Author: Admin

  • Suku tahun kedua waktu realistik buka sempadan – Khairy

    Suku tahun kedua waktu realistik buka sempadan – Khairy

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    KEMENTERIAN  Kesihatan kini sedang menyiapkan garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) bagi pembukaan sempadan untuk dibentangkan dalam tempoh dua minggu.

    Sehubungan itu, Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, suku kedua tahun ini mungkin waktu yang sesuai untuk membuka sempadan negara yang kini masih belum dibuka sepenuhnya.

    Beliau juga menjelaskan, membuka sempadan adalah proses yang besar oleh itu prosesnya akan melalui beberapa peringkat.

    “Perdana Menteri telah arahkan saya untuk menyediakan garis panduan bagi pembukaan sempadan, beliau bagi masa dua minggu kepada saya dan Kementerian Kesihatan untuk menyediakan garis panduan tersebut.

    “Ini tidak bermakna sempadan akan dibuka dalam tempoh dua minggu ini. Tetapi saya menjangkakan dua minggu kita siap (garis panduan) mungkin suku tahun kedua adalah garis masa yang realistik,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melawat  sebuah klinik swasta yang menyediakan perkhidmatan Skim Peduli Kesihatan Untuk Kumpulan (Peka) B40 di Batu, hari ini.

    Semalam, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta Kementerian Kesihatan mengemukakan pandangan mereka mengenai cadangan pembukaan sempadan negara.

    Perdana Menteri berkata, keputusan sama ada mahu membuka terus pintu sempadan atau masih melaksanakan sekatan tertentu bergantung kepada penilaian yang perlu dibuat.

    Khairy berkata, setelah garis panduan itu siap, beliau akan membentangkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Pandemik Covid-19 yang dipengerusikan Perdana Menteri.

    “Perincian akan saya bentangkan kepada Jawatankuasa Kuartet Menteri di bawah Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan akhirnya dibawa kepada Jemaah Menteri sebab ini keputusan besar yang tak boleh dibuat Kementerian Kesihatan sahaja kerana ia libat polisi besar negara,” katanya.

  • Khairuddin antara tujuh calon PKR diumum hari ini

    Khairuddin antara tujuh calon PKR diumum hari ini

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    BEKAS Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senggarang, Ir. Khairuddin A. Rahim, 63 dicalonkan semula pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR).

    Beliau yang sebelum ini menimbulkan kontroversi keluar Parti Amanah Negara (Amanah) selepas memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang pada Pilihan Raya Umum ke14 (PRU14), kini bertanding atas tiket PKR.

    Khairuddin merupakan antara tujuh calon PKR diumumkan akan bertanding pada PRN Johor bagi kawasan zon timur dan zon tengah.

    Pengumuman itu dibuat Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu majlis di Dewan Serbaguna Kampung Kopok Baru, Pasir Gudang, hari ini.

    Seorang lagi yang pernah menjadi calon ialah Ketua Cabang PKR Pontian, Haniff@Ghazali Hosman, 42, yang sebelum ini bertanding dalam PRU ke-13 di Parlimen Pontian tetapi kini bertanding di DUN Benut.

    Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Omar Mokhtar A. Manap, 29, bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Lama dan Naib Ketua Wanita PKR Johor, Haryati Abu Nasir, 52, (DUN Semarang).

    Sementara Ketua Cabang PKR Tanjung Piai, Mohd. Zaiful Bakri, 43, (DUN Kukup); Timbalan Ketua Wanita PKR Johor, Zulinah A. Johari, 47, (DUN Tenggaroh) dan aktivis PKR, Rosman Tahir, 53, (DUN Tanjung Surat).

    Menerusi pengumuman pada Sabtu, PKR telah selesai mengumumkan kesemua 20 calon yang akan mewakili parti itu dalam PRN Johor 12 Mac ini.

    Pada 15 Februari, Anwar mengumumkan calon PKR bagi kawasan zon tengah, zon selatan dan zon utara.

    Sementara itu, Khairuddin, berharap, rekod cemerlangnya ketika menjadi ADUN Senggarang akan menjadi asas kepada pemilihan dirinya kali ini.

    “Saya berharap penduduk di DUN Rengit akan dapat menerima saya seadanya, sekaligus membawa kepada kemenangan Pakatan Harapan pada kali ini,” katanya ditemui pemberita selepas majlis pengumuman calon.

    Omar Mokhtar pula yang merupakan calon paling muda PKR bagi PRN Johor berkata, pengumumannya sebagai calon merupakan hadiah paling manis sempena hari lahirnya yang ke-29 hari ini.

    Beliau akan memperjuangkan isu-isu rakyat seperti kos sara hidup meningkat, peluang pekerjaan dan Undi18, pada kempen beliau nanti.

  • Polis tahan 7 wanita asing, disyaki pelacur

    Polis tahan 7 wanita asing, disyaki pelacur

    POLIS menahan sembilan individu, termasuk tujuh wanita warga asing disyaki terbabit kegiatan pelacuran, di sebuah premis di Taman Miharja, Cheras, Kuala Lumpur.

    Serbuan dilakukan sepasukan anggota Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur pada jam 8 malam semalam, dan mereka yang ditahan termasuklah dua lelaki disyaki penjaga premis.

    Ketua JSJ Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Habibi Majinji, berkata pihaknya juga merampas sebuah telefon bimbit, 19 kondom, empat tuala, satu jadual kerja dan wang tunai RM90 bagi membantu siasatan.

    “Kita memeriksa dua lelaki, selain menahan sembilan individu termasuk penjaga premis.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 372B dan 373 Kanun Keseksaan, selain Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Sementara itu dalam kes berasingan, Habibi berkata, pihaknya mengeluarkan kompaun berjumlah RM57,000 terhadap pengunjung dan pemilik sebuah pusat hiburan di Jalan Metro Pudu, di ibu negara, semalam.

    Dalam serbuan kira-kira jam 11.30 malam itu, beliau berkata, D7 JSJ Kuala Lumpur mengenakan kompaun RM1,000 seorang terhadap 56 pengunjung dan seorang pemilik premis terbabit.

    “Polis juga merampas resit perniagaan, peralatan muzik dan botol minuman keras bagi membantu siasatan.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan (AHWP), Seksyen 76 Akta Eksais serta Peraturan 17 Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPPB) Pelan Pemulihan Negara (PPN) 2021,” katanya.

  • Peniaga hampa, kereta idaman tak dapat, RM25,000 lesap

    Peniaga hampa, kereta idaman tak dapat, RM25,000 lesap

    SEORANG peniaga kedai sukan kerugian lebih RM25,000 selepas menjadi mangsa penipuan jualan kereta terpakai tidak wujud menerusi Facebook pada Januari lalu.

    Sinar Harian melaporkan, lelaki berusia 62 tahun itu tertarik untuk membeli kereta mewah terpakai jenis Lexus yang ditawarkan pada harga 42,000 dengan pinjaman penuh.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, mangsa berurusan dengan penjual bernama Lucas Khoo (suspek) melalui aplikasi Whatsapp dan bersetuju untuk membeli kereta tersebut.

    Menurutnya, suspek yang mendakwa berada di Singapura telah menghantar dokumen perjanjian melalui Whatsapp dan meminta mangsa mengemukakan maklumat peribadi bersama bayaran RM2,800 untuk proses membawa kereta itu dari Jepun.

    “Mangsa membuat bayaran seperti diminta melalui akaun bank atas nama sebuah syarikat.

    “Selepas bayaran itu dibuat, mangsa dimaklumkan kereta itu akan dibawa masuk melalui Langkawi dan diminta menunggu perkembangan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mohd. Wazir berkata, pada 21 Januari lalu, mangsa dihubungi suspek dan dimaklumkan bahawa keretanya akan tiba lebih awal dari tarikh yang dijadualkan.

    “Mangsa diminta membuat bayaran RM7,407 untuk insurans dan cukai jalan.

    “Teruja untuk memiliki kereta idaman, mangsa membuat bayaran itu melalui dua transaksi pindahan wang ke akaun yang diberikan sebelum menerima nota perlindungan kereta itu dari suspek,” katanya.

    Mohd. Wazir berkata, pada 8 Februari lalu, mangsa mendapat perkembangan bahawa keretanya telah tiba ke negara ini namun dia perlu membuat bayaran RM15,000 untuk urusan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

    “Mangsa segera membuat bayaran setelah diberitahu kereta tersebut sudah berada di Pejabat JPJ Wangsa Maju dan sedia untuk diambil.

    “Mangsa ke Pejabat JPJ Wangsa Maju pada 11 Februari lalu namun kereta tersebut tiada di lokasi itu.

    “Suspek kemudian memghubungi mangsa memaklumkan kereta itu telah ditahan pihak kastam dan dia perlu menjelaskan bayaran proses lebih RM55,000 untuk menuntut kenderaan tersebut,” katanya.

    Menurutnya, mangsa mula curiga dan syak telah ditipu lalu tampil membuat laporan polis di Balai Polis Temerloh pada Jumaat.

    Mohd. Wazir berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

  • PN bertanding bawah satu logo bukti kesepakatan-Gerakan

    PN bertanding bawah satu logo bukti kesepakatan-Gerakan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PARTI Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) setuju menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Presidennya, Datuk Dr. Dominic Lou Hoe Chai berkata, bertanding menggunakan satu logo sahaja membuktikan keutuhan dan kesepakatan antara parti komponen iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas.

    Katanya, ini adalah kali kedua Gerakan bertanding di bawah logo PN selepas PRN Melaka, November tahun lalu.

    “Kita bersetuju untuk terus menggunakan logo PN pada PRN kali ini. Langkah ini menjadikan hubungan parti komponen lebih erat dan saling memahami cara kerja masing-masing.

    “Kita tak sama dengan Pakatan Harapan (PH) apabila PKR ingin menggunakan logo parti mereka sendiri sedangkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah Pengerusi PH.

    “Bagaimana Pengerusi gabungan enggan menggunakan logo tersebut, ini menunjukkan parti itu hilang kepercayaan terhadap gabungan pembangkang tersebut. Sekiranya perkara semudah ini susah nak capai kata sepakat, macam mana hendak memimpin negara,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Pusat Gerakan di Pejabat Gerakan di Taman Jaya, Skudai, Johor Bahru, hari ini.

    Turut hadir ialah, Timbalan Presiden Gerakan, Oh Tong Keong dan Pengerusi Perhubungan Gerakan Negeri Johor, Senator Datuk Teo Kok Chee.

    Sebelum ini, Anwar mengumumkan PKR akan menggunakan logonya sendiri dalam PRN Johor, manakala dua sekutunya dalam PH iaitu DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) menggunakan logo gabungan pembangkang itu.

    Susulan keputusan itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu dalam satu kenyataan bersama memaklumkan, dua parti itu menghormati keputusan PKR untuk menggunakan logo sendiri, meskipun mempunyai perbezaan pendapat mengenainya.

    Hoe Chai memberitahu, dalam mesyuarat itu bersetuju untuk melantik Kok Chee sebagai Pengerusi Jentera PRN Negeri Johor dan pejabat itu sebagai bilik parti Gerakan.

    Tambahnya, semua pemimpin Gerakan di setiap negeri akan berkampung di negeri ini bagi membantu jentera PN berkempen dan memberi sokongan bagi memastikan kemenangan pada PRN Johor.

  • Lelaki Myanmar pukul pemilik bengkel, pecahkan cermin 3 kereta

    Lelaki Myanmar pukul pemilik bengkel, pecahkan cermin 3 kereta

    SEORANG lelaki warga Myanmar ditahan kerana memukul seorang pemilik bengkel kereta di Taman Perindustrian Hata, Pandan Mewah, semalam.

    Siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira pukul 3.20 petang ketika mangsa berada di bengkel kereta miliknya.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, suspek berusia 31 tahun itu bertindak memukul mangsa dengan menggunakan besi di bahagian kepala dan tangan.

    “Suspek dipercayai pemegang kad UNHCR (Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian) turut memecahkan tiga cermin kereta milik pelanggan yang berada di bengkel tersebut.

    “Siasatan juga mendapati suspek telah beberapa kali datang ke bengkel untuk bekerja tetapi mangsa tidak mengambilnya bekerja,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Mohamad Farouk berkata, selepas menerima maklumat polis menahan suspek di bengkel tersebut dan merampas besi yang digunakan dalam kejadian itu.

    “Suspek direman empat hari untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya.

  • Muda akan jadi liabiliti pada PH-Ketua Penerangan AMK

    Muda akan jadi liabiliti pada PH-Ketua Penerangan AMK

    TINDAKAN Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) enggan menerima kerusi yang ditawarkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan menjadi beban kepada Pakatan Harapan (PH).

    Ketua Penerangan Angkata Muda Keadilan (AMK), Aizuddin Ariffin berkata, sikap ditunjukkan Muda itu sama sekali berbeza kalau dibandingkan dengan rundingan parti itu bersama Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP sebelum ini.

    “Muda bersifat selektif dengan menolak kesemua kerusi ditawarkan PKR yang dikategorikan bukan kerusi ’empuk’ dan kerusi luar bandar di mana majoriti besar pengundi adalah dalam kalangan orang Melayu.

    “Saya juga sempat meneliti kenyataan media yang dikeluarkan parti orang muda ini bertarikh 18 Februari 2022. Respons kepada kenyataan yang disiar, saya membayangkan Muda akan menjadi beban PH.

    “Sikap angkuh, ‘play victim’, gelojoh dan pandai mengugut hanya akan menjauhkan rakyat marhaen daripada menyokong PH,” katanya memetik laporan Astro Awani, hari ini.

    Setakat ini Muda sudah berjaya meletakkan calon mereka enam kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, hasil rundingan dengan DAP dan Amanah, iaitu di Tenang, Bukit Kepong, Parit Raja, Machap, Puteri Wangsa dan Bukit Permai.

    Media sebelum ini melaporkan, Muda turut mengintai tiga lagi kerusi PKR iaitu Larkin, Kempas dan Bukit Gambir namun ditawarkan kerusi yang menjadi kubu kuat UMNO iaitu Tanjung Surat, Sri Medan, dan Semarang.

    Dalam siri pengumuman calon PKR beberapa hari lalu, Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan nama bagi tiga kerusi yang diintai Muda itu sekali gus memberi bayangan rundingan mereka tidak berhasil.

    Syed Saddiq pada 18 Februari berkata, sekiranya pertindihan kerusi antara Muda, dan PKR tidak dapat dielakkan, parti itu akan menyerahkan keputusan di tangan rakyat Johor.

    Mengulas lanjut, Aizuddin berkata, PH bersama-sama Muda sepatutnya sudah mula mengorak langkah dengan mengetengahkan isu rakyat di bawah yang perlu diangkat.

    “Saya khuatir, polemik yang dimainkan Muda ini akan berterusan iaitu dengan sengaja mencipta persepsi atau naratif negatif agar rakyat terus menolak PH.

    “Jika saudara (Syed Saddiq) turun ke bawah dan mendengar pandangan rakyat kebanyakan, rata-rata akan menyebut ‘UMNO BN atau PN bukannya kuat sangat, tapi persepakatan pembangkang yang tidak kuat’.

    “Persepsi ini yang menghakis keyakinan rakyat kepada pembangkang. Usah dibiarkan berlarutan atau kita sudah bersedia menerima Muda yang sebenarnya menjadi liabiliti kepada PH,” katanya.

  • MUDA itu ‘anak’ ciptaan DAP – dakwa Hadi Awang

    MUDA itu ‘anak’ ciptaan DAP – dakwa Hadi Awang

    PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendedahkan, DAP kini mencipta parti baharu melalui penubuhan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang dipimpin Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

    Sebelum ini, katanya DAP juga yang menjadi tunjang kepada penubuhan Parti Amanah Negara (PAN) yang meletakkan sasaran menarik sokongan penyokong Pas.

    “PAN itu DAP yang cipta, nak tarik org Pas. Sekarang, ada parti Muda, itu pun anak DAP juga,” katanya ketika berucap di Majlis Pelancaran Perikatan Nasional (PN) Johor yang berlangsung di Kota Tinggi, malam tadi.

    Majlis itu menghimpunkan pemimpin utama PN termasuk Pengerusi Perikatan Nasional dan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden Gerakan Datuk Dr. Dominic Lau; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Seri Ahmad Yaakob serta pemimpin utama parti komponen PN.

    Ketika ini, Muda yang julung kali bertanding pada pilihanraya berdepan jalan buntu apabila isu agihan kerusi dengan PKR gagal berikutan Muda dikatakan bertegas menuntut kerusi lain, selain yang ditawarkan.

    PKR menawarkan tiga kerusi untuk ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini tetapi Muda mahukan kerusi selamat di kawasan bandar.

    Sementara rundingan dengan DAP dan Amanah sudah diselesaikan apabila mereka mudah menyerahkan enam kerusi kepada Muda iaitu Tenang, Bukit Kepong, Parit Raja, Machap, Puteri Wangsa dan Bukit Permai.

    Mengulas lanjut, Hadi berkata sebelum ini PAS pernah bersama DAP di dalam Pakatan Harapan (PH) tetapi membuat keputusan mengambil haluan masing-masing disebabkan pendekatan parti itu yang terlalu ekstrem.

    “Pas baru saja berpisah dengan DAP, parti ekstrem, bukan macam Gerakan. Mereka (DAP) anti islam, anti Melayu dan Raja-Raja.

    “Kami tidak sanggup bersama mereka. PKR (Parti Keadilan Rakyat) itu parti penipu. Kita tahu PH ini menipu, nak hapuskan minyak 24 jam, hapuskan (pinjaman) PTPN (Perbadanan Tabung Pendidikan Negara). Teruk janjinya, macam anak raja nak kahwin dengan Puteri Gunung Ledang,” katanya.

    Disebabkan keadaan itu, katanya Pas bersama Bersatu mencari pendekatan baharu dan akhirnya bersetuju menubuhan Perikatan Nasional.

    Pada masa sama, Hadi menegaskan Umno juga perlu ditolak rakyat kerana menjadi punca berlakunya wabak politik wang yang jelas merosakkan negara,

    “Ketika PRU-14, Tuhan bagi petunjuk. BN yang memerintah negara 60 tahun lebih di Malaysia, tumbang akibat wabak politik wang. Ramai rakyat menolak kepimpinan mereka, ramai yang keluar termasuk bekas Perdana Menteri (Muhyiddin), dan menubuhkan Bersatu.

    “Rakyat tolak BN kerana salah laku yang malu saya nak sebut,” katanya yang secara sinis mengatakan Umno sepatutnya ‘bersara’ apabila melebihi usia 60 tahun.

    Katanya, Umno yang diberi amanah untuk memerintah Johor menyusahkan rakyat negeri itu apabila membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan mengadakan PRN.

    “Kita minta Johor jadi guru kepada negeri lain dalam hal politik. Orang Sabah sudah ajar PN menang di PRN Sabah, tak kan orang Johor tak boleh buat, malulah orang Johor. Jangan salah mengundi, sudah 60 tahun kita buat silap,” katanya

  • Isu pengangguran perlu ditangani dengan lebih berstruktur-KSM

    Isu pengangguran perlu ditangani dengan lebih berstruktur-KSM

    KEMENTERIAN Sumber Manusia (KSM) mahu isu pengangguran dalam kalangan rakyat ditangani dengan lebih berstruktur, berkesan dan menyeluruh.

    Sehubungan itu, KSM telah mengarahkan PERKESO sebagai penyedia perkhidmatan pekerjaan negara untuk mengadakan lebih banyak program termasuk Insentif Penggajian JaminKerja di bawah Inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia (JaminKerja).

    Menterinya, Datuk Seri M. Saravanan berkata, seramai 300,000 individu disasarkan mendapat pekerjaan menerusi insentif Penggajian Jamin Kerja.

    “Pada tahun ini, seramai 300,000 individu dijangka mendapat pekerjaan menerusi insentif penggajian JaminKerja, dengan fokus utama diberikan kepada golongan sasar melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM2 bilion.

    “Antara golongan sasar yang dimaksudkan termasuklah pekerja kehilangan pekerjaan, individu menganggur, golongan mudah terjejas termasuk warga emas, Orang Kurang Upaya (OKU), bekas banduan, veteran askar, Orang Asli, graduan menganggur serta wanita.

    “Tumpuan turut diberikan kepada individu yang memasuki sektor kritikal seperti pelancongan bagi menyokong pemulihan dalam industri ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022, Kuala Lumpur, hari ini.

    Inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia terdiri daripada tiga komponen utama iaitu Insentif Penggajian JaminKerja, MySTEP serta Program Latihan dan Peningkatan Kemahiran dengan peruntukan RM4.8 bilion.

  • Kerani, petani kerugian hampir RM43,000 mangsa terbaharu scammer

    Kerani, petani kerugian hampir RM43,000 mangsa terbaharu scammer

    SINDIKET penipuan tawaran kerja palsu terus mencari mangsanya dan kali ini dua individu, iaitu seorang kerani dan petani berjaya diperangkap.

    Kedua-dua mangsa terpaksa berputih mata akibat kerugian hampir RM43,000 setelah masing-masing tertipu dengan tawaran kerja sambilan palsu serta pinjaman wang tidak wujud, lapor Berita Harian.

    Dalam kes pertama, kerani berusia 24 tahun itu terperdaya selepas tertarik dengan tawaran kerja sambilan secara dalam talian yang menjanjikan komisen 10 peratus.

    Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JKJK) Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof, mangsa terlebih dahulu diumpan dengan dua tugas yang diberi komisen sebagaimana dijanjikan.

    Menurut beliau, mangsa yang bekerja dengan sebuah syarikat swasta di Bentong itu kemudian diberikan tugas baharu sehingga dia diperdaya memasukkan wang ke dalam dua akaun berasingan melalui lapan transaksi.

    Katanya, disebabkan terlalu mempercayai janji manis suspek, mangsa akhirnya kerugian RM30,692 dan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong, semalam.

    “Modus operandi suspek ialah memperdaya dengan tawaran kerja sambilan palsu sehingga mangsa memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun bank diberikan suspek,” katanya.

    Menurut Mohd Wazir, dalam kes berasingan pula, seorang pekebun tanaman organik di Bukit Tinggi, Bentong, kerugian RM12,070 akibat tertipu dengan tawaran pinjaman wang tidak wujud.

    Beliau berkata, terdahulu mangsa berumur 34 tahun itu berminat meminjam RM10,000 lalu menghubungi suspek melalui WhatsApp.

    Katanya, mangsa kemudian diminta membuat pembayaran kononnya bagi proses permohonan pinjaman, menggunakan tiga akaun berasingan membabitkan lapan transaksi.

    “Mangsa mengesyaki diri tertipu apabila gagal mendapat wang pinjaman itu, sebaliknya kerugian RM12,070. Mangsa juga tampil membuat laporan di IPD Bentong, semalam.

    Tambah beliau, kedua-dua kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.