Author: Admin

  • JAS nafi tumpahan minyak di Pelabuhan Tanjung Bruas

    JAS nafi tumpahan minyak di Pelabuhan Tanjung Bruas

    JABATAN Alam Sekitar (Jas) Melaka menafikan dakwaan terdapat kesan tumpahan minyak dari kapal dikesan setakat ini seperti didakwa berlaku di perairan Selat Melaka di Pelabuhan Tanjung Bruas di Tanjung Kling, Melaka.

    Pengarah JAS negeri Rosli Osman berkata, pemantauan bersama Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Laut malam tadi tidak menemui kesan tompokan minyak hitam seperti didakwa pengadu dalam video berdurasi satu minit 24 saat yang tular sejak semalam.

    Menurutnya, bertindak atas maklumat itu pihaknya turut melakukan pemantauan menggunakan dron bagi mendapatkan gambaran lebih menyeluruh sekiranya berlaku pencemaran minyak di laut.

    Katanya, tinjauan turut dilakukan di Pantai Puteri, Pantai Rombang, Pantai Kundur, Pantai Klebang selain kawasan pantai di Shah Beach Resort dan di Taman Spring Garden.

    “Namun, kita tidak mengesan sebarang aktiviti pembuangan minyak mahupun tompokan minyak hitam di kawasan jeti Tanjung Bruas.

    “Selain itu tiada lelehan minyak daripada dua kapal yang sedang berlabuh di jeti terbabit seperti dakwaan beberapa pekerja am pelabuhan di dalam video tular itu,” katanya memetik laporan Astro Awani, hari ini.

    Menerusi video tular itu beberapa individu dipercayai pekerja di jeti pelabuhan terbabit mendakwa berlaku aktiviti membuang sisa minyak pada waktu malam membabitkan sebuah kapal.

    Mengulas lanjut, Rosli berkata, pihaknya turut mengambil sampel daripada kedua-dua kapal berlabuh di pelabuhan itu.

    “Tujuannya jika kita temui tumpahan minyak di laut nanti kita akan bandingkan dengan sampel diambil daripada kapal terbabit bagi mengetahui puncanya,” katanya sambil memaklumkan orang ramai boleh menghubungi 06-2345720 untuk aduan berkaitan.

    Sementara itu, Sidang Kampung Tanjung Kling, Aziz Japar meminta pihak berwajib memandang serius dan melakukan siasatan terperinci berhubung dakwaan pencemaran minyak itu.

    “Walaupun siasatan JAS dan Jabatan Laut tidak jumpa apa-apa bukti tumpahan minyak, saya berharap siasatan menyeluruh dilakukan,” katanya

  • Tahanan maut ketika terima rawatan kerana Covid-19

    Tahanan maut ketika terima rawatan kerana Covid-19

    SEORANG lelaki yang juga orang kena tahan (OKT) yang menerima rawatan di hospital kerana positif Covid-19 meninggal dunia, semalam.

    Siasatan polis mendapati OKT itu dihantar ke Hospital Kota Tinggi, Johor, pada Rabu lalu, bagi menerima rawatan kerana demam dan muntah.

    Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Datuk Azri Ahmad berkata, hasil ujian saringan dilakukan mengesahkan OKT berusia 43 tahun itu positif wabak terbabit sebelum ditahan di wad Covid 19 untuk rawatan lanjut.

    “OKT berkenaan disahkan meninggal dunia, jam 4.15 pagi, dan punca sebenar kematiannya masih belum diketahui,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Azri berkata, OKT itu ditahan sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi, Johor, mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 pada 21 Januari lalu.

    “Lelaki itu direman empat hari dan didakwa di mahkamah pada 25 Januari lalu. Jamin ditawarkan, namun OKT gagal menyediakan penjamin menyebabkannya diperintahkan ditahan reman di penjara.

    “Tarikh sebutan kes itu ditetapkan pada 1 Februari dan bicara pula pada 28 Februari ini. Bagaimanapun, OKT ditumpangkan sementara dalam lokap polis susulan penularan Covid-19 di penjara.

    “Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT) JIPS Bukit Aman akan melakukan siasatan berhubung kes kematian berkenaan,” katanya.

  • Rokok seludup bernilai RM525,000 dirampas PPM Wilayah Tiga

    Rokok seludup bernilai RM525,000 dirampas PPM Wilayah Tiga

    SEBANYAK 70 kotak rokok seludup bernilai RM525,000 dirampas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga dalam serbuan dilakukan di sebuah pondok di Batu 14, Gambang, Kuantan malam tadi.

    Dalam serbuan pada pukul 12.10 tengah malam itu, dua individu yang berada di pondok berkenaan sempat melarikan diri ke dalam hutan berhampiran, lapor Sinar Harian.

    Menurut Komander PPM Wilayah Tiga, Asisten Komisioner Norzaid Muhammad Said, sepasukan anggota bersama pegawai dari Unit Risikan Marin yang sedang menjalankan Ops Kontraban bertindak menyerbu lokasi berkenaan atas maklumat awam.

    Menurut beliau, selepas menyedari kehadiran anggota, dua individu dipercayai ahli sindiket terbabit terus melarikan diri.

    Katanya, anggota bertindak mengejar dan mengesan suspek, namun gagal ekoran keadaan di kawasan itu yang terlalu gelap.

    Beliau berkata, hasil pemeriksaan di pondok berhampiran sebuah tokong itu, anggota menemui 70 kotak berisi 3,500 karton rokok putih dipercayai tidak bercukai yang ditutup dengan kanvas,” katanya dalam kenyataan pada hari ini.

    Menurut Norzaid, pihaknya menunggu selama 30 minit, namun tiada pihak datang menuntut barangan tersebut sebelum semuanya dibawa ke Markas PPM Wilayah Tiga untuk tindakan lanjut di bawah Akta Kastam 1967,

    “Kes itu kemudian diserahkan kepada pegawai penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan untuk tindakan lanjut,” ujar beliau.

    Beliau berkata, PPM Wilayah Tiga sentiasa menjalankan operasi secara berterusan bagi mengekang aktiviti penyeludupan.

    “Orang ramai juga diminta agar membantu dengan menyalurkan maklumat berhubung aktiviti itu kepada pihak berkuasa khususnya PPM Wilayah Tiga di talian 09-5137726,” tambah beliau.

  • Mayat mangsa lemas ditemukan tersangkut pada saluran paip penyedut pasir

    Mayat mangsa lemas ditemukan tersangkut pada saluran paip penyedut pasir

    MAYAT seorang lelaki yang lemas ketika mandi di sungai Kampung Rajawali, Dungun petang semalam ditemukan hari ini.

    Mayat Ahmad Solihin Ishak, 22, ditemukan pasukan mencari dan menyelamat pada pukul 9.25 pagi ini, lapor Harian Metro.

    Menurut Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah, ketika ditemui, mayat mangsa didapati tersangkut pada saluran paip penyedut pasir sekitar 700 meter dari tempat mangsa dilaporkan hilang.

    Katanya, sebelum kejadian, mangsa ada memberitahu keluarganya untuk ke sungai pada pukul 4 petang semalam.

    Bagaimanapun katanya, sehingga 7 malam, mangsa tidak pulang menyebabkan ahli keluarganya mencari di kawasan tersebut, namun gagal menemuinya.

    Baharudin berkata, keluarga mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Daerah Dungun.

    “Sebaik menerima laporan, polis, bomba dan penyelamat serta Angkatan Pertahanan Awam (APM) segera melancarkan gerakan mencari dan menyelamat.

    “Kita percaya mangsa mandi di kawasan beting pasir dan ketika cuba menyeberang ke sebuah lagi beting pasir, mangsa dipercayai dihanyutkan arus,” ujar beliau.

    Menurut Baharuddin, mayat mangsa dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut sebelum diserahkan kepada keluarganya untuk urusan pengebumian.

  • KKMM terima banyak aduan berita palsu PRN Johor

    KKMM terima banyak aduan berita palsu PRN Johor

    KEMENTERIAN Komunikasi dan Multimedia (KKMM) menerima banyak aduan berkaitan berita palsu melibatkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor. 

    Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata pihaknya akan memantau perkara berkenaan namun buat masa ini keadaan masih terkawal.

    “Kita kena sepanjang masa memantau keadaan itu (berita palsu) dan kita tahu, kita tidak boleh menghapuskan 100 peratus tetapi kita menggerakkan dan membangkitkan kesedaran kerana menyebarkan berita palsu bukan sahaja tidak baik malah tidak membawa untung kepada sesiapa,” katanya kepada Bernama selepas program Santai Anak Muda di Ngepot Kabin, Kluang, malam tadi.

    Sementara itu, mengenai pengundi muda pada PRN Johor, Annuar berkata beliau yakin orang muda di negara ini mempunyai maklumat dan pengetahuan luas untuk mengambil bahagian dalam pentadbiran dan menentukan kepimpinan negara. 

    Terdahulu, Annuar yang mengadakan lawatan kerja tiga hari ke Johor bermula hari ini menunaikan solat maghrib bersama penduduk di Kampung Melayu, Kluang.

    Beliau dijadual melancarkan Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) Zon Tengah di Felda Kahang Barat pada pagi ini dan menyampaikan watikah Ketua Komuniti Keluarga Malaysia Zon Tengah di sini pada sebelah malam.

    Pada Ahad, Annuar akan menghadiri Town Hall Bicara Keluarga Malaysia dan pelancaran Hari Radio Sedunia di Radio Televisyen Malaysia (RTM) Johor di Johor Bahru. – Bernama

  • 19 PATI ditahan termasuk tekong, pemandu van persiaran

    19 PATI ditahan termasuk tekong, pemandu van persiaran

    SERAMAI 19 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar ditahan bersama-sama seorang lelaki warga Thailand yang bertindak sebagai tekong darat selepas menahan sebuah van persiaran jenis Era Komuter di Kampung Lubok Kawah, Pasir Mas, pukul 5.45 pagi kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, pihaknya turut menahan pemandu van tersebut yang berusia 37 tahun bagi membantu siasatan berhubung penahanan PATI berkenaan.

    “Sekitar pukul 5 pagi pihak polis telah membuat rondaan sejurus menerima maklumat berkait dengan aktiviti penyeludupan migran di kawasan Kampung Siram, Pasir Mas.

    “Semasa melakukan rondaan, anggota berkenaan telah terserempak dengan sebuah van persiaran berwarna putih hijau dan kereta jenis Audi A4 berwarna putih yang dipandu dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan pada jam 5.45 pagi.

    “Menyedari kehadiran anggota polis, kedua-dua kenderaan tersebut cuba melarikan diri. Bagaimanapun van persiaran berjaya ditahan di Kampung Lubok Kawah sementara kereta Audi A4 gagal dikesan,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas van persiaran tersebut menemui sembilan wanita dan 10 lelaki warga Myanmar berusia antara 20 hingga 39 tahun.

    Beliau berkata, van persiaran tersebut dipandu oleh seorang lelaki tempatan dari Padang Serai, Kedah.

    Katanya, hasil siasatan terhadap pemandu tersebut pihaknya berjaya menahan seorang warga Thailand berusia 42 tahun dipercayai menjadi tekong yang membawa masuk PATI ke negara ini.

    “Kesemua suspek telah ditahan di bawah Seksyen 51 (3) Akta Imigresen (Pindaan 2002) iaitu peruntukan menahan warganegara asing yang ditangkap untuk siasatan lanjut,” katanya.

  • Pas jangan jadi ‘pak turut, kekalkan budaya politik matang

    Pas jangan jadi ‘pak turut, kekalkan budaya politik matang

    Oleh DATUK DR.KHAIRUDDIN TAKIRI

    KEPUTUSAN Muzakarah Majlis Syura Ulamak pada 31 hb Disember 2021 sebagaimana kenyataan rasmi oleh Mursyidul Aam ialah kekal memperkasakan Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional. Sehingga berlaku perubahan dasar baru jika ada, maka tanggungjawab semua pemimpin dan ahli Pas ialah memperkasakan kedua-duanya.

    Meskipun akan berlaku pertembungan dalam pilihanraya Johor antara PN, BN dan PH, Pas boleh mengekalkan semangat kerjasama dengan kempen yang berhemah berasaskan Budaya Politik Matang Sejahtera.

    Kempen mengajak rakyat Johor bersama Pas dengan menjelaskan matlamat perjuangan dan usaha Pas serta kejayaan Pas menguruskan kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri. Itu kempen berhemah.

    Tidak perlu diungkit cerita lama, perangai lama, tuduh-menuduh yang lama dan kezaliman lama kerana semuanya hanya bertujuan membakar sentimen kebencian yang tidak menguntungkan politik umat Islam jangka masa panjang.

    Malah tidak wajar rahsia-rahsia mesyuarat berdua dan bertiga dijadikan modal kempen terbuka kerana Nabi saw mengajar menyimpan rahsia mesyuarat dan perbincangan sebagaimana sabdanya

    “Ahli mesyuarat diberi  amanah (kerahsiaan)”

    (Hadis Sahih riwayat Tirmizi)

    Kepada yang terlajak masih ada masa untuk membetulkan keadaan dengan menyusun strategi baru. Kita mahu menggamit sokongan anak muda dan penyokong atas pagar dan juga mereka yang simpati di kalangan penyokong UMNO/BN dan PH untuk menyokong kita bukan sekadar mengekalkan penyokong tegar Pas.

    Tentulah budaya memujuk perlu diteruskan sesuai dengan firman Allah

    “Pergilah kamu berdua (wahai Musa dan Harun) kepada Firaun, dia sangat jahat dan sebutlah kepadanya kata-kata yang lunak mudah-mudahan dia ambil ingatan atau dia takut pada Tuhan.”

    (Surah Toha : 43-44)

    Jika pada manusia sejahat Firaun pun diarahkan kita menyebut kalam yang lunak apatah lagi dengan rakan kerjasama dalam kerajaan Persekutuan.

    Kita tidak perlu menjadi “pak turut”. Jika ada rakan memulakan kata-kata yang kasar, bukanlah kita orangnya untuk membalas dengan kekasaran juga kerana kita adalah  pendakwah.

    Nabi saw diriwayatkan bersabda

    “Janganlah kamu menjadi pak turut. Kamu menyebut; “jika orang ramai berbuat baik maka kami berbuat baik dan jika mereka berbuat jahat kami pun berbuat jahat”, tetapi tetapkan diri kamu; jika mereka berbuat baik kami berbuat baik. Jika kamu berbuat jahat kami tetap tidak menzalimi”

    (Hadis Lemah dalam Targhib wa Targhib)

    Kepada rakan pimpinan di peringkat pusat, anda perlu memimpin kaedah kempen yang betul dan berhemah kepada pimpinan pertengahan dan bawahan. Mereka di bawah hanya “kami dengar dan taat”.

    Ini nasihat saya sebagai ahli biasa kepada pimpinan tertinggi sebagai mengamalkan sabda Nabi saw.

    “Agama itu Nasihat”. Kami (para Sahabat) bertanya untuk siapa? Kata Nabi SAW Untuk Allah, untuk Kitab-Nya, untuk Rasul-Nya dan untuk pemimpin-pemimpin orang Islam dan untuk orang awam mereka” (Hadis Muslim) .

    • Datuk Dr.Khairuddin Takiri adalah Ahli Parlimen Kuala Nerus.
  • Masalah ekonomi keluarga punca keganasan rumah tangga, penceraian – Rina

    Masalah ekonomi keluarga punca keganasan rumah tangga, penceraian – Rina

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KES keganasan rumah tangga dan penceraian yang berlaku kebelakangan ini kebanyakan berpunca daripada masalah ekonomi keluarga.

    Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, antara yang menyumbang kepada masalah ekonomi keluarga apabila ada antaranya hilang pekerjaan akibat Covid-19.

    “Dalam tempoh pandemik ini, ramai pihak kehilangan pekerjaan, kehilangan pendapatan namun kehidupan tetap perlu diteruskan dan anak-anak tetap perlu diberi makan, bayaran rumah dan sebagainya,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap semasa
    merasmikan Program Keusahawanan Wanita Bangkit di Trove Hotel, Johor Bahru, hari ini.

    Sehubungan itu katanya, bagi membantu keluarga, golongan wanita perlu memainkan peranan penting, bukan sekadar sebagai suri rumah tetapi membantu ekonomi keluarga.

    Pengukuhan ekonomi dalam kalangan wanita katanya, bukan sahaja akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara sebaliknya turut mengukuhkan sesebuah institusi kekeluargaan.

    Jelasnya, ini kerana masalah kewangan merupakan antara faktor utama yang menyebabkan keruntuhan sesebuah keluarga.

    Beliau mahu membantu seramai mungkin wanita menjana pendapatan sama ada secara mencari pekerjaan ataupun menceburi bidang perniagaan.

    “Bantuan diberi bukan sahaja melalui pelbagai platform disediakan kerajaan sebelum ini tetapi juga bantuan dan peluang bekerja atau berniaga,” katanya.

    Sementara itu, Rina memberitahu, inisiatif Wanita Bangkit@KPWKM telah membantu 5,135 wanita dengan 4,541 telah memulakan perniagaan kecil-kecilan selain 594 wanita ditawarkanpekerjaan dalam sektor formal.

  • Ekonomi negara pulih melalui syor MPN-Azmin

    Ekonomi negara pulih melalui syor MPN-Azmin

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KERAJAAN yakin ekonomi negara yang terjejas akibat Covid-19 akan dapat dipulihkan sekiranya mengikut langkah-langkah proaktif yang disyorkan Majlis Pemulihan Negara (MPN).

    Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, antara langkah disyorkan adalah pembukaan sempadan bagi
    membolehkan rantaian bekalan tidak terganggu.

    “Ini kerana Malaysia antara negara yang aktif dalam rantaian bekalan global,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Skim Bersama SIRIM@Anak Bapak Maju Enterprise, di Taman Muhibah Saleng, Kulai, hari ini.

    Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Tosrin Jarvanthi dan Pengurus Besar Kanan Pemasaran Kumpulan dan Pejabat Wilayah Perancangan Strategik Kumpulan SIRIM, Abdul Ghani Abdul Rahman.

    Dalam perkembangan lain, Mohamed Azmin berkata, Malaysia kini berada atas landasan yang betul selepas
    banyak kejayaan dicapai melalui pengalaman mengendalikan Covid-19 dalam tempoh dua tahun ini.

    Katanya, dunia mengiktiraf Malaysia antara negara yang terbaik dalam menjayakan program vaksinisasi.

    Beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa memantau situasi semasa dengan peningkatan kes Omicron dalam negara.

    “Namun kita yakin pengalaman selama dua tahun ini, kita dapat menangani penularan ini dengan lebih efektif dan kita lihat sistem kesihatan awam negara terkawal.

    “Ini membuktikan bahawa program vaksinisasi yang dilancarkan pada Febuari 2021 memberikan kesan yang positif,” katanya.

    Sementara itu, beliau berkata, MITI akan terus membantu usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) yang terkesan dengan Covid-19 antaranya menerusi sumbangan kepakaran pihak Sirim Berhad (Sirim).

    Tujuannya kata beliau, supaya produk IKS dapat
    diperluaskan dalam pasaran tempatan dan global.

  • PBM sedia tanding lebih dua kerusi dalam PRN Johor

    PBM sedia tanding lebih dua kerusi dalam PRN Johor

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PARTI Bangsa Malaysia (PBM) tidak menolak untuk bertanding lebih daripada dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Presiden PBM, Larry Sng Wei Shien berkata, ini kerana pihaknya yakin penerimaan orang Johor terhadap parti itu walaupun baru bertapak dan pertama kali bertanding dalam pilihan raya.

    “Kita akan memuktamadkan jumlah kerusi dan calon yang akan bertanding diumumkan satu atau dua hari penamaan pada 26 Februari ini. Setakat ini dua calon PBM memang sudah pasti akan bertanding.

    “Calon kita adalah calon muda, berpengalaman dan pernah berkhidmat. Kerusi yang akan kita tandingi nanti adalah kawasan campuran. Kita yakin 100 peratus akan menang di kawasan yang akan kita tandingi,” katanya.

    Beliau yang juga Ahli Parlimen Julau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas pelancaran jentera PBM untuk PRN Johor di Jalan Eco Flora, Bandar Dato’ Onn, Johor Bahru, hari ini.

    Turut hadir Naib Presiden PBM, Steven Choong Shiau Yoon yang juga Pengerusi PBM Johor.

    Wei Shien berkata, ketika ini PBM masih lagi dengan keputusan untuk bertanding secara solo tetapi tidak menolak kemungkinan menyertai mana-mana gabungan politik sedia ada.

    “Dalam masa ini (keadaan politik) memang dinamik, apa-apa pun boleh berlaku, tapi dalam kesediaan parti kita, kita memang bersedia. Namun ada atau tak ada (bergabung atau tidak) kita tetap akan bertanding,” katanya.

    Sementara itu, Shiau Yoon ketika ditanya sama ada akan bertanding DUN pada kali ini, beliau yang juga Ahli Parlimen Tebrau menyerahkan keputusan tersebut kepada pucuk pimpinan parti.

    “Kita serahkan kepada kepimpinan parti, saya hanya mengikut arahan di peringkat Pusat,” katanya.