan besar pada kos bahan makanan haiwan termasuk ayam. Purata pengeluaran PKC dalam negara ialah 2.4 juta tan setahun namun penggunaan peringkat domestik sangat rendah hanya sekitar 260,000 tan setahun.
Dalam masa yang sama perlu dimanfaatkan segera pelbagai kajian oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan para penyelidik di menara gading melibatkan makanan haiwan dari isi rung kelapa sawit dan sisa sawit lain yang diperkaya dengan nutrisi lain dengan kos yang rendah. Ini adalah penyelesaian jangka masa panjang bagi isu pemakanan haiwan dalam negara.
Selain itu harga utiliti seperti diesel elektrik dan air untuk sektor penternakan dan pertanian perlu dilihat kembali agar industri ini boleh bersaing di pentas antarabangsa.
Sebuah syarikat khusus untuk pertanian berasaskan makanan mesti ditubuhkan bagi tujuan menjadikan negara memiliki kemampuan menghasilkan bahan makanan utama yang cukup tanpa bergantung kepada import.
Polisi kerajaan mengawal harga ayam juga perlu dinilai semula kerana ia menyebabkan penternak tersepit di tengah-tengah kemelut kenaikan harga bahan mentah dan kawalan harga jualan yang tidak sejajar dengan kenaikan kos. Kerajaan tidak boleh mengharapkan harga ayam kekal tanpa berbuat apa-apa untuk membantu mengurangkan kos bahan mentah sektor penternakan dan pertanian. Ini antara punca terbesar masalah yang dihadapi hari ini.
UMNO nampaknya cukup yakin mereka kembali mendapat sokongan rakyat setelah memenangi PRN Melaka sedangkan satu Malaysia tahu peratusan keluar mengundi amat rendah pada waktu itu.
Disebabkan mahu uji lagi sokongan terhadap parti berkenaan, mereka cipta alasan untuk merasionalkan pembubaran DUN Johor.
Pada masa sama, mereka cukup galak mahu PRU15 diadakan segera kerana dengan siri momentum kemenangan, parti itu yakin akan dapat kembali menjadi pemerintah.
Tapi bagi Tok Chey, UMNO tidak akan mendapat laluan mudah untuk menang pada PRU15 walaupun mereka dapat menguasai Johor.
Rakyat tidak akan lupa dengan apa yang berlaku semasa Najib Razak dan Zahid Hamidi di puncak kuasa sebelum UMNO tumbang.
Mereka pada waktu itu dilihat sedaya upaya cuba menyembunyikan salah laku yang besar sedangkan ia sebenarnya tidak mampu untuk disorokkan lagi.
Akibat cuba menutup pekung, UMNO akhirnya telah dihukum pada PRU14 kerana skandal terbesar dalam sejarah Malaysia dan antara terburuk di mata dunia.
Setelah hilang kuasa, semuanya terbongkar apabila Malaysia ketika ini terpaksa menanggung hutang 1MDB hampir RM40 bilion.
Orang lain yang berhutang, tapi rakyat yang terpaksa menanggung beban entah sampai bila mampu untuk dilunaskan.
Bukti makin jelas dan terang apabila Najib Razak yang kini menjadi Pengerusi Lembaga Penasihat BN terbukti bersalah dengan kes rasuah dan salah guna kuasa.
Seperti yang diketahui seantero dunia, Najib sudah dibuktikan bersalah oleh mahkamah atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Dia didapati bersalah atas tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa melibatkan dana syarikat itu.
Kerana kesalahan-kesalahan itu, Najib dihukum penjara 12 tahun dan denda RM210 juta. Namun disebabkan Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Najib untuk menangguhkan sabitan dan pelaksanaan hukuman berkenaan, Ahli Parlimen Pekan itu tidak perlu ke penjara dan masih bebas.
Zahid Hamidi pula sedang berhadapan dengan kes mahkamah apabila telah diarahkan untuk membela diri terhadap 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.
Bagi 12 pertuduhan pecah amanah, Zahid Hamidi, didakwa menggunakan dana Yayasan Akalbudi untuk membuat enam pembayaran kad kredit milik persendirian, polisi insurans kenderaan dan lesen motor persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Bagi lapan tuduhan rasuah, Zahid Hamidi didakwa menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn Bhd sebagai dorongan untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri ketika itu bagi membantu syarikat berkenaan mendapatkan projek MyEG.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan membabitkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018.
Melihatkan kepada isu integriti melibatkan dua nama besar dalam UMNO itu dan sokongan pemimpin UMNO lain terhadap mereka, maka amat jelas UMNO ‘merestui’ perbuatan itu.
Tok Chey yakin UMNO tidak akan berubah dan tidak berhasrat untuk berubah selagi mana pemimpin yang terpalit dengan isu integriti masih menjadi tulang belakang kepada parti berkenaan.
Sudahlah pemimpin yang terpalit dengan masalah integriti tidak rasa malu, penyokong yang taksub mengagungkan pemimpin mereka juga ikut sama tanpa ada perasaan malu.
Sama-sama tak malu!
Tok Chey berpengalaman lebih20 tahun dalam dunia kewartawanan.
SEORANG pemandu bas kilang dan pemandu treler cedera parah dalam kejadian kemalangan membabitkan sebuah treler yang merempuh sebuah bas kilang di Jalan Perusahaan Perai, Pulau Pinang pukul 7.21 malam tadi.
Menurut Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Perai, Mohd. Fakharurazi Md. Rejab, kejadian itu berlaku ketika treler tanpa muatan yang dalam perjalanan menghala ke utara terbabas dan melanggar pembahagi jalan.
Akibat kejadian itu katanya, treler terbabit merempuh sebuah bas kilang yang membawa kira-kira 21 pekerja kilang lelaki di laluan bertentangan.
Jelasnya, turut cedera dalam nahas itu ialah 15 penumpang bas tersebut yang dipercayai dalam perjalanan pulang dari tempat kerja.
“Sebaik sahaja menerima panggilan mengenai kejadian itu, pasukan bomba terus bergegas ke tempat kejadian dan mendapati berlakunya kalangan antara sebuah bas dan treler.
“Ketika tiba di lokasi kejadian juga, mangsa telah keluar daripada bas yang terbalik,” katanya malam ini.
Menurut beliau, pihaknya mendapati kedua-dua pemandu berada dalam keadaan tersepit dan operasi menyelamat dilakukan menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa.
Akibat kemalangan itu juga, keadaan lalu-lintas di kawasan terbabit sesak teruk berikutan pihak berkuasa terpaksa menutup jalan buat sementara waktu sehingga kerja-kerja mengalihkan kedua-dua kenderaan itu selesai.
TIMBALAN Ketua Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor, Nornekman Osman tidak menumpang populariti bapanya, Allahyarham Datuk Osman Sapian untuk bertanding Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, sebaliknya yakin dengan pengalaman dimiliknya.
Beliau menganggap, pengaruh bapanya hanya sebagai kelebihan buatnya selain percaya masyarakat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempasn khususnya penyokong bekas Menteri Nesar Johor itu akan memberi sokongan kepadanya.
“Keyakinan saya bukan sekadar cakap-cakap kosong sebaliknya bersandarkan atas pengalaman dimiliki dalam bidang korporat dan juga latar belakang politik.
“Saya bukan baharu sahaja melibatkan diri dalam kancah politik menerusi Pejuang, sebaliknya pernah bersama-sama UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Kayuhan Sehati Sejiwa Remaja Jelajah Kempas 2022 melibatkan jarak kayuhan sejauh 30 kilometer di sekitar Kempas, Johor Bahru, hari ini.
Nornekman sebelum ini menawarkan diri untuk bertanding di DUN Kempas dan masih menunggu keputusan muktamad daripada pucuk pimpinan Pejuang berkenaan pembahagian 42 kerusi yang akan ditandingi parti tersebut.
DUN Kempas sebelum ini disandang Allahyarham Osman sebelum meninggal dunia pada 21 Disember lalu namun tiada pilihan raya kecil (PRK) diadakan.
Anak sulung Osman itu berkata, hasrat untuk menjadi wakil rakyat adalah bagi meneruskan kerja-kerja arwah bapanya yang masih belum selesai kerana meninggal dunia ketika masih berkhidmat sebagai wakil rakyat.
“Ada banyak dokumen dan urusan rasmi yang masih tertangguh dan saya tidak mampu selesaikan atas kapasiti peribadi, sebaliknya saya perlu diberi peranan lebih besar selaku wakil rakyat mereka,” katanya.
Berhubung program tersebut, beliau berkata, selain memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat, tujuan diadakan untuk memberi hebahan kepada masyarakat khususnya pengundi baharu.
“Pada PRN Johor ini, dijangka seramai 750,000 pengundi baharu akan terlibat dengan majoriti daripadanya merupakan generasi muda, jadi hebahan adalah perlu kerana masih ramai diantara mereka belum tahu hak mereka dalam menentukan kerajaan.
“Jadi kami mahu memberikan mereka kesedaran tentang pentingnya tanggungjawab itu dan juga pentingnya membuat pilihan terbaik dalam menentukan wakil rakyat di kawasan masing-masing,” katanya.
Walaupun senarai nama calon masih belum dimuktamad, pihaknya berharap diberi peluang untuk menjadi calon bagi DUN Kempas mewakili Pejuang dalam PRN Johor.
NAIB Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen membidas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang menggelar Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai ‘ketandusan kecerdasan’.
Katanya, kenyataan Mohamed Khaled itu adalah kerana terdesak yang sebelum ini mendakwa kononnya golongan ‘kluster mahkamah’ disebut Muhyiddin tiada kaitan langsung dan tidak wajar dikaitkan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan masa depan rakyat negeri itu.
“Mengapakah Khaled cuba mengasingkan ‘kluster mahkamah’ termasuk Presiden UMNO atau Pengerusi Barisan Nasional (BN) dengan parti UMNO/BN yang akan menyertai PRN Johor?
“Bukankah yang akan menandatangani surat watikah dan berkuasa mutlak memuktamadkan calon-calon BN di PRN Johor adalah Pengerusi BN yang merupakan ‘kluster mahkamah’?
“Bukankah kemenangan BN di Johor akan memberi momentum dan menjadi kemegahan kepada Pengerusi BN yang juga ‘kluster mahkamah’ bahawa beliau masih relevan untuk memimpin BN dan menentukan hala tuju politik negara pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15)” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.
Hari ini, Mohamed Khaled menyifatkan Muhyiddin sebagai individu yang ‘ketandusan kecerdasan’ apabila terus menjadikan istilah ‘kluster mahkamah’ ciptaannya sendiri untuk menyerang pemimpin UMNO.
Sedangkan katanya, tiada seorang pun yang digelar ‘kluster mahkamah’ itu akan bertanding pada PRN Johor atau mempunyai kaitan dengan pentadbiran negeri itu.
Mengulas lanjut, Mohd. Rafiq berkata, slogan kestabilan yang dicanang tidak bermakna apabila kestabilan politik yang diuar-uarkan kononnya semata-mata demi rakyat disalahgunakan untuk kepentingan politik peribadi dan parti BN serta UMNO.
“Ketika rakyat bertarung nyawa memerangi Covid-19 yang hari ini mencecah 22,802 kes dan berhempas pulas memulih ekonomi bagi menyara keluarga, RM96 juta wang rakyat yang sepatutnya boleh dijimatkan sekiranya PRN Johor disekalikan dengan Pilihan Raya Umum ke-15 yang dijadual hanya beberapa bulan sahaja lagi dileburkan begitu saja demi kuasa serta kerakusan pimpinan UMNO dan BN.
“Kasihan rakyat Malaysia dan Bangsa Johor yang tidak henti-henti diheret ke percaturan politik ‘kluster mahkamah’ dan pihak yang bersekongkol dengan kluster mahkamah seperti Khaled Nordin yang rakus mencatur arena politik negara,” ujarnya.
SEORANG lelaki kurang siuman meninggal dunia digilis lori berdekatan lampu isyarat pekan Pantai Remis, Manjung hari ini.
Dalam kejadian 9.45 pagi itu, mangsa Mohd. Fadil Kamarudin, 45, sebelum itu dikatakan tergelincir dari batu penghadang dan terjatuh di atas jalan raya sebelum digilis lori.
Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, mangsa terjatuh di atas jalan utama kemudian digilis tayar pada bahagian belakang kenderaan berat yang dipandu seorang lelaki berusia 39 tahun.
“Kemalangan menyebabkan mangsa yang dipercayai kurang siuman itu cedera di kepala dan maut di tempat kejadian,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Seri Manjung dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
SEORANG pelajar lelaki Tingkatan Enam ditahan selepas disyaki terbabit dengan kegiatan pecah rumah di Kuala Selangor, semalam.
Suspek berusia 20 tahun ditahan oleh pasukan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor pada 6 petang.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintendan Ramli Kasa berkata, tangkapan itu susulan laporan polis daripada pelajar perempuan sebuah kolej swasta yang mendakwa rumahnya dipecah masuk di Taman Warisan pada 7 Februari lalu.
“Mangsa mendapati telefon bimbit miliknya hilang. Selain itu, rakannya juga dimaklumkan barang miliknya turut hilang.
“Barangan yang hilang itu ialah dua telefon bimbit, dua komputer riba, sebuah beg mengandungi komputer riba dan fon telinga,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.
Ramli berkata, berdasarkan maklumat dan risikan pihaknya menahan sebuah Proton Iswara di Taman Meranti.
“Hasil pemeriksaan di kenderaan itu menemui barangan yang disyaki dicuri oleh suspek.
“Semakan mendapati pelajar itu masih lagi bersekolah di sebuah sekolah menengah di Kuala Selangor,” katanya.
Menurutnya, soal siasat masih dijalankan terhadap suspek atas pembabitan kes itu.
“Kita tidak menolak kemungkinan modus operandi suspek adalah dengan masuk ke dalam rumah pelajar yang disewa oleh pihak kolej.
“Suspek direman bermula semalam sehingga 15 Februari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan (KK),” katanya.
SEORANG pelajar perempuan yang dalam perjalanan pulang dari sekolah di Taman Connaught, Kuala Lumpur, berjaya menyelamatkan dirinya daripada menjadi mangsa rakus lelaki gila seks, pukul 2 petang Rabu lalu.
Gadis berusia 17 tahun terbabit berjalan kaki untuk pulang ke rumahnya di lorong belakang sebuah sekolah berdekatan Jalan Ahliman.
Harian Metro melaporkan, tiba-tiba datang seorang lelaki memeluknya dari belakang dan menutup mulut mangsa dengan tangan.
Menurut sumber, suspek kemudian bertindak mencabulnya menyebabkan mangsa yang ketakutan terus menjerit meminta pertolongan.
“Akibat jeritan mangsa itu, suspek terus melarikan diri sebelum mangsa yang trauma dengan kejadian itu memaklumkan kepada keluarganya dan tampil membuat laporan di Balai Polis Cheras untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan mengesahkan menerima laporan itu dan siasatan sedang dijalankan.
“Setakat ini masih belum ada tangkapan dan mangsa juga tidak dapat mengecam muka suspek,” katanya.
SEORANG remaja wanita maut selepas terjatuh dari tingkat 10 sebuah flat di Persiaran Tun Teja 3, Taman Tun Teja di Rawang, hari ini.
Insiden melibatkan remaja perempuan berusia 14 tahun itu laporkan pada pukul 3.17 petang.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah berada di lokasi kejadian sebelum bomba tiba.
“Sejurus tiba, anggota bomba menemui mayat seorang remaja perempuan berusia 14 tahun yang dilaporkan sudah meninggal dunia,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.
Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.